Archives

Masalah remaja, masalah saya?

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Bila jarang saya membuat respon mengenai isu-isu semasa yang berlaku, akhirnya ada antara teman-teman yang menegur agar ditulis semula bentuk-bentuk tulisan yang lebih kritis. Dan melihat semula tulisan-tulisan saya semenjak dua menjak pabila saya mula melangkah ke alam pekerjaan, memang lebih banyak dalam kategori santai berbanding dengan kategori-kategori lain. Tidak bermakna saya tidak cakna, cuma mungkin lebih senang untuk mengurangkan ketegangan bekerja dengan menulis sesuatu yang lebih mudah dan tidak terlampau berat.

Memang turut diakui, saya kurang membaca akhbar-akhbar apatah lagi untuk online juga kadang-kadang saya ambil masa, tidak sama semasa zaman ketika belajar dahulu. Jika dahulu memang menjadi kewajipan saya untuk sentiasa online dan update dengan isu semasa, yang berbeda sekarang, saya masih sentiasa UPDATE isu semasa apabila melakukan perbincangan dengan pelajar-pelajar saya.

Kadang-kala sengaja saya mengajukan isu-isu semasa untuk melihat respon mereka. Sudah dapat teman baru untuk berdebat apatah lagi dengan pelajar-pelajar sendiri.

‘Teacher tahu kamu semua masih muda, REMAJA, teacher pun remaja juga, Cuma yang berbeda antara kita, teacher REMAJA PURBA, tua sikit dari kamu semua’ seloroh saya disahut ketawa pelajar-pelajar. Sengaja ingin menghidupkan suasana kelas.

Bila mengajar dan mendekati remaja yang usianya 16-17 tahun, banyak sekali bezanya dengan zaman saya dahulu. Mungkin juga disebabkan peredaran zaman dan persekitaran.

Benar, dunia remaja merupakan transisi dari alam bayi ke dunia kanak-kanak sebelum dewasa. Di sini, ibu bapa mahupun guru harus bijak menjadi ‘teman’ untuk anak-anak. Remaja tidak sedar apa akan berlaku, namun emosi, fizikal dan kehendak memberi seratus peratus kebebasan ditegah dalam Islam, begitu juga dilarang terlalu mengongkong golongan remaja.

Menjadi trend juga bagi anak-anak remaja pada hari ini yang ingin menikmati kebebasan, ‘mencipta’ masalah dengan lari dari rumah. Usia baru setahun jagung, jalan singkat sahaja yang mereka Nampak semua senang, tidak terfikir dek akal banyak buruk dari baik. Akibatnya, berlakulah kebejatan social lebih parah seperti hamil luar nikah, zina, kelahiran anak tanpa suami yang natijah akhirnya mendorong perbuatan buang dan bunuh bayi.

Inilah cabaran remaja masa kini, kesedaran mereka hanya melalui penerapan ilmu. Tidak hanya terhantuk baru terngadah. Ikut naluri mati, ikut kata binasa, semuanya menjurus kepada kemusnahan hidup.

Aduhai, zaman remaja zaman indah jika benar-benar bijak mengemudinya.

Sentiasa saya titipkan pesanan pada mereka.

Sudah tiba masa untuk kalian persiapkan diri dengan ilmu dan agama, jangan diikutkan sangat naluri, lihat pada masa hadapan kalian yang masih jauh.

Sungguh, mereka-mereka inilah yang akan menjadi pelapis dan melahirkan generasi-generasi akan datang. Jika rosak sekarang, bagaimana dengan seterusnya?

Nyawa kita terlalu murah

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Mati, kemalangan meningkat, jalan raya jadi mendan tonjol kehebatan.Antara‘ favourite headline‘ di dada-dada akhbar.

Berita kematian pelajar UPSI yang maut ketika dalam perjalanan pulang ke kampung semalam benar-benar memberi pengajaran. Bayangkan perasaan ibu dan ayah yang menunggu kepulangan anakanda tercinta ke kampung halaman namun akhirnya menyambut jasad anak yang terbujur kaku. Jujurnya saya sendiri gerun untuk memandu di musim perayaan ini. Kadang-kadang kita berhati-hati tetapi akhirnya turut menjadi mangsa bagi kerakusan manusia lain yang tidak sabar di jalan raya.

Setiap hari, kita membaca kisah-kisah kemalangan ngeri jalan raya yang dilaporkan akhbar-akhbar tempatan. Angka kematian semakin hari semakin meningkat, malah dikahabarkan jumlahnya lebih banyak berbanding kematian akibat peperangan di Gaza. Seolah-olah terlalu bahaya kita berada di jalan raya.

Adakah mematuhi peraturan jalan raya suatu yang sukar atau mencabar ego? Jika benar, mengapa Negara-negara lain boleh melakukannya sedangkan struktur jalan raya di Negara kita lebih hebat dan canggih berbanding mereka?

Mungkin selagi kemalangan itu tidak menimpa diri, selagi itu kesedaran kita semakin menjauh..

Benarlah kata pepatah ‘sudah terhantuk baru terngadah’ sudah terkena baru hendak beringat-ingat.

Kita perlu ada BREK

Bila memandu kita perlu bersedia menekan BREK, apatah lagi kita selaku HAMBA yang memandu kehidupan seharian. Destinasi kita cukup jauh, menuju AKHIRAT yang abadi.

Untungnya kita yang punya agama, dengan sendiri kita akan rasa bahawa di sisi kita ada malaikat yang memerhati, ada ALLAH SWT yang sedang memantau. KEYAKINAN ini merupakan satu brek untuk menghalang kita dari terus melakukan dosa. Tanpa adanya keyakinan seperti ini, manusia akan hilang brek. Kalau kereta hilang brek, ia akan terjun gaung. Tetapi kalau manusia hilang brek, dia akan terjun neraka. Nau’zubillah.

p/s  : saya akan bermusafir jauh dua tiga hari lagi, bimbang juga dalam perjalanan, moga-moga tiada kemalangan jiwa.

Bicara Tuhan dengan HambaNYA

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Keluarga saya sedikit bertuah kerana punya dua orang doctor yang bertindak sekaligus sebagai pakar rujuk kami yang bertauliah andai punya masalah-masalah kesihatan. Jika punya masalah dalam pelajaran, ada cikgu-cikgu yang sudi memberi tunjuk ajar. Syukur, biarpun tawaran untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan sampai sama serentak, namun perhitungan yang dibuat pada empat tahun lepas telah memberikan impak yang besar terhadap masa depan saya. Saya senang menjadi seorang guru sekarang. Inilah saya sebagai seorang guru bukan sebagai doctor. Terima kasih bonda ayahanda, kalian membesarkan dan mendoakan kami sehingga kini.

Bicara Tuhan dengan hambaNYA

Jika kereta rosak, mekanik yang membaikinya, jika tubuh badan bermasalah, doctor yang akan mengubatinya. Jika murid mengalami masalah dalam pelajaran, guru yang bertindak mengajarnya.

Jika kehidupan manusia bermasalah, maka Pencipta manusia itulah yang perlu dirujuk. Pelik sungguh manusia yang mengaku ALLAH SWT sebagai tuhan tetapi enggan merujuk kepada syariat ALLAH bila berhadapan dengan masalah.

Sisipan berita yang dimuatkan di dada akhbar metro berkenaan lima beradik yang menjadi mangsa kerakusan abang kandung sendiri sememangnya meruntun emosi saya selaku seorang hawa. Apakah selama ini seorang adam yang seharusnya bertindak sebagai pelindung namun bertindak sebaliknya sebagai ‘pemusnah’ kepada kaum hawa.

Kita sering juga melihat laporan-laporan yang menyiarkan pembuangan bayi yang sarat menghiasi dada-dada akhbar. Dan sering kali itu juga, masyarakat akan menyalahkan ibu yang membuang bayi tersebut. Jarang sekali menyalahkan ayah yang ‘membunting’kan si ibu yang menyebabkan hasil akhirnya anak tersebut di buang tanpa rasa berdosa.

Bagaimana pula kita menilai kes seorang bapa yang bertindak menyembelih anak kandung sendiri? Bukankah seorang bapa itu perlu bersikap ‘protective’ namun sebaliknya anak menjadi mangsa penyembelihan. Yang paling ironis, sabarnya hawa hanya redha dan memaafkan kesilapan adam biarpun anak sendiri terkoban.

Hakikatnya, kerosakan manusia pada hari ini tidak dirujuk kepada DOKTOR yang sebenar. Ubat yang ditelan pula tidak berasaskan ramuan yang sebenar. Akhirnya ia tidak menjadi ubat tetapi berubah menjadi racun. Masakan tidak, pihak yang bertindak sebagai doctor itupun sebenarnya pesakit kronik yang perlu diubati.

Siapakah yang boleh menafikan kerosakan kronik menimpa masyarakat hari ini? Polis semakin ramai, denda semakin berat, namun jenayah terus menjadi-jadi. Buang anak, pecah amanah, rasuah, khianat dan berjela-jela lagi senarainya. Di mana silapnya?

Mudah sahaja, DOKTOR yang sebenar tidak dirujuk!

Pemburu Lailatul-Qadar

Remaja: Sentuh hati-hati mereka

‘Kak hanis, cuba tengok tu, pelajar-pelajar sekolah tengah gaduh’

Fokus saya sedikit terganggu dengan saranan adinda saya tatkala kami dalam perjalanan pulang dari sekolah. Apatah lagi dengan keadaan ‘jam’ teruk diwaktu-waktu puncak, saya perlu lebih cermat dalam pemanduan.

‘Allahurrabbi, kalau dekat dengan kita, kak hanis dah nak berhenti turun’

Sekumpulan pelajar perempuan sekolah, yang saya kira usianya dalam lingkungan 14-16 tahun sedang bergaduh, menarik-narik tudung sekolah dan memukul antara satu sama lain. Dan yang paling sedih, mereka lengkap berbaju kurung dan semuanya pelajar perempuan muslim.

Kadang-kadang sesuatu perkara yang mustahil pada ketika dahulu menjadi  tidak mustahil lagi dimasa kini.

Kalau dahulu kita hanya melihat pelajar-pelajar lelaki yang selalunya terlibat dalam pergaduhan, namun kini ‘trend’nya sudah mula menular kepada pelajar-pelajar perempuan.

Kalau dahulunya pelajar-pelajar perempuan lebih malu sifatnya, namun kini sikapnya lebih terbuka malah tanpa segan silu terlibat dalam pemasalahan social di sekolah.

Keruntuhan akhlak dikalangan pelajar muslim sememangnya merisaukan saya. Tugas mendidik generasi-generasi kini kian mencabar.

Andainya pihak sekolah membuat pendedahan terbuka, saya pasti lebih banyak kes-kes yang bakal menggegarkan masyarakat dunia.

Pendedahan media massa berhubung isu keruntuhan akhlak dan masalah disiplin di kalangan pelajar semakin membimbangkan sewajarnya diberikan perhatian serius oleh semua pihak. kita  perlu sedar wabak ini kian parah. Lihat sahaja renteten peristiwa demi peristiwa yang berlaku di kalangan para pelajar kini amat mendukacitakan, sekali gus merupakan satu isyarat yang jelas kepada kita bahawa indeks keruntuhan akhlak di kalangan pelajar negara kita ini berada di paras merbahaya .

Gagasan dan tugas untuk membangun, memupuk dan meningkatkan mutu akhlak umat khasnya di kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar.

Saya cuba membayangkan apakah yang akan terjadi, apabila melihat ‘ibu-ibu muslim’ yakni pelajar-pelajar perempuan sekarang inilah yang bakal melahirkan generasi akan datang. Jika akhlaknya tidak dijaga, anda sendiri boleh menilai bahawasanya kita sebenarnya sedang mencetak generasi-generasi yang lebih parah akhlaknya.

Secara peribadi, tidak dapat tidak, perlu untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari sudut jasad dan rohaninya. Berapa ramai remaja islam kita kini mengabaikan kepentingan solat dalam sibuk mengejar kecemerlangan akademik. Ya, saya tidak menyatakan semua, namun rata-rata apabila ditanya, pelajar muslim yang kebanyakannya terlibat dalam pemasalahan ini selalunya ‘kosong jiwanya’.

Walaupun tanggungjawab mendidik yang paling utama terletak di bahu ibu bapa, namun masyarakat sekeliling juga adalah bertanggungjawab mendidik generasi muda Islam. Janganlah sesekali kita bersikap tidak ambil peduli tentang hal orang lain. Masyarakat Islam yang sebenarnya ialah sebuah masyarakat yang bersatu padu, saling bahu membahu, bantu membantu dan tolong menolong di dalam perkara kebaikan dan ketakwaan. Bukankah tugas mendidik itu juga termasuk dalam perkara kebajikan dan ketakwaan?

Generasi muda ini perlu diselamatkan, ditegur dan dipimpin untuk kembali kepada landasannya.  Saya yakin dan percaya, andai kalian dan saya berganding bahu maka kita masih belum terlambat untuk keluar dari krisis keruntuhan akhlak remaja yang meruncing.

Jika bukan kita yang mulakan, siapa lagi yang boleh diharapkan?

Tegurlah mereka selagi ada daya, moga-moga sedikit usaha kita mampu menjentik hati-hati mereka.

Palestin terus menangis lagi

Bismillahirrahmanirrahim

Minggu ini saya sibuk ke hulu ke hilir menyelesaikan beberapa urusan penting sebelum ke sabah nanti. Mesej bertalu-talu diterima daripada rakan-rakan yang menyarankan supaya diadakan solat hajat dan bacaan qunut nazilah bagi mendoakan anggota konvoi Gaza-Freedom Flotilla yang menaiki kapal Mavi Marmara yang telah diserang oleh tentera Israel. Alhamdulillah, ramai juga yang prihatin walaupun sebilangan besarnya masih diam tidak peduli. Isu ini isu kita semua.

The science of prayer and spirituality.

Ada yang geram, ada yang resah dan ada yang bertanya apa yang harus dibuat sekarang biarpun kita jauh untuk menyelamatkan mereka?

Percaya pada peranan doa.

Berapa ramai antara kita hanya duduk senang, malah cukup sukar menyedekahkan setitis doa untuk keselamatan saudara-saudar a islam kita. Saya menyeru kepada pembaca budiman sekalian, paling mudah yang mampu kita lakukan adalah terus dan terus berdoa, agar misi keselamatan dan keselamatan untuk rakyat Gaza. Moga-moga dengan usaha kita biarpun sedikit cuma menjadi saksi dihadapan ALLAH kelak.  Insya-allah.

Jangan kita biarkan palestin terus menangis lagi.

Wajar 25 orang sekelas

Bismillahirrahmanirrahim

Saya pernah berdepan dengan keadaaan ‘sesak’ di dalam bilik darjah selama beberapa tahun di sekolah rendah. Bayangkan kelas terakhir saya di darjah 6 Amanah, memuatkan kapasiti murid seramai 50 orang. Tidak dapat bayangkan keadaan guru saya ketika itu mampu untuk mengendalikan kami semua yang punya pelbagai ragam. Terima kasih cikgu, saya tidak dapat gambarkan kesabaran kalian mendidik kami semua. Sekarang baru saya mengerti.

Di sekolah tempat saya berpraktikum, kelas juga masih menampung kapasiti seramai 30-35 orang. Bila berdiri di depan untuk menerangkan konsep pembelajaran, masih lagi saya rasa sukar disebabkan jumlah pelajar yang ‘besar’. Hakikatnya  tidak semua pelajar mendapat perhatian yang sama. Saya dahulu telah melaluinya. Melainkan jika pelajar tersebut menjadi pelajar yang ‘outstanding’, secara automatic dia akan mendapat perhatian guru.

Secara peribadi, saya menyokong antara 40 cadangan yang dikeluarkan kementerian meringankan beban guru adalah mengkaji semula kemungkinan menghadkan jumlah murid dalam kelas kepada 25 orang berbanding 40 sebelum ini. Setuju dengan isu yang dinyatakan dalam keratan akhbar seperti yang dipapar menunjukkan kepadatan bilik darjah di Malaysia yang terlalu sesak mengakibatkan kadar tahap pembelajaran menurun di kalangan pelajar.

Perbandingan di luar Negara

Di Australia, kadar bilangan penempatan pelajar dalam sesebuah kelas adalah sekitar 20 hingga 25 orang untuk mewujudkan suatu sistem pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Di Los Angeles pula setiap bilik darjah hanya memperuntukkan minimum 20 dan maksimum hingga 25 orang sahaja. Ini membuktikan negara-negara maju yang melaksanakan dapat melahirkan sistem pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Hasilnya dapat kita lihat di mana pelajar-pelajar mereka mempunyai kualiti dari segi pengetahuan yang tinggi terhadap sesuatu ilmu yang dipelajari.

Tugas guru bukan setakat mengajar. Keadaan kelas sememangnya mempengaruhi guru dan pelajar.


Saya cuba berikan analisis mudah apabila kapasiti pelajar ramai. Pertama, sudah pasti kawalan kelas akan lebih longgar. Kepadatan bilik darjah akan mendatangkan kesan di mana pelajar yang pelbagai tingkah laku sukar untuk di kawal secara logistik dan guru terpaksa menggunakan kaedah autokrasi untuk mengawal bilik darjah secara berkesan. Jujurnya, saya tidak suka menjadi guru yang garang, tetapi pabila ramai pelajar, menuntut saya menjadi guru yang lebih-lebih lagi garang dari biasa. Yang kedua, wujudnya halangan komunikasi antara pelajar dan guru. Pelajar pada kebiasaannya akan mengadu hal tentang tidak  fahaman mereka terhadap sesuatu topik yang dipelajarinya. Untuk itu, bilangan kelas yang ramai  akan mendatangkan kesan pada mereka kerana wujud rasa malu untuk bertanya pada guru sedangkan pada masa yang sama rakan-rakan lain memahami akan pengajaran guru.

Kesimpulannya, saya menyokong jika perkara ini dilaksanakan dengan kadar yang segera. Tidak dapat tidak, lebih ramai pelajar-pelajar yang dapat diselamatkan daripada keciciran dalam pembelajaran sekaligus dapat membantu mewujudkan masyarakat yang berilmu melalui sesi pembelajaran di bilik darjah yang lebih efisien dan fungsional. Insya-allah.

Remaja : Bataskan pergaulanmu

‘Cikgu, saya banyak dosa, cikgu tolong saya’, esakan pelajar saya masih segar kedengaran. Kedap sekali pelukannya. Saya biarkan sahaja. Saya yakin luka lama itu berdarah kembali.  Bila program yang bersifat muhasabah diadakan, disentuh qalbunya,  pelajar-pelajar saya terkesan. Cukup kuat pegangan mereka apabila bersalam dengan kami guru-guru.

Saya tahu pelajar saya ini ibu muda. Bukan dipinta. Tetapi kesan dosa silam itu tidak mungkin padam bila setiap kali dia menatap wajah anak kecil tanpa ayah yang dilahirkan.

Saya tutup lembaran akhbar yang dibaca hari ini apabila pasangan muda 15 tahun dan 17 tahun didakwa membuang bayi mereka. Teringat pula pelajar saya di Sungai Pelek.

‘Saya dulu tak tahu solat cikgu, ibu ayah dah berpisah, saya kawan dengan ramai orang’, hati saya juga sarat diruntun pilu. Tatkala menginjak ke usia remaja, mereka masih tidak tahu sembahyang, puasa, dosa pahala. Di sekolah, fenomena biasa yang sering dilihat apabila lelaki perempuan bukan muhrim bertepuk tampar. Mereka mengaku tidak tahu batasannya pergaulan lelaki perempuan. Sukar, ini yang reality dihadapan saya, yang dibelakang belum diketahui tahap pengetahuaannya bagaimana.

Pendidikan mengenai batasan pergaulan lelaki dan perempuan penting.

Kita selalunya memandang hina kepada mereka yang mengandungkan anak luar nikah tetapi kita tidak pernah memandang hina kepada anak-anak muda yang bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Padahal pergaulan bebas inilah punca sebenar kepada masalah buang bayi ini. Kita tidak pernah melarang dan mencaci anak-anak muda kita yang bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Di dalam Quran, Tuhan bukan sahaja melarang perbuatan zina tetapi perkara-perkara yang mendekatkan kepada zina juga turut dilarang.

Pergaulan bebas lelaki perempuan itu adalah satu perkara yang mendekatkan kepada zina yang sepatutnya anggota masyarakat membenci dan membenterasnya secara bersungguh-sungguh. Kalau di zaman dulu terutamanya di kampung-kampung, seorang wanita berjalan seiring dengan seorang lelaki tanpa ada orang ketiga boleh dianggap salah dan dilarang, tetapi zaman sekarang kalau lelaki dan wanita berjalan berpimpin tangan atau berjalan sambil berpelukan sudah menjadi perkara biasa kepada kita.

Zaman dulu kalau ada perempuan yang melahirkan anak luar nikah memanglah wajar mereka menerima penghinaan kerana perkara-perkara yang medekatkan kepada zina itu memang dilarang dan dibenci oleh masyarakat di masa itu. Tetapi di masa ini apakah wajarnya kita untuk menghina perempuan yang melahirkan anak luar nikah ini sedangkan perkara yang mendekatkan kepada zina seperti pergaulan bebas ini kita biarkan tanpa kutukan.

Aduhai remaja, bataskan pergaulan kalian, moga tiada sesalan dikemudiannya.