Archive | October 2008

Halaqah Rakan Surau Lajnah Ekonomi

Bismilahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Dalam mencari kesempatan dalam kesempitan yang sedia ada, saya dan sahabat saya selesai mengadakan halaqah terakhir kami bagi lajnah ekonomi Rakan Surau Arrashidin untuk semester ini.

Halaqah yang pada mulanya agak sukar dijalankan pada awalnya dek kerana tuntutan-tuntutan hal yang lain sedikit sebanyak menimbulkan bolak balik dalam hati ini.

Pengisian ringkas yang cukup terkesan.

Sedikit muhasabah.  Dalam kita menyampaikan risalah kebenaran, tidak dapat tidak akan timbul sedikit peraaan malu, takut dan risau dicemuh oleh masyarakat sekeliling. Itulah perasaanya bila kami diberi tugasan untuk menyampaikan risalah edaran mengenai aurat, couple, dan budaya yang tidak sihat kepada ahli-ahli penghuni Khar. Namun, atas dasar tanggungjawab dan sayang kepada rakan-rakan kita disekeliling, risalah kebenaran itu harus disampaikan juga. Pelbagai reaksi saya terima. Ini juga tanggungjawab kita kepada seorang muslim yang lain. Semoga diri kita terus diberi kekuatan untuk menyampaikan yang benar.

Di kesempatan ini saya rakamkan ucapan terima kasih kepada ahli rakan surau lajnah ekonomi ar-rashidin ( Cikgu Najib selaku ketua yang baik, Abu Handzalah, Farid, Rafini, Jannah, Nasuha, Azimah, Azwani, Mariyah, Ummi) atas komitmen yang cukup baik pada semester ini. Diharapkan kita semua sentiasa istiqamah dalam meneruskan halaqah pada masa-masa akan datang.

P/s : Hari sabtu bakal diadakan jamuan hari raya rakan surau ar-rashidin.

Pemimpin mahasiswa bukan hanya Populis

Bismilahhirahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Suasana pagi yang sedikit tenang memberikan saya ruang untuk menyampaikan fikrah islam melalui penulisan. Saya mengulas kembali tajuk ini sebagai muhasabah untuk diri selepas pasca PRK. Saya tinggalkan sebentar buku-buku pelajaran yang menuntut untuk dibaca.

“Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul ditengah-tengah kumpulan masalah, menonjol dikalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didokong oleh umat” (Kata-kata bapak Nasir)

“Kak, kenapa kak masuk bertanding?” soalan yang diajukan kepada saya merupakan salah satu soalan yang cukup popular sejak akhir-akhir ini.

Matlamat yang jelas dalam kepimpinan merupakan salah satu kunci kejayaan seorang pemimpin. Kepimpinan merupakan seni untuk mempengaruhi manusia untuk mengikut halatuju yang digariskan.

“Menunaikan tanggungjawab sebagai hamba ALLAH dalam menegakkan ma’ruf dan mencegah yang mungkar dan salah satunya melalui wasilah mpp”. saya menjawab dengan tenang. Berkerut-kerut muka adik yang bertanya.

Saya bukan seorang populis. Masuk PRK bukan untuk mengejar glamour Teringat pesan sahabat saya, jiwa pemimpin mahasiswa Islam perlu sentiasa segar mengingati ALLAH. Pemimpin mahasiswa bukan sekadar jaguh dikampung tetapi mesti mengorak langkah bermain di padang yang lebih mencabar.

Jujurnya saya sekarang berdepan dengan sepak terajang politik kampus yang demokrasinya kian pudar. Ya, permainan baru sahaja bermula. Moga diri ini terus diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan.  Saya masih lagi insan biasa yang perlukan teguran dan peringatan dalam bentuk yang paling berhikmah. Maka, hak-hak yang menuntut untuk dipenuhi akan saya usahakan dengan kapasiti yang ada. Mana tahu mungkin tiada esok bagi saya?

p/s : Teringat pesanan Imam Hassan Al-Banna pernah menyebut bahawasanya pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mampu untuk melahirkan pengganti yang lebih baik daripadanya. Saya meminta maaf memandangkan isi entry yang kurang tersusun akibat agaklama tidak menulis. 🙂  

 

 

 

 

ALLAH lebih mengetahui

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH, saya dan rakan-rakan seperjuangan berjaya menamatkan fasa PRK. Medan tarbiyah saya di UPSI.

Keputusan yang tidak dijangkakan. Saya menang dalam kerusi umum. Terima kasih sahabat-sahabat yang memberi sokongan dan dorongan. Biarpun dimana sahaja kalian, hanya ALLAH mampu membalasnya. Kemenangan ini kemenenangan bersama.

 Ya Rabb, saya tahu saya bukan selayaknya. Amanah itu berat. Sedangkan khalifah Umar Abd Aziz menangis setiap malam memegang amanah. Rasa takut dan risau dengan amanah tidak dapat saya nafikan. Dan itu saya pasti.

Cukuplah ALLAH penolong kami.

“Mereka berjihad di jalan ALLAH dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela,” surah al-maidah ayat 54.

Masa untuk bekerja dan berkhidmat

Taklifan baru untuk saya. Exco Akademik dan kerjaya. ALLAH lebih mengetahui. Biarpun dimana posisi saya, saya tahu ianya pecaturan ALLAH mengetahui yang terbaik untuk hambaNYA. InsyaALLAH, dengan masa yang singkat, saya cuba melaksanakan amanah sedaya upaya. Manifesto yang saya janjikan insyaALLAH akan saya laporkan perkembangannya dari semasa ke semasa. 

Semoga kita semua mampu untuk meneruskan revolusi di UPSI. Ini titik permulaannya. Biarpun posisi kita dimana. Jangan biarkan semangat itu hilang. ALLAH menilai pada usaha kita dan bukan hasilnya. Maka, teruskan bersuara bersama saya!

Al-faqir ila rab,

NUR AQILAH HANIS MOHD YUSOFF

p/s : Saya akan berusaha menupdate blog dari semasa ke semasa.

Suasana itu dicemari

Bismilahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH. Dengan kekuatan dan izinNYA, saya selesai memberikan ucap tama saya yang ketiga, bertempat di kab dan kz. Kali ini suasananya berbeza. Sedikit sebanyak menggangu perjalanan speech saya namun saya gagahkan juga untuk menghabiskannya.

Keadaan pekik memekik dan lelaki yang meniru suara perempuan cukup memalukan!

Ya, mereka menang sorak! Cuba bayangkan di dalam kelas nanti, tidak mustahil anak murid anda satu hari nanti bakal membuat perlakuan yang sama kepada anda.

Saya membuka semula email yang dikirimkan oleh sahabat saya.

“Teringat diri pada seruan Rasulullah pada ummatnya, baik di Makkah, Madinah, Tho-if dan sebagainya. Seruan agung aqidah ini adakalanya diterima, banyak kalanya ditolak, Rasul junjungan dicemuh, ditentang, dihina, difitnah dan nasib yang buruk menimpa bagi sesiapa yang menerima seruan ini. Sehingga kata-kata dan perbuatan mereka yang menolak seruan Rasulullah telah menjadikan dada baginda saw sempit dan sesak. Akhirnya Allah swt yang Maha Mengetahui menurunkan jaminanNya pada baginda nabi saw akan kemenangan, keselamatan dan perlindungan yang hakiki.

Begitulah sebetulnya cermin untuk kita. Di dalam berkempen ini adalah masa untuk kita menyampaikan seruan kita, marilah sama-sama kita kembali menempuh jalan akidah yang benar, penuh hemah dan suri tauladan yang baik”

Untuk para pembaca blog saya, saya yakin, anda semua golongan yang bijak pandai untuk menilai baik buruk calon yang bertanding. Pilihlah dengan bijak, kerana setiap satu undi yang anda lakukan, bakal mencorakkan masa depan universiti umumnya dan kita sendiri khususnya. Bersuaralah bersama saya andai kata anda merasakan saya layak untuk bersama-sama anda! Wahu’allam

Al-Faqir Ila Rabb,

CALON UMUM PEMILIHAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR

NUR AQILAH HANIS BT MOHD YUSOFF

“MAHASISWA BERKEBAJIKAN PENCETUS REVOLUSI”

Suara Revolusi!

Bismilahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH.

Saya selesai melakukan ucaptama yang kedua dalam roadshow kempen saya. Laungan revolusi bergema di perkarangan dataran Kolej Harun Aminurrashid dan seharusnya suara itu didengar.

Mahasiswa ingin perubahan! Ya, saya juga seperti anda!

Ayuh, bersuaralah bersama saya!

Al-Faqir ila rab,

NUR AQILAH HANIS MOHD YUSOFF

CALON UMUM PEMILIHAN PERWAKILAN PELAJAR 08/09

P/s : Untuk team saya, kita teruskan sampai ke akhir! {Cikgu Fadhlullah, Cikgu Zulkefli, Cikgu Hazim, Cikgu Bariyah, Cikgu Afifah, Cikgu Masatirah, Cikgu Saupi}

“MAHASISWA BERKEBAJIKAN PENCETUS REVOLUSI”

Panggilan peringatan

Bismilahhirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH.

Handset.

Mom calling.

“Kamu sihat ke? Belajar macam mana? Bila nak bertanding?”.  Saya menerima panggilan bonda.

“Dah habis puasa 6?”. Pertanyaan bonda mengingatkan saya.

Hari ini 15 Syawal. Lagi berbaki 15 hari sebelum kita meninggalkan syawal.

Panggilan itu panggilan peringatan menyarankan supaya tidak lupa untuk berpuasa enam.

Fadhilat atau keutamaannya sangat besar sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w.yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa Ramadhan, kemudian diiringi dengan puasa (sunnat) enam hari dalam bulan Syawal adalah seperti puasa selama setahun.” (Riwayat Muslim)

Cara melakukannya yang terbaik (afdal) secara berturut-turut dan dimulakan pada hari kedua bulan Syawal, tetapi boleh dan sah dengan tidak berturut-turut, misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari didalam bulan Syawal. Malah sesetengah ulama mengharuskan puasa enam hari dalam bulan Syawal diniatkan berserta puasa qadhaRamadhan.

Terima kasih bonda untuk peringatan!

 

“Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan orang yang merindui Ramadhan kerana kami sedar di syurga terdapat sebuah pintu bernama Ar-Rayyan yang tidak boleh dimasuki oleh sesiapa kecuali orang yang berpuasa saja. Kami juga sedar Ya Allah bahawa puasa merupakan benteng terkuat dari azab neraka. Oleh itu jadikanlah kami orang yang rajin mengerjakan puasa wajib dan sunatnya. Kau peliharakanlah kami dari azab api neraka yang tidak mampu bagi kami untuk menanggungnya..” Amin. 

PRK : Kem kempimpinan Fasa 2 BTN

Bismillahirrahmanirrahim.

ALHAMDULLILAH, saya telah selamat pulang daripada mengikuti kem kepimpinan fasa 2 bagi calon-calon MPP yang diadakan di BTN Ulu Kenas, Perak.

Dimaklumkan saat-saat akhir sedikit sebanyak memberi kesukaran kepada kami peserta untuk menyelesaikan tugas-tugas hakiki sebagai pelajar. Hakikatnya itulah yang menuntut pengorbanan dalam bergelar seorang pemimpin apatah lagi untuk menjadi salah seorang ahli majlis perwakilan pelajar UPSI.

Pengalaman di BTN merupakan salah satu pengalaman yang cukup bermakna memandangkan ini kali pertama saya menyertainya.

Suka saya mencoretkan fakta-fakta menarik mengenai pengisian yang diadakan di kem BTN fasa 2.

1) Jumlah peserta pada hari pertama seramai 39 orang. Hari kedua dan ketiga seramai 42 orang. Bebeza dengan jumlah asal bagi kem kepimpinan fasa pertama iaitu seramai 57 orang. Pool untuk yang bakal bertanding semakin sedikit.

2) Makanan di kem BTN adalah sebanyak 6 kali.

3) Saya dilantik menjadi penghulunita sepanjang kem 3 hari 2 malam.

4) Pemakaian pakaian putih hitam. Bukan semua peserta kem mampu menyediakannya termasuk saya disebabkan beberapa kekangan.

5) Pengisian penceramah yang menjemput Abang Yoh seorang pegawai HEP daripada USM membuka minda mahasiswa UPSI. Beliau merupakan seorang penganalisis politik kampus di UPSI. Penerangan mengenai isu-isu politik negara dikaitkan dengan politik kampus dihurai dengan cukup berkesan.

6) Sebanyak 6 LDK diadakan dan pengisiannya menjerumus kepada isu-isu politik negara, pendidikan, sejarah dan ekonomi negara. Telah menjadi kerahsiannya bagi setiap kumpulan untuk menyimpan segala intipati yang telah dibincangkan di dalam kumpulan. Terima kasih kepada group 5, Abang Long (En Imran) fasilitator kami.

7) Kami telah diberi beberapa borang untuk dilengkapkan. Antara borang yang menarik adalah pemilihan 5 orang diantara peserta yang bakal menjawat jawatan tertinggi dalam MPP. Yang menarik seramai 12 orang telah dicalonkan dengan mendapat undian tertinggi.

8) Sesi nightwalk dijalankan pada pukul 4 pagi. Hasilnya kebanyakan peserta mendapat serangan pacat.

9) Sesi terakhir LDK dijalankan di dalam dewan menggabungkan kelima-lima kumpulan. Debat Terbuka. Dan saya merupakan salah seorang yang turut dipilih untuk terlibat dalam perdebatan. Tajuk-tajuk yang dibincangkan mengenai suasana kampus UPSI.

Dan sekarang, bermulalah episod saya dan rakan-rakan yang bakal bertanding setelah selesai melalui dua siri kem biarpun pada awalnya dinyatakan tiga.

Semoga apa yang telah disediakan oleh pihak HEP menjadi turning point yang baik dalam menyediakan pemimpin-pemimpin yang berkarliber dan bersedia untuk berbakti kepada UPSI.

Nur Aqilah Hanis Mohd Yusoff

Mahasiswa Pemacu Perubahan.

Nyalakan semangat itu..

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya menyelak bab terakhir.

Berita pahlawan Pedang ALLAH jatuh sakit itu sampai ke pengetahuan sahabat-sahabatnya. Ramai antara mereka yang datang menziarahinya. Mereka sedih melihat keadaan dia.

“Selepas dilucutkan jawatan sebagai ketua panglima tentera Islam oleh Khalifah Umar, saya terus berperang walaupun sebagai tentera biasa. Saya berperang bukan kerana Khalifah Umar, tetapi kerana ALLAH” katanya dalam nada suara yang perlahan.

Semangat jihadnya masih membara. Itulah dia ‘pedang’ ALLAH. Ya Rab, diri ini masih jauh dariMU.

Kata-kata yang melambangkan keihklasannya itu menyebabkan ramai yang terpegun dan sebak. Dia berperang hanya kerana ALLAH! Betapa indahnya ayat itu. Subhanallah! Tidak hairanlah sekiranya dia digelar Pedang ALLAH oleh kekasih ALLAH, iaitu Nabi Muhamammad SAW.

“Umur saya sekarang sudah 58 tahun. Saya sudah menyertai lebih 100 peperangan. Saya terlibat secara langsung dalam peperangan besar seperti perang Muktah, berperang dengan Parsi, melawan tentera ROM di Yarmuk, merebut Damsyik dari ROM, menaklukii Mesir dan menawan Baitul Maqdis daripada kuasa Kristian. Itulah kejayaan yang tidak dapat saya lupakan kerana Baitul Maqdis bebas daripada cengkaman kuasa mereka” ujarnya lagi.

Kata-katanya diteruskan dengan nafas yang tersekat-sekat. Sukar benar dia mahu menghabiskan kata-katanya, namun dia tetap meluahkan isi hatinya. Kata-kata itu bukan menunjukkan keegoan atau membesarkan dirinya, sebaliknya ia bertujuan menyuntik semangat jiha kepada mereka yang mahu menobatkan ISLAM.

“Saya bercita-cita mahu mati syahid. Disebabkan itulah saya sertai semua peperangan yang melibatkan tentera ISLAM. Di tubuh saya ini penuh dengan parut-parut luka akibat senjata musuh, tetapi saya masih hidup. Impian saya mahu gugur syahid tidak tercapai. Akhirnya saya mati di atas katil. Hanya orang pengecut sahaja yang mati begini” dia kembali merintih.

Air mata dibiarkan merembes.

Air matanya mengalir perlahan-lahan membasahi pipi tua itu. Beberapa sahabat yang rapat dengannya cuba memujuk.

“Saya tidak mahu mati di atas katil. Saya mahu mati di medan perang!” Panglima Agung itu merintih hiba.

Hati ini kembali istighfar, Ya Rab, hambaMU ini masih jauh.

Sahabat-sahabat memujuk.

“Sekiranya saudara selak kain yang menutupi saya, saudara dapati tubuh saya penuh dengan parut luka akibat senjata musuh. Tidak ada seinci daripada kulit saya yang tidak disentuh mata tombak, lembing, pedang ataupun panah”

Sahabat hanya berdiam diri mendengar kata-katanya. Yazid hampir menitiskan air mata kerana hiba melihat keadaan sahabatnya, namun dia cuba menahannya supaya tidak tidak terlihat oleh dia.

Kemudian Khalid Al-Walid menyelak pula kain yang menutupi dadanya.

“Dada saya ini pernah menjadi sasaran mata tombak, anak panah dan pelbagai senjata tajam musuh, tetapi mengapa saya tidak menemui syahid?” ujar panglima lagi.

Saya memberhentikan pembacaan.

Rasa hiba semakin menyelubungi hati.  Ya Rab, Khalid Al-Walid memang selayaknya dikurniakan gelaran Saifullah.

Ya Rab, biarkan semangat untuk terus menolong agamaMU itu terus subur dalam diriku. Jangan ya ALLAH, Engkau bolak-balikkan hati ini. Moga diri ini terus diberi kekuatan.

Saya bakal meneruskan kem kepimpinan calon MPP fasa kedua nanti. Doakan saya!

Al-faqir ila Rab,

Nur Aqilah Hanis Mohd Yusoff

Mahasiswa Pemacu Perubahan

Ura-ura tarikh pilihanraya kampus

Bismillahirahmanirrahim

Antara carian pantas kegemaran saya selain uncle google, prof wikipedia, tidak lupa tidak sahabat lama saya gamisdaily yang mampu untuk memuatkan pelbagai info yang menarik dengan hujung jari sahaja. Ini hasil penemuan saya disebalik kesibukan membuat assignment kpn.

Oleh : Mior Isfandy

Pilihanraya Kampus dijangka akan diadakan dua minggu selepas Hari Raya ‘Aidilfitri.

PRK Kampus UPSI

Sepanjang saya berada di kem kepimpinan bakal MPP UPSI, secara keseluruhannya pihak universiti tidak mahu wujudnya kumpulan yang bersifat aspirasi dan pembangkang. Ini juga hasil dapatan saya dan rakan-rakan yang menemui Naib Cancelor bagi menuntut pilihanraya bersih dimana beliau juga tidak mahu adanya kumpulan yang bersifat aspirasi dan pembangkang. Masing-masing bebas untuk bertanding. Maka, pilihanraya kali kedua di UPSI ini bakal menjanjikan perubahan dan paradigma baru dalam senario politik kampus UPSI. Ayuh, sama-sama kita saksikan!

P/S: Ya Rab, permudahkanlah jalan perjuannganku dalam membawa agamaMU.