Archive | July 2010

Denai Panjang Meniti Usia

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Kebiasaannya pada bulan 7, paling ramai individu dalam keluarga saya menyambut ulangtahun kelahiran. Bermula dengan adinda tersayang, adik, kekanda kak ngah dan juga anakanda saudara tercinta Hawa.

Biarlah sedikit ruang ini saya titipkan sesuatu buat mereka.

Dan masih belum terlambat untuk saya ucapkan selamat hari lahir untuk adik, angah dan hawa. Doa saya mengiringi kalian, sentiasa bersyukur kepadaNYA atas nikmat usia yang diberikan. Benar, setiap hari usia kita bakal bertambah, dan ianya ibarat mutiara yang tiada galang ganti lagi.

Pesan buat insan-insan yang teristimewa, sentiasa hiasi usiamu dengan iman bersulam taqwa, agar kemudiannya kita sempat mengucup haruman syurgawi.

Denai panjang masih perlu dilalui dalam meniti usia yang mendatang. Semoga panasnya ujian dan cabaran tidak menggugah iman, malah menjadi batu loncatan membentuk peribadi unggul sebagai hambaNYA yang menjadi bidadari dunia dan juga ratu disyurga.

Untuk adik, semoga menjadi anak yang solehah, permata hati bonda dan ayahanda tercinta dan kejayaan sentiasa mengiringimu.

Angah, semoga terus sabar menjadi ummi, isteri dan anak yang baik buat mak dan abah. Terima kasih atas sokongan yang tanpa syarat.

Hawa, anak comel ummi dan abah, moga terus mekar menjadi puteri yang membahagiakan kami semua.

Ameen, doaku sentiasa mengiringi kalian. Insya-allah. Selamat Hari Lahir!

Ibu: Kasih tanpa sempadan

Bismillahirrahmanirrahim

Cukup-cukup terkesan minggu ini, dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, hingga saya MC beberapa hari. Syukur ada bonda yang menemani ke hospital.

Hari ini saya menerima panggilan daripada sahabat lama.

Rasa rindu juga dengan sahabat lama saya ini, apatah lagi kali terakhir saya bertemu dengannya ketika menziarahinya di rumah mertua sempena menyambut kelahiran baru, Amjad Nafiz.

Lewat malam sebelumnya saya sudah menerima ‘missed call’ daripadanya.

Lain nadanya kali ini.

‘Aqilah, anak saya nak kena operate, sedih sangat’

Perasaan saya berbaur mendengar perkhabaran daripada sahabat saya. cuba meletakkan saya pada situasinya. Ibu mana yang tidak sayangkan anak dan sanggup melihat anaknya dalam kesakitan. Apatah lagi anak yang dikandung 9 bulan 10 hari, normal pada zahirnya rupa-rupanya menghidap penyakit yang serius.

Biliary Atresia.

Penyakit hati yang mempengaruhi bayi yang baru lahir. Kebiasaannya terjadi pada seorang bayi daripada 10 000 orang. Dan lebih kerap berlaku pada kanak-kanak perempuan daripada kanak-kanak lelaki. Jalan penyelesaian hanya melalui kaedah pembedahan. Saluran yang membawa cecair hempedu yang disebut dari hati ke kantung hempedu tersumbat dan kecacatan ini berlaku semenjak bayi lagi.

Saya yakin, sahabat saya cukup kuat untuk menghadapinya. Lama juga saya mendengar dan cuba memberi kata-kata peransang padanya agar terus bersabar menerima dugaanNYA.

Siapa tahu gelojak hati sahabat saya yang satu ini.

Ingin terus hati seorang ibu itu menatap wajah si anak nan manis, hati ibu itu sering ingin memastikanmu nyenyak dalam peraduamu, jangan sampai ada seekor nyamuk pun pasti si ibu membunuhnya.

Kerana tiada lain yang dimahu oleh ibu itu. Agar si anak terus selamat, di dunia dan di akhirat. Tidak ingin dibiar sakit menanggung derita keseorangan.

Namun, begitulah satu dustur kehidupan. Semoga sahabat saya terus tabah menghadapinya. Doa saya sentiasa mengiringinya, insya-allah. Semoga amjad nafiz kembali sembuh, ameen.

Harapan kasih buatmu anak

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Terasa sekian lama saya membiarkan blog guruohguru ini terbiar tanpa pengisian. Silap diri. Sering juga saya ditegur tidak istiqamah dalam penulisan.

Lebih senang masa saya dimanfaatkan dengan membaca beberapa buah buku sempena menyambut kedatangan ramadhan yang bakal kunjung tiba, insya-allah,peluang untuk kita merebut hikmah disamping mencari redhaNYA. Bila difikirkan saya punya seribu alasan untuk tidak menulis, namun saya gagahkan jua untuk mencari secebis waktu.

Dan apabila mengajar di sekolah, terasa lebih banyak hak-hak yang saya perlu saya lunaskan untuk pelajar-pelajar tercinta.

Hari ini saya ingin berbicara berkenaan dengan harapan ibu ayah.

Melihat wajah ayah ibu yang menghantar anak-anak ke sekolah setiap hari, dapat saya rasakan sebuah debaran seorang ayah ibu. Semuanya terkandung sebuah harapan.

Seorang ayah atau ibu melihat anak-anaknya membesar dengan penuh debaran. Berdebar kerana dua kemungkinan, adakah anak itu membersar menjadi anak soleh dan solehah atau anak itu membesar menjadi anak derhaka.

Disaat tatkala si anak melangkah keluar, ibu dan ayah memberi sebuah ciuman, di dahi dan kedua belah pipi.  Keberkatan menitip ilmu serta doa ayah ibu sentiasa diharapkan.  Adakah anak-anak mengerti perasaan ini?

Ayah dan ibu ingin menasihati anak agar menjadi apa yang diinginkan. Tetapi kekadang mulut ibu dan ayah membisu seribu bahasa. Perkataan tidak terluah, mungkin kerana gugup, gementar, menjaga hati, kasihan, geram atau seribu satu macam perasaan. Semuanya ingin dijaga, demi kasih sayang terhadap anak tercinta.

Ketika berjalan ke sekolah, seringkali ayah ibu pasakkan niat dan ingatkan anak supaya tujuanmu hanya satu, buat menuntut ilmu bekalan masa depanmu.

Aduhai anak, jangan sekali dileburkan harapan ini.

Hari ini kita masih mampu untuk menikmati kasih sayang ibu dan ayah.

Bagaimana esok, lusa dan hari-hari yang mendatang?

Di kedua telinga ini mungkin kita tidak akan mendengar lagi harapan doa ayah ibu.

Tatkala sakaratulmaut menjenguk tiba.

Moga dirimu anak menjadi intan buat masyarakatmu.

Dicampak ke gurun menjadi oasis, menjadi singgahan si musafir menakung air, daripada mentari dan ribut pasir. Ameen.

Remaja: Sentuh hati-hati mereka

‘Kak hanis, cuba tengok tu, pelajar-pelajar sekolah tengah gaduh’

Fokus saya sedikit terganggu dengan saranan adinda saya tatkala kami dalam perjalanan pulang dari sekolah. Apatah lagi dengan keadaan ‘jam’ teruk diwaktu-waktu puncak, saya perlu lebih cermat dalam pemanduan.

‘Allahurrabbi, kalau dekat dengan kita, kak hanis dah nak berhenti turun’

Sekumpulan pelajar perempuan sekolah, yang saya kira usianya dalam lingkungan 14-16 tahun sedang bergaduh, menarik-narik tudung sekolah dan memukul antara satu sama lain. Dan yang paling sedih, mereka lengkap berbaju kurung dan semuanya pelajar perempuan muslim.

Kadang-kadang sesuatu perkara yang mustahil pada ketika dahulu menjadi  tidak mustahil lagi dimasa kini.

Kalau dahulu kita hanya melihat pelajar-pelajar lelaki yang selalunya terlibat dalam pergaduhan, namun kini ‘trend’nya sudah mula menular kepada pelajar-pelajar perempuan.

Kalau dahulunya pelajar-pelajar perempuan lebih malu sifatnya, namun kini sikapnya lebih terbuka malah tanpa segan silu terlibat dalam pemasalahan social di sekolah.

Keruntuhan akhlak dikalangan pelajar muslim sememangnya merisaukan saya. Tugas mendidik generasi-generasi kini kian mencabar.

Andainya pihak sekolah membuat pendedahan terbuka, saya pasti lebih banyak kes-kes yang bakal menggegarkan masyarakat dunia.

Pendedahan media massa berhubung isu keruntuhan akhlak dan masalah disiplin di kalangan pelajar semakin membimbangkan sewajarnya diberikan perhatian serius oleh semua pihak. kita  perlu sedar wabak ini kian parah. Lihat sahaja renteten peristiwa demi peristiwa yang berlaku di kalangan para pelajar kini amat mendukacitakan, sekali gus merupakan satu isyarat yang jelas kepada kita bahawa indeks keruntuhan akhlak di kalangan pelajar negara kita ini berada di paras merbahaya .

Gagasan dan tugas untuk membangun, memupuk dan meningkatkan mutu akhlak umat khasnya di kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar.

Saya cuba membayangkan apakah yang akan terjadi, apabila melihat ‘ibu-ibu muslim’ yakni pelajar-pelajar perempuan sekarang inilah yang bakal melahirkan generasi akan datang. Jika akhlaknya tidak dijaga, anda sendiri boleh menilai bahawasanya kita sebenarnya sedang mencetak generasi-generasi yang lebih parah akhlaknya.

Secara peribadi, tidak dapat tidak, perlu untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari sudut jasad dan rohaninya. Berapa ramai remaja islam kita kini mengabaikan kepentingan solat dalam sibuk mengejar kecemerlangan akademik. Ya, saya tidak menyatakan semua, namun rata-rata apabila ditanya, pelajar muslim yang kebanyakannya terlibat dalam pemasalahan ini selalunya ‘kosong jiwanya’.

Walaupun tanggungjawab mendidik yang paling utama terletak di bahu ibu bapa, namun masyarakat sekeliling juga adalah bertanggungjawab mendidik generasi muda Islam. Janganlah sesekali kita bersikap tidak ambil peduli tentang hal orang lain. Masyarakat Islam yang sebenarnya ialah sebuah masyarakat yang bersatu padu, saling bahu membahu, bantu membantu dan tolong menolong di dalam perkara kebaikan dan ketakwaan. Bukankah tugas mendidik itu juga termasuk dalam perkara kebajikan dan ketakwaan?

Generasi muda ini perlu diselamatkan, ditegur dan dipimpin untuk kembali kepada landasannya.  Saya yakin dan percaya, andai kalian dan saya berganding bahu maka kita masih belum terlambat untuk keluar dari krisis keruntuhan akhlak remaja yang meruncing.

Jika bukan kita yang mulakan, siapa lagi yang boleh diharapkan?

Tegurlah mereka selagi ada daya, moga-moga sedikit usaha kita mampu menjentik hati-hati mereka.