Archive | February 2009

Al-Fatihah

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Usai mengikuti sesi amali dan kuliah, saya menerima pesanan ringkas daripada sahabat saya mengajak untuk sama serta dalam menziarahi arwah Nurlina, pelajar semester 6, pendidikan matematik yang baru sahaja menyahut seruan Illahi.  Syukur, saya sememangnya telah lama bercadang untuk menziarahi keluarga arwah memandangkan saya tidak berkesempatan untuk mengenali arwah sepanjang meneruskan pengajian di UPSI.

Catatan perjalanan ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang diteruskan dengan dua lagi sahabat saya, Cikgu Adriyani dan Cikgu Zulhilmi (kedua-duanya exco Kebajikan & Kemasyarakatan MPP UPSI). Kami teruskan perjalanan dengan membawa amanah yang diberikan oleh sahabat-sahabat arwah dan pelajar-pelajar UPSI . Sungguh, saya terkesan apabila melihat barang-barang arwah yang kami bawa bersama dalam usaha memudahkan keluarga dengan menguruskan penghantaran pulang barang-barang beliau.  Kematian amat dekat menghampiri kita. Usia muda tidak menjanjikan kita bebas daripada sentiasa diintai dengan kematian.

 

Arwah Nurlina dalam kenanganarwah-nurlina

 

Perjalanan mengambil masa lebih 4 jam daripada kampus ke rumah arwah, dan tatkala kami tiba, sememangnya keluarga arwah menyambut dengan senyuman yang masih tersisa kesedihan. Saya pasti mereka sedih tatkala kami mengeluarkan barang-barang milik arwah. Melihat kepada barang-barangnya bisa meruntun hati seorang ibu dan ayah yang kehilangan anak tercinta, namun kedua-duanya cukup tabah menerima ketentuan Illahi. Itulah cinta tanpa syarat ibu bapa kepada anaknya biarpun sudah tiada di dunia.

Sempat saya berbual dengan ibu dan nenek arwah yang menceritakan detik-detik kematian arwah. Sungguh, mereka tidak menyangkakan arwah sudah meninggalkan mereka. Baru semalam seorang nenek tidur bersama cucunya, namun hari ini cucunya telah tiada. Baru semalam seorang ibu meletakkan kain di kepala anaknya dek kerana demam, hari ini anaknya itu juga telah tiada.  Saya gusar, arwah juga seusia dengan saya dan dia telahpun pergi dahulu.

Kami menyampaikan wang yang dikutip untuk keluarga arwah hasil sumbangan pelajar-pelajar UPSI, moga sedikit sebanyak membantu meringankan keluarga arwah.

Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah untuk adik Norazlina pelajar sains semester 2, yang kehilangan ayah dan pakciknya pada hari yang sama. Menerima dua berita kematian serentak, saya daoakan Azlina redha dan bersabar dengan ketentuannya.

Moga kita sama-sama sedekahkan al-fatihah untuk arwah Nurlina dan juga ayah serta pakcik Norazlina. Semoga roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah

Catatan sebuah perjalanan,

Nur Aqilah Hanis Bt Mohd Yusoff

Exco Akademik & Kerjaya MPP UPSI 08/09

Selamat Hari Lahir, Adam Sidqi

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILLAH

Sudah sekian lama saya ingin mencoretkan sesuatu mengenai anakanda tercinta. Dan hampir sebulan lebih saya tertangguh untuk berbicara mengenainya. Bukan bermakna melupakan kehadirannya, cuma mencari masa dan ketika yang sesuai. Sungguh, mak teh rindu pada adam.

dsc002872

Tanggal 10 Januari 2007

“Mak, bagaimana angah?” saya menelefon bonda.

“ALHAMDULLILAH, anak lelaki, caesarean, doakan kedua-duanya selamat” respon bonda.

Syukur ya ALLAH, sudah lama kami sekeluarga menantikan kehadiran seorang adam bagi menambah kegembiraan dan penyambung generasi keluarga kami.

Usianya sudah menjangkau dua tahun. Selamat Hari Lahir buat anakanda Muhammad Adam Sidqi.

Masih segar dalam ingatan bagaimana kesukaran kakak  mengandungkan dia. Morning sickness yang berterusan hampir 3 bulan lebih, hospital bagaikan menjadi rumah yang kedua.  Sukarnya seorang ibu mengandungkan seorang anak. Di pertengahan kehamilan juga, kakak ditahan di wad kerana bayi dalam kandungan tidak bergerak.  Itulah cinta tanpa syarat seorang ibu untuk anaknya. Segalanya telah berlalu.

Sesungguhnya dia hadir memberi sinar kebahagian seisi keluarga kami. Keletahnya bisa mencuit sesiapa sahaja yang baru mengenalinya. Jalannya tidak pernah perlahan. Bibirnya sentiasa mengungkapkan perkataan-perkataan baru.

‘Adam cibuk, adam cibuk’

‘Jut adam’

‘Mana tamus adam’

‘Adam nak jadi anak yang soleh’

Itulah bait-bait bicara seorang anak kecil.  Saya yakin Adam memahami keadaan ummi dan abahnya yang berjauhan dek kerana komitmen yang berbeza.  Doa mak teh, “Ya ALLAH, jadikanlah anak ini sebagai anak yang soleh, yang cemerlang di dunia dan akhirat” ameen

Selamat Hari Lahir yang kedua buat  Muhammad Adam Sidqi.

Orang bertanya kepada Ayah Imam Syafie tentang bagaimana boleh mendapat Imam Syafie yang faqih dan bijak sejak dari zaman mudanya lagi. Apa rahsianya? Jawab Ayah Imam Syafie ” Aku mendidik Syafie sejak aku belum berkahwin lagi (bermula semasa memilih calon Isteri – Ibu kepada Syafie) “

p/s : Keluarga kami bakal menyambut bayi yang ketiga, insyaALLAH.

Doa buat ayahanda dan bonda,

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil”.

Salam sayang anakanda buat bonda dan ayahanda yang mengasihiku tanpa kasih sayang yang berbelah bagi. Ameen.Ya Allah, aku lemah, aku banyak dosa. Aku suka mengeluh, aku kerap lalai dan alpa. Ampunkanlah aku ya Allah. Ampunkan diriku dengan pengampunan oleh sifat-Mu yang Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ampun dan kasihanilah aku, mudah-mudahan tanpa banyak hisab, tanpa banyak syarat, sebagaimana ibu bapaku memaafkan aku tanpa syarat, mengasihiku tanpa mengharapkan balasan. ameen.

Berita daripada bahagian akademik (III)

Bismilahhirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Bulan Februari merupakan bulan penting untuk dijalankan peperiksaan pertengahan semester. Maka, sudah pasti segalanya menuntut persiapan awal mahasiswa/i untuk beroleh kejayaan yang cemerlang. Untuk makluman dan tindakan mahasiswa/i UPSI :

a) Slip pengesahan pendaftaran kursus

Mahasiswa/i diminta untuk mengambil slip pendaftaran kursus masing-masing di pejabat fakulti. Bagi pelajar lama, anda boleh berbuat demikian bermula 16 Februari 2009 hingga 27 Februari 2009 (Denda Bermula 3 Mac 2009). Manakala bagi Pelajar Baharu iaitu bermula Ambilan Julai 2008, anda boleh berbuat demikian bermula 3 Mac 2009 hingga 13 Mac 2009. (Denda Bermula 16 Mac 2009). Ada beberapa peringatan yang telah digariskan oleh bahagian akademik UPSI. Anda diwajibkan untuk mengambil Slip Pengesahan Pendaftaran Kursus bagi Semester 2 Sesi 2008/2009 di fakulti masing-masing. Anda diwajibkan menyemak pengesahan pendaftaran kursus tersebut dan sebarang pembetulan perlu dimaklumkan ke Bahagian Hal Ehwal Akademik/Fakulti.  Kegagalan anda untuk mengambil Slip Pengesahan Pendaftaran Kursus, akan menyebabkan anda didenda dengan kadar RM5.00 sehari. Sekiranya tiada sebarang perubahan dibuat oleh pelajar selepas tempoh yang telah ditetapkan, Pendaftaran Kursus tersebut dianggap betul dan sahih untuk tujuan peperiksaan dan pengijazahan.

b) Pameran Buku-buku Ilmiah dan Pendidikan

Mahasiswa/i disyorkan ke pameran buku yang diadakan di perkarangan perpustakaan dan ruang D, bangunan canselori yang telah bermula pada 11 – 19 February 2009. Pameran dibuka bermula 9.00 am – 5.00 pm.

c) Draft peperiksaan

Mesyuarat Exco Akademik & Kejaya MPP UPSI dan bahagian peperiksaan UPSI, telah membincangkan beberapa perkara penting mengenai peperiksaan akhir semester 2/2008. Oleh yang demikian, mahasiswa/i diminta untuk melaporkan sebarang kepadatan jadual peperiksaan kepada bahagian peperiksaan apabila dikeluarkan draft kelak. Bagi penggunaan meja peperiksaan di TMU, pihak JPBH dalam kerangka menambahbaik keadaan meja yang sempit dan tidak selesa bagi mengelakkan masalah-masalah yang berlaku pada hari peperiksaan.

Diharapkan dengan sedikit info daripada bahagian akademik mampu untuk memberi maklumat terkini kepada mahasiswa/i.  Sebarang cadangan dan penambahbaikan dialu-alukan. Semoga kita semua beroleh kejayaan cemerlang dunia dan akhirat.

‘Transform with knowledge’

NUR AQILAH HANIS BT MOHD YUSOFF

Exco Akademik & Kerjaya

MPP UPSI 08/09

Giliran Erdogan

Bismilahhirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Berita dunia melaporkan keberanian  seorang wartawan  televisyen Iraq, Muantadar al- Zaidi yang membaling kasut ke arah presiden Amerika, Bush. Muntadar, 29, ditahan selepas dia melempar dua kasut ke arah Bush dalam satu sidang media di Baghdad. Saya pernah menulis mengenainya dalam entry saya sebelum ini. Itu cara Muntadar, seorang wartawan muda yang tiada kuasa namun punya keberanian luar biasa bertindak cara tersendiri.

bush1

 

Berbeda pula dengan tindakan Perdana Menteri Turki. Dunia sekali lagi gempar dengan tindakan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyop Erdogan yang bertindak meninggalkan Forum Ekonomi Dunia semasa sidang sedang berlangsung di Swutzerland setelah bertikam lidah dengan Presiden Israel, Shimon Peres berhubung dengan konflik Gaza.

c601115fe9f69494

“Peres, kamu lebih tua daripada saya. Suara kamu terlalu tinggi. Kamu bunuh mereka. Saya masih ingat kanak-kanak yang mati di tepi pantai. Saya masih ingat dua bekas Perdana Menteri (Israel) berkata mereka gembira masuk Palestin dengan kereta kebal. Dalam soal membunuh, kamu terlalu bagus.”

“Saya sangat dukacita kerana ramai bertepuk tangan dengan apa yang anda katakan kerana hakikatnya ramai penduduk (Gaza) mati,”

Jeritan terakhir Erdorgan sebelum dihalang oleh moderator.

3a97aeedf22c4d461

Saya melihat berkali-kali rakaman di dalam you tube. Kagum dengan tindakan Erdogan, jarang sekali pemimpin dunia menyatakan pendirian secara vokal tatkala berdepan dengan Israel. Apatah lagi mempertahankan kebenaran. Erdogan punya cara tersendiri. Biarpun dalam persidangan bertaraf dunia, beliau mengambil risiko untuk menyatakan kebenaran. Hakikatnya, ramai yang mengutuk dan ada juga yang memuji.

Laporan media antarabangsa melaporkan dalam perspektif berbeza. Namun, apa jua yang dilaporkan, tindakan Erdogan mampu untuk mengubat kekecewaan penduduk Gaza, kerana ada jua yang membela nasib mereka.

Saya menilai kapasiti seorang wartawan dan seorang Perdana Menteri yang berbeza namun tindakan yang dilakukan cukup memberi impak besar kepada dunia. Sudah pasti, mahasiswa juga punya kuasa besar. Cuma menunggu masa untuk digunakan sepenuhnya.

Palestin menangis, mahasiswa harus responsif.