Archive | March 2008

Pakaian, aurat dan maruah..

’cuba enti tengok pakaian cikgu tu, ALLAHURRABI, ana rasa lebih layak pakai dalam bilik je’.

pendapat sahabat saya yang pertama saya kira amat sesuai memandangkan yang memakai pakaian itu ibarat memakai pakaian tidur di dalam rumah sahaja.

’syurga, neraka, dosa, pahala, bukak, tutup… hmm…… ana yang melihat pun malu dengan mereka, ana tak tahular kalau lelaki ajnabi yang tengok’.

Pendapat kedua yang saya kira sesuai diberikan kepada mereka yang amat gemar berkebaya ketat dan berkain belah. Kalah pelajar-pelajar non-muslim lagaknya, Cuma masih mengenakan selendang ala-ala mat datin. Tutup sekadarnya.

Pandangan dan situasi yang sinonim dalam masyarakat di kampus saya, keluaran guru-guru pada masa akan datang. Saya sendiri hairan melihat fesyen pakaian keluaran alaf baru ini yang berlumba-lumba menampakkan susuk badan dan memaparkan aksi tidak cukup kain. Andai mereka tahu bahawasanya dengan menutup aurat itu menutup cacat mereka, maka saya yakin, tidak akan timbul fenomena yang menyerabutkan pandangan mata saya di kampus khususnya dan di luar amnya.

Puas sudah kempen menutup aurat dijalankan, tegur secara verbal dan sebagainya namun gejala ini semakin galak berkembang biarpun telah dijelaskan kod-kod etika pemakaian sewajarnya. Buntu..

Berhubung dengan aurat dan pemakaian dalam islam, surah an-nur ayat 31 telah jelas menjelaskan kepada kita, bagaimana aurat wanita Islam berdepan dengan lelaki bukan muhrim adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Apabila bercerita mengenai bab pemakaian, maka saya bawa satu kisah Imam Hassan Al-Banna, mengenai cerita pemakaian beliau di sekolah.

Imam Hassan Al-Banna

Saya masih ingat, satu hari saya pergi berjumpa pengetua kerana hendak
memberi senarai nama-nama penuntut yang tidak hadir ke kuliah. Saya bertugas
dalam kelas itu. Saya dapati Pengarah Pelajaran, iaitu Syed Raghib berada di pejabat
Pengetua. Syed Raghib merenung pakaian saya. Ketika itu saya sedang memakai baju
tup (baju labuh) dan kepala saya berserban. Kasut yang saya pakai ialah jenis sepatu
yang dipakai oleh orang yang menunaikan fardhu Haji. Pengarah tersebut menyoal
saya, ‘Mengapa awak memakai pakaian yang begini?’ Saya menjawab, ‘Kerana
pakaian ini menepati sunnah.’ Dia bertanya lagi, ‘Adakah awak telah mengamalkan
sunnah-sunnah yang lain dan hanya sunnah ini saja yang tetap dilakukan?’ Saya
membalas, Tidak, sunnah-sunnah lain saya masih tidak amalkan kerana saya sangat
cetek dalam perkara ini. Namun begitu, ini adalah usaha saya untuk mengikuti
sunnah.’ Pengarah Pelajaran itu pun berkata, ‘Awak telah melanggar peraturan tata
tertib Maktab dengan berpakaian begitu.’ Saya pun menyoal kembali, ‘Bagaimana
tuan boleh menuduh saya melanggar peraturan tatatertib? Tatatertib Maktab
menghendaki saya hadir ke kelas tepat pada waktunya. Dari segi ini, saya tidak pernah
ponteng pun. Tatatertib mewajibkan para penuntut berakhlaq baik. Di segi ini pun
semua guru berpuas hati dengan saya, Insya Allah. Sementara dalam kemajuan
pelajaran dan kerajinan saya selalu mendapat nombor satu dalam kelas. Kalau begitu,
bagaimanakah saya boleh dituduh melanggar peraturan tatatertib Maktab?’ Pengarah
itu pun berkata, ‘Jika awak bertegas hendak memakai pakaian itu apabila awak
menamatkan pengajian di Maktab ini, maka Jabatan Pelajaran tidak akan melantik
awak sebagai guru atas alasan awak berpakaian tidak senonoh di hadapan para
penuntut.’ Saya menjawab, ‘Walaubagaimanapun, masa itu belum tiba lagi. Apabila
ia tiba, Jabatan Pelajaran bebas mengambil tindakannya dan saya juga bebas membuat
keputusan saya. Rezeki saya tidak berada di tangan Pengarah Pelajaran atau pun di
tangan Kementerian Pelajaran.’ Pengarah Pelajaran senyap tidak menjawab. Pengetua Maktab pun mencelah dan memperkenalkan saya kepada Pengarah tersebut.
Kemudian dia menyuruh saya kembali ke kelas. Peristiwa itu pun berakhir dengan
baik.

Tuntasnya, pemakaian kita mencerminkan interprestasi iman kita. Andai kata kita hanya islam daripada nama sahaja, maka tidak hairan demam membuka aurat ini semakin subur di kalangan masyarakat pada hari ini. Saya tanya pada diri, adakah kita tidak bangga dengan menutup aurat? Adakah kita tidak rasa selamat dengan menjalankan syariat?

Ya ALLAH, tetapkan hati ini untuk menjalankan perintahMU.

Usah ada alasan

Bismillahirrahmanirrahim.

Telah lama saya biarkan blog berhabuk tanpa sebarang post yang terbaru. Saya akui kesilapan diri membiarkan diri terus hanyut dengan vitamin Malas yang berlebihan untuk menekan papan kekunci mencoret sesuatu yang baru dikongsi dengan sahabat-sahabiah sekalian. 

Program Wacana Sains dan Al-Quran

Program Bersama Mufti Negeri Sembilan

Program Wacana Pendidikan

Bengkel solat

Dan program-program lain lagi…… 

Begitulah situasi yang digambarkan di dalam universiti kesayangan pelajar, dan pada masa yang sama.. 

Pesta Ponggal.

Pesta Kebudayaan

Pesta Nyanyian Lagu-lagu asli.

Dan saya sendiri terlupa dengan pelbagai nama program bercorak hiburan lain yang turut disediakan.

 Sahabat-sahabiah sekalian,

Dalam kita merencanakan hari-hari sebagai seorang mahasiswa apatah lagi seorang bakal guru pada masa hadapan, saya sentiasa mengingatkan diri dan memaksa diri untuk menghadiri majlis-majlis keilmuan. Inilah yang membezakan kita dengan mereka-mereka yang lain. Pilihannya semua berada di tangan kita.

 Andai pada masa hadapan, kita bakal menghantar anak-anak kita ke sekolah, sanggup atau tidak kita melihat mereka dididik oleh guru-guru yang cetek ilmu dan tidak cakna dengan perkembangan semasa? Saya tertarik dengan tulisan Profesor Sidek Baba dalam bukunya Pendidikan Rabbani (hingga hari ini saya masih belum menghabiskannya), beliau menyatakan bahawasanya seorang guru bukan sahaja bertindak sebagai pengajar, namun yang paling utama sebagai Muallim, Muddaris dan Muaddib.

 Saya akui, kekangan di universiti kecintaan kita dengan pelbagai kerja kursus dan discussion group sebagainya, namun cuba kita sama-sama koreksi diri semula, adakah tidak punya masa untuk kita menghadiri dan memenuhi kerusi-kerusi kosong yang disediakan penganjur hanya dalam masa 2 jam.  

Sibuk, sibuk, sibuk.

 Tidak ada masa… 

 Perkataan yang sering kita jadikan alasan. Kita lupa bahawasanya apabila berada dalam majlis-majlis ilmu, malaikat akan menebarkan sayapnya dan disitulah turunnya keberkatan yang dijanjikan ALLAH kepada HambaNYA. Signifikannya, ALLAH akan meningkatkan darjat bagi orang-orang yang berILMU. Untuk menjadi seorang yang berILMU tidak cukup kita menyiapkan assignment dan menfokuskan kepada peperiksaan semata-mata.   

Dan saya mengakui, andai kita sering mengkritik atau mengutuk program-program yang bercorak hiburan kenapa bila mana program keilmuan disediakan kita bukannya menjadi orang pertama yang duduk memenuhi ruang apatah lagi bangun mengajukan soalan? Inilah ironiknya dengan waqi’ atau situasi kita di universiti kesayangan kita semua, kita sering mengkritik dalam masa yang sama kita tidak berusaha untuk membaikinya. 

Ini belum lagi masuk isu yang dilaporkan oleh pensyarah-pensyarah yang pergi menilai pelajar praktikum. Pelbagai kritikan diterima. Pelajar kita malaslar, tak tahu mengajar, asyik bercinta dengan pelajar, dan lain-lain kes yang didiamkan.  

Pesan pada diri.

Janganlah kamu mencipta alasan buat diri . Jangan kamu menzalimi diri dengan tidak memberi didikan yang sempurna.

Jangan kamu bertangguh lagi.

Ingat, Satu hari nanti kamu bakal pendidik, generasi Islam yang Rabbani.Jangan kamu biarkan pancaindera yang dikurniakan dan dipinjamkan sementara oleh ALLAH dicemari dengan benda-benda yang sia-sia.  

Semoga masih ada waktu untuk kita..

Antara cita dan cinta

Assalamuaikum,

Kehangatan piliharanraya saya tinggalkan sebentar demi melunaskan tugas-tugas hakiki. Saya tertarik untuk berkongsi email yang dihantar kepada akh mukhtar suhaili dalam blognya. Dek kerana saya merasakan ianya merupakan cara yang halus untuk menegur pasangan-pasangan di luar sana di samping memberi peringatan kepada saya juga, baik untuk dikongsikan bersama. InsyaALLAH.

Wahai saudara seagamaku, ikhwan fil islam yang saya hormati  

Kisah ini datang dari lubuk hati saya sendiri, apa yang saya rasa dan apa yang saya alami sendiri. Saya tidak bermaksud untuk mengeluh apatah lagi mengingkar apa yang telah Allah SWT tetapkan kepada saya dan kita semua orang yang beriman dengan-Nya. Kisah ini saya khabarkan agar apa yang saya lalui tidak berlalu begitu saja tanpa saya kongsi dan tanpa saya rekodkan sebagai panduan bagi diri saya sendiri untuk hari-hari kemudian. 

Saya sama seperti orang lain, punya keinginan untuk menyayangi dan disayangi. Walau bagaimanapun, tidak mudah bagi saya untuk jatuh hati pada seorang wanita. Saya tidak mencari seorang wanita untuk dijadikan kekasih, tetapi saya mencari seorang teman pendamping hidup saya hingga ke akhir hayat saya. Seorang yang boleh mengingatkan saya kiranya saya terlupa dan yang paling penting wanita yang amat saya percayai untuk mendidik anak-anak saya kelak dan generasi yang akan lahir daripada keluarga kami nanti.

Untuk itu, sejak di bangku sekolah lagi saya telah letakkan beberapa syarat bagi seorang wanita untuk hadir dalam hidup saya dan dialah orangnya. Dalam masa beberapa bulan saya belajar di sebuah pusat pengajian tinggi di Petaling Jaya, banyak perkara yang telah saya pelajari. Yang paling penting buat saya ialah, bagaimana saya mula mengenali wanita-wanita dalam hidup saya kerana saya sejak dari sekolah rendah belum pernah bergaul secara langsung dengan seorang wanita pun dan saya amat peka terhadap larangan pergaulan antara lelaki dan wanita kerana saya bersekolah di sebuah sekolah menengah agama lelaki berasrama penuh.

Lantaran itu, saya tidak pernah punya hati untuk memberi cinta atau menerima cinta walaupun peluang itu hadir beberapa kali. Saya mula mengenali si dia apabila kami sama-sama terpilih untuk mengendalikan sebuah organiasi penting di tempat kami belajar. Ditakdirkan Allah SWT, dia menjadi pembantu saya. Dari situlah perkenalan kami bermula. Dia seperti yang telah saya ceritakan, bertudung labuh dan sentiasa mengambil berat tentang auratnya terutama stokin kaki dan tangannya. Itulah perkara pertama yang membuatkan saya tertarik padanya. Dia amat berhati-hati dalam mengatur butir bicaranya, bersopan-santun dalam mengatur langkahnya, wajah yang sentiasa berseri dengan iman dan senyuman, dan tidak pernah ke mana-mana tanpa berteman. Suaranya amat sukar kedengaran dalam mesyuarat kerana dia hanya bersuara ketika suaranya diperlukan dan tidak sebelum itu. Saya melihat dia sebagai seorang mukminah solehah yang amat menjaga peribadinya dan maruah dirinya.

Saya tidak pernah bercakap-cakap dengannya kecuali dia punya teman di sisi dan atas urusan rasmi tanpa dipanjang-panjangkan. Saya seorang yang amat kuat bersembang dan sentiasa punya modal untuk berbual-bual seperti kata teman saya, tetapi dengan dia saya menjadi amat pemalu dan amat menjaga. Bagi saya, itulah wajah sebenar seorang wanita solehah.

Dia mampu mengingatkan orang lain dengan hanya menjadi dirinya, tanpa perlu berkata-kata walaupun sepatah. Pada hari terakhir saya di sana, saya punya tugas terakhir yang perlu saya selesaikan sebelum saya melepaskan posisi saya dan semua itu melibatkan dia. Sebaik sahaja semua kerja yang terbengkalai itu siap, saya mengambil peluang untuk berbual-bual dengan dia. Saya bertanya perihal keluarga dan apa yang dia rasa bertugas di samping saya untuk waktu yang amat sekejap itu. Alhamdulillah dia memberikan respon yang baik dan dari situlah saya mengenali dengan lebih dalam siapa sebenarnya pembantu saya ini. Namun, apa yang memang boleh saya nampak dengan jelas, dia amat pemalu dan dia amat kekok semasa bercakap dengan saya. Selepas itu barulah saya tahu, sayalah lelaki pertama yang pernah berbual-bual deangan dia bukan atas urusan rasmi sebegitu. Di situlah saya mula menyimpan perasaan, tapi tidak pernah saya zahirkan sehinggalah saya berada jauh beribu batu daripadanya. Semasa saya berada di Jordan, saya menghubunginya kembali dan menyatakan hasrat saya secara halus agar dia tidak terkejut.

Alhamdulillah, dia menerima dengan baik dan hubungan kami berjalan lancar selama empat bulan sebelum saya balik bercuti ke Malaysia. Kadang-kadang saya terlalai dalam menjaga hubungan kami dan dialah yang mengingatkan. Dialah yang meminta agar kami mengehadkan mesej-mesej kami agar tidak terlalu kerap. Semua itu menguatkan hubungan kami dan bagi saya dialah teman hidup yang sempurna buat saya.

“Wanita Hiasan Dunia.. Seindah Hiasan adalah Wanita Solehah!”

Walau bagaimanapun, sewaktu saya pulang ke Malaysia bulan lepas, ummi dapat menghidu perhubungan kami. Saya tahu ummi tidak berapa suka anak-anaknya bercinta tetapi saya tidak pernah menjangka ummi akan menghalangnya. Tetapi perhitungan saya silap, amat silap. Buat pertama kali, adik perempuan saya memberitahu ummi sudah tahu perihal saya dan ummi tidak suka. Saya tidak pernah menganggapnya sesuatu yang serius sehinggalah ummi bercakap secara peribadi dengan saya pada suatu hari. Saya masih ingat lagi kata-kata ummi yang buat saya tak mampu membalas walau sepatah.

 “I haven’t found any entry in Islam that permit what you are doing right now. I haven’t heard from anyone that love before marriage is permitted. But I know there’s no relationship between male and female except for what is very important and official between them. So, may I know what kind of relationship you are having now and I want to hear it from your mouth that it is legal in what you have been learning until now.”  

“Not a single phrase, nor a word.” 

“My sweetheart, if you want to build a family, a faithful one, you can never build it on what Allah has stated as wrong and proven false by the way Rasulullah PBUH has taught us. A happy and blessed family come from Allah, and you don’t even have anything to defend it as blessed if the first step you make is by stepping into what He has prohibited. You can’t have a happy family if Allah doesn’t help you so, and you must know in every family that stands until their dying day, they have Allah on their side. You can’t expect Him to help you if you did the wrong step from the very beginning.” 

Saya tiada kata untuk membalas kerana semuanya benar. Saya tahu kebenaran itu sudah lama dulu, tetapi saya tak mampu untuk melawan kehendak nafsu saya sendiri. Saya akui, saya tertipu dengan apa yang dipanggil Cinta. Cinta tak pernah membawa kita ke mana, andai cinta itu bukan dalam lingkungan yang Allah redha. Tiada cinta yang Allah benarkan kecuali selepas tali perkahwinan mengikatnya. Itulah apa yang telah saya pelajari lama dahulu dan dari semua kitab Fiqh yang saya baca, tiada satu pun yang menghalalkannya. Saya tahu kebenaran ini sudah lama dahulu, tetapi saya tidak kuat untuk menegakkannya. Saya tidak mampu menundukkan kemahuan hati saya. Dan kata-kata ummi memberikan saya kekuatan untuk bangkit dari kesilapan saya selama ini.

 Ummi berkata: “It’s not me who want you to make a decision like this, but Allah tells you so.”  

Saya percaya, itulah yang terbaik buat saya dan dia. Dengan kekuatan itulah saya terangkan kepadanya, dan alhamdulillah dia faham. Amat faham. Walaupun air matanya seakan air sungai yang tidak berhenti mengalir, tetapi dia tahu itulah yang terbaik buat kami. Dia meminta maaf kepada ummi kerana menjalinkan hubungan yang tidak sah dengan saya, tetapi ummi memberi syarat, janganlah bimbang. Andai ada jodoh kamu berdua, insyaAllah, Dia akan temukan kamu dalam keadaan yang jauh lebih baik dari sekarang. Hidup saya sekarang lebih tenang kerana tiada apa yang menggusarkan hati saya lagi.

Hidup saya lebih bercakap kembali tentang agama saya dengan lebih bebas tanpa dihantui oleh perasaan berdosa. Bagi saya, dan dia, inilah saat untuk kami muhasabah kembali diri kami dan kami betulkan kembali segala kesilapan yang telah kami buat. Inilah saat untuk kami menjadi seorang ibu dan ayah yang berakhlak mulia dan berperibadi tinggi. Inilah masanya kami insafi kembali keterlanjuran kami dahulu dan memohon moga-moga Allah sudi memaafkan kami. 

Sesungguhnya Ya Allah, aku insan yang sangat lemah. Aku tidak mampu melawan godaan syaitan yang tidak pernah jemu, juga hambatan nafsu yang tidak pernah lesu. Ampunilah aku. Walau bagaimanapun, perpisahan ini hanya untuk sementara. Saya telah berjanji dengan diri saya sendiri, dialah yang akan menjadi teman hidup saya nanti. Sesungguhnya pencarian saya untuk seorang calon isteri telah berakhir. Insan seperti dia hanya satu dalam seribu. Mana mungkin saya melepaskan apa yang amat berharga yang pernah hadir dalam hidup saya. Insya Allah, sekiranya Allah SWT panjangkan umur, sebaik sahaja saya tamatkan pengajian saya di sini, saya akan kembali ke Malaysia dan melamarnya untuk menjadi permasuri di hati saya.

InsyaAllah, saya akan setia menunggu saat itu, dan saya berusaha sedaya-upaya saya untuk mengekalkan kesetiaaan saya. Pesan saya buat ikhwan fil islam, sekiranya  tiada penawar berbisa, jangan cuba mencari cinta manusia, kelak dirimu akan binasa.. Jika cinta manusia datang menduga tanpa diminta kehadirannya, maka bercintalah kerana-Nya. Dan lagi satu.. hargailah.. sayangilah seseorang itu… kerana ALLAH SWT.. Cintai dia seikhlasnya atas dasar visi destinasi perhubungan sesama pasangan itu adalah kerana nawaitu murni iaitu aku ingin memiliki dan mengahwininya demi menyempurnakan SUNNAH RASULULLAH SAW dan kerana ALLAH SWT.

“Keluarga Bahagia.. Mengimpikan syurga sebelum Syurga!”I

khwan fil islam, beringatlah; “Sekiranya kita telah bertemu dengan seorang insan yang amat mulia sebagai teman hidup kita, janganlah lepaskannya kerana kita tidak tahu bilakah pula kita akan bertemu deangan insan yang seumpamanya.” 

Siapakah lagi dalam dunia ini yang menjaga adab berjalan antara lelaki dan perempuan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Musa ‘alaihis salam dan puteri Nabi Syuaib ‘alaihis salam beribu-ribu tahun dahulu? Wallahu a’lam. 

SOHABAT Barumu;
Mu’ammar, Mafraq, Jordan
 

Ya ALLAH, jadikan diri ini mencintaiMU lebih dari segalaNYA.

Moga diri ini thabit dijalanMU.

Doa Tuan Guru.. sebuah munajat

 

gambar-tok-gu.jpg

“Wahai Tuhan Kami, berilah kami perasaan takut kepadamu yang dapat menghalang kami dari kemaksiatan dan berilah kami ketaatan kepadamu yang menyampaikan kami ke syurgamu, dan berilah dan berilah keyakinan yang memudahkan kami menghadapi bencana di dunia.”

“Wahai tuhan kami berilah kami kenikmatan pendengaran, penglihatan dan kekuatan tubuh badan selama hidup kami dan jadikanlah dia mewarisi kami dan berilah pembalasan kepada orang yang menzalimi kami. Dan tolonglah kami terhadap orang yang memusuhi kami.Dan janganlah engkau jadikan bencana bagi kami dalam ugama kami dan janganlah jadikan keduniaan sebesar-besar cita-citanya dami dan tidak sampai batasan ilmu kami. Dan janganlah Engkau biarkan orang yang tidak menaruh kasihan balas terhadap kami, dapat menguasai ke atas kami.”

“Wahai Tuhan kami, kami pohon perlindungan dengan nur kesucian engkau dan berkat kebersihan dan keagungan sifat jalal engkau, dari setiap yang datang waktu malam kecuali yang datang dengan baik.” “Wahai tuhan kami, engkaulah penolong kami, maka kepada engkau kami mohon pertolongan. Wahai tuhan kami, engkaulah tempat kami menyelamatkan diri, maka kepada engkaulah kami pohon selamat. Wahai tuhan bagilah kelemahan dan kehinaan yang mana segala tengkuk pembesar dunia.”

“Dan tunduk kepadanya segala urusan dan kebesaran raja-raja Firaun, selamatkan kami dari penghinaan dan hukuman siksamu, ketika malam atau siang, ketika kami tidur atau berada di suatu tempat. Tiada tuhan bagi kami melainkan engkau demi kebesaran wajah engkau dan kemuliaan kesucian engkau, hindarkanlah kami dari segala kejahatan hamba-hamba engkau, berilah kemudahan kepada kami dengan limpah kurnia dari engkau wahai tuhan yang maha pemurah.”

“Wahai Tuhan sama ada engkau lembutkan hati-hati mereka untuk kami sebagaimana kamu lembutkan besi untuk Nabi Daud, dan kamu menundukkan mereka seperti seperti kamu tundukkan bukit bukau, gunung ganang untuk Nabi Sulaiman atau pun kamu lipat balik rancangan jahat mereka supaya berpatah balik ke atas mereka sendiri , dan kamu hancur leburkan pakatan mereka dan kacau bilaukan kumpulan mereka dan goncangkan pendirian mereka dan Ya Allah turunkan bendera mereka rapat ke bumi, Wahai Tuhan yang tetap hidup yang mentadbir urusan makhluknya, Wahai Tuhan yang mempunyai keagungan dan kemuliaan, sesungguhnya Engkau berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu.”

“Ya Allah Tuhan kami, limpahkanlah rahmat ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W yang dengannya dapat mengubati hati dan menjadikan penawar, menyihatkan badan yang menyembuhkannya, menjadi cahaya bagi pandangan mata dan menyinarkannnya dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada keluarga dan para sahabat baginda sekalian.”

Saya, anda dan AUKU

Entry yang menarik untuk dikongsi bersama. Sentiasa diperdebatkan tapi tidak tahu bagaimana hendak mengubahnya

Untuk entri kali ini, penulis agak tertarik untuk berbicara tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Mungkin dikalangan pendebat IPT, perkara ini sudah beberapa kali diperdebatkan namun bagi mahasiswa yang tidak pernah mengikuti debat, ia mungkin agak asing bagi mereka. Secara umumnya, AUKU digubal adalah sebagai garis panduan terhadap tatatertib mahasiswa bagi mengelakkan mahasiswa terjebak dengan perkara yang tidak sepatutnya. Namun, dari aspek pelaksanaannya mahupun dari dasar AUKU itu sendiri, sejauh manakah keadilannya? Memandangkan keadaan kini sedang hangat dengan Pilihanraya Umum ke-12, penulis tertarik untuk berbicara sedikit tentang Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 [Akta 30] yang menyatakan larangan terhadap mahasiswa untuk terlibat secara langsung ataupun tidak langsung terhadap mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja atau apa-apa jua pertubuhan, badan atau kumpulan orang lain kecuali sepertimana yang diperuntukkan di dalam perlembagaan atau diluluskan oleh Naib Canselor.

Namun persoalaannya, adakah AUKU ini sekadar bertindak ke atas pelajar yang terlibat dengan kempen politik pembangkang manakala kempen politik kerajaan pula KEBAL dari AUKU? Penulis ingin membawa para pembaca merenung kembali ketika ‘Gelombang Kuning’ menggegarkan negara dek kerana menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Ketika itu, seluruh wakil universiti dikerahkan untuk memantau tempat kejadian bagi memastikan tiada mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan tersebut. Kepada yang terlibat, hukuman seperti yang termaktub di dalam AUKU sedia menanti. Itu halnya apabila ia berkaitan dengan pembangkang.Kita lihat pula kempen pihak kerajaan. Program Senam Seni Bersama Timbalan Perdana Menteri yang diadakan pada 23 Februari 2008 telah melibatkan sebilangan rakyat termasuk MAHASISWA!

 Dari aspek penamaan program itu sendiri mungkian ianya satu program berbentuk riadah bagi menggalakkan masyarakat menjalankan gaya hidup yang sihat. Namun kita lihat pula apakah intipati program tersebut. Setiap peserta program diberikan t-shirt percuma iaitu terdiri daripada warna Jalur Gemilang, merah, putih, biru dan kuning. Mungkin untuk menunjukkan patriotisme. Tidak mengapa. Apa yang mengecewakan adalah perkataan yang tertulis dibahagian belakang baju tersebut iaitu “BARISAN KITA WARISAN KITA”, tidakkah terang-terangan ianya berbentuk kempen politik dan mahasiswa MEMILIKI baju tersebut!! Adakah AUKU membenarkan perkara sebegini? Andai kata baju BERSIH dipakai dan dimiliki oleh mahasiswa, sudah pastinya tribunal AUKU menanti mereka.Merujuk pula kepada pengucapan TPM secara jelas menyindir ketiadaan warna hijau semasa program tersebut. Sedikit unsur politik terpacul dari mulut beliau. Kemudian ada pula kenyataan “BERDIRILAH DALAM BARISAN UNTUK MENGEKALKAN WARISAN KITA”, juga elemen politik terpacul. Banyak lagi kandungan-kandungan ucapan yang sememangnya berbaur politik untuk berkempen agar rakyat terus menyokong kerajaan. Permasalahannya, kenapa pula dalam program sebegini mahasiswa dibenarkan untuk hadir bahkan diberikan sokongan oleh IPT untuk menghantar pelajar mereka ke program tersebut. Segelintir pelajar pula diwajibkan untuk hadir ke program ini demi melengkapkan syarat terhadap sesuatu permohonan.

Penulis berpendapat program ini sebenarnya berbaur politik dan merupakan salah satu bentuk kempen pilihanraya yang tersirat. Namun dimanakah para pelaksa AUKU pada ketika ini? Mengapa mahasiswa dibenarkan berada dikawasan program tetapi program lain dibatalkan gerak kerjanya? Tidakkah mahasiswa yang berada ataupun hadir ke program ini boleh dikenakan AUKU pada seksyen yang sama? Adakah AUKU tidak boleh bertindak pada keadaan yang memihak kepada kerajaan? Sejauh mana keadilan pelaksaanaannya?
Andai kata benarlah AUKU diwujudkan untuk mengawal mahasiswa, sepatutnya kedua-dua keadaan sama ada yang memihak pada kerajaan mahupun pembangkang patut dihindarkan dan kepada yang terlibat, wajar dikenakan tindakan.

Barulah jelas KEADILAN pada AUKU tersebut. Mungkin ada yang menyatakan teras program tersebut adalah untuk beriadah dan bukan untuk berpolitik. Namun bagaimana pula sekiranya pihak pembangkang menganjurkan ceramah agama bagi mempertingkatkan kesedaran umat Islam dan pada masa yang sama diselitkan unsur politik seperti program tersebut. Satu keadaan yang sama tetapi yang pastinya tindakannya berbeza. Sudah menjadi lumrah penggiat politik, andai kata diberi ruang untuk berkata-kata, kempen politik tidak dapat dielakkan. Pastinya akan terpacul dari mulut mereka walaupun sedikit. Untuk menunjukkan KEADILAN terhadap pelaksanaan AUKU, adalah lebih molek untuk pihak IPT menghindarkan diri daripada terlibat dengan sebarang program yang membabitkan ahli politik kerana secara tidak langsung program tersebut boleh menjadi medan berpolitik.Penulis bukanlah seorang pro-kerajaan ataupun pro-pembangkang, namun peraturan tetap peraturan seperti mana yang telah digariskan. Sikap neutral perlu diutamakan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak. Laksanakanlah dengan adil dan tunjukkan keadaan seperti dacing yang seimbang dan bukannya berat ke kiri atau pun ke kanan bagi mengelakkan permasalahan dan pertikaian di hari mendatang.

Hidup ibarat roda, ada kalanya di atas dan ada kalanya di bawah. Bukan sepanjang masa kita dijamin akan berada di dalam golongan yang memerintah kerana mungkin ada ketikanya kita juga akan berada di dalam golongan yang diperintah. Hanya masa yang menentukan segalanya. Tegakkanlah keadilan dan hindarilah kebatilan. Jangan cemari keADILAN demi kePENTINGAN.

 p/s : mahasiswa kene sentiasa celik dan cakna!