Archive | September 2011

Bumi UPSI yang saya tinggalkan..

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah

Benarlah, bila kita mula menjadi pelajar semula, semakin banyak masa untuk kita peruntukkan untuk online. Dalam erti kata nama lain, saya sudah mula terasa ingin aktif menulis semula.

Masa yang ada perlu saya gunakan untuk mencari maklumat-maklumat disamping semakin cakna dengan isu yang berlaku di sekitar.  Apatah lagi dengan bebanan assignment yang semakin menuntut untuk di’selenggarakan’ kadar yang segera menyebabkan saya lebih ‘rajin’ untuk online.

Blog guruohguru ini sejarahnya bermula sejak saya dari semester 3 di upsi.

Kini, saya cikgu dalam masa yang sama saya juga pelajar.

Saya sudah merindui saat-saat kesibukan dengan sahabat-sahabat kampus saya yang dahulu. Masa yang ada semakin dirasa cukup pantas berlari sehingga kadangkala kita lupa banyak sekali perkara-perkara yang dituntut untuk dilunaskan dengan segera. Semua sahabat-sahabat saya sudah bertebaran di tempat masing-masing dalam melaksanakan taklifan sebagai hambaNYA, saya doakan kalian semua sentiasa dalam jagaanNYA. Ameen.

Syukur, saya masih berpeluang untuk menziarahi bumi UPSI, siapalah saya untuk lupa bahawasanya saya pernah menjadi ‘Anak Kandung Suluh Budiman’.

Dari jauh sudah mula kelihatan bangunan ‘pencakar langit’ kolej harun aminurrashid ataupun KHAR yang menjadi tempat saya berteduh sedari semester satu hingga tujuh. Masya-allah, setiap jalan-jalan yang dilalui sememangnya membawa nostalgia sendiri, aduhai saya kini sudah menjadi alumni UPSI.

Bertemu mata dengan adik-adik kampus, mendengar, berbincang dan bertukar-tukar pengalaman sememangnya menjadikan ziarah saya terasa singkat waktunya. Oh, saya sudah tua!. 🙂

Terima kasih sahabat saya mawar mas yang tidak jemu menjadi ‘catalyst’ saya untuk laksanakan misi ziarah ini.

Pabila mendengar dan berbincang mengenai suasana kampus di UPSI sememangnya sedikit sebanyak menarik perhatian saya. Isu kebajikan pelajar, PTPTN, KPM , RPA,akademik saya kira sedari dahulu sememangnya masalah ini cukup popular di kalangan mahasiswa UPSI. Saya sedikit ketinggalan mengikuti perkembangan UPSI dek kerana tiada ‘facebook’ . itu hanya retorik alasan saya.

Setiap dasar yang kita laksanakan, perlu dilihat dan dinilai keberkesanannya dalam tempoh lima tahun sebelum dimansuhkan yakni isu RPA perlu diperincikan semula oleh mahasiswa kampus UPSI. Saya masih ingat, turun naiknya rakan seperjuangan saya yang kini berada nun jauh di Sarawak (Cikgu Jajawatie dan Cikgu Akmal Madzir) dalam menjadi golongan ‘pioneer’ untuk program ini. Me’nangguhkan’nya cukup mudah, berbanding memulakannya  seterusnya program seumpama ini terus lenyap di bumi UPSI.

Alhamdulillah, sempat saya menziarahi Naib Cancelor UPSI, Prof Zakaria yang baru sahaja dilantik biarpun beliau sibuk dengan urusan seharian. Saya kira beliau adalah figura penting yang banyak membantu dan menjadi rujukan saya dan rakan-rakan semasa memegang taklifan sebagai mpp akademik dahulu. Tahniah dari saya atas perlantikan Prof!

UPSI tetap dihati

Saya tinggalkan kampus UPSI dengan seribu satu kenangan, saya masih ada tanggungjawab untuk meneroka khazanah ilmu bumi tuhan yang cukup luas dan indah. Ziarah saya bukan bermakna berakhir di sini.

Pengajian master saya perlu disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan, peluang untuk terus belajar dan belajar, selagi masa masih ada perlu saya manfaatkan. Perjuangan saya belum berhenti. Moga-moga redha ALLAH terus mengiringi. Ameen.

Teman-teman doakan saya!

Catatan Rindu : Ziarah di sekitar Madinah Al-Munawwarah

Berkali-kali saya mendengar semula alunan ayat-ayat suci al-quran surah ar-rahman, bacaan sheikh mishari Rashid,menghayati bait-bait qalam Allah, terasa diri ini begitu kerdil. Banyak sekali nikmat yang diberikan pada hambaMU ini.

[17]
(Dia lah) Tuhan yang mentadbirkan dua timur, dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat.
[18]
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

Kerap kali catatan rindu saya tertangguh, dan kali ini moga allah beri kekuatan dan hidayah kepada saya untuk terus istiqamah dalam menceritakan semula catatan di madinah dan seterusnya di bumi makkah.

Saya mulakan dengan ziarah pertama saya di sekitar madinah.

Perkuburan baqi’

Sebaik sahaja usai solat asar di masjid nabawi, saya mengambil peluang untuk melihat kawasan di sekitar masjid. Dari jauh sudah kelihatan tembok panjang yang di dalamnya terdapat kawasan perkuburan yang lapang.

Bacaan dalam bahasa inggeris papan yang diletakkan di bahagian tembok saya amati maksudnya. Di kiri kanan saya sudah ramai para jemaah dari pelbagai Negara yang mengaminkan doa secara beramai-ramai.

Perkuburan baqi’ ini merupakan sebuah kawasan perkuburan bagi penduduk kota madinah semenjak zaman rasullah dan masih digunakan sehingga kini.

Saiditina aisyah r.a meriwayatkan bahawa :

‘rasullah s.a.w setiap kali malam giliran dengannya, baginda akan keluar pada lewat malam untuk menziarahi perkuburan baqi’ lalu memberi salam dan memohon keampunan buat mereka yang dikebumikan di situ’ (Riwayat Muslim)

Di sinilah jua maqam isteri-isteri rasullah dan jua para sahabat rasullah.

Subhanallah, bagaimana keadaannya andai kita merupakan salah seorang penghuni perkuburan baqi’ yang terus mendapat doa dari baginda? Air mata terus mengalir mengenangkan bagaimana keadaan diri sendiri  kelak.

Salam buat penghuni saya lantunkan, bacaan al-fatihah saya sedekahkan.

Ziarah di luar madinah

Masjid quba’

‘ahli jemaah as-solihin, jangan lupa ambil wudu’ siap-siap di hotel kerana kita bakal menunaikan umrah hari ini dan berkumpul di bas dalam masa 20 minit lagi’ ujar mutawif ustaz ahyar bagi mengingatkan kami.

‘aih, bagaimana ustaz, kita masih di madinah, sedangkan jadual kita untuk ke mekah esok’ salah seorang ahli jemaah mengajukan soalan.

Sabda Nabi: Sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya kemudian pergi ke masjid Quba’ lalu mendirikan sembahyang di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat Umrah. (Tirmizi: Sembahyang: 298. Ibnu Majah: Iqamat dan Sunatnya: 1401. Ahmad: Musnad Makkiyyin: 15414.)

Penjelasan selanjutnya yang diberikan mutawwif benar-benar jelas menerangkan kelebihan masjid quba’.  Soal jawab dijalankan sepanjang perjalanan ziarah.

Sampai sahaja di masjid, terus kami tunaikan solat. Moga-moga ziarah kami dikira sebagai satu umrah ameen.

Jabal uhud

Destinasi seterusnya adalah Jabal Uhud. Berlokasi sekitar 5 kilometer sebelah utara kota Madinah.

Uhud adalah gunung batu berwarna kemerahan. Melihatnya mengingatkan kita pada perjuangan dan darah para syuhada.

Di Uhud itulah pertarungan spiritual dan politik dalam erti yang sebenarnya. Ketika itu pasukan diberi pilihan antara kesetiaan pada agama dan kecintaan pada harta. Melihat lokasi dan gunung yang mengelilinya, kita akan terbayangkan bagaimana sulitnya medan perang ketika itu.

Bukit batu, panas terik, dan keberanian pada syuhada. Itulah gambaran sebenar pabila diri ini berada di uhud.

Sejarah perang Uhud diceritakan oleh mutawif kami. Mengimbau sirah di tempat kejadiaan benar-benar menimbulkan rasa insaf di dalam diri.

Nabi Muhammad SAW bersabda,”Mereka yang dimakamkan di Uhud tak memperoleh tempat lain kecuali ruhnya berada did alam burung hijau yang melintasi sungai Surgawi. Burung itu memakan makanan dari taman surga, dan tak pernah kehabisan makanan. Pada syuhada itu berkata siapa yang akan menceritakan kondisi kami kepada saudara kami bahwa kami sudah berada di surga.”

Maka Allah berkata,” Aku yang akan memberi kabar kepada mereka.” Maka dari situ kemudian turun ayat yang berbunyi,” Dan janganlah mengira bahwa orang yang terbunuh di jalan Allah itu meninggal (Qs 3:169)

Ziarah kami di uhud diakhiri dengan pimpinan doa oleh mutawif.

Bersambung…