Archive | November 2009

Tokoh berpengaruh di dunia Islam 2009

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah disenaraikan antara ’50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia‘.

Menteri Besar Kelantan itu,  disenarai di tempat ke 42 dalam senarai ‘500 Muslim yang Berpengaruh Tahun 2009’.

The Royal Islamic Strategic Studies Center untuk pertama kalinya menerbitkan buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” tahun 2009.

Para tokoh muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam daftar itu adalah kalangan Muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan kemanusian dan mampu membawa perubahan dalam kehidupan ramai orang.

“500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia” sepanjang tahun 2009 itu, dibahagi dalam 15 katagori, antara lain katagori ulama, politik, cendekiawan, perempuan, pemuda, ilmu dan teknologi, media sampai kategori muslim radikal.

(Nik Aziz ditangga ke 42 Muslim paling berpengaruh di didunia)

Tokoh Muslim dunia lainnya yang masuk dalam daftar 50 tokoh peringkat teratas dimulai dengan, Raja Saudi, Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud; pemimpin spritual Iran, Syed Ali Khamenei; PM Turki Recep Tayyib Erdogan; Imam Besar Masjid Al-Azhar dan Pimpinan Universitas Al-Azhar, Kairo, Dr Muhammad Sayyid Tantawi; Syaikh Yusuf Al-Qaradawi; Pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir Syaikh Mohammad Mahdi Akef, Sekjen Hizbullah, Syed Hassan Nasrallah dan Pimpinan Hamas, Khaleed Mishal.

Nama Anwar Ibrahim turut disenaraikan di dalam lis 450 “Honourable Mention” di dalam pencapaian di bidang masing-masing dan diantara tokoh Islam yang signifikan di dalam dunia.

Nama Anwar Ibrahim tersenarai di bidang politik berserta dengan nama Tun Dr Mahathir Mohammad tetapi nama Mahathir tidak disenaraikan di dalam “Honorable Mention”.

Dari kalangan cendekiawan, daripada Malaysia yang tersenarai ialah Prof Emeritus Datuk Osman Bakar, Timbalan Naib Chancellor, Universiti Malaya dan Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali.

Mohideen Abdul Kadir, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang di dalam kategori Pembangunan sementara Kumpulan Raihan turut tersenarai di dalam katagori Seni dan Budaya.

Dalam pengantar buku yang diterbitkan untuk membantu dan membuka wawasan tentang pengaruh umat Islam di dunia saat ini dan beragamnya kelompok-kelompok Islam yang ada di seluruh dunia.

Penyusunan buku ini melibatkan pengamat dunia Islam yang namanya sudah dikenal secara meluas di dunia antarabangsa, Profesor John Esposito dan Profesor Ibrahim Kalin sebagai editor utama.

Advertisements

Wajah-wajah cemerlang UPSR

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Gembira saya membaca perihal adik-adik yang telah berjaya dengan cemerlang dalam UPSR bagi tahun ini. Mereka datang dari pelbagai lapisan dengan semangat yang tinggi untuk berjaya. Tahniah untuk kalian!

Melihat kegembiraan adik-adik yang mengisi dada-dada akhbar seolah-olah mengenang kepada detik kegembiraan saya dahulu. Yang nyata, ketika keputusan diumumkan,  saya bukannya menangis kegembiraan kerana mendapat 5A, tetapi saya menangis disebabkan keletihan dek kerana demam teruk dan terpaksa pulang berjalan kaki ke rumah sebaik sahaja mengambil keputusan. Namun, saya masih ingat bonda adalah orang yang berusaha memujuk saya dengan memberi ubat dan membuat air milo panas. Dan akhirnya baru saya cermati bersama-sama bonda keputusan UPSR yang diperolehi. ALHAMDULLILAH, tiada kegembiraan lain melainkan melihat kedua-dua ayahanda dan bonda paling gembira.Itu 10 tahun yang dahulu.

Namun, bagi adik-adik yang tidak mendapat keputusan penuh dalam UPSR kali ini, ini bukannya satu penamat bagi perjalanan kalian yang masih panjang. Ramai orang apabila melihat perkataan gagal, mereka akan menjadi takut. Hakiktanya, apabila gagal, kita telah menambah satu ilmu baru yang boleh kita jadikan tangga untuk peningkatan.

Siapa yang tidak tahu sejarah penciptaan mentol? Thomas Edison mencipta mentol itu selepas 2000kali percubaannya tidak berjaya. Apabila ditanya, bagaimana dia boleh berusaha sebegitu rupa walaupun menghadapi 2000 kali kegagalan, namun jawapannya :

‘Saya tidak gagal, saya hanya berjaya selepas 2000 kali mencuba..’

Lihat semangat yang ditunjukkan. Semuanya terletak pada tangan kita. Jika kita menggangap sesuatu perkara itu penting, maka kita tidak akan senang-senang mengalah atas segala cabaran dan dugaan yang kita hadapi sepanjang mencapai matlamat itu. Yang pasti, kita adalah manusia yang dijadikan seribu satu kelebihan oleh Pencipta. Seharusnya, tiada limit untuk kita terus berusaha!

Muhammad Nabil Mohd. Nasir, SK Othman Talib (1) Pasir Mas, Kelantan

UMMU Aiman Abd. Latif dari SK Gunung membawa slip keputusan UPSR 5A kepada bapanya, Abdul Latif Hamid, 46, yang mengambil upah menyulam anak padi di Kampung Alor Gunung, Alor Setar, semalam.


Preview filem : Ketika Cinta Bertasbih

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

“Dah tengok movie ketika cinta bertasbih? Try lah tengok, menarik jalan ceritanya”, saranan seorang sahabat pada saya.

ketika cinta bertasbih

Demam filem ketika cinta bertasbih melanda rata-rata mahasiswa. Pada mulanya saya tidak ambil peduli. Namun saranan-saranan yang datang menyebabkan terasa ingin menonton sekali filem ini. Dan akhirnya, saya cuma menonton  filem ini melalui youtube.

Mulanya agak sukar memahami bahasa Indonesia yang digunakan apatah lagi tidak dilengkapi subtitle. Namun, saya berusaha habiskan jua filem ini secara berperingkat. Ambil masa yang agak lama untuk menonton disebabkan bukan minat  utama saya dalam menonton filem. Tidak seperti filem ‘ayat-ayat cinta’, kali ini ‘ketika cinta bertasbih’ nyata tidak mengecewakan. Saya sukakan panorama indah bumi mesir yang dipaparkan dalam filem ini disamping sarat dengan pengajaran biarpun agak klise menggunakan tema cinta.

Susunan plot yang tidak berbeza dengan novel asal merupakan antara kekuatan filem ini, apatah lagi seawal pemilihan pelakonnya lagi dilakukan secara terperinci. Watak azzam sebagai mahasiswa Indonesia yang miskin sebenarnya bukan sebarang miskin. Ia miskin tetapi berprinsip, miskin tapi haus ilmu, miskin tapi baik hati, miskin tapi kuat imannya, miskin tapi memiliki semangat hidup yang menyala-nyala untuk terus maju dan berprestasi, begitulah seterusnya. Akhirnya berbekalkan dengan modal kemiskinannya itulah ia berjaya meraih kejayaan hidup.

Apatah lagi digandingkan dengan watak Anna  Althafunnisa yang sememangnya menjadi idaman pria mahasiswa asia tenggara. Saya kira kekuatan anna terletak pada kebijaksanaannya. Suka saya dengan syarat yang dikenakan Anna pada bakal suaminya, berhujah dengan ilmu sememangnya persis seorang muslimah yang hebat.

Bagi yang belum menonton, banyak pengajaran lain yang dapat diambil melalui filem ini. Apatah lagi Malaysia jarang hasilkan filem-filem seperti ini. Jauh sekali kualitinya dengan drama ‘nur kasih’. Terpulang pada selera masing-masing. 🙂

“cinta adalah kekuatan, yang mampu mengubah duri jadi mawar, mengubah cuka jadi anggur, mengubah sedih jadi riak, mengubah amarah jadi ramah, mengubah musibah jadi muhibah, ITULAH CINTA….”

“meskipun lidah ku telah mampu menghuraikan, namun tanpa lidah, cinta ternyata lebih terang, sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya, kata-kata pecah berkeping-keping begitu sampai kepada cinta, dalam menghuraikan cinta, akal terbaring tak berdaya bagaikan keldai berbaring dalam lumpur, cinta sendirilah yang mengerah cinta dan tercipta…”

Ketika Cinta Bertasbih


Ada apa dengan jawatan?

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

“Permohonan mengikuti kursus kepimpinan mahasiswa 2009”

Saya cermati notis yang baru dinaikkan oleh JHEPA. Saya yakin masanya kian hampir. Mungkin kali ini juga konsep 3 kem sebagai pra syarat untuk menjadi mpp akan terus digunakan. Perlu persiapkan diri dari segi spiritual dan mental sebaiknya.
Seharusnya mengikut AUKU, tarikh perkhidmatan saya sebagai mpp upsi 08/09 telah sampai ke penghujung pada tanggal 8.11.2009. Genap setahun saya memakai baju amanah sebagai mpp, dan seharusnya ianya digantikan dengan pemilik yang baru.

kepimpinan

Mengimbau saat-saat menyertai kursus kepimpinan mahasiswa sebagai syarat kelayakan awal untuk menjadi mpp sememangnya ianya merupakan satu coretan peristiwa yang akan terus segar dalam lipatan sejarah hidup saya. Tidak putus-putus istikharah yang dibuat dalam menetapkan hati bagi meneruskan keputusan untuk bertanding sebagai bakal mpp. Dan akhirnya, saya bulatkan tekad, dengan bersandarkan padaNYA, saya tahu keputusan ini juga bakal meletakkan saya ke dalam pahit manis, suka duka sebenar sebagai pemimpin mahasiswa.

Tertanya-tanya pada diri, apakah ertinya saya memegang jawatan? Kini saya yakin saya hampiri jawapannya. Berjawatan tinggi adalah anugerah ALLAH. Ia juga satu tanggungjawab. Satu amanah besar daripada ALLAH. Bukankah rezeki dan ajal maut di tangan ALLAH. Mungkin benar kita adalah manusia bijak, pandai, berdisplin, gigih berusaha dan berhak mendapat jawatan-jawatan yang disandang.

Bagaimanapun, kita sering kali lupa, hakikat sebenar, ia hanya dapat disempurnakan dengan izin ALLAH. Inilah motivasi utama kenapa mereka yang berjawatan tinggi perlu melihat jawatan tersebut dalam konteks hubungan hamba dengan Pencipta. Jelas, ALLAH boleh memberi kerajaan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Malah Dia boleh menariknya kembali pada bila-bila masa sahaja.

Saya merasai kemanisannya saat-saat mengadu kepadaNYA, disaat diri ini tidak mampu untuk menangggung amanah hampir 14000 mahasiswa/i upsi yang menuntut hak-hak mereka untuk ditunaikan. Benar, berjawatan tinggi ternyata lebih mudah bagi menghampirkan diri kita kepada ALLAH. Dalam konteks yang lain, sebagai pemimpin, perlu bertindak dalam memperjuangkan hak-hak mahasiswa sebaiknya biarpun kadang-kala berjaya mahupun gagal. ALLAH suka mereka yang berusaha dan sentiasa berani menyatakan kebenaran. Ketika ini, kebergantungan kepadaNYA juga menjadi sandaran utama. Belum lagi menceritakan saat-saat ketika menghadapi fitnah yang tidak pernah surut sepanjang memegang amanah ini. Sebagai pemimpin, perlu bersedia dengan keadaan –keadaan ini. Berkali-kali saya membaca firman ALLAH buat peringatan diri,

“Dan ketika Tuhan mengatakan kepada malaikat, ‘Aku menempatkan khalifah di bumi’. Kata malaikat, ‘Mengapa Engkau menempatkan di muka bumi orang yang akan membuat bencana disitu dan menumpahkan darah, sedangkan kami tasbih memuji Engkau dan mensucikan (memuliakan) Engkau’. Tuhan menjawab. ‘Sesungguhnya aku lebih tahu apa yang tidak kamu ketahui’”.

(Surah al-Baqarah, ayat 30)

Benar, pemimpin mahasiswa bukannya tugas yang mudah. Begitu tingginya amanah dan harapan ALLAH letakkan kepada mereka yang berjawatan tinggi dan menjadi pemimpin mahasiswa. Allahurrabi, adakah saya telah menunaikan hak-hakNYA sebaiknya?

Kepada adik-adik yang akan meneruskan kepimpinan mpp selepas ini, persiapkan diri sepenuhnya. Siapa lagi kalau bukan anda untuk menyambung amanah seterusnya.

Travelog seorang mahasiswa

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Usai peperiksaan saya untuk semester ini, maka usai sudah kertas terakhir yang perlu dijawab di upsi bagi menyiapkan ijazah saya yang pertama. Alhamdullilah, di celah-celah peperiksaan juga, pelbagai perkara berlaku, ada yang lupa untuk menghadiri exam, ada juga yang mengalami kemalangan malah ada juga kes dalam pantang. Allahurrabi, moga-moga semuanya dalam keadaan baik.

redha illahi
Sepanjang berada di upsi, maka banyak sekali perjalanan, kisah suka duka yang boleh dijadikan suri tauladan. Hakikat hidup sebagai mahasiswa yang masanya punya 24 jam seperti orang lain, namun tanggungjawabnya melebihi masa yang ada bukannya sesuatu yang mudah. Masih segar dalam ingatan, tatkala hati berbolak untuk meneruskan pengajian di upsi, namun digagahkan jua kaki bagi bergelar seorang pendidik. Demikian jua diserahkan segala-galanya kepada ALLAH yang Maha Mengetahui dalam setiap perjalanan hidup hambaNYA.

Saya yakin, ramai yang sudah mengenali diri ini, tetapi tidak ramai yang mengetahui kisah serta pengalaman suka duka yang boleh diambil dalam menjadi pengajaran. Yang baik dijadikan teladan dan yang tidak baik jadikan sempadan. Penubuhan blog ini juga sedikit sebanyak memberi peluang kepada saya dalam melakarkan perjalanan seorang mahasiswa. Apatah lagi selepas ini, saya bakal mencipta satu lagi sejarah dalam diri untuk memulakan rentak sebagai bakal pendidik ketika alam praktikal kelak. Semoga ilmu yang ada mampu dimanfaatkan sebaiknya.

Pada hari ini saya tetap bersyukur. Walaupun saya bukan orang yang terkaya, namun saya bukanlah orang termiskin. Walaupun saya bukan orang yang paling berjaya, namun saya bukan orang yang paling gagal. Walaupun saya bukan orang yang termulia, namun saya bukan yang paling hina. Walaupun saya bukan orang yang paling pandai, namun saya bukan orang yang paling jahil. Walaupun saya bukan pemimpin yang paling hebat, namun saya bukan pemimpin yang paling corot. Walaupun saya bukan orang yang paling kuat, namun saya bukanlah yang paling lemah. Walaupun saya bukan hamba ALLAH yang paling terkenal, namun saya bukanlah seorang individu yang dilupakan. Dengan keberkatan dan rahmat-NYA, begitulah saya pada hari ini. Syukur ya ALLAH.

Dalam meneruskan pahit getir dalam berpencak sebagai mahasiswa, diuji dengan pelbagai perkara, bonda sentiasa menjadi penyejuk dihati. Bonda sentiasa menasihatkan saya supaya bersabar dalam menghadapi segala cubaan. Segala doanya menjadi kekuatan untuk saya teruskan. Berdebat, berorganisasi, terlibat dengan pilihanraya, keberjayaan dalam pelajaran, dan segala yang dilakukakan dalam hidup ini berkat doa bonda ayahanda. Ketahuilah, doa seorang ibu untuk anaknya, merupakan doa yang dimakbul oleh ALLAH. Oleh kerana itu, bagi yang masih punya ibu bapa dan juga yang sudah pergi meninggalkan kita, jangan sesekali kita lupa untuk mendoakan mereka. Mereka yang bersusah payah membesarkan kita setiap saat sehingga saat ini. Tidak adil baginya mendapat doa daripada anaknya setahun sekali sahaja.

Moga-moga titik perjalanan saya tidak berhenti disini, dan akan terus mengorak langkah demi mencapai mardhatillah.

‘Kepada ALLAH swt aku mohon keampunan, dengan harapan agar ALLAH swt tidak menentukan hukuman buruk untukku dalam meniti saki baki hidupku dan semoga ALLAH swt dapat terus mengurniakan kepadaku sifat tabah dan sabar dalam menghadapi ujiannya’ amen ya rabb.

Teruskan berjuang

kad

Bismillahirrahmanirrahim

Buat mahasiswa/i Upsi, semoga kejayaan mengiringi kita semua dalam peperiksaan kali ini. Teruskan berusaha dan berdoa. Buatlah yang terbaik. Selamat berjuang di medan peperiksaan.