Archive | March 2010

Sana-sini ujian

Dunia ini tiada kerehatan.

Bukankah begitu teman-teman?

Satu-satunya tempat di mana manusia tidak akan berhadapan dengan masalah hanyalah di syurga.

Sementara di dunia ini, masalah merupakan sahabat karib yang selalu menemani perjalanan hidup kita. Saya juga punya masalah,saya pasti kalian juga sama. Besar atau kecil, hanya kita mengetahuinya. Ketika usia semakin tua, masalah masih setia menemani mengikuti perjalanan hidup. Kekuatan menjadi kelemahan. Wajah yang dahulu tampan, kini kian pudar dan berkedut. Kepala yang dulunya berambut lebat, kini mulai botak. Bahkan di akhir usia sekalipun, masalah tidak pernah surut.

Maka, bukannya masalah yang menjadi persoalannya, melainkan sikap kita dalam menghadapinya. Kita tidak perlu lari atau menghindari dari masalah hidup. Jangan sesekali mengharap kehidupan yang tiada masalah kerana hal itu pastinya tidak akan terjadi dan keinginan itu juga melemahkan kita.

Kita perlu mencari penawar.

Dan saya yakin, dugaan yang kita hadapi bukan penamat hidup kita. Beban berat yang disebabkan oleh suatu ujian boleh berkurangan dan hilang jika kita menggunakan ubat yang tepat.

Akhirnya saya temui, ubat segala masalah adalah dengan kesabaran. Sentiasa redha dan bersabar. Semoga dengan sentiasa bersabar, kita masih meraih manfaat yang masih dimiliki, dan mengabaikan aya yang telah hilang dan tetap merasa penuh keyakinan dengan keadaan yang lebih baik di masa hadapan. InsyaALLAH.

Suka saya kongsikan lirik nasyid oleh Mahir Zain-judul lagu InshaALLAH. Moga-moga hari-hari akan datang dilalui dengan penuh kesabaran. Jangan takut pada musibah dan jangan lalai terhadap kesenangan. Jangan sedih berlebihan bila ditimpa kemalangan dan jangan terlalu bergembira bila mendapat nikmat. Kerana kita masih hambaNYA, dan kita tiada tahu apa yang sedang menanti pada masa-masa akan datang.

Insha Allah Lyrics

Everytime you feel like you cannot go on

You feel so lost

That your so alone

All you is see is night

And darkness all around

You feel so helpless

You can’t see which way to go

Don’t despair and never loose hope

Cause Allah is always by your side

Insha Allah x3

Insya Allah you’ll find your way

Everytime you can make one more mistake

You feel you can’t repent

And that its way too late

Your’re so confused, wrong decisions you have made

Haunt your mind and your heart is full of shame

Don’t despair and never loose hope

Cause Allah is always by your side

Insha Allah x3

Insya Allah you’ll find your way

Insha Allah x3

Insya Allah you’ll find your way

Turn to Allah

He’s never far away

Put your trust in Him

Raise your hands and pray

OOO Ya Allah

Guide my steps don’t let me go astray

You’re the only one that showed me the way,

Showed me the way x2

Insha Allah x3

Insya Allah we’ll find the way

p/s : alhamdullilah hawa dah sembuh dan dah keluar wad.



Dulu lain, sekarang lain

Bismilahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Selesai memulangkan semula kertas ujian pelajar-pelajar saya, tiada seorang pun yang menuntut ingin ditambah markah atau diperiksa semula kertas ujian mereka. Saya hairan. Jarang sekali perkara ini berlaku. Kalau dahulu saya dan kawan-kawan di peringkat rendah, menengah mahupun universiti, sanggup membandingkan semula jawapan antara satu sama lain, takut-takut guru silap bagi markah. Malah, ada yang sanggup merayu dengan guru minta untuk ditambahkan lagi markah.

Akhirnya saya yang bertanya kepada mereka.

‘kamu semua puas hati dengan markah sekarang?’

‘puas cikgu’.

Dari markah yang paling rendah, hingga markah yang paling tinggi semuanya menjawab jawapan yang sama, masing-masing puas hati.

‘kamu tak sedih, satu hari nanti, bila anak-anak kamu sendiri bawa balik kertas exam, tapi mereka cuma  dapat gred D, E?’ saya cuba provokasi lain pula.

‘tak cikgu, parent saya sendiri tak kisah saya dapat berapa pun’. Jujur sekali jawapan salah seorang pelajar saya.

Niat awal ingin memberi suntikan semangat pada mereka untuk lebih berjaya, namun akhirnya terkubur begitu sahaja.

Saya salah sasaran. Ingin ditembak burung berterbangan, akhirnya hanya terkena tupai yang bergayutan.

Bila berbincang semula dengan guru pembimbing saya, kak haida, ternyata, sasaran saya menggunakan ibu bapa sebagai pemangkin semangat kepada pelajar-pelajar tiada terkesan.

‘Dik, pelajar sekarang kalau guna ibu bapa, tak jadi apa pun, bukan macam kita dulu’. Saya cuma mengangguk setuju.

Saya ingat dahulu, selaku anak, paling risau bila dapat keputusan peperiksaan. Bimbang reaksi ibu bapa. Bimbang dengan natijah bakal yang diterima.

Akhirnya pengajaran saya terima, bukan ibu bapa lagi yang menjadi sasaran untuk menaikkan semangat pelajar. Peluru yang dilaraskan perlu dihalakan dengan betul di kemudian hari. Sentiasa memberi cabaran dan provokasi kepada individu pelajar sendiri, tidak lagi melibatkan ibu bapa. InsyaALLAH, ianya lebih berkesan dan realistic dalam keadaan pelajar zaman sekarang.

Dulu ibu bapa, sekarang dah tak main.  Dulu lain, sekarang lain.

Belajar untuk menulis

Bila saya membaca blog sahabat-sahabat waimma komen yang diberikan sahabat-sahabat, saya boleh kenal siapa penulisnya. Benarkah begitu?

mak baca komen awak tulis dalam blog kawan-kawan awak, biarpun awak guna nama samaran, mak boleh tahu itu ayat awak, skema caranya’ ujar bonda saya.

Tatkala meneliti semula tulisan-tulisan saya, saya akui kata-kata bonda.

Kadang-kadang saya cemburu membaca buku, majalah yang menggunakan susunan bahasa yang cukup indah. Metafora dan personafikasi diadun dengan baik dalam setiap bait ayat digunakan. Laras bahasa yang digunakan juga mudah dan tepat.

Malah, saya tambah cemburu apabila membaca setiap tulisan yang mampu meresap ke hati saya dan para pembaca apabila membacanya. Hebatnya penulis, mampu membawa emosi pembaca biarpun hanya melalui ayat-ayat yang digunakan. Jika diaamati lagi, ada juga tulisan yang menggunakan ayat-ayat bombastic sehingga sukar untuk memahaminya.

Tetapi tulisan saya lebih ‘straight to the point’.  Tulisan saya juga lazimnya tidak panjang, pendek sahaja. Apa intipati yang ingin disampaikan, itu juga yang saya terjemahkan dalam tulisan.

Saya ingin belajar menulis.

Saya kagum dengan penulisan yang pelbagai. Kerana di situ juga saya belajar untuk menulis dengan lebih baik. Pernah dahulu di UPSI, ada seorang pensyarah mengajak saya mengikuti bengkel penulisan, tetapi oleh kerana bertembung dengan program lain yang lebih utama, saya terpaksa batalkan hasrat untuk turut serta.

Dan ketika tahun lepas, saya pernah mengikuti sehari program asas kewartawanan anjuran Nisa’ negeri. Alhamdullilah, sedikit ilmu mengenai cara-cara menulis berita dipelajari, biarpun kursus yang dianjurkan singkat sahaja masanya.

Andai ada lagi bengkel penulisan, saya memang cukup berminat untuk mengikutinya. Mata pena lebih tajam dari mata pedang. Lihat sahaja bagaimana ahli-ahli politik sekarang dijatuhkan dengan menggunakan media sahaja. Masih banyak rahsia dalam dunia penulisan yang belum dipelajari. Masih banyak mutu tulisan saya perlu diperbaiki.

Andai punya waktu, saya ingin terus belajar untuk menulis dan menulis lagi.

Hawa comel

Bismillahirrahmanirrahim

Semalam mak teh main dengan hawa, hawa sihat lagi
.
Sebelum mak teh balik, mak teh sempat tidurkan hawa.

Hawa gelak lagi dengan mak teh masa kita main sama-sama.

Kenapa hari ini hawa sakit.

Allahurrabi.

Sedih mak teh tengok gambar hawa terlantar di katil hospital.

Tangan kecil hawa berbalut. Masuk air.

Mesti hawa sakit. Hidung pun masuk tiub.

Mak teh tak boleh nak temankan hawa, tolong ummi hawa jaga hawa.

Hilang senyum hawa.

Hawa suka buat mulut kiut.

Kali ini semua orang sedih bila tak dapat tengok muka, mulut kiut hawa.

Hawa kena cepat sembuh, merangkak jauh-jauh.

Boleh main dengan abang adam, ummi, abah, wan, atok, maksu.

Semua orang sayang hawa.

Mak teh cuma boleh doa dari jauh.

Hawa kena cepat-cepat recover, boleh balik, boleh main dengan semua orang.

Allah sayang dekat hawa, sebab tu Allah bagi hawa sakit.

Mak teh tahu hawa kuat semangat, sebab tu bila merangkak hawa asyik cuba nak berdiri

Hawa sabar ye sayang

Mak teh doakan hawa sentiasa.

Moga hawa cepat sembuh.

Yang sentiasa merindui hawa,

mak teh

Rancangan Adik-adikku, transformasi baru

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULILLAH

Seronok melihat rancangan baru terbitan JAKIM ‘Adik-adikku’, saya pula yang rasa bersemangat dengan adik-adik ini. Melihat mereka beraksi dipentas, bernasyid, berpidato, bersyair,bertarannum, menggamit semula mengimbau memori saya ketika berada di bangku sekolah rendah. Usia mereka masih muda dalam sekitar 10-13 tahun. Masa-masa inilah penting untuk potensi mereka terus digilap.

Tahniah dan syabas buat JAKIM kerana cukup berani membuat satu lagi rancangan realiti TV terbaru berkonsepkan hiburan dan pendidikan. Cukup cantik pentas dan platform yang disediakan untuk melahirkan penda’ei-penda’ei muda. Inilah transformasi yang kita perlukan berbanding dengan rancangan ‘Idola Kecil’ yang bersifat akademi fantasia versi dewasa.

peserta favourite saya sekeluarga, qayyum dari kelantan. biarpun rabun penglihatan, tetapi penyampaiannya cukup terkesan. mendapat naib johan.

Secara peribadi, saya lebih berminat untuk melihat rancangan reality kanak-kanak berbanding dewasa, lebih jujur penceritaannya. Tetapi tidak bermakna saya tidak mengikuti rancangan-rancangan reality yang sedia ada. Penting selaku penda’ei mengikuti perkembangan semasa. Apatah lagi saya juga perlu tahu lagu-lagu popular yang dinyanyikan anak-anak pelajar saya. Kadang-kadang pening, perlu banyak update untuk menarik minat pelajar. Dalam kelas juga perlu kreatif.

‘Adik-adikku, insyaALLAH boleh’ , anak-anak saudara saya akan menyanyi lagu tema rancangan ini setiap kali iklan berkenaanya disiarkan.

Rancangan ini sebenarnya membantu melahirkan karisma kepimpinan dan kebolehan kanak – kanak menjadi pemimpin masa hadapan. Saya optimis, langkah pertama ini penting untuk memberi kesedaran pada ibu bapa juga tentang kepentingan mendidik anak-anak dengan pendidikan yang betul.

Terpegun dengan gaya bersahaja adik-adik yang menjadi peserta. MasyaALLAH, hebat bakat mereka. Jika saya diberi kerusi sebagai hakim, mesti semuanya saya akan jadikan juara. Setiapnya punya kebolehan dan karisma tersendiri. Konsep pertandingan yang berunsurkan pidato diselitkan dengan unsure-unsur tarannum, nasyid, syair, bukan semua mampu untuk melakukannya.

Bukan semua penda’ei punya ‘daya sampai’ yang menyampaikan.

Lazimnya  pidato seringkali berfungsi memberitahu.

Jarang sekali pidato yang melahirkan rasa ‘mahu’ kepada audiens dan sekaligus mencetuskan rasa ‘mampu’.

Peserta-peserta ini telah dilatih sebaiknya oleh murabbi mereka. Daripada adik-adik ini juga tidak mustahil merekalah yang bakal menggantikan penda’ei-penda’ei yang sedia ada. Teknik bercerita sememangnya teknik yang mampu untuk ‘menyihir’ para pendengar.

Saya tiada peluang untuk mendalami semua yang telah dialami adik-adik peserta. Kalau dahulunya saya masih ingat lagi, jika masuk pertandingan bercerita skrip-skripnya hanya saya akan ambil dalam buku-buku cerita kegemaran saya.

Lebih ironi, saya menghafalnya ketika bermain dengan rakan-rakan sebaya, pulang jalan kaki dari sekolah. Kostumnya bonda yang siapkan, jika ‘props’ saya mesti minta bantuan kakak-kakak  untuk disediakan. Merekalah antara figura-figura yang melatih saya secara tidak langsung selain daripada setiap hari saya perlu perdengarkan cerita di depan ustazah-ustazah di sekolah. Bersiap siaga untuk dikritik persis akademi fantasia. Tetapi alhamdullilah, pencapaian yang paling manis apabila muncul johan bercerita peringkat negeri Kelantan. Itu zaman yang saya lalui dan tinggalkan sejak sekian lama.

Tetapi kini, seorang penda’ei itu juga perlu lengkap dengan setiap ilmu untuk penyampaian yang lebih berkesan dan dekat dengan hati dan jiwa  para pendengar. Nak jadi penda’ei paling kurang perlu menguasi ilmu yang pelbagai. Moga-moga selepas ini rancangan seperti ini akan terus diadakan, mungkin bukan untuk saya tetapi untuk generasi pelapis penda’ei muda pada masa akan datang. InsyaALLAH.

P/s : siapa sangka mungkin dalam siri ‘adik-adikku’ yang akan datang, anak-anak saya pula yang masuk. : ). Kakak-kakak saya sibuk menghakimi peserta rancangan daripada rumah.

Ikut sunnah @ ikut nafsu?

Bismillahirrahmanirrahim

Ikut sunnah atau ikut nafsu?

Sememangnya kita sayangkan nabi kita Muhammad s.a.w. Namun kes perkahwinan  ini seolah-olah mengeksploitasi dunia seorang kanak-kanak.

Seolah kembali ke zaman 60an dan 70an dahulu apabila isu kahwin budak ini timbul kembali. Mungkin benar, dahulunya budak seusia 10 tahun sudah pandai membasuh, mengemas, menjaga adik dan juga memasak dan ini merupakan pra syarat utama bagaimana dahulunya rata-rata pada usia ini mereka sudah dikahwinkan. Perlu berbalik pada reality zaman ini, di usia 10 tahun, kanak-kanak ini masih aktif bermain, belajar dan kurang arif menguruskan diri masing-masing apatah lagi diminta untuk mengemudi sebuah perkahwinan.

Aduhai, gusar melihat dua kes perkahwinan yang berlaku di Kelantan iaitu melibatkan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun di jelawang, dan satu lagi melibatkan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang berkahwin dengan lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas baru-baru ini.

Tidak dapat bayangkan, bagaimana perasaannya adik sendiri dan mungkin ahli keluarga terdekat yang mengalaminya. Perit dirasa apabila zaman remaja kanak-kanak itu akan dirampas dan tidak akan merasai alam remaja dan terus masuk ke alam dewasa disebabkan tanggungjawab sebagai isteri. Seorang lelaki juga fitrahnya mesti menginginkan si isteri berfungsi dengan baik untuk menguruskan rumah tangga. Saya cuba menggambarkan apakah kesudahannya jika si isteri yang masih lagi kecil ingin terus bermain-main, tidak menguruskan rumah tangga dan gagal untuk mendidik zuriat yang dilahirkan. Ya, suami mungkin boleh bersabar lagi dalam tempoh 2-3 tahun pertama, bagaimana tahun-tahun berikutnya?

Kanak-kanak di usia 10 tahun secara logiknya masih belum matang untuk mengetahui hakikat perkahwinan sebenar. Mereka masih perlukan didikan dan perhatian daripada ibu bapa. Bukannya mereka meminta untuk dikahwinkan. Perkahwinan di usia kanak-kanak sememangnya menggugat emosi, social, dan perkembangan fizikal kanak-kanak tersebut.

Dengan setiap perkara yang berlaku dunia pada hari ini, kadang-kadang kita sendiri akan merasa pelik dengan tindakan-tindakan yang dilakukan. Perlu selesaikan dahulu kes-kes penceraian yang saban hari berlaku, bukannya bertindak membina perkahwinan dengan kanak-kanak pula. Jangan kata ingin mengikut sunnah semata-mata ingin mengikut tuntutan nafsu.

P/s : sedih melihat ibu kanak-kanak yang terbabit, merintih dengan perbuatan suami sendiri tergamak mengahwinkan anak sediri.

Berani Untuk Merobah

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULILLAH

Meninggalkan alam mahasiswa sememangnya membuka satu lagi lembaran dalam sejarah hidup diri sendiri.

Sudah ditinggalkan zaman yang penuh idealisma, memberi cabaran, merencana dan merancang sememangnya menyebabkan kadangkala keadaan reality sekeliling lebih senang untuk membiarkan diri kita terus hanyut dalam suasana berbanding kita yang mempengaruhi suasana.

Hakikatnya, perlu sedar bahawasanya kini saya bukan lagi mahasiswa namun layak dipanggil mahasisTUA.

Berpencak di pentas kampus tidak sama dengan pentas realiti kehidupan sebenar. Inilah lapangan ummah, satu masyarakat yang penuh dengan warna-warni. Alhamdullilah, setiap pengalaman yang dititip di bumi kampus sedikit sebanyak membantu dalam mengisi lubang-lubang kekurangan diri dalam menangani setiap cabaran yang datang. Perlu banyak sabar dan sentiasa berusaha membaiki diri.

Menarik mengenai kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,12 Mac 2010, Datuk Saifuddin Abdullah mengingatkan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) agar sentiasa memperbetul setiap perkara yang dilihat salah bukan sahaja di universiti malah dalam pentadbiran negara.Mahasiswa juga tegasnya boleh melontarkan kritikan kepada kerajaan dan kerajaan pula tidak seharusnya melabelkan pengkritik sebagai pembangkang.

Secara peribadi, saya bersetuju apabila kebenaran harus diberikan kepada mahasiswa untuk menjadi ‘check and balance’ pada kerajaan. Mana mungkin kita menafikan,bahawasanya  golongan mahasiswa inilah yang bakal menjadi pelapis kepada kepimpinan masa akan datang.

Tetapi harus diingatkan, mentaliti kerajaan juga harus sentiasa terbuka dengan kritikan yang diberikan. Situasi lazim yang berlaku apabila mahasiswa-mahasiswa yang lebih ‘outspoken’ ini biasanya akan disekat dan di ‘black listkan’ dalam university masing-masing. Penganjuran-penganjuran program yang bersifat menyentuh dan membincangkan isu Negara juga seharusnya disuburkan kembali dalam kampus. Lebih-lebih lagi di university kesayangan saya yang bakal melahirkan para pendidik. Tidak hanya untuk duduk senang, selaku pendidik kita seharusnya lebih peka dan cakna dengan isu yang berlaku disekitar.

Suka saya mendengar perkhabaran kampus apabila diwujudkan kembali sudut pidato. Dahulunya saya berkira-kira untuk mewujudkannya semasa kepimpinan dalam mpp lepas, namun atas beberapa faktor segalanya harus ditangguhkan. Namun alhamdullilah, sekarang sudut pidato telah diwujudkan kembali. Syukur, ini merupakan perkembangan yang baik. Kesedaran mahasiswa  tentang peri penting peranan dan tanggungjawab kita terhadap pembangunan masyarakat dan isu-isu antarabangsa berasaskan kepada kebenaran, keadilan dan kejujuran yang semakin dominan cukup cantik dilahirkan dengan wujudnya sudut pidato ini. Inilah mahasiswa. Jangan kita sekat mentality kita dengan 3k, kuliah, kafe, kolej.

Usah bertangguh lagi. Hakikatnya , kebenaran sudah diberikan, manfaatkan peluang sebaiknya dengan berpencak sebaiknya selaku mahasiswa sementara masa masih ada.

p/ s : adik-adik, tentukan tujuan hidup, dan berjuanglah untuk mencapainya.