Archives

Saya guru baru!

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULILLAH

‘kita perkenalkan guru baru sekolah kita, cikgu nur aqilah hanis mohd yusoff, minta cikgu perkenalkan diri sikit pada guru-guru lain’, panggilan PK 1 sedikit sebanyak menimbulkan gusar di hati saya. Mata-mata semua tertumpu pada saya. Tidak tahu dari mana harus dimulakan. Inilah dia alam pekerjaan yang sebenar.

Mesyuarat pertama guru di sekolah saya bermula pada akhir tahun 2010.

Kira-kira setahun sudah berlalu.

Pejam celik pejam celik, sedikit masa lagi sesi persekolahan baru akan bermula.

Mesyuarat pertama untuk tahun 2011 telah selamat dilaksanakan semalam. Saya sudah faham rentaknya, buku manual tugasan 2012 dibaca dan dicerna baik oleh saya. Panjang mesyuaratnya sehingga saya terpaksa korbankan kelas master saya pada petangnya. Komitmen kerja dan cita-cita benar-benar mendesak.

Banyak sekali amanat-amanat yang dititipkan. Bermula sebagai ‘norvice teacher’ atau istilah lainnya sebagai guru baru sebenarnya benar-benar mencabar. Sehingga kini saya masih dalam proses ‘adjustment’ dengan suasana yang ada. Taklimat berkenaan dengan SBPA dan juga sesi tandatangan kontrak waktu untuk pencen merupakan agenda utama. Saya penjawat awam, perjalanan saya dalam profesion ini masih lagi panjang.

Setahun pertama saya rasa serik untuk jadi guru. Lucu juga bila refleksi dibuat semula. Sehingga bila dilihat semula tahun 2011 saya jarang keluarkan entry-entry, memang berat penangannya jadi guru baru!

Bagaimana saya bisa mengendalikan 45 orang pelajar berbangsa cina di kuala lumpur sepanjang tahun menjadi guru kelas mereka, berurusan secara professional bila terlibat soal ibu bapa yang cukup-cukup menguji kematangan dan kebijaksanaan saya. Belum lagi kes-kes disiplin yang menggugat kesabaran dan hingga kini masih saya simpan kemas. Communication skill saya digilap dengan baik biarpun saya bukan lagi pendebat university atau ahli mpp. Saya belajar secara percuma hanya sebagai guru baru.

Saya tidak sempat tulis semua.

Belum cerita bagaimana cabarannya menongkah arus traffic jam seawal pagi jam 6 pagi dan sepetangnya pulang. Sehingga kini saya cukup alert dengan masa! Sedikit lambat, saya akan tersangkut dan terlepas banyak perkara. Itulah hakikat guru. Sedikit sebanyak jalan di kuala lumpur saya tidak memerlukan peta lagi. Tidak boleh dikira berapa kali saya sesat. Lucu! Outstation bukan perkara baru.

Saya boleh tulis buku panduan untuk guru baru pada masa akan datang, untuk dilakarkan.

Masa, tenaga, emosi, wang itulah tuntutan pengorbanannya. Saya kira mana-mana profesion juga ada cabarannya.

Dan, yang paling lucu, berapa banyak saya utarakan hasrat saya pada rakan untuk berhenti kerja dek kerana kadang-kadang tidak tahan. Aduhai,Nampak sangat saya guru baru!

Saya masih lupa…

Dalam banyak hal yang berlaku, Allah masih sayangkan saya. Dikurniakan saya peluang untuk menjejakkan kaki ke tanah suci bumi mecca dengan duit gaji saya sebagai guru tahun ini. Menatap kaabah, mengucup hajaratulaswad, tiada tolak gantinya.

Dengan banyak hal yang berlaku, saya masih berpeluang membiayai sendiri pengajian saya di peringkat master biarpun dengan simpanan saya yang tidak seberapa, saya masih diberi peluang untuk merasai nikmat belajar dan belajar.

Dengan segala hal yang berlaku, saya sedikit mampu membelikan hadiah untuk ayahanda bonda, ahli keluarga melihat mereka gembira dengan keringat saya.

Dalam segenap hal yang berlaku, saya  masih ditemani dengan keluarga sendiri dan sahabat-sahabat yang membantu biarpun mengembara di kota besar metropolitan kuala lumpur.

Dengan segala hal yang berlaku, betapa besarnya setiap detik allah kurniakan saya untuk ditarbiyah sebagai guru baru.

Jika ditambah dan ditolak, banyaknya nikmat ALLAH kurnia kepada saya sebagai guru baru! Perlu rasa syukur menjadi guru baru.

Cukuplah untuk saya mengeluh!

Buku manual pengurusan saya tatap semula, merangka beberapa perkara penting untuk diberi perhatian. Saya belajar dari kesilapan lalu.

biarlah catatan lama terus berlalu, moga-moga saya terus cemerlang sebagai guru baru . ameen ya rabb.

Teman-teman doakan saya.

Bumi UPSI yang saya tinggalkan..

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah

Benarlah, bila kita mula menjadi pelajar semula, semakin banyak masa untuk kita peruntukkan untuk online. Dalam erti kata nama lain, saya sudah mula terasa ingin aktif menulis semula.

Masa yang ada perlu saya gunakan untuk mencari maklumat-maklumat disamping semakin cakna dengan isu yang berlaku di sekitar.  Apatah lagi dengan bebanan assignment yang semakin menuntut untuk di’selenggarakan’ kadar yang segera menyebabkan saya lebih ‘rajin’ untuk online.

Blog guruohguru ini sejarahnya bermula sejak saya dari semester 3 di upsi.

Kini, saya cikgu dalam masa yang sama saya juga pelajar.

Saya sudah merindui saat-saat kesibukan dengan sahabat-sahabat kampus saya yang dahulu. Masa yang ada semakin dirasa cukup pantas berlari sehingga kadangkala kita lupa banyak sekali perkara-perkara yang dituntut untuk dilunaskan dengan segera. Semua sahabat-sahabat saya sudah bertebaran di tempat masing-masing dalam melaksanakan taklifan sebagai hambaNYA, saya doakan kalian semua sentiasa dalam jagaanNYA. Ameen.

Syukur, saya masih berpeluang untuk menziarahi bumi UPSI, siapalah saya untuk lupa bahawasanya saya pernah menjadi ‘Anak Kandung Suluh Budiman’.

Dari jauh sudah mula kelihatan bangunan ‘pencakar langit’ kolej harun aminurrashid ataupun KHAR yang menjadi tempat saya berteduh sedari semester satu hingga tujuh. Masya-allah, setiap jalan-jalan yang dilalui sememangnya membawa nostalgia sendiri, aduhai saya kini sudah menjadi alumni UPSI.

Bertemu mata dengan adik-adik kampus, mendengar, berbincang dan bertukar-tukar pengalaman sememangnya menjadikan ziarah saya terasa singkat waktunya. Oh, saya sudah tua!. 🙂

Terima kasih sahabat saya mawar mas yang tidak jemu menjadi ‘catalyst’ saya untuk laksanakan misi ziarah ini.

Pabila mendengar dan berbincang mengenai suasana kampus di UPSI sememangnya sedikit sebanyak menarik perhatian saya. Isu kebajikan pelajar, PTPTN, KPM , RPA,akademik saya kira sedari dahulu sememangnya masalah ini cukup popular di kalangan mahasiswa UPSI. Saya sedikit ketinggalan mengikuti perkembangan UPSI dek kerana tiada ‘facebook’ . itu hanya retorik alasan saya.

Setiap dasar yang kita laksanakan, perlu dilihat dan dinilai keberkesanannya dalam tempoh lima tahun sebelum dimansuhkan yakni isu RPA perlu diperincikan semula oleh mahasiswa kampus UPSI. Saya masih ingat, turun naiknya rakan seperjuangan saya yang kini berada nun jauh di Sarawak (Cikgu Jajawatie dan Cikgu Akmal Madzir) dalam menjadi golongan ‘pioneer’ untuk program ini. Me’nangguhkan’nya cukup mudah, berbanding memulakannya  seterusnya program seumpama ini terus lenyap di bumi UPSI.

Alhamdulillah, sempat saya menziarahi Naib Cancelor UPSI, Prof Zakaria yang baru sahaja dilantik biarpun beliau sibuk dengan urusan seharian. Saya kira beliau adalah figura penting yang banyak membantu dan menjadi rujukan saya dan rakan-rakan semasa memegang taklifan sebagai mpp akademik dahulu. Tahniah dari saya atas perlantikan Prof!

UPSI tetap dihati

Saya tinggalkan kampus UPSI dengan seribu satu kenangan, saya masih ada tanggungjawab untuk meneroka khazanah ilmu bumi tuhan yang cukup luas dan indah. Ziarah saya bukan bermakna berakhir di sini.

Pengajian master saya perlu disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan, peluang untuk terus belajar dan belajar, selagi masa masih ada perlu saya manfaatkan. Perjuangan saya belum berhenti. Moga-moga redha ALLAH terus mengiringi. Ameen.

Teman-teman doakan saya!

Di tempat baru

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILLAH

Saya kira teman-teman punya pengalaman yang berbeda di tempat baru masing-masing. Bila menerima berita-berita daripada teman-teman yang jauh ke pedalaman Sarawak, kadang-kala saya lupa untuk bersyukur. Saya masih berusaha menerima keadaan di sekitar saya sebaiknya biarpun tiap kali itu juga saya merasakan tidak kuat untuk menghadapinya. Saya sudah secara rasmi menjadi pendidik bagi wilayah persekutuan. Akur sumpah sudah dibuat, yang pasti saya perlu galas amanah ini hingga ke akhirnya. Bukan senang, ‘patient’ saya kali ini benar-benar mencabar.

Saya sudah keluar daripada ‘comfort’ zone.

Saya perlu pulih segera daripada syndrom ‘culture shock’ ini.

Menjadi pendidik di bandar metropolitan sememangnya sudah tersedia dengan cabaran-cabaran yang tersendiri. Saya perlu hadapi. Sedaya upaya saya cuba memberi motivasi buat diri, hingga akhirnya saya sempat menghasilkan nukilan yang tidak seberapa.

Di tempat baru

Semua perkara perlu tahu

Kadangkala jadi buntu

Tatakala hilang tempat mengadu

Di tempat baru

Perlu ada semangat yang satu

Datang bukan tanpa hala tuju

Silap langkah jadi celaru

Di tempat baru

Perlu jadi sabar selalu

Harungi sahaja jalan berliku

Demi jiwa menjadi jitu

Di tempat baru

Bukan semua perkara harus setuju

Perlu jadi orang ‘baru’

Diam-diam tak beerti setuju

Tidak rugi kalah dahulu

Untuk menang di kemudian waktu

Di tempat baru

Moga temui kekuatan dalam diriku

KepadaMU Tuhan Yang Satu

Hanya PadaMU aku mengadu

Tentukan terbaik untuk hambaMU

Kerana sesungguhnya

Hidupku, amal ku, hanya untukMU.

Ameen.


 

p/s: saya bakal menyambut hari tua tidak lama lagi, sudahkah saya manfaatkan usia pinjaman sementara ini? allahurrabi.

Hijrah saya dari KB ke KL

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah

Sekian lama saya membiarkan blog saya kosong tanpa entry baru. Dan kini baru punya kesempatan. Sedikit ruang ini saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA EIDUL ADHA kepada semua teman-teman pembaca blog guruohguru, biarpun saya tahu blog ini semakin hambar dengan pengisian. Silap saya, sering dihambat waktu.

Untuk teman-teman yang bakal memulakan tugas sebagai guru 22.11 nanti, TAHNIAH dan SYABAS kerana kalian merupakan insan terpilih untuk mendidik generasi pelajar-pelajar pada masa kini dan akan datang. Setiap setitis ilmu yang dicurahkan akan menjadi saksi buat kita semua di akhirat kelak, insya-allah. Mulianya tugas guru, perlu ikhlas.

Dengan bermulanya cuti sekolah juga, saya baru sahaja selesai menamatkan sebuah lagi perjalanan saya sebagai seorang guru di maahad. Perjalanan saya tidak akan terus berhenti. Insya-ALLAH saya akan teruskan di sekolah baru pada masa yang ditetapkan di SMK SERI SENTOSA, KUALA LUMPUR.  Rezeki saya di Kuala Lumpur. Saya sedar cabarannya.

Saya harapkan doa kalian moga saya terus mampu mendidik pelajar-pelajar saya menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat di samping berjaya untuk meneruskan ijazah kedua saya kelak, insya-ALLAH.

‘Selamat Hari Raya Eid Adha’

Hijrah memerlukan pengorbanan. Dari kota bharu ke Kuala Lumpur, yang pasti, saya perlu teruskan. Teman-teman doakan ye!

Masalah remaja, masalah saya?

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Bila jarang saya membuat respon mengenai isu-isu semasa yang berlaku, akhirnya ada antara teman-teman yang menegur agar ditulis semula bentuk-bentuk tulisan yang lebih kritis. Dan melihat semula tulisan-tulisan saya semenjak dua menjak pabila saya mula melangkah ke alam pekerjaan, memang lebih banyak dalam kategori santai berbanding dengan kategori-kategori lain. Tidak bermakna saya tidak cakna, cuma mungkin lebih senang untuk mengurangkan ketegangan bekerja dengan menulis sesuatu yang lebih mudah dan tidak terlampau berat.

Memang turut diakui, saya kurang membaca akhbar-akhbar apatah lagi untuk online juga kadang-kadang saya ambil masa, tidak sama semasa zaman ketika belajar dahulu. Jika dahulu memang menjadi kewajipan saya untuk sentiasa online dan update dengan isu semasa, yang berbeda sekarang, saya masih sentiasa UPDATE isu semasa apabila melakukan perbincangan dengan pelajar-pelajar saya.

Kadang-kala sengaja saya mengajukan isu-isu semasa untuk melihat respon mereka. Sudah dapat teman baru untuk berdebat apatah lagi dengan pelajar-pelajar sendiri.

‘Teacher tahu kamu semua masih muda, REMAJA, teacher pun remaja juga, Cuma yang berbeda antara kita, teacher REMAJA PURBA, tua sikit dari kamu semua’ seloroh saya disahut ketawa pelajar-pelajar. Sengaja ingin menghidupkan suasana kelas.

Bila mengajar dan mendekati remaja yang usianya 16-17 tahun, banyak sekali bezanya dengan zaman saya dahulu. Mungkin juga disebabkan peredaran zaman dan persekitaran.

Benar, dunia remaja merupakan transisi dari alam bayi ke dunia kanak-kanak sebelum dewasa. Di sini, ibu bapa mahupun guru harus bijak menjadi ‘teman’ untuk anak-anak. Remaja tidak sedar apa akan berlaku, namun emosi, fizikal dan kehendak memberi seratus peratus kebebasan ditegah dalam Islam, begitu juga dilarang terlalu mengongkong golongan remaja.

Menjadi trend juga bagi anak-anak remaja pada hari ini yang ingin menikmati kebebasan, ‘mencipta’ masalah dengan lari dari rumah. Usia baru setahun jagung, jalan singkat sahaja yang mereka Nampak semua senang, tidak terfikir dek akal banyak buruk dari baik. Akibatnya, berlakulah kebejatan social lebih parah seperti hamil luar nikah, zina, kelahiran anak tanpa suami yang natijah akhirnya mendorong perbuatan buang dan bunuh bayi.

Inilah cabaran remaja masa kini, kesedaran mereka hanya melalui penerapan ilmu. Tidak hanya terhantuk baru terngadah. Ikut naluri mati, ikut kata binasa, semuanya menjurus kepada kemusnahan hidup.

Aduhai, zaman remaja zaman indah jika benar-benar bijak mengemudinya.

Sentiasa saya titipkan pesanan pada mereka.

Sudah tiba masa untuk kalian persiapkan diri dengan ilmu dan agama, jangan diikutkan sangat naluri, lihat pada masa hadapan kalian yang masih jauh.

Sungguh, mereka-mereka inilah yang akan menjadi pelapis dan melahirkan generasi-generasi akan datang. Jika rosak sekarang, bagaimana dengan seterusnya?

Susunan rentak baru

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Saya cuma ingin berkongsi rasa. Baru sedikit reda dengan keadaan’baru’ dalam minggu ini. Sekolah baru, suasana baru, jadual baru, pelajar baru, perasaan saya bercampur baur.

1) Pelajar lelaki vs pelajar perempuan

Pertamanya mungkin saya sudah sedikit kekok apabila mengajar pelajar-pelajar lelaki. Sudah lama bercampur dengan pelajar perempuan, saya rasa canggung bila berselisih, bersoal jawab dengan mereka padahal dahulu pelajar-pelajar saya juga ada yang lelaki. Cuma yang sedikit lain, pelajar-pelajar lelaki saya kali ini semuanya berkopiah putih.

2) Subjek Chemistry dan English

Yang kedua saya masih dalam penyesuaian dengan subjek baru English terutamanya, jika Chemistry saya punya idea untuk content dan juga method yang sesuai untuk mengajar tetapi yang kali ini benar-benar menguji saya untuk menjadi lebih kreatif. Mengajar bahasa kedua berbeda dengan menerangkan konsep dalam science dan math biarpun kedua-duanya saya sampaikan dalam bahasa inggeris. Saya masih perlu ambil masa untuk hadam content subjek English.

Mungkin saya perlukan susunan rentak yang baru di sekolah baru.

Saya kira setiap tempat yang saya pergi ada cabaran yang tersendiri. Namun saya masih optimis, niat saya cuma satu, saya ikhlas ingin mengajar, mendidik mereka, usia serta ilmu pinjaman Allah perlu dimanfaatkan.  Moga-moga saya tidak bertangguh untuk mengisi ruang yang ada.  Masih terlalu awal untuk saya mengalah dengan keadaan.

Teman-teman, doakan saya!

p/s : UPSI, tunggu kedatangan saya beberapa hari lagi. Beberapa hari sebelum ini saya hilang mood untuk berkonvo, moga kehadiran teman-teman mampu mengembalikan semangat yang hilang.Kali ini sayahadir bukan sebagai mahasiswa lagi tapi sudah naik pangkat jadi mahasis-TUA, dari YB dah jadi Yang Bersara. 🙂

Hadiah perpisahan

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Sebenarnya saya ingin menulis panjang, namun masih perlu menyusun semula jadual saya yang kian berubah. Yang paling terasa, saya sudah menerima hadiah perpisahan daripada warga maahad, memandangkan sudah sampai waktu untuk saya meninggalkan sekolah.  Keputusan berjaya dalam interview sedikit sebanyak mengubat kesedihan namun kesan berpisah dengan pelajar-pelajar dan guru-guru di maahad masih lagi mengambil masa untuk merawatnya.

Bila saat kita sudah kasih, ALLAH hadirkan perpisahan. Lumrah ranjau dalam kehidupan. Kadang-kadang kita sering berhadapan dengan jalan buntu, seolah-olah dunia akan kiamat. Kita diasak ke hujung jalan sehingga terasa tiada ruang untuk bernafas. Tapi sebenarnya hidup kita belum berakhir. Jodoh, pertemuan, rezeki, ajal maut semua dalam ketentuanNYA.

Saya optimis, biarlah perpisahan ini yang dianggap penamat, namun sebenarnya membawa ke pertemuan baru yang lebih indah di hadapannya. Insya-allah.

Saya mendapat hadiah berupa buku-buku dari para guru. Benar-benar cocok katanya buku dengan saya. Doa mereka, supaya saya menjadi muslimah solehah dunia dan akhirat. ameen.

Sebahagian hadiah yang saya terima daripada pelajar-pelajar. Terharu bila mana kutipan duit diadakan untuk beri cenderahati pada saya biarpun tidak diminta.

Hadiah ini saya terima dari kelas 4SC2 untuk subjek fizik. Terkejut menerima hadiah berupa ‘kumbang kuning’. Syukur, kumbang ini bukan yang hidup dan lembut untuk dipegang.  Saya diminta oleh pelajar untuk memberi nama kepada kumbang ini.  Akhirnya, sekelas bersetuju dengan nama ‘MR Light’ memandangkan bab terakhir dalam fizik yang sempat saya ajar mereka iaitu bab cahaya. Aduhai, kalau bukan kerana pelajar-pelajar, saya punya teman baru yang cukup comel sebagai peneman.

Apa yang menjadi kepastian, saya pasti merindui mereka semua warga maahad!

Selamat datang Ramadhan!

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Sekali lagi diberi peluang berada di bulan ramadhan, tiada lain yang dapat diucapkan melainkan rasa syukur kepadaNYA. Bukan semua diberi peluang untuk ketemu penghulu segala bulan yakni bulan ramadhan yang penuh barakah.

Teringat pula waktu dizaman belajar, kali pertama menjadi panel untuk ceramah ramadhan apatah lagi bercorak keagamaan sememangnya cukup-cukup mendebarkan saya. Tambah risau  lagi tiada status ustazah dihadapan nama. Alhamdullilah, syukur, semuanya berjalan lancar, rakamannya masih dalam simpanan. Tajuknya kemas, sentiasa saya ingat, ‘Ramadhan yang sama, natijahnya berbeza’. Itu dahulu.

Sekarang bulan ramadhan hadir lagi.

Penting untuk kita tanamkan azam, agar segala ‘promosi-promosi’ hebat sepanjang bulan ramadhan ini direbut dengan sepenuhnya. Sedikit sebanyak saya rasakan kelainannnya pada tahun ini, berbanding tahun sebelumnya, ini kali pertama setelah hampir 7 tahun saya tidak pernah menyambut ramadhan pertama dirumah, namun kali ini bukan sahaja dirumah malah yang paling penting bersama keluarga tercinta. Selalunya saya hanya akan berpuasa 5-4 hari terakhir sahaja di rumah.

Bila sudah menjengah ke alam pekerjaan, sememangnya peluang bekerja seharusnya kita maksimumkan sebagai peluang untuk dijadikan pahala-pahala yang berganda di bulan ramadhan.

Sebut sahaja tugas guru, seawalnya kita sudah mula mulakan rutin seharian. Jika sebelum ini lambat datang ke sekolah disebabkan perlu bersarapan dan sebagainya, inilah peluangnya untuk datang awal. Datang awal bukan hanya untuk membuka laman-laman social seperti facebook, blog dan sebagainya, ruang masa inilah mampu untuk kita manfaatkan untuk mengaji, membaca dahulu buku-buku terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam kelas.

Tambahan lagi, jika sebelumnya mungkin lebih senang untuk kita ‘naik marah’ dengan pelajar, namun didiklah diri untuk sedikit bersabar pabila melihat pelajar-pelajar yang sudah ‘monyok’ mukanya dan kadang-kadang tidur dalam kelas lantaran letih berpuasa. Aduhai, banyak sungguh pahala kesabaran itu! Yang paling penting, saya sendiri merasakan bulan ramadhan inilah peluang terbaik untuk kita sama-sama tingkatkan prestasi kerja. Jika kaedah ‘syarahan’ sentiasa digunakan dalam kelas, guru perlu kreatif bagi mewujudkan suasana ‘meriah’ agar pelajar-pelajar yang tidur tadi tidak terus tidur dan mendapat sedikit ilmu daripada kita.  Kadang-kadang penat dahaga dek kerana bersungguh-sungguh menerangkan sesuatu kepada pelajar terubat biarpun masih ada sisa penat menggunakan suara sepanjang hari. Saya yakin, guru-guru berpeluang menikmati saat-saat ‘dahaga’ ini hanya pada bulan ramadhan sahaja.

Jujurnya,  lebih banyak ruang yang boleh diperbaiki sepanjang kita di bulan ramadhan ini.

Cuba lihat sahaja kisah-kisah orang hebat berpuasa. Kisah imam syafie yang khatam al-quran di bulan ramdhan, 30 kali diwaktu siang, 30 kali diwaktu malam menjadikan jumlah keseluruhannya 60 kali dibulan ramadhan sememangnya cukup-cukup memberi inspirasi. Benar, mungkin kita tidak sehebat beliau, setidak-tidaknya sudah kita pasakkan dalam diri pada ramadhan kali ini, at least 1 kali kita perlu khatam. Bagaimana caranya? Kita usahakan jika benar-benar kita inginkan.

Lihat pula kisah Rasullah yang hanya bersahur dan berbuka dengan buah tamar dan air sahaja. Suhu di mekah bukan calang-calang panasnya, kepanasan melampau sehingga mampu mencecah suhu 60 celcius ketika itu. Subhanallah! Cukup hebat. Malamnya, Rasullah sibuk menunaikan solat terawih sehingga diceritakan sahabat-sahabat yang berada dibelakang Rasullah terpaksa keluar dari imam dek kerana kusyuknya Rasullah membaca surah al-baqarah, disambung lagi sehingga surah al-maidah pada rakaat pertama dalam solat tarawih baginda. Dan kita pula bagaimana? Jika sudah cukup 3 jenis air sekurang-kurangnya diwaktu berbuka, dan sepinggan nasi diwaktu sahur, seharusnya ibadah kita harus lebih berganda, tidakkah kalian rasa begitu?

Piala taqwa?

Saya inginkan, dan saya pasti kalian juga inginkan ganjaran piala taqwa. Inilah masanya. Madrasah ramadhan telah pun bermula. Moga-moga mewarisi jannah. Selamat menyambut ramadhan al-mubarak untuk semua pembaca guruohguru. Semoga ramadhan kali ini memberi sinar kebahagiaan baru dalam hidup kita. Ameen.

p/s : pengalaman baru lagi, saya sebagai guru di bulan ramadhan, apatah lagi melihat pelajar-pelajar saya bertungkus-lumus ‘mengangkat senjata’ di medan peperiksaan trial PMRU, PMR, SMU, SPM, dan STAM, cikgu doakan semoga berjaya!

Remaja: Sentuh hati-hati mereka

‘Kak hanis, cuba tengok tu, pelajar-pelajar sekolah tengah gaduh’

Fokus saya sedikit terganggu dengan saranan adinda saya tatkala kami dalam perjalanan pulang dari sekolah. Apatah lagi dengan keadaan ‘jam’ teruk diwaktu-waktu puncak, saya perlu lebih cermat dalam pemanduan.

‘Allahurrabbi, kalau dekat dengan kita, kak hanis dah nak berhenti turun’

Sekumpulan pelajar perempuan sekolah, yang saya kira usianya dalam lingkungan 14-16 tahun sedang bergaduh, menarik-narik tudung sekolah dan memukul antara satu sama lain. Dan yang paling sedih, mereka lengkap berbaju kurung dan semuanya pelajar perempuan muslim.

Kadang-kadang sesuatu perkara yang mustahil pada ketika dahulu menjadi  tidak mustahil lagi dimasa kini.

Kalau dahulu kita hanya melihat pelajar-pelajar lelaki yang selalunya terlibat dalam pergaduhan, namun kini ‘trend’nya sudah mula menular kepada pelajar-pelajar perempuan.

Kalau dahulunya pelajar-pelajar perempuan lebih malu sifatnya, namun kini sikapnya lebih terbuka malah tanpa segan silu terlibat dalam pemasalahan social di sekolah.

Keruntuhan akhlak dikalangan pelajar muslim sememangnya merisaukan saya. Tugas mendidik generasi-generasi kini kian mencabar.

Andainya pihak sekolah membuat pendedahan terbuka, saya pasti lebih banyak kes-kes yang bakal menggegarkan masyarakat dunia.

Pendedahan media massa berhubung isu keruntuhan akhlak dan masalah disiplin di kalangan pelajar semakin membimbangkan sewajarnya diberikan perhatian serius oleh semua pihak. kita  perlu sedar wabak ini kian parah. Lihat sahaja renteten peristiwa demi peristiwa yang berlaku di kalangan para pelajar kini amat mendukacitakan, sekali gus merupakan satu isyarat yang jelas kepada kita bahawa indeks keruntuhan akhlak di kalangan pelajar negara kita ini berada di paras merbahaya .

Gagasan dan tugas untuk membangun, memupuk dan meningkatkan mutu akhlak umat khasnya di kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar.

Saya cuba membayangkan apakah yang akan terjadi, apabila melihat ‘ibu-ibu muslim’ yakni pelajar-pelajar perempuan sekarang inilah yang bakal melahirkan generasi akan datang. Jika akhlaknya tidak dijaga, anda sendiri boleh menilai bahawasanya kita sebenarnya sedang mencetak generasi-generasi yang lebih parah akhlaknya.

Secara peribadi, tidak dapat tidak, perlu untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari sudut jasad dan rohaninya. Berapa ramai remaja islam kita kini mengabaikan kepentingan solat dalam sibuk mengejar kecemerlangan akademik. Ya, saya tidak menyatakan semua, namun rata-rata apabila ditanya, pelajar muslim yang kebanyakannya terlibat dalam pemasalahan ini selalunya ‘kosong jiwanya’.

Walaupun tanggungjawab mendidik yang paling utama terletak di bahu ibu bapa, namun masyarakat sekeliling juga adalah bertanggungjawab mendidik generasi muda Islam. Janganlah sesekali kita bersikap tidak ambil peduli tentang hal orang lain. Masyarakat Islam yang sebenarnya ialah sebuah masyarakat yang bersatu padu, saling bahu membahu, bantu membantu dan tolong menolong di dalam perkara kebaikan dan ketakwaan. Bukankah tugas mendidik itu juga termasuk dalam perkara kebajikan dan ketakwaan?

Generasi muda ini perlu diselamatkan, ditegur dan dipimpin untuk kembali kepada landasannya.  Saya yakin dan percaya, andai kalian dan saya berganding bahu maka kita masih belum terlambat untuk keluar dari krisis keruntuhan akhlak remaja yang meruncing.

Jika bukan kita yang mulakan, siapa lagi yang boleh diharapkan?

Tegurlah mereka selagi ada daya, moga-moga sedikit usaha kita mampu menjentik hati-hati mereka.

Bila saya mengajar semula

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Rindu sungguh saya untuk merespon beberapa isu yang banyak berlaku sekarang ini, lebih-lebih lagi melibatkan isu pendidikan. Perlu ditangguhkan lagi. Ditambah demam yang melarat-larat, sehingga terpaksa mengambil semula antibiotik yang disyorkan doktor. Yang pasti sekarang saya sudah mula mengajar semula.

Dan paling menarik, saya mengajar fizik dan matematik, sememangnya hanya minor saya di universiti. Jadi lebih banyak masa saya gunakan untuk menelaah semula pelajaran-pelajaran yang ditinggalkan.

‘Class, kamu tunggu apa?’

‘Tunggu teacher bagi salam”

Aduhai, saya lupa saya di maahad, terasa janggal pula memberi salam dan membaca doa. Usai kelas, saya hanya mampu tersenyum sendirian, bila dahulu saya tidak mengamalkannya saya rasa sedikit janggal.

Cukup-cukup banyak perbezaannya. Sistem, suasana, biah solehah.

Saya tangguhkan dulu, ada ruang masa dan keadaan mengizinkan akan  saya cuba kongsikan lain hari. Insya-allah.