Archive | July 2009

Ahlan Ya Hawa Nur Izzah Faqihah

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

1 message received 4.30 am

Baby girl! – DR Along

Syukur, kepulangan saya pada kali ini tepat masanya, cahaya mata yang kedua bagi angah dan abang ngah selamat dilahirkan.Empat hari menanggung sakitnya dan berkampung di hospital akhirnya baby Hawa selamat dilahirkan.

Saya yakin bonda adalah individu yang paling lega melihat anakandanya dan cucundanya selamat.

Image010

p/s : alhamdullilah, mak teh memang dah lama menanti kehadiran hawa. 🙂

Berita dari bahagian akademik xi

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULILLAH

1) Makluman mengenai penangguhan program

Berikutan kes H1N1, Biro Akademik & Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar 08/09 menangguhkan beberapa program yang dirangkakan iatu program yang melibatkan Explorasi Buku : Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem dan juga Seminar Perniagaan Tadika ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

2) Cuti pertengahan semester

MAKLUMAN MENGENAI PEMBATALAN KULIAH DAN PERUBAHAN TARIKH CUTI PERTENGAHAN SEMESTER.

Adalah dimaklumkan bahawa pihak Universiti telah memutuskan perkara-perkara seperti berikut:

  1. Mulai pada 29 Julai 2009 hingga 31 Julai 2009 semua kuliah dibatalkan. Kuliah-kuliah yang dibatalkan tersebut perlu diganti semula dan pensyarah yang terlibat perlu mengatur kuliah ganti tersebut dengan pelajar.
  2. Cuti Pertengahan Semester yang sepatutnya bermula 15 Ogos 2009 hingga 23 Ogos 2009 telah dipinda dan
    diawalkan iaitu bermula 1 Ogos 2009 hingga 9 Ogos 2009. Kuliah akan dijalankan seperti biasa mulai 10 Ogos 2009.

3. Tarikh pengambilan jubah istiadat konvokesyen

MAKLUMAN KEPADA BAKAL GRADUAN ISMP DAN DPLI BAGI ISTIADAT KONVOKESYEN KESEBELAS SIDANG KEDUA OGOS 2009 DAN SIDANG PERTAMA MAC 2010
 
TARIKH ASAL BERMULANYA PEMINJAMAN PAKAIAN AKADEMIK IAITU 3 OGOS 2009 TELAH DIPINDA KE TARIKH YANG BAHARU IAITU PADA 7 OGOS 2009 BERIKUTAN PENULARAN H1N1 DI UPSI. PEMINJAMAN PAKAIAN AKADEMIK TURUT DIBUKA PADA HARI SABTU DAN AHAD (8 & 9 OGOS 2009) BERMULA PADA JAM 9.00 PAGI HINGGA 4.30 PETANG.

Sumber : Bahagian Akademik UPSI

‘Mahasiswa kebajikan’

‘Transform with knowledge’

NUR AQILAH HANIS BT MOHD YUSOFF

Exco Akademik & Kerjaya

Majlis Perwakilan Pelajar sesi 08/09

ps: teruskan berdoa agar semua sahabat-sahabat kita yang disahkan positif agar sembuh kembali dan meneruskan pengajian bersama-sama kita.

Aduhai mahasiswi

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Sekian lama saya diminta oleh sahabat-sahabat dan junior-junior untuk menulis mengenai hakikat mahasiswi yang sibuk mencari jodoh di universiti. Baru sekarang saya mampu untuk penuhi. Saya yakin, komposisi yang ramai daripada lelaki menyebabkan kebanyakan mahasiswi-mahasiswi gusar dengan keadaan yang sedikit ‘terdesak’. Walaubagaimanapun, saya tidak menafikan fitrah manusia itu hidupnya berpasangan, magnet diri antara lelaki dan perempuan sungguh luar biasa kuasanya. Biarpun di sana takdir dan jodoh kita telah ditentukan, kita masih lagi hidup dalam kegusaran mengenainya. Sedikit perkongsian diharapkan kesudian pembaca budiman untuk cermati penulisan ini.

Secara peribadi,  persoalan mengenai jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ianya bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya maka  jauhlah perjalanan kita. Ada individu jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum lagi apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan.

Pesan pada diri, nyatakanlah perasaan dan keinginan kalian itu dalam doa dalam lewat sembahyang. Allah itu mendengar.  Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Biar lambat jodoh asalkan mendapat “Mr Right” dan biar seorang diri daripadan menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti. Sememangnya kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu menyangka, diri ini  pasti bahagia kalau mendapat apa yang diingini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah.
Analogi mudah yang saya ingin bawakan, kita selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya orang itu. Hakikatnya  apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah. Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah(walaupun sebenarnya tidak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.

Ketika diri terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Diri pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya  menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di tengah-tengah bandar raya.

PAIRS

Hakikatnya, bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya.

Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat di samping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia juga buruk sebab ramai org yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus.

Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki  ke alam berumahtangga. Bukankah dengan ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut banyak? Bukankah apabila kita gagal melaksanakannya, kita sebenarnya membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?

Aduhai diri,
Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing-masing padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta  kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan  segala impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri tidak usah berkahwin dahulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika merasakan diri belum bersedia untuk bersabar dgn kerenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar untuk berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti tuntutan-tuntutannya.

Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya.

Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang.

“Cukuplah Allah sebagai penolongku dan kepada-Nya aku bertawakal, ya ALLAH,  temukanlah jodoh yang terbaik untuk hambaMU” ameen.

Islamophobia dan budaya tidak pedulisme

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah, saya punya kesempatan untuk menulis bagi mengisi pengisian diblog.

Banyak sekali perkara yang berlaku di sekeliling, terutamanya melibatkan hal saudara islam di seantero dunia. Benar, tiada banyak sumbangan yang boleh dilakukan, namun sedikit perkongsian melalui mata pena diharapkan memberi kesedaran kepada kita untuk turut terus berdoa kepada mereka . Islamopobia is an irrational fear or prejudice towards Islam and Muslims. Isu islam sebagai pengganas saya anggap sebagai isu yang klise. Kekejaman yang berlaku kepada umat Islam sememangnya masih belum sampai ke infiniti.

Indonesia dan isu pengeboman Hotel Ritz Carlton dan JW Marriot

bom_jakarta17072009012

Berita yang diutarakan sememangnya telah diduga, apabila sekali lagi dunia menunding jari kepada JI (jemaah islamiah) sebagai perancang utama dalam operasi pengeboman di Indonesia. Seharusnya, tidak wajar dunia mengeluarkan kenyataan yang seterotype kepada kelompok Islam kerana ianya secara tidak langsung menjatuhkan Islam di mata dunia. Sifir mudah yang digunakan dengan memberi tanggapan awal bahawasanya bom yang digunakan pada pengeboman di JW Marriot adalah sama dengan bom di Bali pada tahun 2003.

Natijahnya kelompok JI ini akan kembali ditunding sebagai pelaku dimana hasil akhirnya kelompok ini akan terus dikecam dan diburu dan akan ada penangkapan terhadap aktivis-aktivis Islam.

Umat Islam di Xinjiang

ru_01.1

Selesai keadaannya di Indonesia, imbas keadaan yang berlaku di Xinjiang 6 Julai. Seharusnya OIC menyelar tindakan ganas China terhadap masyarakat minoriti Uighur Islam dan sungguh saya kesal dengan sikap membisu negara-negara Islam terhadap penderitaan akibat diskriminasi yang ditanggung mereka. Kerajaan China hari ini menuduh puak pemisah Islam Uighur menggunakan senjata pisau dan kayu belantan ketika mengadakan rusuhan di wilayah bergolak di Xinjiang, menyebabkan sekurang- kurangnya 140 orang terbunuh dan lebih 800 cedera.

Persoalannya, siapa ada ambil sedikit peduli terhadap umat Islam di Turkistan Timur (Xinjiang)? Umat Islam sendiri tidak bangun, apakah kita mengharapkan ada umat selain Islam akan bangun? Kita menanti saat untuk meraikan Olimpik Beijing tanpa ada sedikit pun perasaan ukhuwah dengan umat Islam di Xinjiang. Sedikit perkongsian mengenai Umat Islam di Xinjiang.

Pada tahun 1949, lebih 95% penduduk Turkistan Timur beragama Islam. Menjelang tahun 1983, jumlah mereka merosot teruk hingga menjadi tidak sampai 55%. Bukan Islam keturunan Hans meningkat daripada 5% kepada 45%. Ke mana menghilangnya penduduk asal keturunan Uighur, Kazakh, Turki dan Dugans? Republik Rakyat China di bawah pimpinan Mao Tse Tung mencabul bumi Islam ini lalu mengubah namanya kepada Xinjiang.

Penukaran nama ini cukup berkesan untuk menghilangkan identiti Islam wilayah ini hinggakan majoriti umat Islam tidak tahu pun kewujudan Turkistan Timur. Bangsa Hans yang bukan Muslim dibawa masuk beramai-ramai oleh pemerintah. Jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran diberikan kepada bangsa Hans yang sebati dengan ideologi komunis. Para pemimpin agama dan politik Turkistan Timur ditangkap, dibunuh, dimasukkan ke kem-kem buruh paksa ataupun hilang begitu sahaja. Tanah-tanah penduduk dirampas dan pasar-pasar ditutup untuk menjahanamkan ekonomi penduduk Muslim.

Usaha-usaha untuk melenyapkan Islam di Turkistan Timur berjalan dengan sistematik hinggakan umat Islam sedunia tidak menyedarinya. Kemuncak kekejaman China boleh dilihat pada masa Revolusi Kebudayaan dalam tahun-tahun 1966-67. Ketika itu masjid-masjid ditutup. Sebahagiannya diambil alih dan dijadikan pejabat, asrama ataupun pusat-pusat penyembelihan (pemotongan) haiwan. Kitab Al-Quran dan buku-buku agama dibakar. Pendidikan agama tidak dibenarkan. Huruf rasmi Turkistan Timur iaitu huruf Arab digantikan dengan huruf Cyriclic dan Latin.

Dianggarkan lebih 360,000 orang Islam dibunuh, 100,000 dihalau ke Turkistan Barat dan 500,000 lagi dijadikan hamba abdi di kem-kem buruh paksa. Semua maklumat ini diperolehi daripada buku ‘Gerakan Jihad Fisabilillah & Cabarannya’ oleh Abdul Qadir Djaelani terbitan Pustaka Dini tahun 2001. Wilayah ini juga sudah puluhan kali menjadi tapak percubaan senjata nuklear yang dijalankan oleh pemerintah China. Sisa-sisa ujian tentunya dibiarkan merebak ke kawasan-kawasan pedalaman yang dihuni oleh penduduk beragama Islam.

Isu umat Islam bukan sahaja terhad di Palestin, seharusnya Umat Islam kisah mengenai perkara yang berlaku di Indonesia dan juga Xinjiang. Jangan pula kita terhinggap dengan budaya tidak pedulisme. Masalah umat islam adalah masalah kita.

Explorasi Buku : Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem & Seminar Perniagaan Tadika

Bismillahirrahmanirrahim

Sukacita saya menjemput semua warga UPSI  khususnya dan masyarakat luar amnya untuk hadir ke progam bedah buku sebagai wahana pencerahan minda.  Maklumat berkenaan adalah seperti berikut :

poster3

Segala maklumat lanjut boleh berhubung terus dengan saya dan rakan-rakan exco biro akademik & kerjaya mpp 08/09.

2) Antara Program lain yang dianjurkan bersama dengan Persatuan Pendidikan awal kanak-kanak 09/10 ialah seminar perniagaan tadika. Berikut adalah maklumat mengenai program.

picture6

‘Transform with knowledge’

NUR AQILAH HANIS BT MOHD YUSOFF

Exco Akademik & Kerjaya

Majlis Perwakilan Pelajar sesi 08/09

MPP bersama Mahasiswa

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah, sukacita saya menjemput mahasiswa/i untuk bersama dalam progam Hari Bersama Mahasiswa BAGI sama-sama menyalurkan cadangan, masalah ataupun perkara-perkara yang boleh diselesaikan diperingkat kami MPP. Maklumat mengenai program adalah seperti berikut.SA

“Transform with knowledge”

Bersuaralah bersama kami,

NUR AQILAH HANIS BT MOHD YUSOFF

Exco Akademik & Kerjaya

Majlis perwakilan pelajar UPSI sesi 08/09

Imbasan kenangan

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULILLAH

Minggu ini saya penuhi dengan pelbagai tuntutan dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Alhamdullilah, tahniah saya ucapkan kepada Permas atas penganjuran Simfoni Warisan yang menawarkan pelbagai pengisian yang menarik. Sebelumnya saya sempat menghadiri Bicara tokoh bersama Profesor Khoo Khay Kim dan juga Forum bicara Addin yang mengimbau kehebatan Sultan Muhammad Al-Fateh.

Dan diantara aktiviti yang dijalankan adalah pertandingan debat kemerdekaan. Saya penuhi jemputan menjadi juri debat untuk beberapa pusingan. Jujur, melihat semangat para peserta mengimbau kembali kenangan saya menjadi peserta seawal di semester satu. Semestinya saya dipertemukan dengan senior-senior debat yang banyak mengajar saya sehinggalah berkesempatan menjadi pendebat universiti disuatu ketika dahulu.  Alhamdulillah, dan kini saya melihat junior-junior debat yang ada sememangnya lebih hebat dari saya. Moga kalian terus maju dalam arena perdebatan!

 

Permulaan Perubahan di Ko-SPIN ’09

Bismilahhirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Peluang dan kesempatan yang diberikan Allah swt untuk hadir di Kongres Pertama Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara (Ko-SPIN ’09) dimanfaatkan sepenuhnya. Biarpun pada awalnya sedikit polemik berlaku diperingkat pentadbiran universiti, namun ianya tidak mematahkan semangat saya dan beberapa sahabat daripada rakan exco biro akademik dan kerja majlis perwakilan pelajar 08/09 untuk turut serta menjadi salah seorang peserta kongres. Sungguh, program ini mempunyai manfaat besar dalam kita membincangkan kelompangan yang berlaku dalam sistem pendidikan islam negara. Tahniah buat Gamis dan penggerak Ko-SPIN ’09.

banner blog

Sedari awal, saya melihat para peserta kebanyakannya daripada IPG(institut perguruan) yang rata-rata menghantar wakil lebih daripada 10 orang. Malahan ada juga peserta IPG Sarawak yang turut menghantar wakil. Belum lagi dikira dengan kehadiran wakil-wakil ngo, pengetua-pengetua yang juga turut sama menghadirkan diri.

Jujur, saya mengharapkan UPSI menjadi front dalam menjuarai isu-isu pendidikan namun masih belum kesampaian. Kesuburan intelektual masih lagi kurang di bumi kampus. Intelektual adalah manusia pemikir, dunia intelektual adalah dunia idea, dialog dan wacana yang kritis, cerdas dan bebas. Apatah lagi untuk kita yang bakal bergelar pendidik.

Pembentangan kertas kerja yang dibuat oleh tokoh-tokoh akademik negara merupakan lembaran ilmu yang berharga buat para peserta terutamanya yang bakal bergelar pendidik.  Salah seorang tokoh MPSI yang kini UPSI juga turut dijemput dalam membentangkan kertas kerja iaitu Prof Dr Sidek Baba. Saya amati soalan-soalan yang dilontarkan peserta yang rata-rata punya pandangan yang baik dan kesedaran yang tinggi dalam usaha ‘membaikpulih’ sistem pendidikan islam negara yang kian tenggelam.

Resolusi akhir kongres ini adalah membentuk seketeriat rejuvenasi sistem pendidikan islam negara yang sekaligus akan menjadi wahana terbaik untuk mendesak pihak kementerian memberi pencerahan semula kepada sistem pendidikan. Saya tertarik dengan sajak yang dibaca oleh pembentang Dato’ Dr Siddiq  Fadzil yang mencerminkan bahawasanya berlakunya pemaksaan dasar serba berat sebelah yang mengakibatkan lahirnya generasi yang ‘mati sebelah’. Pembentangan yang bersahaja menimbulkan beribu kesedaran pada peserta yang mendengar.

Semoga agenda Ko-SPIN  ’09 mampu diimplementasikan diperingkat nasional dan biarlah hasilnya untuk anak-anak bangsa pada masa akan datang. InsyaAllah.

p/s : sekalung tahniah untuk bonda dan kekanda (along) yang telah mendapat anugerah khidmat cemerlang dalam bidang perubatan hari khamis yang lalu. moga terus menjadi motivasi sebagai doktor dan jururawat yang cemerlang dunia akhirat. ameen.

PPSMI Dimansuhkan

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Keputusan tepat!

bc5ce2207f34da0c

Sememangnya langkah ini telah lama harus diambil sekaligus lebih ramai anak bangsa dapat diselamatkan. Keputusan kabinet akhirnya meluluskan untuk memansuhkan PPSMI sepenuhnya pada 2012. Desakan rakyat yang menginginkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa melayu mampu menggugat dasar yang telah dimulakan pada awal 2003 ini. Syukur!

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelaksanaannya bermula berperingkat mulai 2012 bagi Tahun Satu dan Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat.

Beliau berkata, bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Serentak itu, katanya, kerajaan memutuskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan perlu dimantapkan lagi.

“Pelaksanaan keputusan Kabinet bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ini akan berkuatkuasa pada 2012.

“Ia bermula secara berperingkat dan perubahan ini tidak membabitkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang media khas bagi mengumumkan keputusan Kabinet itu di sini.

Bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Muhyiddin berkata, pengajaran dan peperiksaan kedua-dua mata pelajaran terbabit akan dilaksanakan dalam dwi bahasa sehingga kumpulan terakhir PPSMI tamat pada 2014.

Kajian PPSMI sebenarnya mengecewakan sekaligus menunjukkan hasil kajian  yang dilakukan bahawasanya dasar itu tidak pernah dilaksanakan seperti yang dihasratkan.

Harapan baru untuk semua. Jujurnya pengalaman memeriksa kertas peperiksaan kimia dan sains bagi sebuah sekolah kluster begitu memeranjatkan apabila masing-masing gagal untuk menjawab dan tidak memahami soalan. Belum lagi dilihat di sekolah luar bandar. Biarpun dasar ini dimansuhkan, seharusnya penguasaan bahasa inggeris kita dipertingkatkan dari semasa ke semasa sesuai dengan tuntutan zaman!

p/s : saya harap keputusan ini tidak dipengaruhi oleh pilihanraya kecil dun manek urai.:) .

boleh klik di sini untuk melihat tulisan saya di media https://guruohguru.wordpress.com/bicara/

Perginya dalam Islam

Bismillahirrahmanirrahim

Berita kematian raja Pop, Michael Jackson atau nama islamnya Mikaeel benar-benar memeranjatkan dunia. Penyanyi Raja Pop, Michael Jackson, 50, telah memeluk agama Islam dan menukarkan namanya kepada Mikaeel.

Islam jadi pilihan

Berkat hidayah yang dikurniakan kepada abang Michael Jackson, Jermaine Friday yang telah memeluk agama Islam sejak tahun 1989, telah mencadangkan Jackson memeluk agama Islam. Friday banyak membelikan Jackson buku-buku mengenai Islam dan memberi pendapat kepada Michael Jackson mengenai keindahan dan ketenangan Islam.

Saya dan michael jackson

Saya mengenali lagu-lagu micheal jackson sedari usia persekolahan sekolah rendah. Tarian ala ‘robotik’ seringkali menjadi ikutan para muda-mudi sehingga kini.Biarpun begitu, saya kagum di akhir hayatnya ALLAH kurniakan hidayah kepadanya untuk mengecapi nikmat Islam. Dan akhirnya dia pergi dalam Islam.  Benar, hidayah itu milik ALLAH yang tidak mengenal masa dan siapa dikurniakanNYA.

2278069492_e460690a6f

Hadis Abu Qatadah bin Rib’ie r.a:
Satu usungan jenazah melintasi Rasulullah s.a.w, lalu baginda bersabda: Yang berehat dan yang direhatkan adalah daripadanya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah erti yang berehat dan yang direhatkan adalah daripadanya itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Hamba yang beriman itu berehat dari kepenatan dunia. Sedangkan hamba yang buruk kelakuannya, dapat merehatkan para hamba, negara, pokok-pokok dan haiwan iaitu semua merasa tenteram dari kejahatannya.

Semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh.ameen.