Archive | September 2008

Syawal yang mulia

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH. Masih ada syawal untuk saya. Di kesempatan ini, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua sahabat, pengunjung blog jika ada kelakuan saya yang tidak menyenangkan. Sesungguhnya, saya manusia yang tidak lari daripada melakukan kesalahan.

ps : ada amanah besar yang perlu saya laksanakan selepas raya. doakan saya!

Advertisements

Masih ada yang sayang

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH.

Alangkah manisnya bulan Syawal jika pada sepanjang bulan Ramadhan, telinga kita sering mendengar zikir dan wirid serta bacaan ayat-ayat suci al-quran dan pada bulan ramadhan kita berbuka puasa dengan anak-anak yatim atau dengan keluarga yang tidak berkemampuan.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

25 Ramadhan

Segala pujian terhadap ALLAH, kerana pada kali ini saya masih diberi kesempatan untuk meraikan dan menjemput anak-anak yatim dalam satu majlis berbuka puasa. Jika pada tahun sebelumnya, saya dengan saf kepimpinan jawatankuasa mahasiswa kolej namun pada tahun ini saya dengan persatuan mahasiswa sains. Apa yang uniknya, saya masih berpeluang menyambut anak yatim yang sama iaitu daripada rumah anak yatim nurul huda.

Jika pada tahun lepas yang paling muda berusia 2 tahun maka pada tahun ini yang paling muda telah berusia 3 tahun.

Gembira kerana masih ada waktu dan diizinkan ALLAH untuk bertemu dengan mereka. Ada di antara mereka yang masih mengingati saya. Sedih, entah bila waktunya saya akan bertemu mereka dan berpeluang untuk meraikan mereka lagi.

Sekalung aspiriasi untuk warga persatuan mahasiswa sains dan biro latihan dan pembangunan sahsiah kuo. Semoga gerak kerja kita menjadi merit tambahan di bulan ramadhan bagi menuai saham di akhirat nanti!

ps : menunggu seterusnya dianjurkan majlis sambutan hari raya anak yatim

Fasa 1 :Kem kepimpinan bakal MPP

Bismillahirrahmanirrahim

Telah beberapa kali saya menangguhkan penulisan mengenai kem ini. Ketiadaan idea, masa dan tidak rasa ingin bercerita itu hadir di tengah-tengah kehangatan bulan Ramadhan. Kalau disingkap kembali sejarah di bulan Ramadhan, bermula daripada perang Badar sehinggalah kepada pembukaan Syam dan Mesir. Kejayaan manis pejuang Islam kebanyakannya dilakar pada bulan ramadhan yang mulia. Alangkah hebatnya mereka! Allah menjadi pembela kepada pejuang-pejuang yang bersih hatinya dan kukuh tautan tauhid kepada ALLAH S.W.T

Berbalik kepada kem kepimpinan yang saya sertai pada awalnya cukup berat untuk kaki melangkah pergi. Disebabkan masalah diri dan saya dapat rasakan ada amanah-amanah penting untuk saya tunaikan tatkala telah memilih untuk turut menyertai kem kepimpinan bakal MPP. ALHAMDULLILAH saya telah pun tamat dalam mengikuti fasa pertama kem untuk mereka yang bakal bertanding dalam pilihanraya kampus.

Kem dan saya

Suka saya menyentuh mengenai pengisian kem yang mana pada awalnya dirahsiakan tempat sebenar diadakan kem. Perjalanan yang dibawa oleh bas UPSI selama 5 minit merupakan catatan peribadi terpantas saya dalam mengikuti kem yang dianjurkan oleh pihak universiti. Teratak River View ibarat taman LOST WORLD disebabkan saya sendiri tidak mengetahui kewujudannya hanya beberapa minit daripada kampus dan sudah semestinya daripada kolej saya. Perjalanan menggunakan trak ala-ala “black maria” memberi pengalaman baru kepada saya dan rakan-rakan yang turut sama menyertai kem kepimpinan.

Beberapa fakta penting mengenai kem kepimpinan bagi bakal MPP yang telah diadakan:

1) kem ini sebenarnya menyenaraikan 70 orang calon untuk bertanding namun yang hadir hanya 57 orang peserta. 29 lelaki 28 perempuan.

2) kem ini diselenggarakan oleh pihak HEP UPSI yang mana fasilitator adalah di kalangan pengetua-pengetua kolej, pegawai-pegawai UPSI.

3) tentatif pengisian kem tidak diberikan kepada peserta namun dinyatakan daripada masa ke semasa oleh pihak fasilitator

4) kedudukan lokasi kem adalah di kawasan yang tiada line handset kecuali apabila berada di kedudukan yang amat tinggi barulah mempunyai liputan

5) para peserta pada awalnya diminta untuk menyerahkan handset

6) pengisian oleh pegawai pusat islam mengenai slot integriti, team building oleh pengetua-pengetua kolej, ujian personaliti, slot pidato merupakan rencah lazim bagi kursus kepimpinan

7) pengisian kerohanian yang bersepadu, solat jemaah bersama, qiamullail dan terawih

8) jungle trekking yang bermula jam 11 pagi hingga 3 petang di bulan ramadhan. Pengalaman yang menarik. Ya, ramadhan tidak menghalang kita daripada dorongan bekerja kerana ALLAH.

9) Makanan sahur dan berbuka yang begitu menyelerakan

10) Sesi refleksi yang menawarkan ketelusan dan keterbukaan untuk kedua-dua belah pihak membaiki kelemahan antara peserta dan fasilitator

11) Beberapa kali pihak penganjur mengingtakan kepada peserta hakikatnya kem dibuat bukan tujuan untuk mendoktrinkan para peserta atau membasuh peserta.

Penilaian saya terhadap kem

Jujurnya saya melihat ianya seperti kem-kem kepimpinan yang sering diikuti. Mungkin yang berbeza hanya daripada fasilitator yang mengendalikannya. Pengisian yang baik saya kira untuk bakal-bakal mereka yang bertanding dalam pilihanraya kampus. Ini merupakan satu bentuk persediaan bagi mereka yang bergelar pemimpin untuk menilai sejauh mana kesediaan mereka. Dan, saya sendiri tidak merasakan ianya salah satu bentuk doktrin oleh pihak universiti kepada peserta. Wahu’allam.

P/S : Fasa kedua menjanjikan kursus bina tatanegara untuk mereka yang bakal bertanding prk. (Ada lagi selepas ini fasa ketiga)

Ramadhan yang berbaki

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah. Perjalanan 6 jam selepas usai solat jumaat, akhirnya saya dan rakan-rakan telah selamat tiba di kampung halaman. Menaiki kereta untuk pulang berhari raya kali ini memberikan suasana yang sedikit berbeda berbanding dengan kepulangan ke kampung dengan menggunakan kereta. Biiznillah, semuanya berjalan lancar.

Ada sedikit rasa syukur dan rindu dirasakan terubat apabila melihat wajah bonda dan ayahanda tercinta. Ya Rab, ampunilah dan kasihanilah kedua orang tuaku seperti mana mereka telah mengasihiku.

Bersembang dengan bonda mengenai pengisian ramadhan yang dilalui. Malam lailatul qadar dikatakan pada malam 21hb (masa saya di kem mpp). Amal ibadah berusaha diperbaiki dan dipertingkatkan. Dan ini mungkin ramadhan terakhir untuk saya. Ramadhan yang berbaki harus dimanfaatkan. Dan seharusnya fasa terakhir ramadhan menjanjikan kita bebas daripada api neraka.

Ya Rab, Cepat sungguh waktu itu berlalu. Adakah saya telah memanfaatkan ramadhan ini dengan baik?

Rasa sedih itu perlu apabila ramadhan ini bakal berlalu. Semoga kita sama-sama mendapat merit oleh ALLAH di akhirat nanti. InsyaALLAH.

Satu hari, pada 13 Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim

Usai sahaja selesai menjawab mid term organic, saya dan sahabat-sahabat mengambil peluang untuk membeli barang-barang keperluan. Yang pasti, sudah lama juga saya tidak berkesempatan untuk ke pekan tg malim. Dan saat ini saya gunakan sebaiknya. Meriah dengan suasana di pekan. Di sana-sini karnival jualan murah menjual barang-barang keperluan hari raya. Kebetulan pula semalam adanya pasar malam. Kesibukan pekan tg malim jelas disebabkan keadaan geografinya yang agak kecil dan padat.  Jujurnya, kami memasuki hampir setiap kedai untuk melihat perbandingan harga.

“Ayah, adik nak kasut ini”.  Saya memerhatikan gelagat seorang kanak-kanak seusia 6 tahun mencuba kasut baru di kedai. 

“Cuba try baju kurung tu elok-elok” , pesan seorang ibu kepada anaknya tatkala saya memasuki kedai menjual pakaian.

Tak kurang juga ada yang saya lihat menangis, mungkin kerana tidak mendapat baju atau kasut yang dihajati. 🙂

Inilah suasananya. 13 Ramadhan begitu menghampiri fasa ramadhan yang kedua.

Tatkala ini, umat Islam khasnya yang bergelar ibu bapa akan sibuk membeli barang-barang keperluan anak mereka. Ianya sedikit sebanyak mengimbau kenangan saya pada zaman kanak-kanak lampau. Mencuba dan menggayakan pakaian yang dijahit sendiri oleh bonda. Sedondon pilihan warna daripada atas sampai ke bawah. Saya rindukan suasana itu! Andai masa boleh diputarkan semula, ingin sahaja kembali ke zaman itu. Hakikatnya, saya sudahpun melepasi fasa itu dan ianya sesuatu yang mustahil.

Seronok sebenarnya melihat gelagat pengunjung pekan tg malim. Tidak kurang juga yang membawa pasangan masing-masing membeli belah. Sama-sama mencari baju yang sama untuk digayakan biarpun hakikatnya tiada lagi ikatan pasti antara hubungan mereka. Saya yakin mereka penuntut UPSI. Suasana ramadhan dicemari dengan gelagat ‘couple-couple’ ini. Mereka berpuasa, mereka juga sama-sama menyambut hari raya. Andainya puasa kita masih belum mampu untuk mengekang diri daripada melakukan maksiat, maka kita kategorikan ianya kerja yang sia-sia. Nau’zubillah. Ramadhan yang sinonim dengan istilah bulan tarbiyah gagal dimanfaatkan oleh tetamuNYA. Konsep ‘together-gether’ masih lagi menjadi amalan yang istiqamah di kalangan pasangan-pasangan ini. Berbuka, bersahur, membeli, ke kelas semuanya mahu berdua.

Sedar tidak sedar kami telah menghabiskan 2 jam di pekan tg malim bagi mendapatkan keperluan yang diinginkan. Leka sebenarnya dengan suasana meriah itu.

Malamnya pula, keadaan saf yang semakin hari semakin sedikit sudah dapat dijangka. Tikar yang dibentang dibiarkan sunyi tanpa jemaah untuk bersembahyang. Sindrom ini juga bukan luar biasa malah ianya sesuatu kelaziman. Ramadhan yang sepuluh pertamanya rahmat, ditengahnya pengampunan dan diakhirnya pembebasan daripada api neraka gagal dimanfaatkan rohNYA bagi setiap penghuni kolej. Tuntutan assignment dan sebagainya dijadikan alasan.

“Andailah manusia itu tahu betapa besarnya fadhilat di bulan ramadhan, nescaya mereka akan mengharapkan bulan-bulan berikutnya juga bulan ramadhan”- riwayat Ibnu Humaiza.

Muhasabah diri

Apabila datangnya bulan ramadhan, iblis-iblis diikat dan apa yang ada tuntutan nafsu yang perlu ditarbiyah dan seharusnya tidak dibiarkan kosong tanpa pengisian. Menuntut mujahadah yang tinggi selaku seorang hambaNYA yang dhoif lagi lemah. Moga diri ini masih diberi istiqamah di jalanNYA.

UPSI dan Universiti APEX. Bilakah lagi?

Bismilahhirahmanirrahim

ALHAMDULLILAH. Saya mengambil masa untuk mencoret kembali disebabkan terhimpit dengan tuntutan midterm, quiz yang bertubi-tubi dan assignment yang telah sampai ke datelinenya. Itulah skrip biasa bagi seorang pelakon yang bergelar pelajar di UPSI.

Namun begitu, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada USM kerana telah dipilih untuk mendapat pengiktirafan sebagai universiti APEX. Sudah tentu kalian sinonim dengan istilah APEX ini. Apatah lagi bagi pembaca yang bakal bergelar pendidik. Anda harus cakna mengenai aspek ini.

Universiti Sains Malaysia, USM telah terpilih sebagai universiti Apex, menewaskan 3 dari 9 universiti lain yang disenaraipendek iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). USM juga menjadi institusi pengajian tinggi pertama di negara ini yang bakal memegang status universiti Apex.

5 lagi yang tidak tersenarai pendek termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Universiti Apex, yang mana konsepnya diperkenalkan kepada tahun 2007 merupakan status yang diberikan kepada satu sahaja universiti yang mempamerkan kemampuan paling tinggi untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Antara peranan penting yang bakal dipikul oleh universiti Apex ini adalah untuk menjejakkan kaki ke dalam carta 100 universiti terbaik di dunia dalam masa 5 tahun. Pada tahun 2020, universiti ini juga dijangkakan dapat menempatkan diri mereka dalam kalangan 50 universiti terbaik di dunia.

Pada masa ini, universiti tempatan terbaik berdasarkan kedudukan antarabangsa ialah UM, yang tersenarai dalam tempat ke 264. Kedudukan USM pula adalah lebih terkebelakang, iaitu pada tangga 309. Itu USM.

Kampus UPSI

Menyedari hakikat bahawasanya UPSI masih belum lagi mampu untuk menyenaraikan diri dalam pilihan universiti APEX, sudah tentunya soalan bilakah, mampukah itu timbul selaku mahasiwa-mahasiwi anak kandung suluh budiman. Kelengkapan yang setanding dengan universiti-universiti lain masih lagi tidak mampu untuk meletakkan UPSI sebaris dengan universiti-universiti lain. Universiti yang sinonim dengan penghasilan produk guru seharusnya mempunyai kualiti r&d yang maksimum berbanding dengan universiti-universiti lain. Namun hakikatnya, kita masih lagi jauh.

Peranan kita

Selagi benteng pemikiran isu posting, hiburan masih lagi belum dipecahkan di kalangan mahasiswa UPSI, jelasnya tidak akan mampu untuk melangkah jauh. (Saya yakin isu ini akan dimainkan apabila tiba pilihanraya kampus kelak) .Seharusnya golongan-golongan bakal pendidik inilah yang seharusnya berada di barisan hadapan berbanding dengan universiti-universiti lain.  Sejarah yang tercipta sebelum dinaiktaraf sebagai UPSI seharusnya menjadi pemangkin untuk mengorak langkah lebih jauh.. Realitinya, kita masih lagi jauh, namun tidak mustahil untuk mengecapi penanda aras itu!

P/S : Debaran pilihanraya kampus.

‘Ke arah membentuk revolusi pemikiran mahasiswa merdeka’

Praktikum sem 7

Bismillahirrahmanirrahim

Salam ramadhan kareem. Satu anjakan baru telah dilakukan oleh bahagian akademik universiti dengan menetapkan batch saya akan bermula praktikum pada semester tujuh. Ini bukannya kebiasaan di UPSI oleh kerana kebiasaannya praktikum akan dijalankan pada semester 8.

Hakikatnya ianya menimbulkan kerisauan bagi kami yang berada pada semester 5 sekarang. Sebelum itu telah berapa kali batch saya menjadi bahan eksperimen untuk melakukan penambaikan bagi sistem pendidikan yang ada.

Pada tahun 1996 : PTS (langkau kelas) tahun pertama diperkenalkan

Pada tahun 1999 : UPSR tahun kedua yang bermula dengan 5A

Pada tahun 2004 : Mata pelajaran EST(English For Science & Teknologi) diperkenalkan dalam SPM(wajib ambil)

Pada tahun 2005 : Sistem matrikulasi pertama yang menggunakan sepenuhnya Bahasa Inggeris

Sejarahnya berulang lagi, apabila pada tahun 2008, UPSI membuat percubaan pada batch kami semester 5 untuk menjalankan praktikum pada semester 7. Sedikit sebanyak ianya menjejaskan kami.

Semalam, saya dengan sahabat yang juga merangkap exco akademik Persatuan Mahasiswa Sains berada di fakulti untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesahihan kami yang akan berpraktikum di sem 7. Dan ianya benar-benar sahih. Ada beberapa silibus baru yang akan diambil. Maknanya, penulisan thesis kami juga mungkin akan dibuat semasa praktikum. Sedikit sebanyak menggusarkan kami.

Rasionalnya diadakan praktikum semester 7 berbanding semester 8 adalah disebabkan pelajar-pelajar yang telah habis praktikum akan masuk ke kampus semula untuk menilai dan menambahbaikkan mutu pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan di sekolah selama 3 bulan. Ini yang menjadi isu utama. Sebelum ini apabila praktikum di semester 8 pelajar-pelajar akan kembali untuk konvokesyen sahaja. Penambahbaikan dirasakan perlu dilakukan. Kajian telah dijalankan oleh Timbalan Naib Cancelor Akademik dan sekarang merangkap Naib Cancelor mengenai mutu pengajaran & pembelajaran di sekolah.

Hasil akhirnya, kami yang akan menjalani bahan ujikaji pertama  yang akan keluar daripada kampus satu semester dan kemudiannya masuk semula.

Realitinya apabila saya dan sahabat-sahabat lain telah berusaha untuk merasionalkan dan menyesuaikan diri dengan fenomena baru ini.

1) Apabila melibatkan subjek Sains contohnya (kursus saya kimia), seharusnya dihabiskan dahulu silibus memandangkan pada semester 7 ada beberapa subjek yang banyak diguna pakai di sekolah menengah. Maknanya, kami akan masuk ke sekolah dengan pengetahuan yang agak kurang lengkap.

2) Apabila melibatkan isu pencarian rumah sewa untuk kembali ke UPSI selepas tamat praktikum, satu semester yang berbaki akan menimbulkan masalah kepada kami untuk mendapatkan tempat kediaman. Yang pasti kolej tidak mungkin menerima kami lagi.

3) Selepas tamat ROS 2, kami akan berada di sekolah lagi untuk implementasi sedangkan ianya telah dilakukan dalam ROS 2 di semester 6. Hakikatnya saya sendiri telah mengajar secara total semasa ROS 1. Ini bentuk pengulangan.

4) Kos yang tinggi perlu dibelanjakan apabila keluar dan masuk semula UPSI. Untuk penyelenggaraan praktikum, kami akan menguruskan pengangkutan dan kediaman sendiri dan apabila masuk semula ke UPSI kami juga akan menguruskan benda yang sama. Benarlah, untuk mencari ilmu perlukan banyak pengorbanan.

5) Masa dan jarak sekolah menyebabkan kesukaran untuk datang kembali ke UPSI bertemu pensyarah. Kemungkinan ini akan berlaku disebabkan kami mungkin akan menulis thesis semasa di sekolah. Rujukannya pula kebanyakannya di kampus.

Maka dengan cubaan pertama ini, kami akan memberikan hasil yang baik biarpun ada rasa kurang selesa bagi kami. Redha dan bersabarlah. Menilai dari aspek yang positif, ianya merupakan turning point untuk kami meningkatkan mutu graduan UPSI. InsyaALLAH.

“Ke arah revolusi pemikiran mahasiswa merdeka”