Archive | October 2009

Isu Pendidikan: Pemansuhan PPSMI & Perlaksanaan MBMMBI

KENYATAAN AKHBAR Y.BHG. TAN SRI DATO’ ALIMUDDIN HJ. MOHD DOM, KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

PELAKSANAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (P&P) SAINS DAN MATEMATIK BAGI SEKOLAH RENDAH DAN SEKOLAH MENENGAH

Kenyataan akhbar ini bertujuan menerangkan dengan lebih jelas kepada masyarakat mengenai pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 8 Julai 2009 telah diputuskan bahawa dasar PPSMI akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2009 telah bersetuju melaksanakan mekanisme “soft landing” untuk P&P Sains dan Matematik bagi membantu pelajar-pelajar mengatasi masalah peralihan dasar berkenaan. Mekanisme “soft landing” adalah seperti berikut:

(i) P&P Sains dan Matematik boleh dilaksanakan dalam dwibahasa mulai tahun 2010 di sekolah rendah dan sekolah menengah. Dwibahasa bermaksud penggunaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dalam P&P Sains dan Matematik di sekolah kebangsaaan dan sekolah menengah; dan penggunaan bahasa ibunda dan Bahasa Inggeris bagi SJK(C) dan SJK(T).

(ii) Pelaksanaan dasar ini bermula pada tahun 2012 bagi pelajar-pelajar Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.

Walau bagaimanapun mekanisme “soft landing” akan memberi ruang kepada pelajar-pelajar lain menyesuaikan diri dengan peralihan dasar di mana P&P boleh dilaksanakan dalam dwibahasa. Kohort-kohort yang terlibat adalah seperti berikut:

(a) Kohort Tahun 1 (2009) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2014.

(b) Kohort Tahun 1 (2010) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2015.

(c) Kohort Tahun 1 (2011) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2016.

(d) Kohort Tahun 1 (2009) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2013.

(e) Kohort Tahun 1 (2010) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2014.

(f) Kohort Tahun 1 (2011) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2015.

PENTAKSIRAN

(a) Peperiksaan UPSR bagi matepelajaran Sains dan Metematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2016.

(b) Peperiksaan PMR bagi matapelajaran Sains dan Matematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehinggan tahun 2013.

(c) Peperiksaan SPM bagi matapelajaran Sains dan Matematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2015.

Ini bermakna penggunaan Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda bagi SJK(C) dan SJK(T) bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik akan dilaksanakan sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah menengah akan terlaksana pada tahun 2016.

Walau bagaimanapun pengajaran Sains dan Matematik bagi Tingkatan 6 dan Matrikulasi akan kekal dalam Bahasa Inggeris.

Jadual Pelaksanaan MBMMBI dan mekanisme “soft landing” adalah seperti yang dilampirkan.

mbmmbi

Bila wanita memimpin

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Menyedari hakikat kepentingan wanita dalam kepimpinan sememangnya menarik minat saya untuk sedikit mencoret mengenainya. Telah lama saya tangguhkan menjawab soalan mengenai kepimpinan wanita. Memakai baju amanah sebagai mpp yang kian lusuh, saya kira  ianya perlu kepada pemilik yang baru. Kepimpinan wanita sememangnya menimbulkan pelbagai pendapat dan pandangan di kaca umum.

Kejayaan tamadun awal dalam mencapai tamadun tinggi telah melahirkan para cendekiawan dan ahli falsafah yang terkemuka. Namun, arus kemajuan ini tidak melibatkan kaum wanita. Secara tradisi, peranan wanita hanyalah dalam rumahtangga sahaja. Malah mereka dianggap tidak mempunyai hak untuk bersuara, statusnya dalam kasta kedua dan mereka hanya sebagai pengikut lelaki sahaja. Tanggapan ini telah tertanam teguh dalam jiwa masyarakat sehinggalah kedatangan Islam.

Sesudah kedatangan Nabi Muhammad s.a.w., Islam telah mengangkat darjat kaum wanita. Mereka mendapat hak yang sewajarnya sesuai dengan risalah penciptaan wanita. Islam memperakui wanita berhak mendapat penghargaan sebagai seorang ibu, isteri dan anak perempuan. Mereka juga manusia mukalaf dan berhak beribadat, beragama serta bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perilakunya di dunia dan akhirat. Wanita juga berhak memiliki harta, mentadbir serta menguruskannya.

Kisah kepimpinan wanita yang diceritakan dalam al-quran sedikit sebanyak menarik minat saya untuk dikongsikan bersama pembaca sekalian. Kepimpinan wanita di peringkat tertinggi iaitu Ratu Balqis, digambarkan sebagai seorang pemimpin wanita tertinggi negara yang berwibawa serta mampu membawa kaumnya kepada kebaikan dunia akhirat. Firman Allah SWT:

Mafhum : Berkatalah kami (lelaki) yang mempunyai kekuatan, sesungguhnya kami serahkan urusan ini kepdamu ( ratu balqis) …” berkatalah Balqis “ Demi Tuhanku sesungguhnya aku telah berlaku zalim terhdp diriku nescaya kini aku akan beriman kepada Allah bersama Nabi Sulaiman” ( An-Naml 33 dan 44)

Dalam konteks mahasiswa, sememangnya di universiti telah mampu untuk melahirkan beberapa pemimpin wanita yang akhirnya mampu untuk berpencak di peringkat nasional. Dengan amanah yang dipegang sepanjang memegang tampuk mpp, sememangnya masih banyak perkara yang belum saya pelajari dan belum terlaksana sepenuhnya. Hakikatnya menjadi pemimpin mahasiswi realitinya memerlukan kesabaran dan kesediaan dari segi mental dan spiritual yang tinggi. Pelbagai ujian yang dihadapi sebenarnya mampu untuk menjadi tauladan dan bekalan untuk kita sendiri menghadapi masa depan yang sememangnya lebih lagi mencabar.

Seringkali saya memujuk diri supaya berusaha melaksanakan amanah dengan sebaiknya dan insyaALLAH pertolongan ALLAH itu akan datang. Keikhlasan merupakan kunci untuk kita sentiasa memberi yang terbaik. Maka, biarlah setiap kali ujian itu datang, kita masih mampu untuk bangun dan berlari bergerak ke hadapan. Maka, untuk mahasiswi pemimpin sekalian, saya yakin kalian sememangnya mampu untuk menjadi yang lebih baik andainya kalian sentiasa optimis untuk menghadapi cabaran yang datang. Sudah banyak kita disajikan dengan kisah-kisah teladan wanita sebagai pemimpin, dan saya tampilkan beberapa figura penting yang boleh dijadikan panduan kita semua.

zainab-al-ghazali

_datin-seri-wan-azizah-wan-ismail

Sehingga saat ini saya masih lagi belajar dan terus belajar untuk memimpin. Leaders are learners. Pemimpin adalah individu yang sentiasa belajar. Malah, satu ungkapan lain yang sering kali menjadi semangat untuk meneruskan amanah yang berbaki ialah saat kita berhenti belajar saat itulah kita akan berhenti memimpin. When you stop learning, you are stop leading. Hakikat ini menunjukkan bahawanya, kita mesti terus belajar untuk terus memimpin, setidak-tidaknya memimpin diri sendiri. Anda bagaimana?

Doa cinta buat pengantin

Bismillahirrahmanirrahim

‘Tahniah kak yoe, moga jadi isteri yang solehah dan melahirkan anak-anak yang soleh’ saya peluk, pipi kami bertemu dan saya dapatkan rasa debaran pengantin baru. Sayu.

‘Alhamdullilah, moga telah sempurna separuh dari imanku, tertutup lubang-lubang syaitan yang sering kali melalaikan dari mengingati ALLAH, dan tiada lagi dosa noda ikhtilat hati’, ujar kekanda saya yang ketiga sambil tersenyum. Saya yakin beliau mampu sudah menggalas tugas berat sebagai seorang isteri.

Terbina satu lagi baitul dakwah.

Bertemu jodoh dengan seorang ustaz, saya merasakan pasangan ini cocok sekali. Gabungan seorang doctor dan ustaz seringkali mengingatkan saya kepada saifulislam. Moga-moga abang ipar juga mampu menyiapkan PHD dalam masa yang ditetapkan. Ameen. Tiada lafaz yang boleh dilahirkan melainkan syukur kepada ALLAH kerana kedua-duanya selamat diijabkabulkan dan suasana perkahwinan yang dijalankan cukup meriah. Seribu lebih tetamu yang datang memeriahkan majlis yang berlangsung.

Menitis air mata ayahanda bonda kegembiraan melihat anakandanya disatukan. Saya tahu kekanda yang ketiga ini seringkali menjadi kebanggaan keluarga. Kecemerlangannya yang luar biasa sememangnya tiada tandingan antara kami semua adik-beradik. Kesibukannya masih lagi sama sejak dari zaman belajar sehingga ke alam pekerjaan. Allahurrabi. Saya doakan selepas ini lahirnya golongan-golongan protaz dari zuriatnya bagi menyambung rantai perjuangan islam.

cinta

Ya Allah,

Sempurnakanlah kebahagiaan mereka suami isteri

Dengan menjadikan perkawinan mereka ini sebagai ibadah kepada-Mu

Dan bukti ketaatan mereka kepada sunnah Rasul-Mu.

Amin Allahumma Amiin……

Selamat berbahagia buat kak yoe dan abang anuar.

Pulang seketika

Bismilahiirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

kapal terbang yang membawa saya
‘Nis, lepas je selesai urusan terus bertolak ke klia’ mesej dari along saya terima berkali-kali.

‘Jangan lupa bawak balik tiket dan tak perlu bawak barang banyak-banyak’ kali ini mesej dari angah pula yang menyusul.

‘Sampai pukul berapa nanti?’ mesej ringkas dari kak yoe yang sememangnya pentingkan masa.

‘Kak hanis balik cepat, ada cerita best’ mesej adik yang mengujakan saya.

Kali ini kepulangan saya sememangnya membawa misi penting urusan keluarga yang harus dilaksanakan. Alhamdullilah, syukur punya kakak-kakak dan adik yang membantu menguruskan kepulangan saya kali ini. Terima kasih along yang menolong mem’booking’ tiket, angah yang merancang jadual cuti, kak yoe yang menaja penuh tiket saya untuk kali ini dan adik yang tidak jemu-jemu menjamukan cerita-cerita yang menuntut saya pulang segera ke rumah. Nantikan kepulangan yang paling jauh dari perantauan. 🙂

Pedagogi As-shahid Hassan Al-Banna

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Berkali-kali saya membaca buku ‘Cinta di rumah Hassan Al-Banna’. Buku ringkas yang sarat dengan pengajaran. Pedagogi yang diaplikasikan oleh Hassan Al-Banna selaku seorang ayah, daei dan suami amat-amat berkesan. Sedikit sorotan mengenai hasil pembacaan buku yang dibuat.

Buku yang wajib dimiliki

Begitu banyak masa yang dikorbankannya untuk dakwah ini namun beliau sekali pun tidak melupakan cinta di dalam rumahnya sendiri. Beliau menyebarkan cintanya terhadap Islam ke seluruh kawasan di Mesir.Perasaannya yang halus terhadap Islam dan juga persaudaraan Islam yang dipupuknya dikalangan ikhwan dapat dilihat juga di rumahnya. Cintanya Hasan Al-Banna terhadap isteri dan anak-anaknya tersebar di dalam rumah dan menjadi asas yang penting dalam diri seorang daie.

Buku ini menceritakan bagaimana Sang Daie ini berperanan sebagai seorang bapa kepada anak-anaknya. Juga sebagai seorang suami kepada isterinya. Imam Hasan Al-Banna, semoga Allah merahmati beliau, banyak sekali memberikan kepada kita contoh yang praktikal dalam beramal ketika Islam telah menjadi asing dikalangan umatnya sendiri. Beliau kurang menulis buku namun beliau banyak mencetak manusia yang dikemudian harinya manusia-manusia itu kembali menulis perihal sipencetak manusia ini. Semoga kita semua dapat mengambil banyak manfaat dan beramal daripada kisahnya.

The story still and always inspiring. Everybody must read this book! 🙂

Menulis semula

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Agak lama juga saya mem’beku’kan penulisan di blog sehingga ter’lewat’ untuk merespon isu-isu yang berlaku disekeliling. Jujurnya saya cuba memberi tumpuan kepada beberapa perkara yang perlu diutamakan, apatah lagi tinggal beberapa minggu berbaki sebelum mahasiswa/i menduduki peperiksaan akhir.

Syukur, penghantaran thesis untuk first reader dan second reader telah dilakukan. Hakikatnya penulisan thesis memerlukan kesabaran dan ketekunan yang tinggi. Terima kasih kepada Dr azlan selaku supervisor saya yang amat-amat membantu dalam memberi tunjuk ajar yang tidak pernah jemu, dan juga puan shida selaku penyelia saya yang kedua tidak pernah lokek menerima dan membetulkan penulisan saya.

Beberapa perkara yang berlaku di sekeliling akhir-akhir ini sedikit sebanyak menuntut saya berjumpa dengan beberapa figura penting bagi menyelesaikan masalah. Selesai isu posting, timbul permasalahan sistem pendaftaran yang berformat baru, draf peperiksaan dan juga penempatan praktikum.

Isu akademik

Sedikit ulasan mengenai sistem pendaftaran yang memerlukan mahasiswa/i menyusun sendiri jadual kuliah. Ada baik buruknya sistem ini diperkenalkan. Masih punya banyak perkara yang boleh diberi perhatian sebagai penambahbaikan kelak. Isunya, subjek tidak cukup, bertindih dengan major dan minor, subjek tidak ditawarkan, semuanya saya telah majukan kebahagian akademik. Sesetengah perkara berjaya diselesaikan dan juga sesetengahnya memakan masa untuk diselesaikan. Mengenai pelajar DPAKK yang tidak mendapat draf peperiksaan, saya mohon adik-adik bersabar kerana bahagian peperiksaan berjanji akan mengeluarkan draf untuk adik-adik selewat-lewatnya hari rabu ini. Bagi mahasiswa/i akhir sudah tentu penempatan untuk praktikum telahpun diketahui. Bagi mahasiswa/i yang ingin mengubah sekolah, saya sarankan anda berurusan terus dengan penyelaras praktikum dan juga unit latihan mengajar.

Belum terlambat saya mengucapkan jutaan tahniah kepada senior-senior keluaran anak kandung suluh budiman yang telah ditawarkan penempatan ke sekolah-sekolah. Tugas dan cabaran anda baru bermula. Saya yakin, segala ilmu yang telah diperolehi sepanjang menuntut di bumi UPSI mampu diaplikasikan dengan baik dalam medan sebenar di sekolah.

DSC00454

Ihsan gambar dari blog saudara zul 🙂

Kemeriahan syawal dirasai biarpun syawal sudah melabuhkan tirainya. Saya mohon maaf atas jemputan-jemputan yang gagal untuk saya penuhi dek kerana perlu mengutamakan perkara yang lebih penting dan juga terima kasih di atas penganjuran jamuan akhir rakan surau ar-rashidin yang meraikan kami selaku senior-senior. Perasaan saya berbaur sedih dan gembira. Sedih kerana bakal meninggalkan adik-adik. Gembira kerana surau ar-rashidin telah punya pelapis-pelapis yang baik. Tahniah untuk kalian.

Saya berusaha untuk memberi pengisian yang terbaik kepada pembaca blog yang budiman sekalian, semoga usaha sedikit yang dilakukan mendapat redha ALLAH sekaligus menjadi nilai ganjaran di akhirat nanti. ameen.

Kenyataan Media Berhubung Mengenai Isu Penempatan

-KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA-

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI)

8 OKTOBER 2009

Berhubung berkenaan isu penempatan yang dikatakan akan dilewatkan bermula tahun hadapan, kami mewakili pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berusaha mendapatkan maklumat serta perbincangan dengan beberapa pihak bagi merungkai isu yang semakin menjadi perhatian di kalangan mahasiswa jurusan pendidikan di negara ini.

Menyedari tugas sebagai wakil pelajar, kami mengambil langkah untuk berhubung dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) bagi mendapatkan pandangan serta pendirian mereka berkenaan isu yang berbangkit ini.

Pada 7 Oktober 2009, jam 9.30 malam, saudari Adriyani Yamin, Exco Kebajikan & Kemasyarakatan MPP UPSI yang dtugaskan untuk menghubungi Presiden NUTP, Encik Hashim Adnan telah membuat perbincangan bersama beliau melalui panggilan telefon. Hasil daripada perbincangan tersebut, beberapa ketetapan dan jaminan telah dibuat. Berikut merupakan penjelasan dan pendirian NUTP hasil perbincangan yang dibuat berkenaan isu ini :

• Pihak NUTP menegaskan isu kelewatan untuk penempatan bermula pada tahun hadapan adalah tidak relevan apabila dilihat pada statistik persaraan guru-guru sedia ada.

• Situasi semasa ( tahun 2010 persaraan guru lebih ramai) menunjukkan bahawa isu ini tidak mungkin berlaku, apabila lebih ramai guru-guru baru diperlukan untuk mengisi kekosongan guru yang ada.

• Pendidikan merupakan elemen penting walau di mana sekalipun, justeru adalah tidak relevan jika faktor kekangan kewangan dijadikan sebagai alasan menyebabkan mahasiswa/i yang mengambil bidang pendidikan menjadi korban.

• Mahasiswa/i tidak perlu bimbang berkenaan dengan isu ini, dan melalui NUTP sendiri suara bakal-bakal guru ini boleh disalurkan dengan baik dan NUTP sedia membela bakal-bakal guru.

Justeru, kami berharap penjelasan dan pendirian NUTP ini boleh mengembalikan keyakinan dan semangat semua bakal guru, tidak kira sama ada di UPSI mahupun institusi lain untuk meneruskan usaha mencapai cita-cita menjadi seorang guru.

Mohd Zulhilmi bin Mohd Noor

Exco Kebajikan & Kemasyarakatan

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI

Adriyani binti Yamin

Exco Kebajikan & Kemasyarakatan

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI

Akmal bin Madzir

Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI

Norhafizawati bt Mahmad Razali

Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI

Nur Aqilah Hanis Bt Mohd Yusoff

Exco Akademik & Kerjaya

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI

Arif bin Mohamad

Exco Akademik & Kerjaya

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI

Mohd Hanif Azwan bin Abd Rahman

Exco kesenian & Kebudayaan

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI

Norhisham bin Che Hamid

Exco Kesenian & Kebudayaan

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI

Isu Penempatan Ke Sekolah 2010

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Pertama-tamanya saya mohon maaf untuk semua mahasiswa/i UPSI yang menunggu-nunggu hasil respon perbincangan saya dengan beberapa pihak. Besar sebenarnya isu yang kita hadapi. Bukan isu yang melibatkan seorang dua, tetapi melibatkan kita semua. Apabila berita daripada upsikini telah menyiarkan kenyataan TNCA sebenarnya pada pukul 8.45 pagi 5hb oktober 2009,pihak saya biro akademik dan kerjaya mpp 08/09 telah membuat temu janji dengan Prof Zakaria dalam mendapatkan respon beliau berkenaan dengan isu tersebut dan juga saya telah menghubungi bahagian pengurusan sumber di Kementerian Pelajaran Malaysia.

1)  Respon dari TNCA

Sebenarnya, Profesor Dr. Zakaria Kasa, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengeluarkan kenyataan semua penempatan lepasan UPSI ke sekolah-sekolah kemungkinan besar akan mengalami kelewatan untuk dipostingkan dan bukannya mengalami pembekuan. Kelewatan tersebut tidak dapat dinyatakan jangkamasanya mungkin juga mengambil masa yang agak lama  dari kebiasaanya dan mahasiswa/i diminta bersedia dengan kelewatan yang berlaku juga mungkin mengambil masa berbulan.
Kenyataan tersebut dipetik dalam ucapan perasmian yang disampaikan beliau dalam ‘Simposium Halatuju Pendidikan Fizik Di Malaysia’ anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI yang berlangsung di Bilik Seminar Bitarasiswa pada 3hb Oktober 2009.

Sebenarnya saya juga hadir dalam simposium tersebut namun tidak mengikuti ucapan perasmian tetapi hanya ketika perbentangan satu kertas kerja sahaja yang berjaya diikuti disebabkan saya punya midterm sebelumnya.

Mengulas lagi isu ini, Prof mengulas, keadaan ini berlaku disebabkan keadaan ekonomi negara yang kurang stabil dan kerajaan tidak dapat memberi jaminan untuk memastikan semua graduan lepasan pendidikan akan dipostingkan tepat pada masanya dan perkara ini tidak hanya berlaku di UPSI namun juga IPG-IPG, DPLI dan semua fakulti-fakulti pendidikan di seluruh IPTA dan IPTS.

Tambah beliau lagi, keadaan lewat posting ini perlu semua mahasiswa/i UPSI ketahui dan bersiap sedia biarpun ada dikalangan mahasiswa/i adalah penerima biasiswa dan  juga sebahagiannya merupakan peminjam PTPTN.  Beliau juga menasihatkan mahasiswa/i mengambil langkah berjimat cermat melalui sekarang kerana kemungkinan besar bajet universiti akan dikurangkan disetiap bahagian 10-20%.

Menyentuh inisiatif yang dilakukan di peringkat UPSI, universiti akan membuka kos yang bukan hanya melibatkan pendidikan bagi memberi peluang yang lebih luas kepada pelajar untuk bukan hanya mendapatkan pekerjaan bukan sahaja sebagai guru namun mampu untuk ditempatkan dalam prospek lain. Sebagai contoh kita dapat lihat, ijazah sarjana muda bahasa arab dengan pendidikan, ijazah sarjana muda pengajian malaysia. Mahasiswa/i juga dinasihatkan supaya merancang lebih awal dan bijak mencari peluang pekerjaan yang lain bagi menghadapi isu kelewatan posting ini.

2) Respon dari pegawai KPM, En Saufi Ketua Penolong Setiausaha Unit Perkhidmatan Guru (1),  Bahagian Sumber Manusia

Saya mengambil inisiatif untuk berhubung terus dengan pegawai KPM yang terlibat dengan urusan posting ini.

Isu lewat posting sememangnya akan berlaku pada tahun hadapan. Kerajaan setakat ini akan mengambil guru mengikut unjuran-unjuran sebenar kekosongan guru di seluruh sekolah di malaysia. Berikutan dengan itu, mahasiswa/i dalam bidang pendidikan tidak akan dijamin dipostingkan dalam masa terdekat sebaik sahaja mereka graduat. Kelewatan untuk posting juga dikatakan berikutan perubahan sistem 2 kali penempatan ke sekolah berbanding 4 kali penempatan sebelumnya. Kemungkinan masa yang diambil untuk mahasiswa/i dipostingkan adalah lebih lama dari kebiasaan kesan daripada perubahan sistem ini.

Mengulas mengenai isu posting, mengenai interview yang dilakukan kepada lepasan UPSI yang baru sahaja bergraduat bulan lapan yang lepas,  ramai dikalangan mereka gagal dalam ujian INSAK . Seramai lebih kurang 400 orang gagal ujian insak dan 20%-30% dari UPSI. Hal ini kemungkinan dilihat kurang bersedia apabila menghadapi interview samaada dari segi mental dan fizikalnya dan juga masih lagi kurang dalam kemahiran berkomunikasi terutamanya. Keadaan ini sememangnya serius dan perlu diambil kira oleh kita semua yang bakal bergraduat kelak.

Bagi pelajar DPLI, mereka tidak perlu lagi untuk interview apabila tamat pengajian kelak berikutan telah diinterview sebelum pengambilannya. Beliau juga bersedia untuk bertemu dengan mahasiswa/i tahun akhir terutamanya dalam memberi penerangan terus berkenaan dengan isu penempatan dan kretiria dalam interview.

Saya menyeru kepada mahasiswa/i UPSI supaya bertenang dan bersabar, kerana sememangnya isu ini bukannya isu kita tidak dapat posting cuma isu kita lambat posting. Apa-apapun saya akan maklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa.

‘Transform with knowledge’

Mahasiswa Kebajikan

NUR AQILAH HANIS BT MOHD YUSOFF

Exco Akademik & Kerjaya MPP UPSI 08/09