Archives

Ajaib bila..

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Tekun saya ‘menelaah’ semula tulisan-tulisan saya yang lama. Sedikit sebanyak menjadi refleksi saya. Saya cuba mengingat kembali keadaannya ketika saya menulis entry-entry yang lalu.

Begitu banyak potret kehidupan yang saya telah lakarkan. Ajaib sungguh! Saya sendiri tidak pasti bagaimana saya bisa menggerakkan jari-jemari menaip setiap entry yang dihasilkan.

Seboleh-bolehnya saya sering berusaha mengekalkan originality di dalamnya.  Memori saya kembali bekerja mengingatkan setiap perkara yang saya terjemahkan dalam bentuk tulisan. Ya, hakikatnya saya hanya penulis biasa. Baru kini saya rasa keajaibannya dengan menulis.

Ajaibnya, sebelum ini saya tidak pernah menjangkakan blog guruohguru ini menjangkau usia 4 tahun ingin menganjak ke usia 5 tahun. Jika saya punya anak sekarang, mungkin di usia 5 tahun ini anak itu sudah mula membaca tulisan umminya ini.

Peristiwa yang luar biasa terjadi di luar kebiasaan, kita mengatakan perkara itu ajaib dan tidak dapat menduga kedatangannya. Apabila dan di mana, semuanya bergantung kepada yang memiliki keajaiban itu.

Kini perlahan demi perlahan saya sedari, setiap hari kehidupan kita sebenarnya adalah suatu keajaiban. Bermula apabila semuanya masih berada dalam perancangan ALLAH sehinggga kita berada di muka bumi akhirnya kita lahir sebagai bayi. Ajaib!

Tangisan pertama yang keluar dari bibir kita bagi pertama kalinya kita menjejakkan kaki ke bumiNYA adalah keajaiban. Sayalah dahulu bayi yang menangis itu. dan sehingga kini masih lagi terus menangis mengenang dosa. Juga ajaib!

Seiring berjalannya waktu, kita menjadi dewasa, mengalami pelbagai perkara dalam hidup kita, suka, duka, tangis, tawa, kegagalan, kejayaan, menjalin kasih dalam perkahwinan kemudian menghasilkan keturunan.  Semua itu adalah rangkaian keajaiban yang ALLAH tunjukkan dalam kehidupan kita. Subhanallah- ajaib!

Namun hari ini, kita harus belajar supaya tidak terlalu berharap bagi mendapat keajaiban yang bukan milik kita kerana ALLAH menyediakan keajaiban yang berbeza-beza bagi setiap sesiapa, iaitu kepada orang yang berharap dan bergantung kepadanya.

Kita sendiri adalah keAJAIBAN. Kita memilik ALLAH, sumber ksegala keajaiban yang selalu memberi perkara ajaib kepada kita.

Subnallah wal hamdulillah.

Tiba-tiba saya rasa tinggi sungguh falsafah keajaiban saya.

Dan saya sendiri rasa AJAIB bagaimana saya boleh menulis sehingga kini. sungguh ajaib!

 

 

Sedar dari lena

Bismillahirrahmanirrahim

Perlu paksa diri untuk membuat sesuatu yang lebih baik. Hari ini setelah sekian lama, saya gagahkan jua untuk menulis.

Proses adaptasi setiap individu itu berbeza. Sampai kini, sebulan dua bukan masa yang cukup untuk saya. Semalam, hari ini akan datang, saya sendiri tidak pasti bila saya akan benar-benar menerima keadaan yang tersedia.

Kelu

Lesu

Semuanya bercampur baur. Bukan saya tidak membuka blog, cuma saya lebih senang membiarkannnya kosong begitu sahaja, mungkin sedang mencari masa, sehingga tidak berjumpa-jumpa pengakhirannya.

Mencari-cari rentak untuk menulis, melakarkan sesuatu untuk tatapan buat diri dan teman-teman pembaca.

Ini silap diri, akhirnya saya malu sendiri.

Sudah tiba masanya segalanya berlalu pergi. Yang ada kini masa depan yang sedang bersedia dicorakkan.

Realitinya tugas menjadi pendidik sememangnya mendesak emosi, fizikal saya berjalan tiada henti, seakan masa pinjaman 24jam tidak pernah mencukupi.

Lihat sahaja keputusan SPM yang telah keluar, tahniah, pencapaiannya sememangnya yang terbaik sejak 4 tahun yang terdahulu. Lihat juga imbasan keruntuhan masalah akhlak yang semakin merudum tahap prestasinya. Mana yang kita mahu? Saya yakin jiwa-jiwa pendidik sedar akan realiti ini.

Bagaimana tugas ‘menjadikan’ manusia ini semakin hari semakin sukar.

Masyarakat pincang hasil didikan guru-guru yang mementingkan exam oriented sehingga hilang nilainya keseimbangan sebagai manusia. Saya tidak salahkan guru, kerana saya juga salah seorang anggota guru tersebut. Dimana nilai JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelektual dan Sosial) yang menjadi kiblat dalam falsafah pendidikan kebangsaan? Adakah dilunaskan sebaiknya?

‘saya mengajar matematik kepada abu’ atau ‘saya mengajar abu, matematik’ ?

Mana yang lebih dominan?

Hakikatnya seringkali tersasar. Yang diajar merupakan jiwa-jiwa manusia. Silibus, matapelajaran hanya merupakan ‘medium’.Bila matlamat sudah tersasar maka hasil akhirnya produk yang dihasilkan penuh lompang-lompang yang dituntut untuk diperbaiki.

Gagasan ini gagasan besar.

Pendidik harus faham tugasnya kian lama kian berat. ‘keseimbangan’ yang hilang perlu dikembalikan semula.

Saya sudah sedar dari lena.

Saya masih di sini.

Moga-moga ALLAH redha. Ameen.

p/s : terima kasih teman-teman yang terus ‘mengasak’, ‘mendesak’ saya untuk terus menulis, hasilnya kalian berjaya, biarpun lebih dua bulan, namun saya berjaya juga menulis semula akhirnya. 🙂

Refleksi 2010 ‘kunci’ lembaran 2011

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Bila dihitung kira hari-hari yang berlalu, sekian lama juga saya rasakan saya tidak meninggalkan sebarang coretan di dalam guruohguru. Tirai 2010 bakal berlabuh sedikit masa lagi dan yang pasti 2011 bakal membuka satu lagi lembaran baru dalam kehidupan kita kelak.

Sedikit masa saya perlukan untuk penyesuaian dengan semua keadaan di sekeliling, disamping memberi ruang kepada saya untuk membuat persiapan rohani, emosi dan jasmani sebagai persediaan untuk tahun baru. Tough times never last.


Saya baru menyelesaikan pembacaan buku Robert Schuller, baru terasa rindu untuk menulis.

Sudah tiba masa saya benar-benar serius untuk menukar paradigma sebagai pelajar kepada figura penting yang  bertindak ‘memanusiakan’ pelajar-pelajar saya kelak. Besar istilahnya sebagai GURU biarpun kadangkala dianggap enteng oleh sesetengah pendapat.

Suka saya berkongsi peribahasa cina yang dipelajari, ‘ming shi chu gao tu’ (guru yang baik akan lahirkan pelajar yang baik)- peribahasa cina.

2010 hanya akan berlalu dengan coretan peristiwa yang sudah tersedia berlaku. Dan yang paling penting sebagai hamba, setiap perkara penting untuk kita mengambil iktibar serta mengkoreksi diri samaada setiap waktu pinjaman-NYA sudah dimanfaatkan atau sebaliknya.

Saya kira anjakan perubahan daripada alam mahasiswa kepada alam pekerjaan merupakan satu lagi metamorphosis yang perlu saya lalui dalam peringkat hidup. Pekerjaan yang kita lakukan dalam kehidupan seharian baik sebagai lao shi (guru) mahupun tong xue (pelajar) sudahkah cukup baik untuk mendapat ganjaran pahala ibadah?

Penghijrahan saya dari KB ke KL mungkin makan masa bertahun lamanya, namun saya optimis ini merupakan peluang yang terbaik untuk saya menunaikan beberapa impian dan matlamat yang perlu direalisasikan dalam masa terdekat.

Melihat keseluruhan gaya penulisan saya pada tahun ini juga lebih banyak menyentuh kepada pengalaman semasa sebagai seorang guru, dan dari situ saya berkongsi sedikit kisah masam manis bezanya pengalaman bergelar guru dan pelajar.  Seawal tahun 2010 saya sudah memulakan praktikal di selangor bagi melengkapkan ijazah pertama, dan kemudian diberi peluang sebagai guru ganti di beberapa maahad. Moga-moga dengan sedikit pengalaman sedikit sebanyak mampu untuk membantu saya di dalam profesion perguruan.

Mengintai keadaan politik semasa yang berlaku, dan sedikit kesempatan untuk terjun dalam masyarakat semasa, hakikatnya tugas dan tanggungjawab kita masih lagi banyak yang perlu dilunaskan. Peluang terlibat dengan beberapa program kerajaan inilah platform yang saya gunakan untuk menunaikan tanggungjawab sosial yang sedia ada. Beban masalah-masalah umat yang sedia ada perlu ada yang bersedia untuk menghuraikannya dan bertindak menyelesaikannya.

Tahun ini juga sudah beberapa kali saya bermalam di wad dengan pelbagai masalah kesihatan yang dialami keluarga tercinta dan setiap kali itu juga saya melihat betapa besarnya nikmat kesihatan yang dikurniakanNYA. Andai hari ini kita rasakan sudah cukup perit diuji dengan segala kesakitan dan kepayahan, disaat itu juga masih ramai diluar sana yang menderita dengan keperitan yang dialami. Dan kematiaanlah yang paling hampir dengan kita saban waktu.

Mengapa perlu dilakar semua pengalaman-pengalaman yang sedia sudah berlaku?

Muhasabah buat kita. Moga-moga kita tidak  lupa setiap ujian, kejayaan, kesusahan, kegembiraan, kepahitan itu sebenarnya sentiasa menyedarkan hakikat kita sebagai hambaNYA.  Hidup ini pengakhirannya diakhirat sana.

Tahun 2010 tahun yang pendek.

Sedar tidak sedar kita sudah sampai ke penghujungnya. Jadikan hari ini lebih baik dari hari semalam, dan hari esok lebih baik dari hari ini. Ameen.

Allahurabbi.

Oh ALLAH

Give me the guidance

To know

When to hold on

And

When to let go

And the grace

To make the right decision

With dignity

Ameen.


Isthikarah dalam doa

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilllah

Sedikit perkongsian disaat saya masih lagi terasa ‘segan’ berhadapan dengan pelajar-pelajar baru saya.

Sempat juga saya ke hari sambutan suami isteri peringkat kerajaan negeri. Berpeluang menikmati bait bicara Tuan Guru dan Dato’ Dr Fadzilah Kamsah.

‘Ambo pade denge cik yah sore jah’, ujar Tuan Guru IKHLAS.

‘Saya bukan tidak layak, cuma saya tidak MAMPU tanggung beban amanah dengan BERPOLIGAMI’, ujar Dato’ Fadzilah Kamsah.

Buat yang masih mencari pasangan.

Cukuplah penerimaan terjadi pada satu kesempatan sahaja, khususnya saat pertama yang terlihat dan ketrampilan diri secara keseluruhan.

Bertemunya hati dan jiwa memerlukan waktu dan dengan izin ALLAH, itu akan terjadi bila tiba masa.

Jika tidak ada penolakan dari dalam diri pada saat pertama berjumpa maka kemungkinan besar dapat membina kehidupan bersama yang aman tenteram dan kelak akan timbul mawaddah dan rahmah dan itu semua akan semakin mendalam seiring denagn berjalannya kehidupan bersama dan akan didapati kelak keindahan diri dan jiwa, insya-ALLAH.

Dan paling penting, pilihlah yang punya Agama, dengan agama dapat membersihkan, meninggikan dan mensucikan diri.

Fikiran jangan biar ‘bertakung’

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Masih lagi dalam mood hari raya, disajikan dengan hidangan berita kes berprofil tinggi pembunuhan jutawan kosmetik sebagai juadah hari raya, saya kira kalian lebih maklum perkembangannya melalui media massa dan elektronik.

Sedikit perkongsian hari ini. Saya sedaya upaya cuba istiqamah untuk terus menulis, biarpun pendek-pendek.

Fikiran kita ini perlulah sentiasa kita bersihkan agar jangan nanti bertakungnya hasutan syaitan. Umpama longkang yang kalau dibersihkan, air akan mengalir laju dan tidak berbau busuk. Tetapi kalau longkang tidak dibersihkan, dibiarkan bertakung lama kelamaan akan menyebabkan ia tersumbat dan datangnya nyamuk. Demikian juga fikiran, apabila ia bersumbat dengan dosa dan maksiat, semakin mudah syaitan di dalamnya.

Fikir-fikirkan.

Ambil wuduk

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Ambil wuduk tidak perlu banyak, tetapi biar sempurna. Ini kerana basuhan dengan air itu hanyalah simbolik. Yang hendak dibasuh bukanlah najis yang ada di wajah dan anggota kita, tetapi kotoran dosa yang dibawa melalui mata, mulut, telinga, tangan dan kaki. Jaga wuduk.

Tujuan hidup

Bismillahirrahmanirrahim

Tujuan manusia hidup perlu dirujuk kepada tukang buat manusia iaitu ALLAH SWT. Itulah TUKANG yang sebenar. Ibu bapa bukan tukang. Ibu bapa hanya perkakas untuk buat manusia. Umpama periuk belanga dan rempah ratus, bukan peralatan untuk memasak, benda-benda ini tidak berguna tanpa adanya tukang masak. Tukang manusia ialah ALLAH SWT. Bila ALLAH SWT kata tujuan hidup manusia ialah mengabdikan diri padaNYA, kita perlu patuh, kerana DIAlah tukang buat manusia.