Archive | February 2010

Bedah buku: Hebatnya Cara Rasullah Mendidik

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Syukur saya berjaya tamatkan pembacaan buku yang baru sahaja dibeli semasa pulang bercuti tahun baru cina. Mengisi selang-selang waktu mengajar perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Sungguh, buku ini hadir tepat pada waktunya dalam memberi suntikan semangat buat diri untuk meneruskan perjuangan di dalam profesion perguruan.

Seolah-olah ‘terkena’ pada batang hidung sendiri apabila menghayati setiap bait-bait ayat yang digunakan oleh penulis buku ini. Mungkin juga penulisnya Cikgu Razali bin Saaran ini juga merupakan bekas pelajar UPSI yang telah bergelumang dalam bidang pendidikan ini lebih lama, menyebabkan buah tangan beliau yang dihasilkan tidak mengecewakan untuk dibaca. Alhamdullilah.

HEBATNYA CARA RASULULLAH MENDIDIK mengupas tentang peranan para guru dalam membimbing anak bangsa bukan hanya sekadar mengajar bahkan juga menitikberatkan akhlak para guru ketika mengajar dan membimbing pelajar agar keberkesanan dalam pengajarannya dapat dirasai oleh para guru seterusnya juga diterima baik oleh anak didik. HEBATNYA CARA RASULULLAH MENDIDIK memberi tumpuan kepada kaedah-kaedah yang digunakan oleh Rasulullah SAW dalam menyampaikan ilmu serta nasihat kepada para sahabat. Di selitkan juga cara-cara Rasulullah SAW bersoal-jawab, bergurau senda, memberi nasihat dan dalam meraikan para pelajarnya.

Rindu pada Rasullah ketika membaca buku ini.

Sesungguhnya Rasullah SAW adalah manusia terbaik yang diciptakan oleh ALLAH di muka bumi ini. Terasa diri begitu kerdil tatkala berbicara mengenai Rasullah. Carilah dan singkaplah sedalam mana pun lipatan sejarah, sudah tentu kita tidak akan bertemu dengan kisah sejarah yang begitu hebat melainkan insane bernama Muhammad SAW. Buku ini tiada lain dapat memberi sedikit input dan kesedaran buat diri bergelar pendidik, bahawasanya kita juga ada sumber rujukan yang maha hebat daripada seisi dunia iaitu Rasullah SAW.

Benar, Rasullah SAW itu adalah guru segala guru dan bagindalah panduan terbaik buat kita semua.

Jom Baca!

Advertisements

Raikan perbezaan

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Saya senang untuk meraikan perbezaan antara pelajar-pelajar saya. Biarpun kadangkala saya tewas dengan kesabaran yang tipis untuk terus mendidik dan memberikan yang terbaik kepada pelajar-pelajar.

Bagaimana perasaannya apabila kita dihadapan, dan yang dibelakang pula sibuk bermain?

Geram?

Hilang sabar?

Bagaimana perasaannya tatkala kita bersungguh-sungguh menyampaikan isi pengajaran yang penting, namun soalan yang tiada kaitan dengannya pula yang ditanya?

Perlu marah?

Saya kira ianya suatu yang normal. Sedangkan saya juga manusia biasa. Tiada sangka, perbezaan yang wujud antara pelajar-pelajar saya menyebabkan saya kadangkala mencari dimana dan mengapa silapnya. Saya dahulunya juga seorang pelajar. Malah, saya tiada pernah berani meninggikan suara apatah lagi menjentik hati-hati guru saya dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan.

Menyelusuri kisah imam syafie dengan gurunya, menyesakkan dada saya membandingkan dengan pelajar-pelajar saya sekarang.

Manusia agung yang lahir dalam lipatan sejarah juga hasilnya sebagai seorang cendiakawan. Betapa pelajar kita amat-amat sukar untuk menjumpai akhlak seorang pelajar persis imam syafie. Lihat sahaja kerendahan hatinya bila bersama guru.

Imam Asy-Syafi’e pula ada berkata: “Aku membelek kertas di hadapan Imam Malik dengan perlahan-lahan kerana menghormatinya supaya dia tidak mendengar(bunyi selakan itu, lantas menganggu pengajaran)”

Subhanallah, betapa hebatnya pelajar seperti imam syafie. Itu dahulu.

Namun kita, realitinya bukan senang untuk seorang pelajar sedikit hormat pada gurunya. Bukan semua pelajar begitu, tetapi ianya seperti kelaziman, dalam sebuah kilang manusia yang ingin dihasilkan, seorang enggineer akan menemui kerosakan 20-40% pada hasil akhirnya.

Seorang guru juga insan biasa yang tiada sunyi dari melakukan kesilapan. Kita tidak pernah rugi untuk menghormati guru, malah akan mendapat keberkatan berterusan dengan setiap ilmu yang diredhai. Allahurrabi.

Benar, perlu kita raikan kepelbagaian yang wujud dikalangan pelajar. Namun sebagai guru, harus juga kita bijaksana untuk menangani setiap karenah dan akhlak-akhlak pelajar yang perlu diselamatkan.

Mendidik selagi termampu.

Sebagai guru, tugasnya bukan sahaja mengajar atau menyampaikan ilmu, tetapi setiap ilmy yang disampaikan itu mestilah hadir bersama unsur didikan. Ianya sukar, namun saya yakin guru-guru sedar ini adalah tanggungjawab yang perlu digalas.

Teruskan, selagi kita punya tanggungjawab untuk menyampaikan dan mendidik, sampaikanlah yang terbaik, biarpun kadangkala ianya dilihat pelik pada pandangan sesetengah manusia tetapi tidak pada pandangan ALLAH. Maka tidak perlu kita bertangguh lagi wahai guru, lakukannya dan berserahlah jua kepada ALLAH.

Pahit maung untuk meneruskan kisah duka sebagai pendidik akan terus saya rakamkan, agar ianya menjadi iktibar buat diri dan rakan-rakan pembaca sekalian.

Tuhan perhatikan kita

Bismillahirrahmanirrahim

Tidak betah saya melihat berita didada akhbar yang memaparkan kes-kes buang bayi secara berleluasa. Hasil buah cinta yang disemai akhirnya berakhir di kawasan pembuangan sampah, ditepi-tepi masjid dan kawasan semak samun. Bagaikan menjadi seperti musim ‘baru’, tatkala pembuangan bayi di merata-rata dianggap perkara biasa. Inilah bahana pabila kita acapkali lupa, tuhan seringkali perhatikan kita.

Sekian lama saya memerhatikan kebejatan masalah social ini, berada dalam keadaan sebenar di sekolah menjadikan saya lebih dekat untuk mencari punca mengapa dan dimana silapnya. Allahurrabi.

Lumrahnya manusia akan berusaha menyembunyikan sesuatu kesalahan yang dilakukannya daripada pengetahuan orang. Daripada sanggup menipu sehinggalah sanggup bergolok gadai demi memelihara rahsia keaiban diri. Dengan kecanggihan teknologi masakini, gejala menyembunyikan kesalahan semakin ketara dan sukar dikesan. Apatah lagi sekadar melakukan maksiat demi memuaskan kehendak nafsu ianya dianggap mudah dalam masyarakat hari ini.

Si dara tidak pernah kisah si teruna menyentuh jasad demi membuktikan cinta sejati. Sehingga tiada sedar bahawasanya cinta mereka telah tersemai benih di dalam rahim. Dan akhirnya tiada azan, tiada iqamat yang menyambut kedatangan si bayi. Jalan terakhir, biarlah si bayi bersemadi, dibakar sehingga tiada siapa yang mahu peduli lagi. Inilah pembuktian cinta abadi.

Tuhan seringkali perhatikan kita.

Seringkali kita bergelak ketawa, bertepuk tampar bergembira dengan setiap maksiat yang dilakukan. Makhluk yang bernama manusia sememangnya tidak mengetahui setiap inci kesalahan yang dilakukan, namun ingatlah, setiap derai ketawa akan berganti dengan tangis yang tiada henti apabila dihadapan ALLAH kelak, pabila disana nanti baru kita sedari, hakikatnya Tuhan sering perhatikan kita.

Memberi dan memberi

Bismillahirrahmanirrahim

Loceng pertama selepas waktu rehat dibunyikan.

Bergegas saya mengemas barang bersiap sedia untuk ke kelas 4 Alpha. Saya tekad untuk habiskan sedikit lagi konsep kimia yang berbaki, kali ini biarpun sedikit, saya cuba berikan yang terbaik.

Ingatan saya kembali kepada perbualan ringkas seawal pagi lagi.

‘Susahlah qilah, dah berkali-kali ain terangkan pada diorang, siap bagi contoh lagi, tak faham-faham juga, habis masa setengah jam sahaja asyik menerang definisi je!’, saya cuma mengangguk faham tanda setuju dan memahami keadaan yang dialami rakan saya yang juga turut sama berpraktikal di sekolah yang sama.

Rungutan yang sama juga saya terima dari cikgu-cikgu senior yang duduk berhampiran saya. Luahan-luahan ini merupakan keluhan lazim seorang guru apabila keluar dari kelas. Apatah lagi jika mengajar di kelas yang ‘hujung-hujung’.

Saya juga sama. I believe in blackboards, chalk dust, textbooks, and computers for each has a part in imparting knowledge. I believe in my students…young and old…black and white…rich and poor..malays, chinese, indians..each in need of learning. Cuma sentiasa saya ingatkan pada diri, berikan masa untuk pelajar-pelajar fahami dan cerna setiap isi pelajaran yang disampaikan. Biarpun kadangkala saya risau melihat wajah-wajah pelajar yang berkerut dan melopong bila ditanya semula. Namun tugas guru hanya mampu untuk memberikan yang terbaik kepada pelajar. Itulah guru!

Mulianya guru, cuma perlu untuk berlapang dada dan melihat dari sudut positif bahawasanya setiap pelajar kita punya potensi berbeza. Kita mengharapkan hasil A, namun pelajar memberikan hasil B, itu lumrah. Dan menjadi tugas kita membetulkan kembali kesilapan yang dilakukan. By learning you will teach by teaching you will understand.

‘Stand up class, good morning teacher’

Hairan saya melihat jumlah pelajar lebih sedikit dari biasa. Tangan saya mengira-ngira jumlah pelajar yang ada.

‘Where’s the others?’

‘Mereka tak datang teacher, Gong Xi Fa Chai’

Saya lupa. Sememangnya apabila half of the class berbangsa Cina, memang beginilah keadaannya.

Hati berbelah bahagi samaada perlu meneruskan dengan menerangkan konsep atau tangguhkan dahulu pada kemudiaannnya. Saya perlu untuk menghargai pelajar-pelajar yang datang, dan sememangnya mereka ingin belajar dan mengharapkan butir-butir mutiara ilmu dari saya. Saya teruskan jua pengajaran seperti biasa. Keadaan lebih tenang, dengan jumlah yang lebih sedikit, isi pembelajaran disampaikan adalah lebih tepat dan mudah.

Kali ini pelajar-pelajar saya juga senang hati memberikan jawapan tepat kepada soalan yang saya berikan. Menandakan mereka faham! Alhamdullilah. Syukur.

‘Ok class, seronok tak belajar chemistry’

Saya cuba ‘reverse psychology’ mereka bagi memberikan suasana yang lebih santai.

‘seronok teacher’

Alhamdullilah. Objektif pembelajaran tercapai.

Saya bekalkan angpau kerja-kerja rumah yang perlu disiapkan oleh mereka sempena cuti tahun baru cina, biarpun keadaannya agak banyak, namun saya yakin, mereka mampu siapkan. Apatah lagi saya mahu mereka sentiasa ingat pada saya tatkala membuat homework, biarpun bercuti panjang! 

Benarlah, biarpun semalam pelajar kita sukar untuk faham, jangan jemu untuk memberi dan terus memberi, dan sehingga akhirnya mereka temui titik kefahaman.

Sampaikan salam teacher pada appa, amma, anne, akka, tambi dan tanggachi! (saya belajar bahasa tamil dari pelajar)

p/s : saya menyahut saranan bonda untuk menulis perjalanan sebagai guru praktikal.mungkin gaya penulisan sedikit berbeda. namun, diharapkan pembaca budiman sekalian tidak jemu untuk membaca. ameen.

Titis kesabaran

Bismillahirrahmanirrahim

Penat sungguh.

Penat saya terangkan pada mereka, setiap ayat-ayat saya gunakan saya cuba permudahkan agar mereka faham. Tapi hampa, melihat buku latihan yang dihantarkan, setiap kali juga saya menanda pangkah.

Puas saya muhasabah dengan pendekatan yang saya gunakan. Konsep mudah, cuma mereka masih gagal menguasainya.

Saya pasrah, hakikatnya setiap kecerdasan pelajar saya berbeza. Ada yang senang untuk menerima, ada juga yang perlu diterangkan beberapa kali baru mereka tangkap maksudnya.

‘Ya Allah, berikanlah kefahaman kepada pelajar-pelajarku, supaya mereka fahami  dengan setiap ilmu yang aku sampaikan’


Allahurrabi. Mungkin begini perasaannya guru-guru saya dahulu.

Biarpun tiap kali saya membuat kesilapan, tidak pernah jemu membetulkan kesilapan yang saya lakukan. Yang pasti, saya mahukan terbaik untuk pelajar-pelajar saya.

Banyak yang saya pelajari, setiap kali keluar dari kelas selepas mengajar, setiap kali juga saya belajar sesuatu dari mereka.

Benarlah, hari ini saya juga belajar sesuatu lagi. Belajar untuk terus bersabar!

Mendidik bukannya senang, kefahaman itu juga milikNYA. Saya hanya guru biasa yang masih dalam proses belajar.

‘Takpelah, buat yang terbaik, jangan sedih-sedih’, mesej bonda sentiasa memberi suntikan semangat buat diri.

Belum saya ceritakan kegusaran keruntuhan akhlak pelajar masa kini. Hakikatnya sukar diterima namun itulah realiti yang harus ditelan.

Buat bergelar guru, jangan berhenti dan jemu untuk memberi. Moga ada titis kesabaran dalam setiap apa yang disampaikan barulah disana tercapai sinar keikhlasan. InsyaALLAH.

Bingkisan rindu

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Buat sahabat-sahabat yang dikasihi kerana ALLAH,

Lembaran-lembaran gambar dan aktiviti bersama-sama adik-adik dan sahabat-sahabat menjadi tatapan saya dikala bila rasa rindu menggamit.


Apatah lagi disaat disibukkan dengan tugasan yang sedia ada, mesej-mesej sahabat-sahabat, adik-adik yang berupa untaian ingatan kembali mengingatkan saya pada rakaman episode lalu. Namun kini, sudah pastinya setiap langkah dan jalan yang dilalui telah berbeda. Ujiannya juga tidak sama.

Mungkin inilah kesan tarbiyah ukhwah yang diterap sedari di alam kampus mula memberi impak maksima dan ianya memberi sumber kekuatan disaat diri keseorangan. Sungguh, saya rindukan nasihat-nasihat, teguran-teguran kalian. Waktu-waktu lapang saya sememangnya terisi baik tatkala bersama kalian. Saya cemburu dengan kenangan lalu.

Setiap putaran waktu yang berlari setiap hari sentiasa membawa ingatan kepada sahabat-sahabat. Allahurrabi. Kuat penangan yang kalian berikan pada saya dahulu, sehingga kini menyebabkan saya sentiasa berdoa untuk bersama sahabat-sahabat.

Saya dapat rasakan apa yang kalian rasakan. Jangan sesekali sedih sahabat, kerana sunnah orang berjuang, tiada yang mudah, dan tiada hamparan permaidani merah. Sedikit ujian yang datang, tandanya ALLAH sayang pada kita. Carilah hikmah disebalik percaturan yang ditetapkan.

Pendek sahaja bingkisan buat kalian, moga-moga ianya mampu mengubat rindu untuk menguatkan langkah yang masih panjang.

Saya doakan moga kalian terus dan terus maju, jangan diundur walau setapak. Pujuklah diri, dan mengadulah pada yang ESA, nescaya kalian temui ketenangan. Ameen.

Guru Oh Guru

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Susunan langkah saya atur sebaiknya menuju ke sekolah. Setiap hari kira-kira 10minit saya ambil masa dari rumah menuju ke sekolah yakni rumah yang kedua saya.

Inilah rutin harian baru. Medan sebenar dalam hidup saya sebagai seorang guru.

Permulaan baru, saya akan mula mengajar dua kelas yang diamanahkan kepada saya. Kedua-duanya tingkatan empat. Teringat pesanan kak nazihah, erase all the bad perceptions about the students. Alhamdullilah, saya teruja untuk memasuki kedua-dua kelas baru ini.

Semuanya bermula dengan niat. Saya pahat kemas, instil in yourself that you are not just a teacher but represent as Khalifah of Allah. Niyyat is important.

Kali ini kelas pertama saya 4 Progresif. Majoritinya non muslim, daripada 34 pelajar, hanya 4 orang sahaja yang muslim. Keadaan sekolah saya hanya punya 248 orang pelajar muslim di seluruh tingkatan daripada 1600 orang pelajar. Sememangnya saya cuba mengambilnya sebagai caturan yang baik dari sudut dakwah, dan peluang yang paling berharga bagi pelajar-pelajar saya yang bukan islam untuk mengenali Islam dengan pelajaran sains.

‘Good morning teacher’

Semua mata tertumpu pada saya. Saya faham, mereka pasti hairan melihat guru baru dihadapan mereka.

‘From now, I’ll be your new science teacher’, saya senyum dan memandang setiap dari wajah pelajar-pelajar baru. Sungguh, mereka benar-benar menunggu saya meneruskan kata-kata seterusnya.

Tegas dan tidak perlu garang.

Saya yakin dalam usia seawal 16 tahun, pelajar-pelajar saya merupakan remaja yang benar-benar perlu difahami keadaan dan psikologinya. Tidak perlu gunakan kekerasan, hanya perlu tegas. Alhamdullilah, saya berjaya mencapai persetujuan dengan mereka. Kali pertama, saya telah menetapkan 10 peraturan asas di dalam kelas. Mereka setuju, dan pelajar-pelajar saya behave dengan sebaiknya. Bukannya niat untuk mengongkong, namun saya punya matlamat untuk mendidik mereka melalui disiplin-disiplin yang ditetapkan. Moga-moga berjaya dan pengakhirannya nanti terbentuk peribadi mereka sebaiknya. Ameen.

Itu secebis kisah di kelas 4 progresif.

Lain pula di kelas 4 Alpha.

Diamanahkan untuk mengajar kelas yang pertama dalam subjek Kimia benar-benar memberi pengalaman yang bermakna dan menyeronokkan. Syukur dengan percaturan yang ditetapkan olehNYA. Saya masih kekalkan dengan 10 peraturan asas di dalam kelas. Berkat pertolongan dan tunjuk ajar Guru Pembimbing saya, Kak Haida, yang sentiasa memberi tunjuk ajar tanpa jemu, saya semakin yakin untuk menyampaikan isi pelajaran dengan sebaiknya.

‘Teacher, how to solve these questions?’,

Kali ini pelajar-pelajar saya sememangnya punya high determination untuk belajar dan terus belajar. Saya seronok dengan persoalan yang diutarakan dan yang paling bermakna apabila mereka berjaya menjawab setiap soalan dan tugasan yang saya berikan sebaiknya.

‘Do you understand class’

‘YES, teacher’. Alhamdullilah, puas, setiapkali melihat mereka faham dengan isi kandungan yang disampaikan.

Seringkali saya ingatkan mereka, biar siapapun kita dan sebijak mana pun kita, yang paling penting untuk berjaya adalah dengan menghormati guru. Saya ulang sebaiknya nasihat untuk dipahat di dalam hati pelajar-pelajar.

itu kelas 4 Alpha.

Tiga minggu berlalu.Kini saya mula sedar, bukan mudah untuk menjadi guru, cabarannya sememangnya menguji kesabaran. Namun, setiap kali perhimpunan, hati saya berbaur sedih tatkala mengaminkan doa yang dibacakan pelajar-pelajar muslim.

‘YA ALLAH ya tuhan kami, ampunkanlah dosa kami,ibu bapa kami, GURU-GURU kami,dan seluruh kaum muslimin dan muslimat’. Ameen.

Moga-moga saya terus bersemangat menjalankan amanah sebagai guru!

p/s : insyaALLAH saya cuba kongsikan sedikit pengalaman dari masa ke semasa pengalaman di sungai pelek. Mencari masa, antara memeriksa tugasan pelajar dan menulis. Kedua-duanya menjadi tanggungjawab. :). saya ambil masa yang lama untuk menghafal dan menyebut nama-nama pelajar chinese and indians. 🙂