Archives

Hadiah kemenangan

ALHAMDULLILAH

Syukur padaMU ya ALLAH.

Adik-adik saya menang dalam pilihanraya kampus kali ini.

Kenangan mendapat kemenangan pada sesi lepas sememangnya menggamit memori saya. ALLAHURRABBI.. Indah, tapi mengisi kemenangan itu lebih besar dan berat tugasnya.

Biarpun bilangannya lebih sedikit dengan 6 orang wakil berbanding 8 orang pada sesi saya, namun bilangan bukan menjadi ukuran. Saya yakin mereka-mereka ini insan-insan terpilih untuk menjadi suara mahasiswa. Besar amanah tanggungjawab yang perlu digalas. Tahniah dan takziah untuk adik-adik pilihan ALLAH.

Pilihanraya kali ini menyaksikan peningkatan peratusan jumlah mahasiswa yang turun mengundi, jika dahulunya 60 % kini jumlahnya meningkat pada 80%. Peningkatan yang memberansangkan. Mahasiswa UPSI telah buktikan bahawasa kalian sememangnya bertanggungjawab dalam memilih pemimpin untuk mewakili anda.

Pilihanraya merupakan medan yang paling banyak member impak kepada saya selaku bergelar anak kandung suluh budiman. Pengalamannya tiada galang ganti. ALHAMDULLILAH, saya pernah melaluinya. Kini giliran adik-adik untuk mencorakkan kepimpinan kalian. Sudah pasti rentak dan caranya berbeza. Yang paling penting, jagalah ALLAH, ALLAH akan menjaga kalian.

Biar apapun cabarannya selepas ini, harus ditempuhi dengan redha dan sabar. Sentiasa berbincang dalam mencari penyelesaian terbaik bagi sesuatu pemasalahan.  Tugas ini sememangnya tiada bayaran di dunia, moga-moga kalian terus tabah dalam memikul amanah ALLAH. ameen.Teruskan mengorak langkah!

p/s : Tagline saya  dahulu ”Mahasiswa Berkebajikan Pencetus Revolusi’ dan sememangnya laungan keramat ‘REVOLUSI’ di kampus UPSI masih lagi segar dalam memori saya… 🙂

Tokoh berpengaruh di dunia Islam 2009

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah disenaraikan antara ’50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia‘.

Menteri Besar Kelantan itu,  disenarai di tempat ke 42 dalam senarai ‘500 Muslim yang Berpengaruh Tahun 2009’.

The Royal Islamic Strategic Studies Center untuk pertama kalinya menerbitkan buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” tahun 2009.

Para tokoh muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam daftar itu adalah kalangan Muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan kemanusian dan mampu membawa perubahan dalam kehidupan ramai orang.

“500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia” sepanjang tahun 2009 itu, dibahagi dalam 15 katagori, antara lain katagori ulama, politik, cendekiawan, perempuan, pemuda, ilmu dan teknologi, media sampai kategori muslim radikal.

(Nik Aziz ditangga ke 42 Muslim paling berpengaruh di didunia)

Tokoh Muslim dunia lainnya yang masuk dalam daftar 50 tokoh peringkat teratas dimulai dengan, Raja Saudi, Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud; pemimpin spritual Iran, Syed Ali Khamenei; PM Turki Recep Tayyib Erdogan; Imam Besar Masjid Al-Azhar dan Pimpinan Universitas Al-Azhar, Kairo, Dr Muhammad Sayyid Tantawi; Syaikh Yusuf Al-Qaradawi; Pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir Syaikh Mohammad Mahdi Akef, Sekjen Hizbullah, Syed Hassan Nasrallah dan Pimpinan Hamas, Khaleed Mishal.

Nama Anwar Ibrahim turut disenaraikan di dalam lis 450 “Honourable Mention” di dalam pencapaian di bidang masing-masing dan diantara tokoh Islam yang signifikan di dalam dunia.

Nama Anwar Ibrahim tersenarai di bidang politik berserta dengan nama Tun Dr Mahathir Mohammad tetapi nama Mahathir tidak disenaraikan di dalam “Honorable Mention”.

Dari kalangan cendekiawan, daripada Malaysia yang tersenarai ialah Prof Emeritus Datuk Osman Bakar, Timbalan Naib Chancellor, Universiti Malaya dan Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali.

Mohideen Abdul Kadir, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang di dalam kategori Pembangunan sementara Kumpulan Raihan turut tersenarai di dalam katagori Seni dan Budaya.

Dalam pengantar buku yang diterbitkan untuk membantu dan membuka wawasan tentang pengaruh umat Islam di dunia saat ini dan beragamnya kelompok-kelompok Islam yang ada di seluruh dunia.

Penyusunan buku ini melibatkan pengamat dunia Islam yang namanya sudah dikenal secara meluas di dunia antarabangsa, Profesor John Esposito dan Profesor Ibrahim Kalin sebagai editor utama.

Ada apa dengan jawatan?

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

“Permohonan mengikuti kursus kepimpinan mahasiswa 2009”

Saya cermati notis yang baru dinaikkan oleh JHEPA. Saya yakin masanya kian hampir. Mungkin kali ini juga konsep 3 kem sebagai pra syarat untuk menjadi mpp akan terus digunakan. Perlu persiapkan diri dari segi spiritual dan mental sebaiknya.
Seharusnya mengikut AUKU, tarikh perkhidmatan saya sebagai mpp upsi 08/09 telah sampai ke penghujung pada tanggal 8.11.2009. Genap setahun saya memakai baju amanah sebagai mpp, dan seharusnya ianya digantikan dengan pemilik yang baru.

kepimpinan

Mengimbau saat-saat menyertai kursus kepimpinan mahasiswa sebagai syarat kelayakan awal untuk menjadi mpp sememangnya ianya merupakan satu coretan peristiwa yang akan terus segar dalam lipatan sejarah hidup saya. Tidak putus-putus istikharah yang dibuat dalam menetapkan hati bagi meneruskan keputusan untuk bertanding sebagai bakal mpp. Dan akhirnya, saya bulatkan tekad, dengan bersandarkan padaNYA, saya tahu keputusan ini juga bakal meletakkan saya ke dalam pahit manis, suka duka sebenar sebagai pemimpin mahasiswa.

Tertanya-tanya pada diri, apakah ertinya saya memegang jawatan? Kini saya yakin saya hampiri jawapannya. Berjawatan tinggi adalah anugerah ALLAH. Ia juga satu tanggungjawab. Satu amanah besar daripada ALLAH. Bukankah rezeki dan ajal maut di tangan ALLAH. Mungkin benar kita adalah manusia bijak, pandai, berdisplin, gigih berusaha dan berhak mendapat jawatan-jawatan yang disandang.

Bagaimanapun, kita sering kali lupa, hakikat sebenar, ia hanya dapat disempurnakan dengan izin ALLAH. Inilah motivasi utama kenapa mereka yang berjawatan tinggi perlu melihat jawatan tersebut dalam konteks hubungan hamba dengan Pencipta. Jelas, ALLAH boleh memberi kerajaan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Malah Dia boleh menariknya kembali pada bila-bila masa sahaja.

Saya merasai kemanisannya saat-saat mengadu kepadaNYA, disaat diri ini tidak mampu untuk menangggung amanah hampir 14000 mahasiswa/i upsi yang menuntut hak-hak mereka untuk ditunaikan. Benar, berjawatan tinggi ternyata lebih mudah bagi menghampirkan diri kita kepada ALLAH. Dalam konteks yang lain, sebagai pemimpin, perlu bertindak dalam memperjuangkan hak-hak mahasiswa sebaiknya biarpun kadang-kala berjaya mahupun gagal. ALLAH suka mereka yang berusaha dan sentiasa berani menyatakan kebenaran. Ketika ini, kebergantungan kepadaNYA juga menjadi sandaran utama. Belum lagi menceritakan saat-saat ketika menghadapi fitnah yang tidak pernah surut sepanjang memegang amanah ini. Sebagai pemimpin, perlu bersedia dengan keadaan –keadaan ini. Berkali-kali saya membaca firman ALLAH buat peringatan diri,

“Dan ketika Tuhan mengatakan kepada malaikat, ‘Aku menempatkan khalifah di bumi’. Kata malaikat, ‘Mengapa Engkau menempatkan di muka bumi orang yang akan membuat bencana disitu dan menumpahkan darah, sedangkan kami tasbih memuji Engkau dan mensucikan (memuliakan) Engkau’. Tuhan menjawab. ‘Sesungguhnya aku lebih tahu apa yang tidak kamu ketahui’”.

(Surah al-Baqarah, ayat 30)

Benar, pemimpin mahasiswa bukannya tugas yang mudah. Begitu tingginya amanah dan harapan ALLAH letakkan kepada mereka yang berjawatan tinggi dan menjadi pemimpin mahasiswa. Allahurrabi, adakah saya telah menunaikan hak-hakNYA sebaiknya?

Kepada adik-adik yang akan meneruskan kepimpinan mpp selepas ini, persiapkan diri sepenuhnya. Siapa lagi kalau bukan anda untuk menyambung amanah seterusnya.

Bila wanita memimpin

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Menyedari hakikat kepentingan wanita dalam kepimpinan sememangnya menarik minat saya untuk sedikit mencoret mengenainya. Telah lama saya tangguhkan menjawab soalan mengenai kepimpinan wanita. Memakai baju amanah sebagai mpp yang kian lusuh, saya kira  ianya perlu kepada pemilik yang baru. Kepimpinan wanita sememangnya menimbulkan pelbagai pendapat dan pandangan di kaca umum.

Kejayaan tamadun awal dalam mencapai tamadun tinggi telah melahirkan para cendekiawan dan ahli falsafah yang terkemuka. Namun, arus kemajuan ini tidak melibatkan kaum wanita. Secara tradisi, peranan wanita hanyalah dalam rumahtangga sahaja. Malah mereka dianggap tidak mempunyai hak untuk bersuara, statusnya dalam kasta kedua dan mereka hanya sebagai pengikut lelaki sahaja. Tanggapan ini telah tertanam teguh dalam jiwa masyarakat sehinggalah kedatangan Islam.

Sesudah kedatangan Nabi Muhammad s.a.w., Islam telah mengangkat darjat kaum wanita. Mereka mendapat hak yang sewajarnya sesuai dengan risalah penciptaan wanita. Islam memperakui wanita berhak mendapat penghargaan sebagai seorang ibu, isteri dan anak perempuan. Mereka juga manusia mukalaf dan berhak beribadat, beragama serta bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perilakunya di dunia dan akhirat. Wanita juga berhak memiliki harta, mentadbir serta menguruskannya.

Kisah kepimpinan wanita yang diceritakan dalam al-quran sedikit sebanyak menarik minat saya untuk dikongsikan bersama pembaca sekalian. Kepimpinan wanita di peringkat tertinggi iaitu Ratu Balqis, digambarkan sebagai seorang pemimpin wanita tertinggi negara yang berwibawa serta mampu membawa kaumnya kepada kebaikan dunia akhirat. Firman Allah SWT:

Mafhum : Berkatalah kami (lelaki) yang mempunyai kekuatan, sesungguhnya kami serahkan urusan ini kepdamu ( ratu balqis) …” berkatalah Balqis “ Demi Tuhanku sesungguhnya aku telah berlaku zalim terhdp diriku nescaya kini aku akan beriman kepada Allah bersama Nabi Sulaiman” ( An-Naml 33 dan 44)

Dalam konteks mahasiswa, sememangnya di universiti telah mampu untuk melahirkan beberapa pemimpin wanita yang akhirnya mampu untuk berpencak di peringkat nasional. Dengan amanah yang dipegang sepanjang memegang tampuk mpp, sememangnya masih banyak perkara yang belum saya pelajari dan belum terlaksana sepenuhnya. Hakikatnya menjadi pemimpin mahasiswi realitinya memerlukan kesabaran dan kesediaan dari segi mental dan spiritual yang tinggi. Pelbagai ujian yang dihadapi sebenarnya mampu untuk menjadi tauladan dan bekalan untuk kita sendiri menghadapi masa depan yang sememangnya lebih lagi mencabar.

Seringkali saya memujuk diri supaya berusaha melaksanakan amanah dengan sebaiknya dan insyaALLAH pertolongan ALLAH itu akan datang. Keikhlasan merupakan kunci untuk kita sentiasa memberi yang terbaik. Maka, biarlah setiap kali ujian itu datang, kita masih mampu untuk bangun dan berlari bergerak ke hadapan. Maka, untuk mahasiswi pemimpin sekalian, saya yakin kalian sememangnya mampu untuk menjadi yang lebih baik andainya kalian sentiasa optimis untuk menghadapi cabaran yang datang. Sudah banyak kita disajikan dengan kisah-kisah teladan wanita sebagai pemimpin, dan saya tampilkan beberapa figura penting yang boleh dijadikan panduan kita semua.

zainab-al-ghazali

_datin-seri-wan-azizah-wan-ismail

Sehingga saat ini saya masih lagi belajar dan terus belajar untuk memimpin. Leaders are learners. Pemimpin adalah individu yang sentiasa belajar. Malah, satu ungkapan lain yang sering kali menjadi semangat untuk meneruskan amanah yang berbaki ialah saat kita berhenti belajar saat itulah kita akan berhenti memimpin. When you stop learning, you are stop leading. Hakikat ini menunjukkan bahawanya, kita mesti terus belajar untuk terus memimpin, setidak-tidaknya memimpin diri sendiri. Anda bagaimana?

PERUTUSAN HARI RAYA EIDUL FITRI 2009/14230H

PERUTUSAN HARI RAYA EIDUL FITRI 2009/14230H

MPP PRO KEBAJIKAN

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

Assalamualaikum wbrkth dan Salam Kebajikan,

Segala puji dan syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam di atas segala nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada kita selaku para hambaNya yang diberi kemudahan untuk berada dibumi Universiti Pendidikan ini. Tasbih, tahmid dan istighfar kita ucapkan bagi menyucikan segala dosa,noda dan kekurangan diri kita yang tidak pernah lekang dari kecuaian serta kemaksiatan kepada-Nya.

Selawat dan salam kita lafazkan khusus untuk junjungan besar Rasulullah sallallhu alaihi wasallam, Nabiyyul Rahmah, petunjuk kepada mereka yang rindukan hidayah, inginkan salamah,juga berkat di dunia dan akhirat.

Sahabat-sahabat dan seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dikasihi,

Selamat menyambut Aidulfitri dari kami barisan MPP Pro-Kebajikan UPSI. Hari kemenangan bagi ahli-ahli ibadah yang telah berjaya kembali kepada fitrah setelah tiga puluh hari melatih nafsu buas untuk menjadi muthmainnah (tenang/tunduk) dan juga menjadi orang-orang yang bertakwa.

Dalam detik masa yang penuh berharga dan barakah ini marilah kita sama-sama merenung sejenak hari-hari yang telah berlalu dalam bulan yang penuh mulia yang telah kita lalui bersama-sama di Universiti Pendidikan tercinta ini.

Bersama kita bersyukur sekiranya kita berjaya mendidik jiwa kita ke arah yang lebih baik dari sebelumnya. Sudah pastinya, latihan tadarrus al-Quran, tarawih berjamaah, majlis ilmu dan qiam ditengah malam menjadi kenangan manis bulan ramadhan dibumi UPSI yang tercinta ini, yang tidak akan dapat dilupakan oleh kita semua dan sayugia jangan dilupakan pada hari-hari yang mendatang.

Bersama kita ishtighfar, jikalau ruang masa di bulan Ramadhan ini hanya diulit tidur panjang yang lena, kata-kata yang tidak bermakna atau sekadar mengisi perut yang lapar di waktu berbuka. Apatah lagi membuat dosa. Kami memohon ampun dari-Mu ya Allah.

Rakan-rakan mahasiswa dan seluruh warga UPSI sekalian,

Perjuangan menuntut ilmu di bumi Universiti Pendidikan Sultan Idris ini penuh dengan duka lara. Sentiasa teringatkan suasana permai desa dan senyum tawa ibunda dan ayahanda. Manis riang juga timbul sekali sekala ketika bersama-sama sahabat tercinta yang menjadi anggota keluarga di mana-mana jua. Sudah menjadi lumrah dunia mahasiswa. Al-Imam al-Syafei berkata ilmu tidak akan dapat dicapai melainkan dalam keadaan susah dan derita. Maka marilah kita sama-sama menggunakan peluang keberadaan di kampung halaman untuk memohon maaf kepada kedua ibu-bapa, kaum kerabat, sahabat-sahabat dan seluruh umat Islam amnya.

Bagi yang tidak pulang, bersabarlah. Di hari raya ini usahlah banyak kita melayan perasaan sedih teringatkan ayah bonda dan sanak saudara dikampung atau yang telah pergi. Banyakkan bertakbir dan hayatilah roh hari raya yang diajarkan oleh agama kita. Hari raya ialah hari kemenangan bagi seluruh umat Islam. Keperitan dan mehnah yang dilalui di Universiti Pendidikan ini kadang-kadang diperlukan oleh kita untuk menjadi matang juga mengenal kehidupan. Islam dalam sejarahnya yang agung juga tidak terlepas dari dikunjung ujian dan dugaan.

Jagalah Keselamatan Diri dan Berhati-hati Bagi yang Memandu

Menyedari dan menginsafi tanggungjawab kami selaku kepimpinan pelajar UPSI, kami dengan rendah hati memohon sahabat-sahabat mahasiswa berhati-hati dan senantiasa menjaga keselamatan diri tatkala pulang dan datang dari kampung. Bagi yang menaiki bas terutamanya yang terpaksa menaikinya di KL, berwaspadalah dan bawalah teman seiring semasa perjalanan ke Kuala Lumpur. Senantiasa prihatin terhadap barang-barang penting seperti komputer riba, dompet dan sebagainya agar tidak tercicir.

Bagi yang memandu kenderaan sama ada kereta atau motorsikal, berhati-hatilah ketika memandu dan pastikan kenderaan sahabat selamat dan berada dalam keadaan baik sebelum meneruskan perjalanan pulang. Jangan memandu dengan tergesa-gesa, bersabarlah di jalan raya. Moga-moga kita dilindungi Allah dari musibah.

Kirimkan Ucapan Salam Aidilfitri Dari Kami

Kami barisan MPP Pro-Kebajikan ingin memohon sahabat-sahabat mahasiswa sekalian untuk menyampaikan ucapan salam eidulfitri buat ayahanda dan ibunda tercinta dan tidak lupa juga buat sanak saudara dikampung. Sampaikanlah ucapan selamat sejahtera dan salam kemenangan dari kami teman seakidah dan se-Islam sahabat sekalian.

Mohon Kemaafan dari Segala Kesilapan,

Akhir kalam, cukuplah sekadar itu dari kami barisan MPP Pro-Kebajikan. Kami dengan rendah hati memohon kemaafaan dari seluruh sahabat-sahabat mahasiswa dan seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dicintai ini atas segala kesilapan dan kekurangan kami disepanjang tahun sebelum ini. Moga-moga dengan kemaafan diberikan kita dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan atas nama Islam.

Marilah kita doakan semoga Ramadhan yang telah kita lalui benar-benar diterima oleh Allah s.w.t sebagai bekalan kita di hari akhirat kelak. Sambutlah Hari Raya pada kali ini dengan penuh rasa keinsafan dan syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan. Sesungguhnya nikmat Allah yang dianugerahkan tidak bertepian. Gunakanlah hari raya ini untuk kita mengukuhkan lagi ukhuwwah dan persaudaraan antara kita semua dan berusahalah untuk kita menjadi Ummatan Wahidah Fil Amal al-Islami (umat yang bersatu dalam amal Islam.

Salam Aidulfitri,

Akmal b. Madzir
Norhafizawati bt. Mahmad Rozali
(Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPPUPSI 08/09)

Arif b. Mohamad
Nur Aqilah Hanis bt. Mohd Yusoff
(Exco Akademik dan Kerjaya MPPUPSI 08/09)

Mohd Zulhilmi b. Mohamad
Adriyani bt. Yamin
(Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan MPPUPSI 08/09)

Norhisyam b. Che Hamid
Mohd Hanif Hazwan b. Ab. Rahman
( Exco Kesenian dan Kebudayaan MPPUPSI 08/09)

30 jam misi kebajikan

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Syukur, saya baru selamat tiba dari menziarahi keluarga arwah norazlina. Misi kebajikan dalam tempoh 30 jam dilalui dengan penuh pengalaman. Ini kali kedua saya menyertai sahabat saya adriyani yamin dan saudara zulhelmi (kedua-duanya exco kebajikan dan kemasyarakatan mpp 08/09) bagi menziarahi keluarga pelajar UPSI meninggal dunia dan menguruskan beberapa urusan termasuk dokumen-dokumen yang diperlukan untuk tuntutan insuran . Kali pertama di Pulau pinang dan kali ini di kampung jelawat, kelantan. Kedua-duanya membawa amanah pelajar dan juga tanggungjawab sebagai pemimpin biarpun pelajar telah meninggal dunia.

sekitar ziarah ke rumah arwah

Bermula seawal jam 3 petang, beberapa sahabat saya telah berusaha memindahkan barang-barang arwah ke dalam van upsi. Perasaan yang sama ketika melihat barangan arwah nurlina dahulu(pelajar math). Saya sedikit lambat untuk turut serta mengangkat barang-barang arwah berikutan sebelumnya berurusan dengan pensyarah dan juga dekan bagi program Sekolah Agama Rakyat yang kebetulannya pada hari yang sama. (Terima kasih kepada sahabat saya merangkap rakan exco biro akademik dan kerjaya mpp 08/09, nurul sebtuyah dan normala yang amat membantu dalam melancarkan urusan projek SAR ini).

Arwah Norazlina maut dalam satu kemalangan jalan raya 28 Ogos lalu. Rombongan saya kali ini ke Kampung Tualang Salak, Jelawat Kelantan selamat sampai kira-kira jam 10.00 pagi, dan disambut dengan linangan air mata nenek arwah  yang begitu terasa kehilangannya. Suasana suram. Saya yakin semua ahli keluarga begitu terkesan melihat barang-barang arwah diangkat dari kenderaan. Menyelami hati seorang ibu yang baru kehilangan anak benar-benar memberi keinsafan. Arwah anak yang baik. Tatkala baru berusia 27 tahun, dua tahun bekerja,  arwah tidak pernah melupakan ibu dan ayah dan tanggungjawab sebagai anak dengan memberikan rm150 sebulan biarpun punya tanggungan lain.

Peluang bertemu keluarga arwah dimanfaatkan sepenuhnya dengan penyerahan wang derma lebih dari rm1500 oleh pelajar-pelajar UPSI yang prihatin dan diwakilkan kepada exco kebajikan dan kemasyarakatan mpp 08/09. Terima kasih kepada mahasiswa/i UPSI yang sudi menderma apatah lagi di bulan ramadhan yang penuh berkah ini.  Kami berangkat pulang semula ke UPSI jam 1 tengahhari apabila selesai semuanya. Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah untuk arwah norazlina.

petikan akhbar

p/s : terima kasih kepada saudara zulkefli dan sahabat-sahabat yang terlibat samaada secara langsung dan tidak langsung dalam membantu keluarga arwah. Hanya allah membalas jasa kalian.

Lagi di Perak

Question Marks

Dari Roslan SMS

Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan bekas MB Dr Zambry Abd Kadir bagi menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam (yang mengisytiharkan Nizar Jamaluddin sebagai MB perak yang sah). Dengan keputusan ini bermakna jawatan MB kembali kepada Dr Zambry sehinggalah keputusan rayuan kesnya bagi menetapkan siapakah MB yang sah di Perak didengari oleh mahkamah yang lebih tinggi.

Nampaknya kemelut politik di Perak ini tidak akan berkesudahan.

Sebelum itu ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah diberitakan mencadangkan agar dewan Perak segera dibubarkan bagi mengatasi krisis ini. Kembalikanlah hak kepada rakyat untuk membuat keputusan, ini negeri mereka. Dan ternyata mahkamah bukannya isntitusi terbaik untuk menyelesaikan krisis ini.

Saya sendiri tidak dapat membayangkan apa yang bakal berlaku dengan keputusan Mahkamah Rayuan ini. Yang peningnya kakitangan kerajaan dan seluruh rakyat Perak.

Kepada Allah kita berserah.

Caca merba sidang DUN PERAK

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Dengan mengikuti perkembangan sidang dun yang berlaku di Perak, inilah yang dikatakan demokrasi apabila :

ada dua speaker

ada dua menteri besar

Muak dengan demokrasi di malaysia.

Aksi-aksi sepatutnya tidak berlaku akhirnya memburukkan imej malaysia diperingkat antarabangsa.

Tiada dalam sejarah protokol, apabila tetamu terhormat terpaksa menunggu lebih daripada 6 jam untuk merasmikan sidang dun.

Speaker seharusnya punya kuasa kebal.

sivathehero

ne_01.1

ne_01.2

ne_01.3

Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Aziz Bari menyifatkan kejadian yang berlaku itu sebagai detik hitam terbaru dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia.
“Apa yang kita lihat di DUN Perak pada hari ini sangat memalukan di segi demokrasi di negara kita. Saya fikir ini satu perkara yang salahnya BN sendiri kerana memulakannya. Mereka sepatutnya mengikuti peraturan dan amalan yang biasa dilakukan.
“Tindakan menggunakan anggota polis untuk mengusir keluar Speaker dan Adun daripada dewan merupakan peristiwa hitam dalam sejarah demokrasi dan hidup berpelembagaan di Negara kita,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau membidas tindakan polis menceroboh masuk DUN Perak untuk mengheret keluar Spekaer V.Sivakumar dari Pakatan Rakyat.

Menurutnya, tindakan mematikan pembesar suara Sivakumar sejak awal lagi agak jelek dan tidak patut berlaku dalam sebuah demokrasi moden.

Secara keseluruhan Dr Aziz menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional adalah tidak betul.

Katanya, rampasan kuasa oleh BN dan tindakan susulan parti itu dalam cubaan menghalalkannya amat tidak disenangi oleh rakyat.

“Jadi saya fikir apa yang berlaku di Perak sejak kebelakangan ini, memang tidak sukar dihukum oleh rakyat,” katanya.

Saya lontarkan soalan mudah :

Jika anda punya kuasa, apakah pilihan anda untuk menyelesaikan masalah ini?

Watikah diterima

cimg1404

Barisan ahli Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sesi 2008/2009

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Baru hari ini saya melihat semula watikah yang diterima semalam. 8 November 2008. Saya menerima taklifan secara rasmi sebagai “Exco Akademik & Kerjaya” ahli Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi 2008/2009. Majlis yang berlangsung semalam cukup pantas dan tersusun.

Suasana hujan mengiringi sepanjang berlangsungnya majlis. Saya menerima beberapa panggilan dek kerana kelewatan tersekat di dalam hujan. Ketibaan saya dan 2 orang lagi sahabat  sedikit lambat sehinggakan majlis bermula terlebih dahulu.

Ikrar dilafazkan.  Yang pastinya tangan saya menggeletar ketika mengangkat ikrar.  Mandat itu diterima. Tangan-tangan yang mengundi saya menuntut haknya untuk dipenuhi biarpun dimana posisi saya. Tidak seharusnya amanah itu dikhianati. Maka, dengan kapasiti yang ada, saya akan teruskan. Dalam tempoh perkhidmatan saya nanti, sukar saya gambarkan perjalanannya. Moga saya diberi kekuatan olehNYA untuk terus menggalas amanah ini. Ayuh, teruskan bersuara bersama saya!

Mahasiswa Pemacu Perubahan

NUR AQILAH HANIS BT MOHD YUSOFF

Kes Ragut mutakhir ini

Bismilahhirahmanirrahim

ALHAMDULLILAH.

Dalam kesibukan kita untuk mengulangkaji pelajaran, suka saya memberi sedikit memberi peringatan kepada mahasiswa-mahasiswi UPSI yang berkenderaan dan melalui kawasan di hadapan Dusun Bay (kedai makan yang berdekatan dengan kolej harun aminurrashid dan menghala ke kampus). 

Saya menerima beberapa laporan yang menyatakan terdapat kes mahasiswi UPSI yang berkenderaan terutamanya bermotosikal diragut beg kuliahnya yang mengandungi segala maklumat penting  apabila melalui kawasan di hadapan dusun bay. Sedikit sebanyak hal ini menjejaskan penunggang motosikal terutamanya mahasiswi untuk melalui kawasan tersebut.  Sepanjang saya berada di UPSI, telah beberapa kali kes ini dimasukkan dalam pemantauan pihak berkuasa di sekitar Tanjung Malim. Dan hasil akhirnya, kejadian ini masih lagi berlaku.

Saya sempat meminjam motosikal salah seorang rakan saya untuk merasai sendiri keadaan apabila berkenderaan berseorang di hadapan kawasan kejadian. Jujurnya saya menyatakan, beberapa langkah keselamatan harus diambil untuk mengelakkan kes ragut ini terus berlaku. Saya syorkan mengikut kesesuaian pelajar-pelajar di UPSI, tidak dapat tidak kita terpaksa menggunakan jalan tersebut memandangkan ianya satu-satunya jalan yang boleh menghubungkan kolej harun dengan kampus.

1) Mahasiswa/wi tidak digalakkan meletakkan beg kuliah di dalam bakul kenderaan, bagi mengelakkan senang diragut.

2) Silangkan beg kuliah atau handbag dibahu apabila berkenderaan.

3) Hendaklah berwasapada selalu, andai kita merasai seseorang yang mencurigakan mengekori kita, hendaklah segera menuju ke tempat lain.

4) Baca doa pendinding ketika keluar untuk perjalanan kerana semua yang berlaku tidak akan berlaku tanpa izin ALLAH

Ini merupakan beberapa langkah-langkah keselamatan selepas saya merujuk kepada beberapa artikel yang dikeluarkan kementerian dan disesuaikan dengan persekitaran UPSI.

InsyaALLAH, moga kita sama-sama mengambil peringatan dan sentiasa berwaspada walau dimana kita berada.

P/s : Jaga kad matrik. ic dan slip peperiksaaan untuk menduduki peperiksaan esok. Semoga kita semua mendapat kecemerlangan yang diinginkan.