Archive | August 2010

Merdeka sebenar-benarnya MERDEKA

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Hari ini hari kemerdekaan. Ramai yang cuti, dan saya juga sedang bercuti. Kemerdekaan pada tahun ini juga disambut pada bulan ramadhan.

Cuba tanya pendapat masing-masing, adakah diri kita sebenarnya benar-benar merdeka? Lihat sahaja lambakan kes gejala social yang berlaku di akhir-akhir ini, adakah ini natijah kemerdekaan yang kita perolehi?

Saya punya pandangan peribadi.

Kegelapan malam pasti akan berakhir bila terbitnya matahari. Mahu tidak mahu ia pasti berakhir. Begitu juga dengan kemerdekaan hari ini, andainya tidak dihayati maka satu hari nanti kita pasti di’jajah’ semula.

Kita berada di bumi bukan hak kita dan bukan ciptaan kita. Kita keluar dari perut ibu, tengok-tengok bumi sudah ada. Begitu juga ayah kita, ibu kita dan datuk nenek kita, semuanya celik mata tengok bumi sudah ada. Ini menunjukkan segala yang ada ini bukan dibuat oleh manusia. Buah-buahan, tanam-tanaman hatta sebutir beras pun tidak dibuat oleh manusia tetapi oleh ALLAH S.W.T. Ertinya kita hidup di bumi tuhan, makan tanaman yang diciptakan tuhan, hirup udara tuhan, adakah muhasabah kita mahu lawan tuhan..?

Merdeka dirai, lihat akhirat yang abadi.

Jika kita sebagai suami di rumah atau guru di sekolah pun pasti mempunyai undang-undang dan peraturan, maka pastinya di dalam menempuhi perjalanan alam ini, patut adanya undang-undang. Allah SWT sebagai tuhan pastinya mempunyai undang-undangNYA. Mahu tidak mahu jika ingin selamat, maka perlu ikut peraturan TUHAN yang ditetapkan.

Untungnya kita sebagai umat Islam, punya hubungan dengan tuhan. Orang yang putus hubungan dengan tuhan seperti layang-layang yang putus tali. Walaupun layang-layang yang putus tali mungkin nampak hebat, ke kiri, ke kanan dan terbang tinggi ditiup angin namun ia tidak lama, ia akan jatuh. Berbanding layang-layang yang bertali, ia terkawal dengan tali yang mengikatnya. Begitu juga bandingan manusia yang putus hubungan dengan tuhan dengan manusia yang terikat dengan tuhan..

Jangan mengejar merdeka yang tidak tahu erti, kelak menyesal yang tiada infiniti.

Selamat Hari Merdeka!

Hanya PadaMU

Bismillahirrahmanirrahim

Bicara saya pendek sahaja.

Kadangkala dalam hidup ini, tidak semua perkara yang dirancang berlaku seperti yang dirancangkan. Inilah fitrah kehidupan. Ada pasangan yang sudah berkahwin berpuluh tahun di akhir usia emasnya bercerai berebut harta, pasangan yang bercinta sekian lama namun akhirnya putus di tengah jalan, ada juga ibu bapa yang sungguh-sungguh membesarkan anak akhirnya anak tersebut menderhaka kepada mereka sendiri. Inilah sebuah warna kehidupan. Yang penting tidak dijadikan sesuatu perkara itu sia-sia melainkan semuanya dalam rahsiaNYA. Kita hanya HAMBA sememangnya layak untuk terus dan terus diuji.

Jika kita ingin membuat pertemuaan dengan seseorang yang mempunyai pangkat, ia bukan kerja yang mudah. Pertamannya mungkin kerana kerja yang banyak dan kedua ialah ego. Jika kita berpeluang untuk jumpa, ada had masa dan perkara-perkara yang dilarang untuk diberitahu. Namun bertemu dengan Allah SWT yang Maha Besar, Maha Hebat amat MUDAH. Tanpa SYARAT, tanpa HAD MASA, Siang dan Malam kita boleh berbicara denganNYA. Hakikatnya, pertemuan dengan ALLAH SWT ini kita lakukan di dalam solat kita.

Ya Allah, jangan bebankan daku dengan sesuatu yang tidakku mampu, hanya padaMU aku berserah. Janjikanlah yang terbaik untuk hambaMU ini. ameen.


Baca bukan sekadar baca

Seorang pemandu kereta belum tentu membawa kita ke destinasi yang betul. Walaupun dia tahu cara memandu, menghidupkan enjin, masuk gear dan sebagainya, tetapi jika tidak tahu JALAN yang betul, akan tetap TERSESAT.

Demikian juga seorang pembaca al-Quran, tajwidnya BETUL, suaranya BAIK, makhrajnya TEPAT tetapi jika tidak diAMALKAN, ia tidak akan menunjuk JALAN yang betul iaitu ke SYURGA.

Saya selesa menulis dan berkongsi bait bicara tuan guru, bahasanya tepat, dan selalu menusuk kalbu, tidak rugi dikongsi dengan pembaca budiman sekalian. Ayuh ambil pengajaran!

Barah Sosial dan Penyelesaian

Atom yang begitu kecil kejadiannya itu ada pasangannya. Wayar elektrik juga ada pasangannya yang disebut negatif dan positif. Jika dipasang dengan cara yang betul, lampu akan menyala. Jika tidak, lampu itu boleh terbakar. Begitu juga dengan lelaki dan perempuan, jika dipasang dengan baik, dapat anak yang halal. Jika dipasang dengan cara yang tidak baik, dapat anak zina, lalu anak-anak ini akan terus dibuang. Benda ini berlaku kerana pasang tidak betul. Islam datang untuk mengajar bagaimana memasang atau menyatukan manusia dengan cara yang betul yakni PERKAHWINAN dengan nama ALLAH…

sedutan kuliah Tuan Guru Nik Aziz di Medan Ilmu

Malang untuk masyarakat kita pada hari ini, hati tetap angkuh dan sombong dan tidak mahu menerima bahawa ISLAM sebagai jawapan kepada penyelesaian Gejala sosial hari ini.

Check hati!

‘Tapak kaki kita kalau dah keras, pijak paku dan duri pun tidak terasa apa disebabkan tumitnya dah keras. Tetapi kalau tapak kaki yang lembut, terpijak duri sikit je terus sakit dan berdarah. Demikian juga hati, kalau ia dah keras tak terasa lagi bersalah kalau buat dosa. Sebab itu, jangan sampai hati kita keras sampai tak terasa bersalah untuk buat maksiat..’

sedutan Kuliah Israk Mikraj Di Masjid al-Naim oleh Tuan Guru Nik Aziz.

Semoga ALLAH melindungi hati-hati kita daripada keras akibat banyak dosa.

Selamat datang Ramadhan!

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Sekali lagi diberi peluang berada di bulan ramadhan, tiada lain yang dapat diucapkan melainkan rasa syukur kepadaNYA. Bukan semua diberi peluang untuk ketemu penghulu segala bulan yakni bulan ramadhan yang penuh barakah.

Teringat pula waktu dizaman belajar, kali pertama menjadi panel untuk ceramah ramadhan apatah lagi bercorak keagamaan sememangnya cukup-cukup mendebarkan saya. Tambah risau  lagi tiada status ustazah dihadapan nama. Alhamdullilah, syukur, semuanya berjalan lancar, rakamannya masih dalam simpanan. Tajuknya kemas, sentiasa saya ingat, ‘Ramadhan yang sama, natijahnya berbeza’. Itu dahulu.

Sekarang bulan ramadhan hadir lagi.

Penting untuk kita tanamkan azam, agar segala ‘promosi-promosi’ hebat sepanjang bulan ramadhan ini direbut dengan sepenuhnya. Sedikit sebanyak saya rasakan kelainannnya pada tahun ini, berbanding tahun sebelumnya, ini kali pertama setelah hampir 7 tahun saya tidak pernah menyambut ramadhan pertama dirumah, namun kali ini bukan sahaja dirumah malah yang paling penting bersama keluarga tercinta. Selalunya saya hanya akan berpuasa 5-4 hari terakhir sahaja di rumah.

Bila sudah menjengah ke alam pekerjaan, sememangnya peluang bekerja seharusnya kita maksimumkan sebagai peluang untuk dijadikan pahala-pahala yang berganda di bulan ramadhan.

Sebut sahaja tugas guru, seawalnya kita sudah mula mulakan rutin seharian. Jika sebelum ini lambat datang ke sekolah disebabkan perlu bersarapan dan sebagainya, inilah peluangnya untuk datang awal. Datang awal bukan hanya untuk membuka laman-laman social seperti facebook, blog dan sebagainya, ruang masa inilah mampu untuk kita manfaatkan untuk mengaji, membaca dahulu buku-buku terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam kelas.

Tambahan lagi, jika sebelumnya mungkin lebih senang untuk kita ‘naik marah’ dengan pelajar, namun didiklah diri untuk sedikit bersabar pabila melihat pelajar-pelajar yang sudah ‘monyok’ mukanya dan kadang-kadang tidur dalam kelas lantaran letih berpuasa. Aduhai, banyak sungguh pahala kesabaran itu! Yang paling penting, saya sendiri merasakan bulan ramadhan inilah peluang terbaik untuk kita sama-sama tingkatkan prestasi kerja. Jika kaedah ‘syarahan’ sentiasa digunakan dalam kelas, guru perlu kreatif bagi mewujudkan suasana ‘meriah’ agar pelajar-pelajar yang tidur tadi tidak terus tidur dan mendapat sedikit ilmu daripada kita.  Kadang-kadang penat dahaga dek kerana bersungguh-sungguh menerangkan sesuatu kepada pelajar terubat biarpun masih ada sisa penat menggunakan suara sepanjang hari. Saya yakin, guru-guru berpeluang menikmati saat-saat ‘dahaga’ ini hanya pada bulan ramadhan sahaja.

Jujurnya,  lebih banyak ruang yang boleh diperbaiki sepanjang kita di bulan ramadhan ini.

Cuba lihat sahaja kisah-kisah orang hebat berpuasa. Kisah imam syafie yang khatam al-quran di bulan ramdhan, 30 kali diwaktu siang, 30 kali diwaktu malam menjadikan jumlah keseluruhannya 60 kali dibulan ramadhan sememangnya cukup-cukup memberi inspirasi. Benar, mungkin kita tidak sehebat beliau, setidak-tidaknya sudah kita pasakkan dalam diri pada ramadhan kali ini, at least 1 kali kita perlu khatam. Bagaimana caranya? Kita usahakan jika benar-benar kita inginkan.

Lihat pula kisah Rasullah yang hanya bersahur dan berbuka dengan buah tamar dan air sahaja. Suhu di mekah bukan calang-calang panasnya, kepanasan melampau sehingga mampu mencecah suhu 60 celcius ketika itu. Subhanallah! Cukup hebat. Malamnya, Rasullah sibuk menunaikan solat terawih sehingga diceritakan sahabat-sahabat yang berada dibelakang Rasullah terpaksa keluar dari imam dek kerana kusyuknya Rasullah membaca surah al-baqarah, disambung lagi sehingga surah al-maidah pada rakaat pertama dalam solat tarawih baginda. Dan kita pula bagaimana? Jika sudah cukup 3 jenis air sekurang-kurangnya diwaktu berbuka, dan sepinggan nasi diwaktu sahur, seharusnya ibadah kita harus lebih berganda, tidakkah kalian rasa begitu?

Piala taqwa?

Saya inginkan, dan saya pasti kalian juga inginkan ganjaran piala taqwa. Inilah masanya. Madrasah ramadhan telah pun bermula. Moga-moga mewarisi jannah. Selamat menyambut ramadhan al-mubarak untuk semua pembaca guruohguru. Semoga ramadhan kali ini memberi sinar kebahagiaan baru dalam hidup kita. Ameen.

p/s : pengalaman baru lagi, saya sebagai guru di bulan ramadhan, apatah lagi melihat pelajar-pelajar saya bertungkus-lumus ‘mengangkat senjata’ di medan peperiksaan trial PMRU, PMR, SMU, SPM, dan STAM, cikgu doakan semoga berjaya!