Archive | January 2010

Hadiah kemenangan

ALHAMDULLILAH

Syukur padaMU ya ALLAH.

Adik-adik saya menang dalam pilihanraya kampus kali ini.

Kenangan mendapat kemenangan pada sesi lepas sememangnya menggamit memori saya. ALLAHURRABBI.. Indah, tapi mengisi kemenangan itu lebih besar dan berat tugasnya.

Biarpun bilangannya lebih sedikit dengan 6 orang wakil berbanding 8 orang pada sesi saya, namun bilangan bukan menjadi ukuran. Saya yakin mereka-mereka ini insan-insan terpilih untuk menjadi suara mahasiswa. Besar amanah tanggungjawab yang perlu digalas. Tahniah dan takziah untuk adik-adik pilihan ALLAH.

Pilihanraya kali ini menyaksikan peningkatan peratusan jumlah mahasiswa yang turun mengundi, jika dahulunya 60 % kini jumlahnya meningkat pada 80%. Peningkatan yang memberansangkan. Mahasiswa UPSI telah buktikan bahawasa kalian sememangnya bertanggungjawab dalam memilih pemimpin untuk mewakili anda.

Pilihanraya merupakan medan yang paling banyak member impak kepada saya selaku bergelar anak kandung suluh budiman. Pengalamannya tiada galang ganti. ALHAMDULLILAH, saya pernah melaluinya. Kini giliran adik-adik untuk mencorakkan kepimpinan kalian. Sudah pasti rentak dan caranya berbeza. Yang paling penting, jagalah ALLAH, ALLAH akan menjaga kalian.

Biar apapun cabarannya selepas ini, harus ditempuhi dengan redha dan sabar. Sentiasa berbincang dalam mencari penyelesaian terbaik bagi sesuatu pemasalahan.  Tugas ini sememangnya tiada bayaran di dunia, moga-moga kalian terus tabah dalam memikul amanah ALLAH. ameen.Teruskan mengorak langkah!

p/s : Tagline saya  dahulu ”Mahasiswa Berkebajikan Pencetus Revolusi’ dan sememangnya laungan keramat ‘REVOLUSI’ di kampus UPSI masih lagi segar dalam memori saya… 🙂

Gendang PRK 12 UPSI

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Tahun 2010 sudah membuka tirai dengan lembaran baru, namun demografi politik kampus masih tetap keruh. Kebobrokan yang berlaku kali ini masih lagi hebat sedari permulaan calon-calon untuk membeli borang pencalonan. Keruh dengan peristiwa-peristiwa dan sekatan-sekatan yang sama dilakukan bagi calon-calon yang dikatakan bukan favourite. Impaknya, mahasiswa masih lagi tertutup dan terus tenggelam dengan dunia masing-masing. Nah, akhirnya akan dapat dirasai tatkala golongan-golongan ini yang produknya dari UPSI bertindak sebagai mencorakkan anak-anak bangsa pada masa hadapan.

Resah saya di sekolah, mesej bertalu-talu masuk dari sahabat saya mula menjengah.

‘MPP dah bubar’.

Sudah tiba masa ianya dibubar, biarpun diri sendiri tidak maklum. Memang lazimnya begitu, setiap maklumat tidak kunjung tiba, biarlah dinafikan namun beban amanah yang digalas perlu diteruskan.

Selama setahun pada dasarnya memegang tampuk mpp, jika keadaan dan karenah biokrasi dan campur tangan pihak-pihak luar masih merantai pergerakan mahasiswa, maka fungsi sebuah student council akan terus ‘merundum’ dan tidak akan dirasakan keperluannya oleh mahasiswa. Pemimpin yang hebat, adalah pemimpin yang mampu meninggalkan kesan dalam kepimpinannya. Kalian harus berani untuk menyatakan yang hak dan bukannya berselindung disebalik prestijnya jawatan yang disandang. Belum lagi berbicara mengenai fitnah-fitnah murahan dalam kepimpinan. Inilah mehnah dan cabarannya dalam politik kampus.

Syukur, saya masih mampu ‘merasa’ dari jauh bahang PRK 12 UPSI, biarpun masa singkat, peluang berkunjung ke UPSI dimanfaatkan sepenuhnya. Perasaannya mungkin berbeza kali ini tapi saya gusar dengan ketidaktelusan yang berleluasa sehingga hari ini dengan masa kempen yang agak lama. Biarlah mahasiswa berpencak dengan baik, menunjukkan kreadibiliti mereka, dan tiada perlu tangan-tangan ghaib yang menodai demokrasi pilihanraya kampus.

Bagi mahasiswa dan adik-adik UPSI, seharusnya perlu cakna dan peka kerana menjadi amanah anda untuk memilih pemimpin yang baik untuk sama-sama memperjuangkan kebajikan mahasiwa, tidak hanya duduk senang. Cabarannya pemimpin bukan favourite sudah saya tempuhi, biarpun manifesto yang diusulkan ditolak tanpa syarat. Saya cuba, natijahnya saya juga rasai. Namun, yakinlah, selagi ada daya, suara-suara anda perlu disalurkan dengan memilih pemimpin yang tepat untuk membawanya. Disinilah pentingnya selaku mahasiswa, perlu kenali pemimpin-pemimpin yang dirasakan layak untuk memimpin kalian.

Gendang PRK 12 UPSI telah dipalu. Seharusnya semua masyarakat kampus sedar. Dan calon perlu bersedia dengan amanah yang digalas. Jika ingin merasai revolusi dalam kepimpinan, kalian perlu buat pilihan yang tepat. Berpencaklah dengan sebaiknya!

p/s : Saya rindukan alam mahasiswa, disaat menjadi mahasiswa boleh melahirkan idea-idea, berbicara dengan rakan-rakan, bergerak kerja untuk melaksanakan program, semua sudah ditinggalkan. Jujurnya saya masih proses adaptasi perubahan suasana dalam alam praktikal dunia ‘cikgu-cikgu’. Cabarannya berbeza.

Langkah baru

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Terlalu cepat putaran masa. Baru semalam saya diajar, dan esoknya saya pula yang perlu mengajar. Masa pinjaman allah perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Masih banyak lagi amanah yang perlu diselesaikan. Akhirnya saya tiba di bumi sungai pelek, membawa seribu satu gagasan amanah untuk dilaksanakan sebaiknya. Misi kali ini bukan sekadar misi kosong, tujuannya bukan sahaja untuk mengajar, namun untuk mendidik anak-anak bangsa yang menuntut hak-hak mereka dari seorang guru.

Kali ini sedikit berbeda keadaannya, dahulunya punya sahabat-sahabiyah yang terdekat untuk bersama, namun kali ini penempatannya berasingan. Saya yakin ada hikmah disebaliknya. Pesan pada diri, buat yang terbaik, kerna mungkin tiada lagi punya kesempatan dan peluang yang lain pada masa akan datang.

Moga-moga dengan ilmu yang dipelajari sedikit sebanyak membantu saya dan sahabat-sahabat sekalian untuk diaplikasikan sepenuhnya nanti. Saya pasti lakaran dan corak yang berbeza akan dihasilkan dengan sentuhan masing-masing dalam pengajaran kelak. Titiplah pengalaman dan ilmu sebanyaknya, saya yakin ianya membantu kelak.

Selamat berpraktikum buat semua, jadilah seorang guru yang sentiasa tiada jemu mencurahkan keringat demi memberi setitis ilmu!

Saya kirimkan ayat-ayat cinta buat kalian, buat pembakar semangat diri.

“Adakah kamu mengira bahawa kamu akan memasuki syurga

sedangkan kamu belum menerima dugaan seperti orang-orang Mu’min

yang terdahulu dari kamu? Mereka telah ditimpa malapetaka dan

kesusahan dan mereka telah digoncangkan ketakutan sehingga Rasulullah

s.a.w dan orang-orang Mu’minin yang ada bersamanya pernah bersungut

bilakah tibanya pertolongan dari Allah? (Lalu dijawab): Sesungguhnya

pertolongan Allah itu amat dekat.” (2:214)

Cikgu Nur Aqilah Hanis

SMK Sungai Pelek.

Destinasi Abadi

Bismillahirrahmanirrahim

Jujurnya saya masih dalam keadaan terkejut dan sedih, namun saya gagahkan jua semangat yang sedikit hilang untuk terus menulis.Berita kehilangan dua sahabat saya benar-benar memberi kesan.

Baru sahaja saya duduk berbincang dengan mereka, bertukar pendapat dan merencana beberapa perkara. Namun berita yang diterima pada awal pagi sememangnya pahit untuk diterima.

Allahurrabi.

Saya yakin ALLAH lebih sayangkan mereka.Pemergiaannya secara tiba-tiba. Mana mungkin saya lupa setiap gerak kerja islam dan pembawakan sahabat-sahabat saya yang telah pergi.

Akhirnya pesan sahabat mengingatkan saya semula.

Kata-kata abu bakar sewaktu kewafatan Rasullah s.a.w, ‘sahabatku, jika kamu cintai sahabatmu, sesungguhnya sahabatmu telah tiada lagi, namun, jika kamu cintai ALLAH, sesungguhnya ALLAH akan sentiasa bersamamu’.

Redha dan bersabar.

Sama-sama kita doakan moga roh mereka ditempatkan dikalangan orang beriman. Ameen. Tiada daya untuk saya mencoret, hanya untaian doa buat sahabat-sahabat yang telah pergi akan terus mengiringi mereka di destinasi yang ABADI.

Alfatihah buat Almarhum Mohd Fadhiri bin Mohd Arifin.
Alfatihah buat Almarhum Mohd Faizol bin Abd Shukur.

Kapan bila waktunya buat diri?

3 Tahun berlalu

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

10.1.2010

Genap sudah usia adam 3 tahun.

SELAMAT HARI LAHIR Adam Sidqi!

Menarik kadangkala menggunakan gambar sahaja untuk bercerita.

Pada usia 3 tahun, saya cuba bacakan semula tanggungjawab penting yang perlu adam laksanakan :

1) Adam perlu jaga ummi (kak ngah) yang selalu sakit

2) Kurangkan ‘nakal’

3) Perlu jaga adik Hawa

4) Jangan ponteng tadika

5) Makan banyak sikit (macam Opie)

6) Belajar pandai-pandai, pergi Mesir macam abah (abang ngah)

dan lain-lain lagi….

Mak teh doakan adam jadi anak yang soleh dan berjaya dunia akhirat. ameen.

p/s : potensi besar adam untuk jadi debater, petahnya luar biasa.

Isu ketatkan baju sekolah

Bismillahirrahmanirrahim

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Dahulunya negara kita hangat sebentar dengan isu pakaian seragam pelajar perempuan diganti kerana jarang dan boleh mengundang gangguan serta jenayah seks.Namun kali ini berbeda berita yang saya baca, menarik untuk dikongsi bersama dengan pembaca budiman sekalian.

Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun cedera parah di kaki dan beberapa bahagian badan dipercayai didera ibu bapanya,
berpunca daripada tindakan pelajar itu mengecilkan saiz pakaian seragam sekolahnya.

Ketua Polis Daerah Tumpat Supt Khalid Munap berkata kejadian di Kampung Geting dekat Tumpat berlaku kira-kira 7 pagi semalam ketika pelajar tingkatan tiga SMK Geting sedang bersiap untuk ke sekolah.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa, pada mulanya dia dimarahi ibunya ekoran tindakan mengecilkan uniform sekolah, namun bapa pelajar terbabit yang bosan mendengar leteran isterinya itu kemudian bertindak memukul mangsa dengan seterika panas dan rotan.

“Selain itu, mangsa yang merupakan anak sulung daripada lima beradik turut mendakwa dicederakan ibunya yang menarik rambut dan menyepaknya berkali-kali,” katanya kepada pemberita.

Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki, tangan dan hampir keseluruhan badan, kata Khalid.

Menurutnya, mangsa yang kesakitan kemudian menceritakan kejadian itu kepada salah seorang rakan sekolahnya sebelum rakannya itu membawa mangsa ke Hospital Kelaboran untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata pihak hospital yang sangsi dengan keadaan mangsa yang kelihatan seperti didera kemudian memaklumkan perkara itu kepada polis.

Khalid berkata polis kemudian menahan bapa mangsa untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

– Bernama

Daya ‘memberi’

Bismillahirrahmanirrahim

Berkali-kali saya membetulkan kedudukan supaya sedikit selesa. Entah mengapa kerusi yang biasa saya duduki sejak dua tiga malam bermalam di hospital gagal ‘memujuk’ mata untuk terus lena. Jam sekitar angka tiga pagi dan rata-rata pesakit telah lena bersama kesakitan masing-masing. Banyak sekali perkara yang berlaku di ambang permulaan tahun baru 2010.

Terngiang-ngiang dialog ringkas dengan seorang pakcik yang menjaga isterinya di wad yang sama.


‘Nak buat macam mana, susah hendak harapkan anak menantu jaga kita masa tua
’, dalam maksudnya. Wajahnya senyum sahaja sambil menegur saya. Hanya selang beberapa katil sahaja dari katil kak ngah.

Malamnya, saya lihat pakcik tersebut tidur di bawah bersebelahan katil isterinya hanya beralaskan ‘gebar’ kuning. Luluh hati melihat seorang yang ayah tua sekitar 60 an usianya bertungkus-lumus menjaga si isteri yang kesakitan. Kasih suami kepada isteri,kasih ibu bapa tua yang mendambakan kasih anak-anak yang tidak berkesampaian.

Inilah realiti. Sukar untuk digambarkan bagaimana kita harus tegar untuk ‘memberi’ tanpa syarat, tanpa mengharap balasan. Mencari setitis keikhlasan dalam setiap tingkah yang dilakukan ibarat mencari sinar di kegelapan malam hari. Tetap sukar!

Alhamdullilah, saya belajar sesuatu dari mereka. Bukan semua insan dikurniakan daya untuk ‘memberi’. Berapa ramai yang lebih senang untuk menerima berbanding memberi? Ya rabb, moga diri terus diberi kekuatan dalam memberi kepada yang memerlukan. Ameen.

p/s : tahniah kepada adinda tersayang di atas kecemerlangan mendapat 10A dalam PMRU yang baru diumumkan. semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus sukses dalam PMR yang bakal kunjung tiba. ameen.