Archive | September 2009

Gegaran Peringatan

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Gegaran kali ini benar-benar saya rasai sepenuhnya. Saya pegang kerusi yang seakan bergoyang. Sangkaan awal, mungkin juga disebabkan kesan ubat yang diambil, namun meleset sama sekali. Panggilan dan mesej yang bertalu dari sahabat-sahabat memenuhi ruang telefon.  Menjengah keluar tingkap dari aras enam, sememangnya sudah ramai yang berkumpul di bawah. ALLAHURRABI, ini bukan gegaran biasa.

gempa bumi di sumatera

Kali kedua berlaku sepanjang saya menjadi penguhuni setia kolej harun aminurrashid ini. Struktur bangunan 9 tingkat ini sememangnya paling mudah untuk merasai gegaran apatah lagi berada di aras atas. Seingat saya, kejadian kali pertama berlaku semasa 2006 semasa di semester satu. Kejadian umpama ini berlaku lagi di saat saya di semester akhir ini.

“Gempa bumi berskala 7.7 Richter berlaku di selatan Sumatera, Indonesia pada jam 6.16 petang menyebabkan gegaran dirasai di beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Pusat gempa bumi itu berlaku kira-kira 60km barat daya bandar Padang di Sumatera dan 452km barat daya Melaka.

Jabatan Meteorologi sedang memantau keadaan dengan rapi, lapor Bernama.

Di sekitar Lembah Klang, orang ramai kelihatan bergegas keluar daripada pejabat dan bangunan tinggi ekoran gegaran itu.

Agensi berita Reuters melaporkan gempa bumi itu berukuran 7.9 skala Richter dan amaran tsunami telah dikeluarkan oleh Pusat Tsunami Pasifik”  sumber Malaysiakini.

kolej harun aminurrashid

Kolej harun aminurrashid kediaman saya semenjak dari sem 1

“Dan pasti kami timpakan kepada mereka sebahagian siksa yang dekat (di dunia) sebelum azab yang lebih besar di akhirat; agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (As-sajadah: 21)

.

Peringatan dari ALLAH terus kepada hamba-hambaNYA yang sedar dengan setiap kejadian yang berlaku. Sememangnya banyak sekali perkara yang berlaku sejak akhir-akhir ini tanda ALLAH sayang pada hambaNYA. Moga-moga kita semua mengambil ibrah diatas kejadian berlaku.

Gegaran kecil yang berlaku, tanda-tanda kita di pengakhiran waktu, namun kita masih di tahap lama, seakan-akan tidak terkesan dengan tanda-tanda khiamat yang kembali bertamu.

Teringat kata-kata Abdullah bin Rawahah RA, terkesan sekali, pesanan yang terhasil dari cedukan kefahaman dan kesedaran iman yang tinggi sambil membimbing tangan Abu Darda’ RA sambil berkata,

“Marilah, beriman sesaat”

Guru tidak dibenar simpan janggut?

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Menarik berita dunia yang saya baca pagi ini. Implementasinya biarpun diluar negara namun tidak sipa tahu kemungkinan ianya juga bakal berlaku di malaysia.

Utusan 29/09/2009 2:52am
gambar hiasan

DUSHANBE 28 Sept. – Guru-guru yang berusia bawah 50 tahun di Tajikistan tidak lagi dibenarkan menyimpan janggut, namun dibenarkan untuk mengajar dengan memakai but hujan, menurut peraturan baru kerajaan yang dikeluarkan hari ini.

“Lelaki yang berusia lebih 50 tahun dibenarkan menyimpan janggut yang panjangnya tidak melebihi tiga sentimeter, manakala golongan muda pula mesti tampil kemas,” menurut salinan dekri kementerian pelajaran yang dilaporkan secara meluas oleh akhbar tempatan.

“Manakala untuk kasut, apa-apa sahaja kasut yang bertutup penuh adalah dibenarkan, termasuk kasut pelapis,” tambahnya.

Tajiskistan, sebuah negara miskin di Asia Tengah yang bersempadan dengan Afghanistan berkata, peraturan tersebut merupakan sebahagian daripada pembaharuan pendidikan yang bertembung dengan mentaliti dan cara hidup rakyat tempatan.

Mereka yang berjanggut panjang sering dicurigai oleh pihak kerajaan dan pernah mencetuskan perang saudara terhadap orang Islam pada tahun 1990-an, menyebabkan berpuluh-puluh ribu kematian selain menghancurkan ekonomi negara itu.

Kasut pelapis dan sepasang but kalis air yang diperbuat daripada getah sangat popular di kalangan petani di luar bandar dan dilihat sebagai keperluan yang mampu melindungi dari hujan yang sering melanda negara bergunung-ganang tersebut. – AFP

ps : isu besar sebenarnya tajuk ini

PERUTUSAN HARI RAYA EIDUL FITRI 2009/14230H

PERUTUSAN HARI RAYA EIDUL FITRI 2009/14230H

MPP PRO KEBAJIKAN

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

Assalamualaikum wbrkth dan Salam Kebajikan,

Segala puji dan syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam di atas segala nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada kita selaku para hambaNya yang diberi kemudahan untuk berada dibumi Universiti Pendidikan ini. Tasbih, tahmid dan istighfar kita ucapkan bagi menyucikan segala dosa,noda dan kekurangan diri kita yang tidak pernah lekang dari kecuaian serta kemaksiatan kepada-Nya.

Selawat dan salam kita lafazkan khusus untuk junjungan besar Rasulullah sallallhu alaihi wasallam, Nabiyyul Rahmah, petunjuk kepada mereka yang rindukan hidayah, inginkan salamah,juga berkat di dunia dan akhirat.

Sahabat-sahabat dan seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dikasihi,

Selamat menyambut Aidulfitri dari kami barisan MPP Pro-Kebajikan UPSI. Hari kemenangan bagi ahli-ahli ibadah yang telah berjaya kembali kepada fitrah setelah tiga puluh hari melatih nafsu buas untuk menjadi muthmainnah (tenang/tunduk) dan juga menjadi orang-orang yang bertakwa.

Dalam detik masa yang penuh berharga dan barakah ini marilah kita sama-sama merenung sejenak hari-hari yang telah berlalu dalam bulan yang penuh mulia yang telah kita lalui bersama-sama di Universiti Pendidikan tercinta ini.

Bersama kita bersyukur sekiranya kita berjaya mendidik jiwa kita ke arah yang lebih baik dari sebelumnya. Sudah pastinya, latihan tadarrus al-Quran, tarawih berjamaah, majlis ilmu dan qiam ditengah malam menjadi kenangan manis bulan ramadhan dibumi UPSI yang tercinta ini, yang tidak akan dapat dilupakan oleh kita semua dan sayugia jangan dilupakan pada hari-hari yang mendatang.

Bersama kita ishtighfar, jikalau ruang masa di bulan Ramadhan ini hanya diulit tidur panjang yang lena, kata-kata yang tidak bermakna atau sekadar mengisi perut yang lapar di waktu berbuka. Apatah lagi membuat dosa. Kami memohon ampun dari-Mu ya Allah.

Rakan-rakan mahasiswa dan seluruh warga UPSI sekalian,

Perjuangan menuntut ilmu di bumi Universiti Pendidikan Sultan Idris ini penuh dengan duka lara. Sentiasa teringatkan suasana permai desa dan senyum tawa ibunda dan ayahanda. Manis riang juga timbul sekali sekala ketika bersama-sama sahabat tercinta yang menjadi anggota keluarga di mana-mana jua. Sudah menjadi lumrah dunia mahasiswa. Al-Imam al-Syafei berkata ilmu tidak akan dapat dicapai melainkan dalam keadaan susah dan derita. Maka marilah kita sama-sama menggunakan peluang keberadaan di kampung halaman untuk memohon maaf kepada kedua ibu-bapa, kaum kerabat, sahabat-sahabat dan seluruh umat Islam amnya.

Bagi yang tidak pulang, bersabarlah. Di hari raya ini usahlah banyak kita melayan perasaan sedih teringatkan ayah bonda dan sanak saudara dikampung atau yang telah pergi. Banyakkan bertakbir dan hayatilah roh hari raya yang diajarkan oleh agama kita. Hari raya ialah hari kemenangan bagi seluruh umat Islam. Keperitan dan mehnah yang dilalui di Universiti Pendidikan ini kadang-kadang diperlukan oleh kita untuk menjadi matang juga mengenal kehidupan. Islam dalam sejarahnya yang agung juga tidak terlepas dari dikunjung ujian dan dugaan.

Jagalah Keselamatan Diri dan Berhati-hati Bagi yang Memandu

Menyedari dan menginsafi tanggungjawab kami selaku kepimpinan pelajar UPSI, kami dengan rendah hati memohon sahabat-sahabat mahasiswa berhati-hati dan senantiasa menjaga keselamatan diri tatkala pulang dan datang dari kampung. Bagi yang menaiki bas terutamanya yang terpaksa menaikinya di KL, berwaspadalah dan bawalah teman seiring semasa perjalanan ke Kuala Lumpur. Senantiasa prihatin terhadap barang-barang penting seperti komputer riba, dompet dan sebagainya agar tidak tercicir.

Bagi yang memandu kenderaan sama ada kereta atau motorsikal, berhati-hatilah ketika memandu dan pastikan kenderaan sahabat selamat dan berada dalam keadaan baik sebelum meneruskan perjalanan pulang. Jangan memandu dengan tergesa-gesa, bersabarlah di jalan raya. Moga-moga kita dilindungi Allah dari musibah.

Kirimkan Ucapan Salam Aidilfitri Dari Kami

Kami barisan MPP Pro-Kebajikan ingin memohon sahabat-sahabat mahasiswa sekalian untuk menyampaikan ucapan salam eidulfitri buat ayahanda dan ibunda tercinta dan tidak lupa juga buat sanak saudara dikampung. Sampaikanlah ucapan selamat sejahtera dan salam kemenangan dari kami teman seakidah dan se-Islam sahabat sekalian.

Mohon Kemaafan dari Segala Kesilapan,

Akhir kalam, cukuplah sekadar itu dari kami barisan MPP Pro-Kebajikan. Kami dengan rendah hati memohon kemaafaan dari seluruh sahabat-sahabat mahasiswa dan seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dicintai ini atas segala kesilapan dan kekurangan kami disepanjang tahun sebelum ini. Moga-moga dengan kemaafan diberikan kita dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan atas nama Islam.

Marilah kita doakan semoga Ramadhan yang telah kita lalui benar-benar diterima oleh Allah s.w.t sebagai bekalan kita di hari akhirat kelak. Sambutlah Hari Raya pada kali ini dengan penuh rasa keinsafan dan syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan. Sesungguhnya nikmat Allah yang dianugerahkan tidak bertepian. Gunakanlah hari raya ini untuk kita mengukuhkan lagi ukhuwwah dan persaudaraan antara kita semua dan berusahalah untuk kita menjadi Ummatan Wahidah Fil Amal al-Islami (umat yang bersatu dalam amal Islam.

Salam Aidulfitri,

Akmal b. Madzir
Norhafizawati bt. Mahmad Rozali
(Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPPUPSI 08/09)

Arif b. Mohamad
Nur Aqilah Hanis bt. Mohd Yusoff
(Exco Akademik dan Kerjaya MPPUPSI 08/09)

Mohd Zulhilmi b. Mohamad
Adriyani bt. Yamin
(Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan MPPUPSI 08/09)

Norhisyam b. Che Hamid
Mohd Hanif Hazwan b. Ab. Rahman
( Exco Kesenian dan Kebudayaan MPPUPSI 08/09)

Jejak Gemilang SAR 09

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

“Saya harap kita sama-sama dapat membantu pelajar-pelajar dan mahupun guru-guru sekolah agama rakyat di perak ni. Perlu ada kesungguhan dari semua pihak”, kata-kata semangat yang dititipkan oleh penasihat bagi program Jejak Gemilang SAR 09 sememangnya menjadi pencetus kepada kelangsungannya program khidmat bakti biro akademik & kerjaya majlis perwakilan pelajar sesi 08/09 kepada adik-adik di sekolah agama rakyat. Program ini sedang berlangsung dalam masa 7 minggu. Kali ini, Maahad Al-Islah dan Maahad Abbasiah merupakan sekolah yang terpilih dalam fasa pertama program ini dijalankan.

maahad abbasiah

Bercerita mengenai sekolah agama rakyat, sememangnya saya baru sahaja mengenali system dan pelaksanaanya. Jujurnya saya tidak pernah mendapat pendidikan langsung dari sekolah agama rakyat. Saya kagum melihat komitmen para pendidik di SAR dengan bayaran imbuhan yang sangat minimal tetapi tetap terus berkhidmat demi kesedaran terhadap kepentingan pendidikan Islam kepada anak-anak bangsa.

adik-adik maahad abbasiah

Menyedari betapa peranan Sekolah Agama Rakyat adalah amat penting dalam mengembangkan sistem pendidikan Islam tanah air disamping sekolah kebangsaan sendiri, maka tindakan UPSI untuk menjadikan sekolah agama rakyat sebagai sekolah angkat merupakan langkah bijak dan memberi kesan kepada pengukuhan pendidikan Islam yang telah dibina sekian lama secara mandiri oleh masyarakat.

adik-adik SAR

Tidak ada siapapun yang boleh menidakkan catatan sejarah bahawa sistem SAR inilah yang telah menyelamatkan umat Islam dari penguasaan penjajah dalam bidang pendidikan dan politik. Biarpun dengan keadaan prasarana yang kurang lengkap, saya yakin dan percaya masih ramai yang dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

fasilitator maahad al-islah

Moga-moga dengan usaha yang sedikit ini untuk sama-sama membantu dalam meningkatkan pencapaian adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan SPM ini diberkati dan diredhai ALLAH. Terima kasih kepada barisan fasilitator yang sememangnya menunjukkan komitmen yang tidak berbelah serta sanggup memberi masa di hujung minggu demi memastikan kelangsungan program ini. InsyaALLAH kita teruskan sehingga adik-adik menduduki peperiksaan SPM kelak.

‘Transform with knowledge’

NUR AQILAH HANIS BT MOHD YUSOFF

Exco Akademik & Kerjaya

Majlis Perwakilan Pelajar sesi 08/09

p/s : bagi mahasiswa/i yang berminat untuk menjadi fasilitator boleh terus menghubungi saya dan koordinator program saudari normala dari biro akademik dan kerjaya mpp 08/09.

Forum kemerdekaan di berita harian

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Saya baru berpeluang membuka petikan akhbar yang memaparkan mengenai berita forum kemerdekaan yang saya sertai. Sekadar berkongsi dengan pembaca budiman sekalian, saya sertakan berita mengenainya yang disiarkan dalam berita harian online pada 6 September 2009.

berita harian

30 jam misi kebajikan

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Syukur, saya baru selamat tiba dari menziarahi keluarga arwah norazlina. Misi kebajikan dalam tempoh 30 jam dilalui dengan penuh pengalaman. Ini kali kedua saya menyertai sahabat saya adriyani yamin dan saudara zulhelmi (kedua-duanya exco kebajikan dan kemasyarakatan mpp 08/09) bagi menziarahi keluarga pelajar UPSI meninggal dunia dan menguruskan beberapa urusan termasuk dokumen-dokumen yang diperlukan untuk tuntutan insuran . Kali pertama di Pulau pinang dan kali ini di kampung jelawat, kelantan. Kedua-duanya membawa amanah pelajar dan juga tanggungjawab sebagai pemimpin biarpun pelajar telah meninggal dunia.

sekitar ziarah ke rumah arwah

Bermula seawal jam 3 petang, beberapa sahabat saya telah berusaha memindahkan barang-barang arwah ke dalam van upsi. Perasaan yang sama ketika melihat barangan arwah nurlina dahulu(pelajar math). Saya sedikit lambat untuk turut serta mengangkat barang-barang arwah berikutan sebelumnya berurusan dengan pensyarah dan juga dekan bagi program Sekolah Agama Rakyat yang kebetulannya pada hari yang sama. (Terima kasih kepada sahabat saya merangkap rakan exco biro akademik dan kerjaya mpp 08/09, nurul sebtuyah dan normala yang amat membantu dalam melancarkan urusan projek SAR ini).

Arwah Norazlina maut dalam satu kemalangan jalan raya 28 Ogos lalu. Rombongan saya kali ini ke Kampung Tualang Salak, Jelawat Kelantan selamat sampai kira-kira jam 10.00 pagi, dan disambut dengan linangan air mata nenek arwah  yang begitu terasa kehilangannya. Suasana suram. Saya yakin semua ahli keluarga begitu terkesan melihat barang-barang arwah diangkat dari kenderaan. Menyelami hati seorang ibu yang baru kehilangan anak benar-benar memberi keinsafan. Arwah anak yang baik. Tatkala baru berusia 27 tahun, dua tahun bekerja,  arwah tidak pernah melupakan ibu dan ayah dan tanggungjawab sebagai anak dengan memberikan rm150 sebulan biarpun punya tanggungan lain.

Peluang bertemu keluarga arwah dimanfaatkan sepenuhnya dengan penyerahan wang derma lebih dari rm1500 oleh pelajar-pelajar UPSI yang prihatin dan diwakilkan kepada exco kebajikan dan kemasyarakatan mpp 08/09. Terima kasih kepada mahasiswa/i UPSI yang sudi menderma apatah lagi di bulan ramadhan yang penuh berkah ini.  Kami berangkat pulang semula ke UPSI jam 1 tengahhari apabila selesai semuanya. Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah untuk arwah norazlina.

petikan akhbar

p/s : terima kasih kepada saudara zulkefli dan sahabat-sahabat yang terlibat samaada secara langsung dan tidak langsung dalam membantu keluarga arwah. Hanya allah membalas jasa kalian.