Archive | August 2009

Kemerdekaan ke-52

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Sempat saya memenuhi jemputan untuk menjadi panel bagi diskusi kemerdekaan “Kemerdekaan dihayati, satu malaysia dihati” yang dianjurkan oleh mahasiswa/i semester 3. Hampir sahaja saya gagal memenuhi jemputan kerana punya tuntutan lain untuk dipenuhi. Tapi kesungguhan yang ditunjukkan oleh penganjur yang menghubungi saya sejak 1 ogos lagi dan adik-adik yang datang ke rumah biarpun saya seringkali tiada seharusnya menjadi semangat untuk saya teruskan bagi berkongsi bersama mahasiswa/i. ALHAMDULLILAH, segalanya berjalan lancar. Digandingkan dengan sahabat lama saya yang kini presiden kelab debat,saudari habibah dan juga sahabat baru saya saudara ataullah memberi satu lagi pengalaman sepanjang berada di bumi UPSI.

merdekahkah kita?

Berbicara mengenai gagasan perdana menteri konsep satu malaysia dan kemerdekaan secara keseluruhannya forum fokus kepada isu perpaduan. Secara peribadi, saya juga tidak mahu konsep satu malaysia yang digagaskan oleh perdana menteri menjadi salah satu lagi projek politik yang mana akan dibentangkan setiap kali pemerintahan berubah. Lihat sahaja gagasan islam hadhari yang dibawa oleh mantan PM pada 2004-2009 seolah-olah pada masa kini kian pudar ditelan waktu. Adakah konsep satu malaysia ini juga akan mengalami nasib yang sama kelak?

Walaubagaimanapun, suka saya mengucapkan selamat menyambut  kemerdekaan yang ke-52 buat semua rakyat malaysia. Moga-moga kemerdekaan yang disambut dalam bulan ramadhan ini sebenarnya memberi kita semangat yang berterusan untuk terus menjalani ibadah puasa dan merebut ganjarannya dan fadhilatnya.ameen, insyaALLAH.

Berita dari bahagian akademik x

Bismillahirrahmanirrahim

Salam ramadhan untuk semua,

1) Pengambilan slip pengesahan pendaftaran kursus

PERHATIAN KEPADA SEMUA PELAJAR IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN(ISMP)

  1. ANDA DIWAJIBKAN UNTUK MENGAMBIL SLIP PENGESAHAN PENDAFTARAN KURSUS BAGI SEMESTER 1 SESI 2009/2010 DI FAKULTI MASING-MASING MULAI 01 SEPTEMBER 2009.

  2. ANDA DIWAJIBKAN MENYEMAK PENGESAHAN PENDAFTARAN KURSUS TERSEBUT DAN SEBARANG PEMBETULAN PERLU DIMAKLUMKAN KE BAHAGIAN AKADEMIK / FAKULTI SEBELUM 11 SEPTEMBER 2009.
  3. KEGAGALAN ANDA BERBUAT DEMIKIAN AKAN MENYEBABKAN ANDA DIDENDA DENGAN KADAR RM5.00 SEHARI MULAI 14 SEPTEMBER 2009.
  4. SEKIRANYA TIADA SEBARANG PERUBAHAN DIBUAT OLEH PELAJAR SELEPAS TEMPOH YANG TELAH DITETAPKAN, PENDAFTARAN KURSUS TERSEBUT DIANGGAP BETUL DAN SAHIH UNTUK TUJUAN PEPERIKSAAN DAN PENGIJAZAHAN

2) Peluang untuk menyambung master

Bagi mahasiswa/i lepasan ijazah, pengambilan master yang seterusnya akan dibuat pada bulan 12 akan datang dan diminta yang berminat untuk menyambung pengajian boleh melihat syarat-syarat kelayakan dalam portal IPS.

Sumber : Bahagian akademik UPSI

‘Transform with knowledge’

Mahasiswa kebajikan

NUR AQILAH HANIS BT MOHD YUSOFF

Exco Akademik & Kerjaya

Majlis Perwakilan Pelajar UPSI 08/09

Mengisi Kemerdekaan di Bulan Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Salam ramadhan buat semua,

Jujur saya masih mencari momentum untuk meneruskan penulisan di dalam blog. Mungkin juga terkesan dengan projek akhir penulisan thesis dan juga beberapa midterm serta quizzes yang mengisi setiap minggu. Namun, di bulan ramadhan ini seharusnya semangat kita perlu lebih dari kebiasaannya.

Bulan kemerdekaan pada tahun ini di sambut di dalam bulan ramadhan. ALHAMDULLILAH. Sebenarnya saya berusaha mencari bahan untuk dijadikan perkongsian bersama dengan junior-junior untuk memenuhi tuntutan menjadi salah seorang panel sempena menyambut kemerdekaan. Tertanya-tanya pada diri sendiri apa ertinya kemerdekaan kepada diri sedangkan kita masih dihimpit dengan penjajahan minda yang tidak berkesudahan. Benar, perjuangan dan erti kemerdekaan pada hari ini tidak sama dengan kemerdekaan pada zaman pejuang-pejuang kemerdekaan suatu ketika dahulu.

Saya teringat sedutan video seketika menonton ‘The Future of Our Religion’ oleh Tariq Swaidan, menceritakan kala mana Islam sudah menguasai Sepanyol, dan bagaimana tentera kristian merampas semula Sepanyol dari tangan orang Islam, bertahun-tahun intipan dibuat. Bermula dengan bagaimana pengintip terjumpa dengan seorang remaja lelaki yang menangis teresak-esak. bertanyalah pengintip tadi, akan gerangan apakah ia menangis. maka dia berkata bahawasanya ibunya tidak membenarkan ia menyertai tentera Islam selagi mana ia tidak khatam al-Quran. pengintip tadi pulang dengan membawa berita bahawa mereka masih belum bersedia untuk menyerang orang Islam. beberapa tahun kemudian, pengintip dihantar lagi. kali ini mereka terjumpa dengan seorang remaja lelaki lagi, sedang menangis. ditanya kepadanya, mengapakah kamu menangis? dijawabnya, bahawa ia putus cinta. ketika itulah saat di mana tentera kristian merebut peluang untuk menyerang orang Islam, sehingga Sepanyol jatuh ke tangan kristian.

Apalah adanya kemerdekaan tanpa diertikan sebenar-benarnya apa itu merdeka? Seakan-akan ia adalah laungan yang dimain-mainkan penjajah, memperbudakkan kita. tatkala kita dengan penuh yakin melaungkan kalimah merdeka, para penjajah balik dengan senyuman puas terlukis di wajah mereka. bahawa mereka tidak pulang dengan tangan kosong, bahkan mereka telah meninggalkan pasak-pasak peninggalan mereka, benih-benih pemahaman dan penjajahan mereka yang akan tumbuh meliar dan melilit setiap jiwa anak ‘merdeka’ kononnya.

budak_merdeka

Cukup sekadaran dengannya, kita tutup sirah pilu merdeka, mari singkap bagaimana dalam bulan ramadhan membawa erti kepada kita dengan tawaran kemerdekaannya.

Sebagaimana maklumnya kita, kita sedar dan waras bahawa bulan ramadhan adalah satu tempoh masa yang menjadi tarbiyyah buat diri kita. ya, ia satu latihan, dan didikan. ia mendidik bagaimana untuk memerdekakan diri. bagi mereka yang sepanjang masa diulit nafsu, serakah mahupun syahwat, dan seumpamanya, tentu sahaja ramadhan yang mendatang dilihat sebagai sesuatu yang menyeksakan, kerana mereka sudah asyik dan tenggelam serta hanyut dengan nafsu dan dunia.

Ramadhan datang dengan membawa kepada kita didikan apa itu erti kemerdekaan. Ia bukan sekadar satu didikan supaya kita merasa bagaimana jerihnya menjadi seorang yang miskin harta dan tidak mampu walaupun untuk sesuap nasi. lebih dari itu, ia mendidik kita bagaimana untuk merdeka daripada cengkaman nafsu. puasa datang dengan membawa kemerdekaan pada jiwa manusia daripada perhambaan nafsu. daripada kita merasakan keinginan-keinginan yang membentuk kehendak kepada sesuatu, ramadhan datang dengan seruan pembebasan daripada cengkaman nafsu. sesungguhnya nafsu adalah sekutu kuat syaitan, tatkala mana ramadhan tiba dan syaitan dan ketuanya iblis dibelenggu, maka nafsulah yang akan bermain peran untuk menjerumuskan kita ke kancah maksiat, daripada mengurangkan pahala berpuasa membawa kepada pembatalannya

Ramadhan datang membawa kerehatan kepada perut yang penat bekerja sebelas bulan dengan diisi makanan, diproses, dikeluarkan, berulang-ulang kali. namun dalam bulan ini, perut diberikan rehat berjam-jam, daripada memproses makanan-makanan yang masuk. tak kurang yang menjadikan ramadhan bulan ‘diet’, harapnya semoga berjaya. cumanya, samada kamu mengakhirkan ramadhan dengan redha Allah dan ganjaran-Nya, atau kamu mengakhiri ramadhan dengan penat dan lapar, serta perut yang ramping, sedang terlepas ganjaran-ganjarannya.

Begitulah juga pada bentuk nafsu yang lain. ia mendidik nafsu kita untuk berbelanja kepada berjimat, mendidik syahwat kita agar fokus kepada ibadat. apalagi yang membazir masa membuat sesuatu yang sia-sia, sedang nabi berkata, salah satu keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah padanya. kalau ada yang tetap kalah, maka dia sesungguhnya akan kalah dalam bulan tarbiyyah ini. dengan memerdekakan diri daripada nafsu ini, barulah kita mengerti dan memahami erti kemerdekaan.

Ramadhan juga datang dengan membebaskan kita daripada belenggu duniawi dengan tawaran ganjaran ibadahnya. bayangkan perkara yang sia-sia itu hanya akan mengurangkan pahala berpuasa, sehingga bisa membawa kepada pembatalannya. puasa mendidik kita agar menjadi seorang yang qana’ah (bersyukur dengan apa yang ada), tidak kikir (kedekut) dengan hartanya, bersifat sabar, lebih-lebih lagi adalah disiplin. disiplin mendidik kita memahami kehendak berpuasa yang benar, mencontohi amalan-amalan sunnah nabi, melaksanakan suruhan Allah melalui kalam wahyu dan hadith, meninggalkan pula apa yang dilarang dan dibenci, juga syubhah (meragukan).

Kita boleh jadi sangat pemurah dalam membeli pakaian dan persiapan untuk ramadhan atau berpuasa, tapi amat kikir apabila sampai kepada bab menderma sedikit daripada harta yang ada. kita mampu untuk bersabar dan mengumpul duit untuk membeli sesuatu yang kita suka, tapi kita tidak mampu bersabar untuk mengumpul pahala sebagai satu perdagangan yang baik dengan Allah. alangkah malangnya kita dan sia-sia pula amalan yang kita buat. seakannya tiada guna kita berlapar dan berdahaga sekiranya hal yang kita ‘anggap’ remeh ini tidak mampu untuk dilakukan.

Bayangkan ganjaran kepada amalan-amalan yang dilakukan sepanjang ramadhan, siapa yang bisa memberi satu tawaran yang lebih hebat daripada Allah? sedang tawaran Dia kekal dan berpanjangan, bukan semata di dunia, malah ke akhirat sana. ramadhan datang dengan mendidik kita erti merdeka daripada perhambaan manusia, dan hanya menjadi hamba kepada Allah semata. maka ia menjadi satu bulan di mana kita bisa bertaqarrub lebih dengan Allah. kerana itu Allah perkayakan tawarannya di bulan ini dengan solat sunat Tarawih, tilawah al-Quran, Qiyamullail, dan juga lailatul qadr. dengan syaitan dibelenggu dan diikat, maka tiada apa yang menghalang kita daripada hendak beribadah kepada Allah. kalau masih lalai dan leka, serta tidak mahu kepada kebaikan, maka kita mungkin sudah berajakan nafsu.

Ramadhan datang membawa erti kemerdekaan, ertilah kemerdekaan ini pada hakikatnya bukan pada takrifnya semata. ayuh, perkasakan tubuh, perkayakan ibadah, mengejar redha Allah, mencapai mardhatillah….

p/s: teringat perbincangan saya dengan sahabat lama di mrsm dahulu apabila ditanya mengenai kemerdekaan, Kemerdekaan yang sebenar ialah apabila berjaya melepasi Titian Siratul Mustaqim pada masa berada di Padang Masyar nanti. Selepas berjaya melepasi titian Siratul Mustaqim, maka berketawalah kita, berlompatlah kita malah bergembira atau menjeritlah semahu-mahunya kita. Ucaplah perkataan merdeka! merdeka! merdeka!Itulah erti kemerdekaaan yang sebenarnya. Kalau masih ada lagi bendera mana-mana negara, maka pacaklah di Padang Masyar nanti.

Ramadhan kini tiba

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Ramadhan is upon us. Allahurrabi, cepatnya putaran masa, saya lupa ramadhan tiba. Bulan penuh berkah.

ramadhan-uy

Ramadhan kali ini sudah pasti berbeza kerana kali terakhir saya menyambutnya di bumi UPSI tercinta dan siapa tahu ramadhan ini juga mungkin yang terakhir buat selamanya. Suka saya mengingati diri saya bahawasanya, manfaatkan kedatangan bulan penuh berkah ini dengan sebaiknya.

Let us prepare for this holy month and pray we are able to benefit from its blessings once again.It is time to turn aside from worldly distractions to prevent the blessed month from merely passing us by. It is time to prepare our minds, bodies and souls in order to reap maximum benefit, InsyaALLAH.

Ramadan is also a time when many Muslims think about the plight of those who are less fortunate. As we spend our days fasting our attentions turn towards those who regularly go without food.

Suka saya mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf di bulan ramadhan yang mulia ini kepada sahabat-sahabat dan para pembaca blog budiman di atas bait-bait bicara dan kesalahan yang dilakukan samaada secara sengaja ataupun tidak. Semoga amal ibadat kita diterimaNYA. ameen.

rambu-ramadhan

Bicara wanita minggu ini

bicara wanita copy
TAJUK:
WACANA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM
(siri 1)
“PERTUNANGAN MENGIKUT HUKUM FIQH DAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM”

PENCERAMAH:
DR. ZANARIAH BT. NOOR
(PENSYARAH UPSI)

TARIKH :
21 OGOS 2009 (JUMAAT)

MASA :
12.00 p.m – 2.00 p.m

TEMPAT :
AUDITORIUM UTAMA, UPSI

SASARAN :
KAKITANGAN WANITA UPSI & MAHASISWI UPSI

ANJURAN :

PUSAT ISLAM UPSI

dengan kerjasama

EXCO LATIHAN & PEMBANGUNAN SAHSIAH MPP 08/09


“KERANA KITA ADALAH WANITA”

Mahasiswi Pemangkin Perubahan Ummah

Saat dia pergi

Bismillahirrahmanirrahim

Saat mata menatap mesej yang diterima daripada sahabat-sahabat, kelu saya seketika.

“Ustaz Asri Rabbani meninggal dunia”

854cc15d253b904c

Saya menghantar semula kepada sahabat-sahabat lain menanyakan perihal kesahihan berita yang diterima. Ternyata ianya benar. Allahurrabi.

Germesik suara alunan arwah masih segar dalam ingatan saya. Saya membesar dengan muzik dan lagu arwah. Sedari di bangku sekolah menengah, lagu arwah menjadi dendangan kumpulan nasyid sekolah yang pada ketika itu dalam kumpulan Qatrunnada. Memori berada dihadapan pentas ketika konsert arwah di dewan utama USM, merupakan kenangan yang masih tidak luput biarpun pada ketika itu masih di sekolah menengah. Benar, lagu-lagunya yang mendidik jiwa dan sering mampu membuat pendengarnya terpegun dan menangis biarpun pertama kali mendengarnya.

mainpix

Peluang berinteraksi dengan arwah sewaktu memegang wasilah jawatankuasa mahasiswa kolej sekaligus menganjurkan konsert rabbani pada hari terbuka kolej memberi penilaian yang sememangnya arwah seorang yang ceria dan mudah mesra biarpun telah popular. Itu di universiti.

Namun pada hari ini, pemergiaannya tak kan kembali.

Bulan syaaban hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. Berita kematian di penghujung Syaaban menginsafkan, biarpun setiap kali Ramadahan datang dan pergi belum pasti kita kembali bertemu dengannya. Betapa bait-bait lagu Pergi Tak Kembali menjadi kenyataan buat arwah. Sudah selesai urusannya di dunia dan kembali bertemu Rabbnya.

“Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya”
AL-MUNAFIQUN:11

Semoga Almarhum ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. ameen. Al-Fatihah.

Selamat Bergraduasi

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan selamat bergraduasi kepada semua graduan UPSI. Semoga segala penat jerih kalian dalam mencari ilmu di UPSI dapat digunakan sepenuhnya apabila berada di alam pekerjaan. Saya yakin alam pekerjaan menjanjikan cabaran yang lebih mencabar selaku pendidik anak bangsa. Ramai diantara kita yang boleh mengajar tapi sebilangan sahaja yang mampu untuk mendidik untuk memanusiakan manusia. Moga kalian terus sukses dalam profesion perguruan. Ameen.

3151124439_47cf74202e

‘Transform with knowledge’

Mahasiswa Kebajikan

NUR AQILAH HANIS BT MOHD YUSOFF

Exco Akademik & Kerjaya

Majlis Perwakilan Pelajar 08/09

p/s : Gembira saya melihat senior-senior yang bergraduat, apabila seorang mereka bergraduat mereka punya peluang untuk lahirkan ramai lagi bakal graduan hasil dari didikan mereka kelak. ameen. thanks bonda, saranan yang baik untuk saya memilih menjadi bakal cikgu biarpun masih lagi terkesan setiap kali melihat surat tawaran menolak peluang yang datang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dahulunya. :).

Kenyataan semasa berhubung konsert di UPSI

Kenyataan Semasa:

Konsert Jaclyn Victor Mencemarkan Institusi Pendidikan Terulung Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Pro Kebajikan kecewa dengan penganjuran konsert Jacklyn Victor di UPSI. Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Pro Kebajikan memandang serius diatas penganjuran berkenaan dan membantah kehadiran artis ini sempena pesta konvokesyen pada kali ini yang seharusnya bersifat intelektual bukannya hedonism apatah lagi ketika ini kita berada di Bulan Syaaban dan akan menjalani ibadah Ramadhan tidak lama lagi. Persoalannya lagi, mengapa perlu dibazirkan wang untuk tujuan hiburan berbanding dengan perkara-perkara bersifat akademik dan kebajikan mahasiswa dan mahasiswi.

Kami begitu kecewa terhadap pihak pihak penganjur yang menjadi sebahagian dari warga pendidik seharusnya memainkan peranan untuk menapis permohonan persembahan artis dari dalam ataupun luar negara. Tapisan ketat perlulah dibuat bagi artis-artis yang mengadakan pertunjukan yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat di UPSI dan penduduk sekitarnya memandangkan UPSI adalah institusi yang melahirkan bakal pendidik. Gejala hendonisme, iaitu hiburan yang melampau-lampau semakin hari semakin menghakis daya intelektual dan budaya masyarakat Malaysia. Penganjuran konsert terbabit boleh menggalakkan budaya yang tidak sihat ini.

Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Pro Kebajikan persembahan artis berkenaan akan melanggar garispanduan yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berdasarkan kepada latarbelakang dan sejarah penyanyi tersebut.

Mengikut kod 15.2 SKMM menyatakan pemakaian artis wanita yang ingin membuat persembahan di Malaysia di Malaysia adalah seperti berikut

: – Pakaian hendaklah lengkap, kemas, sopan dan tidak terlalu ketat;

– Pakaian hendaklah tidak mendedahkan sebahagian besar dada dan perut;

– Skirt hendaklah di bawah paras lutut; dan – Kain berbelah sama ada di hadapan, di tepi atau di belakang, hendaklah tidak melebihi dua inci di atas paras lutut.

Garis panduan artis:

Selain itu, kod 15.3 pula menyatakan bahawa artis lelaki dan wanita perlu mematuhi garis panduan seperti di bawah:

– Muka hendaklah tidak diconteng;

– Pakaian hendaklah tidak koyak atau bertampal-tampal;

– Pakaian hendaklah tidak terlalu jarang atau yang memberi kesan jarang;

– Pakaian hendaklah tidak memaparkan simbol, perkataan sumbang atau gambar lucah;

– Jenis-jenis pakaian hendaklah tidak membayangkan pemakainya tidak berpakaian;

– Baju hendaklah berlengan kecuali semasa berpakaian tradisional;

– Tatu hendaklah tidak dipamerkan pada mana-mana bahagian tubuh badan kecuali sememangnya menjadi unsur budaya seseorang artis itu;

dan – Perwatakan hendaklah tidak berlawanan dengan jantina sebenar kecuali dengan kebenaran.

Berdasarkan kod etika di atas, sememangnya artis yang bakal dijemput sudah melanggar kod etika tersebut. Bukan setakat kod tersebut, bahkan dari segi adab dan budaya pun sudah bertentangan. Satu perkara lagi, bulan Ramadhan akan menjelma dalam minggu hadapan dan sekarang ini juga kita sedang berada dalam bulan Syaaban di mana bulan buku amalan kita ditukarkan. Di manakah sensitiviti pihak penganjur dalam menghormati bulan yang mulia ini.

Perlu ditegaskan sekali lagi di sini bahawa kami tidak menolak hiburan, bahkan merasakan hiburan ini adalah satu ‘alternatif’ manusia masa kini. Namun yang dipertikaikan disini ialah bentuk hiburan yang melampau dan merosakkan minda dan jiwa rakyat, hiburan yang melalaikan dan membawa anasir-anasir negatif seperti pergaulan bebas, khayalan cinta dan lupa diri kepada bakal pendidik UPSI khususnya dan masyarakat sekeliling amnya. Realiti hari ini, hiburan telah lari dari tujuan untuk merehatkan minda dan santai kepada tujuan perniagaan dan keuntungan. Tapi jika inilah yang dihadapkan pada anak bangsa yang merdeka ini kami sesekali tidak akan bersetuju dan akan menentangnya.

Kami juga mencadangkan agar program pembangunan terhadap mahasiswa/i mestilah diperbanyakkan dengan berlandaskan kepada Islam dan dasar negara bukannya hiburan yang akhirnya akan menghancurkan masa depan remaja dan negara.

Firman Allah,

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

Sekian desakan dan tuntutan kami

Yang menjalankan amanah

Mohd Zulhilmi bin Mohd Noor

Exco Kebajikan & Kemasyarakatan

Adriyani binti Yamin

Exco Kebajikan & Kemasyarakatan

Nur Aqilah hanis Bt Mohd Yusoff

Exco Akademik & Kerjaya

Arif bin Mohamad

Exco Akademik & Kerjaya

Akmal bin Madzir

Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah

Norhafizawati bt Mahmad Razali

Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah

Mohd Hanif Azwan bin Abd Rahman

Exco kesenian & Kebudayaan

Norhisham bin Che Hamid

Exco Kesenian & Kebudayaan

Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Pro Kebajikan