Archive | May 2010

Wajar 25 orang sekelas

Bismillahirrahmanirrahim

Saya pernah berdepan dengan keadaaan ‘sesak’ di dalam bilik darjah selama beberapa tahun di sekolah rendah. Bayangkan kelas terakhir saya di darjah 6 Amanah, memuatkan kapasiti murid seramai 50 orang. Tidak dapat bayangkan keadaan guru saya ketika itu mampu untuk mengendalikan kami semua yang punya pelbagai ragam. Terima kasih cikgu, saya tidak dapat gambarkan kesabaran kalian mendidik kami semua. Sekarang baru saya mengerti.

Di sekolah tempat saya berpraktikum, kelas juga masih menampung kapasiti seramai 30-35 orang. Bila berdiri di depan untuk menerangkan konsep pembelajaran, masih lagi saya rasa sukar disebabkan jumlah pelajar yang ‘besar’. Hakikatnya  tidak semua pelajar mendapat perhatian yang sama. Saya dahulu telah melaluinya. Melainkan jika pelajar tersebut menjadi pelajar yang ‘outstanding’, secara automatic dia akan mendapat perhatian guru.

Secara peribadi, saya menyokong antara 40 cadangan yang dikeluarkan kementerian meringankan beban guru adalah mengkaji semula kemungkinan menghadkan jumlah murid dalam kelas kepada 25 orang berbanding 40 sebelum ini. Setuju dengan isu yang dinyatakan dalam keratan akhbar seperti yang dipapar menunjukkan kepadatan bilik darjah di Malaysia yang terlalu sesak mengakibatkan kadar tahap pembelajaran menurun di kalangan pelajar.

Perbandingan di luar Negara

Di Australia, kadar bilangan penempatan pelajar dalam sesebuah kelas adalah sekitar 20 hingga 25 orang untuk mewujudkan suatu sistem pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Di Los Angeles pula setiap bilik darjah hanya memperuntukkan minimum 20 dan maksimum hingga 25 orang sahaja. Ini membuktikan negara-negara maju yang melaksanakan dapat melahirkan sistem pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Hasilnya dapat kita lihat di mana pelajar-pelajar mereka mempunyai kualiti dari segi pengetahuan yang tinggi terhadap sesuatu ilmu yang dipelajari.

Tugas guru bukan setakat mengajar. Keadaan kelas sememangnya mempengaruhi guru dan pelajar.


Saya cuba berikan analisis mudah apabila kapasiti pelajar ramai. Pertama, sudah pasti kawalan kelas akan lebih longgar. Kepadatan bilik darjah akan mendatangkan kesan di mana pelajar yang pelbagai tingkah laku sukar untuk di kawal secara logistik dan guru terpaksa menggunakan kaedah autokrasi untuk mengawal bilik darjah secara berkesan. Jujurnya, saya tidak suka menjadi guru yang garang, tetapi pabila ramai pelajar, menuntut saya menjadi guru yang lebih-lebih lagi garang dari biasa. Yang kedua, wujudnya halangan komunikasi antara pelajar dan guru. Pelajar pada kebiasaannya akan mengadu hal tentang tidak  fahaman mereka terhadap sesuatu topik yang dipelajarinya. Untuk itu, bilangan kelas yang ramai  akan mendatangkan kesan pada mereka kerana wujud rasa malu untuk bertanya pada guru sedangkan pada masa yang sama rakan-rakan lain memahami akan pengajaran guru.

Kesimpulannya, saya menyokong jika perkara ini dilaksanakan dengan kadar yang segera. Tidak dapat tidak, lebih ramai pelajar-pelajar yang dapat diselamatkan daripada keciciran dalam pembelajaran sekaligus dapat membantu mewujudkan masyarakat yang berilmu melalui sesi pembelajaran di bilik darjah yang lebih efisien dan fungsional. Insya-allah.

Alternatif baru program realiti tv

Berakhir sudah akademi fantasia ke-8. Jujurnya saya bukan peminat utama, namun saya tahu perkembangannya. Pabila konsert terakhir berlangsung, saya juga turut sama menyaksikan. Lebih dinantikan juara akademi fantasia ke-8 kali ini lebih ‘islamic’ latarbelakangnya. Inilah yang menarik perhatian saya. Shahir (johan AF 8) merupakan bekas ahli kumpulan nasyid saujana. Seolah menjadi tradisi setiap kali pentas  AF dibuka, pasti ada salah seorang pesertanya berasal dari kumpulan-kumpulan nasyid baik yang sudah popular mahupun tidak.

Now, the fantasy is over.

Realiti tv yang bersifat Islamic perlu diketengahkan.

Saya sekarang lebih focus dengan rancangan reality baru ‘Imam Muda’ yang bakal ditayangkan di Oasis astro. Ini julung kalinya rancangan reality tv yang bakal melahirkan imam-imam baru. Dua peserta dari Kelantan juga turut sama dalam program ini. Pabila melihat latar belakang peserta yang berbeza malah ada diantaranya lulusan al-azhar, ini juga merupakan permulaan yang baik. Menarik hadiah yang ditawarkan apabila juara ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Madinah. Hadiah menarik, tetapi beban amanah dan tanggungjawab yang digalas sebagai imam itu lebih berat hakikatnya. Saya merasakan program imam muda ini akan menarik perhatian kerana ianya mempunyai tarikan tersendiri selain mampu untuk melatih imam-imam muda baru.

Rancangan kedua, akademi al-quran musim ke empat juga sedang giat ditayangkan. Apatah lagi kali ini dua peserta yang cukup muda seusia 13 tahun dan 14 tahun turut sama menyertai pertandingan ini. Alhamdullilah. Ini perkembangan yang baik. Lebih ramai qari dan qariah yang dilahirkan melalui program ini. Sebut sahaja Ustaz Abdullah Fahmi, semua antara kita mengenalinya. Menariknya, tidak seperti kebanyakan program realiti TV lain, AQ tidak menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memilih para pemenangnya, sebaliknya ia ditentukan 100 peratus oleh panel jurinya sendiri.

Sekarang, kita sudah punya alternative kepada rancangan-rancangan reality tv. Jika dahulu ya, hanya akademi fantasia sahaja. Paling penting, tepuk dada, tanya iman. Penonton perlu bijak untuk melihat dan menonton supaya dapat manfaat yang berterusan. Dan dengan kita menonton juga, moga bertambah ilmu di dada, insya-allah.

Remaja : Bataskan pergaulanmu

‘Cikgu, saya banyak dosa, cikgu tolong saya’, esakan pelajar saya masih segar kedengaran. Kedap sekali pelukannya. Saya biarkan sahaja. Saya yakin luka lama itu berdarah kembali.  Bila program yang bersifat muhasabah diadakan, disentuh qalbunya,  pelajar-pelajar saya terkesan. Cukup kuat pegangan mereka apabila bersalam dengan kami guru-guru.

Saya tahu pelajar saya ini ibu muda. Bukan dipinta. Tetapi kesan dosa silam itu tidak mungkin padam bila setiap kali dia menatap wajah anak kecil tanpa ayah yang dilahirkan.

Saya tutup lembaran akhbar yang dibaca hari ini apabila pasangan muda 15 tahun dan 17 tahun didakwa membuang bayi mereka. Teringat pula pelajar saya di Sungai Pelek.

‘Saya dulu tak tahu solat cikgu, ibu ayah dah berpisah, saya kawan dengan ramai orang’, hati saya juga sarat diruntun pilu. Tatkala menginjak ke usia remaja, mereka masih tidak tahu sembahyang, puasa, dosa pahala. Di sekolah, fenomena biasa yang sering dilihat apabila lelaki perempuan bukan muhrim bertepuk tampar. Mereka mengaku tidak tahu batasannya pergaulan lelaki perempuan. Sukar, ini yang reality dihadapan saya, yang dibelakang belum diketahui tahap pengetahuaannya bagaimana.

Pendidikan mengenai batasan pergaulan lelaki dan perempuan penting.

Kita selalunya memandang hina kepada mereka yang mengandungkan anak luar nikah tetapi kita tidak pernah memandang hina kepada anak-anak muda yang bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Padahal pergaulan bebas inilah punca sebenar kepada masalah buang bayi ini. Kita tidak pernah melarang dan mencaci anak-anak muda kita yang bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Di dalam Quran, Tuhan bukan sahaja melarang perbuatan zina tetapi perkara-perkara yang mendekatkan kepada zina juga turut dilarang.

Pergaulan bebas lelaki perempuan itu adalah satu perkara yang mendekatkan kepada zina yang sepatutnya anggota masyarakat membenci dan membenterasnya secara bersungguh-sungguh. Kalau di zaman dulu terutamanya di kampung-kampung, seorang wanita berjalan seiring dengan seorang lelaki tanpa ada orang ketiga boleh dianggap salah dan dilarang, tetapi zaman sekarang kalau lelaki dan wanita berjalan berpimpin tangan atau berjalan sambil berpelukan sudah menjadi perkara biasa kepada kita.

Zaman dulu kalau ada perempuan yang melahirkan anak luar nikah memanglah wajar mereka menerima penghinaan kerana perkara-perkara yang medekatkan kepada zina itu memang dilarang dan dibenci oleh masyarakat di masa itu. Tetapi di masa ini apakah wajarnya kita untuk menghina perempuan yang melahirkan anak luar nikah ini sedangkan perkara yang mendekatkan kepada zina seperti pergaulan bebas ini kita biarkan tanpa kutukan.

Aduhai remaja, bataskan pergaulan kalian, moga tiada sesalan dikemudiannya.

Usai praktikum

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah.

Saya cuba untuk menulis semula. Banyak peristiwa yang berlaku dan berlalu sejak akhir-akhir ini. Yang paling penting, syukur , saya sudah tamat menjalani praktikum. Selesai 4 tahun pengajian. Dan penghujung praktikum saya rasakan amat-amat manis dengan seribu satu peristiwa yang menjadi pedoman untuk saya dalam menjalani kehidupan sebagai guru kelak. Saya cuba rumuskan beberapa perkara penting.

Pelajar

Alhamdullilah biarpun saya punya pelajar majority non muslim dan saya cukup-cukup hargai pelajar-pelajar saya yang punya nilai akhlak yang tinggi. Saya tidak pernah impikan saya berdepan dengan populasi pelajar india, cina yang lebih ramai dari pelajar muslim. Pengalaman pertama sebagai guru, saya bertuah dapat mengajar mereka. Dan biarpun pelajar muslim minority, saya juga sempat bersama-sama berprogram dan mengenali  kelompok minority muslim yang sebenarnya perlu lebih banyak pendedahan dengan ilmu-ilmu agama. Cikgu sayang kamu semua.

Guru-guru

Alhamdullilah, berpeluang bekerja dan menghabiskan separuh masa saya di sekolah, memberikan satu lagi pengalaman baru pabila teman-teman sejawatan saya kebanyakannya lebih senior. Namun, syukur, dikalangan kami punya ukhwah yang amat-amat menarik. Tidak ubah hubungan seperti adik-beradik, tolong-menolong dan sentiasa memberi tunjuk ajar kepada saya yang sememangnya cukup baru dalam profesion pendidikan. Terima kasih guru-guru, kalian sebenarnya  telah mengajar dan mendidik saya untuk menjadi guru yang baik.

Barisan pekerja am

Antara figura-figura yang amat-amat membantu dalam memastikan pentadbiran sekolah berjalan lancar. Bermula dari tukang sapu, pembantu makmal, pekerja kantin kalian semua cukup banyak membantu saya. Alhamdullilah. Saya senang bertegur sapa dan bergelak ketawa disamping mendapatkan bait-bait nasihat yang berguna dari orang lama. Syukur ya allah, biarpun sekali lagi kita juga berbeza bangsa, agama dan bahasa namun titik pertemuannya tetap ada.

Rumusan

Saya yakin dan percaya, praktikum merupakan satu titik permulaan dalam memberi gambaran kehidupan mencabar sebagai guru kelak. Benarlah, semakin hari semakin mencabar dan kerjaya perguruan bukannya satu profesion yang picisan. Tanggungjawab dan langkah saya masih panjang. Hari ini saya mendidik pelajar-pelajar saya, dan kemungkinan satu hari nanti, pelajar-pelajar saya juga yang bakal mendidik anak-anak saya kelak. Terima kasih untuk semua SMK Sungai Pelek, sekolah pertama yang memberi pengalaman dan iktibar yang baik untuk insan yang bakal bergelar guru seperti saya. Terima kasih dan terima kasih semua. Hanya Allah yang dapat membalas jasa-jasa kalian.

Mereka bakal ditinggalkan

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Sudah dua minggu saya biarkan blog saya kaku tanpa pengisian. Mungkin juga terkesan dengan tanggungjawab yang sedia ada. Hampir tewas untuk meneruskan minat dalam bidang penulisan. Gagasan idea dan penulisan saya sentiasa tergantung dan gagal disudahkan dengan baik. Saya bimbang penulisan saya berbaur emosi yang bukannya memberi manfaat buat pembaca sekalian.

Saya semakin menghampiri hari perpisahan dengan pelajar-pelajar saya. Allahurrabi. Masih banyak hak-hak mereka yang saya belum penuhi. Setiap kali memasuki kelas, setiap kali itu juga saya akan merasa sedih. Melihat kepada wajah-wajah yang bakal saya tinggalkan nanti;.


‘teacher, why don’t you stay here?’

‘teacher, kami tak nak teacher pergi’

Jujurnya saya mula jatuh kasih dengan mereka. Biarpun mereka dari pelbagai bangsa dan agama.

Bila diimbas kembali, diawal praktikum, susah sungguh saya memahami mereka. Mereka semua remaja yang punya potensi pelbagai dan inginkan perhatian. Saya perlu peka dengan setiap perubahan mood dan keinginan mereka. Bukan senang untuk mengendalikannya apatah lagi guru muda yang kurang berpengalaman seperti saya. Syukur, saya tidak sunyi dengan nasihat yang berguna dari guru-guru senior terutamanya guru pembimbing saya sendiri, kak haida.

Empat bulan saya cuba praktiskan segala ilmu dan teori yang diperolehi. Kadang-kadang saya berjaya dan adakalanya saya gagal. Inilah proses belajar yang tiada henti. Yang penting, sebagai guru, perlu bersedia dari mental dan fizikalnya. Kita berdepan dengan individu pelajar yang pelbagai. Perlu bijak menangani setiap cabaran yang mendatang.

Perpisahan ini bukan perpisahan yang terakhir. Saya optimis jika panjang umur, saya bakal berjumpa mereka lagi. Mereka inilah yang bakal saya tinggalkan. Semoga segala ilmu yang diberikan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka..ameen.