Archives

Makluman Penting Untuk Semua Bakal Graduan

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Pertamanya saya ingin mohon maaf pada semua teman-teman yang menghubungi saya secara langsung mahupun tidak langsung bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai pengijazahan kita. Yang kedua, dalam proses mendapatkan maklumat terkini saya telah berhubung secara langsung dengan En Ikmal Redzuan, Penolong Pendaftar Unit Pengijazahan,  bagi mendapatkan maklumat dari masa ke semasa. Ada mesej-mesej yang sempat saya balas dan ada juga panggilan yang tidak terjawab daripada teman-teman. Saya minta maaf atas segala kesulitan.

Beberapa perkara penting perlu diberi perhatian untuk mengisi online borang posting (E-GST) memandangkan ini merupakan check point pertama yang perlu dilalui selepas tamat belajar.

1)      Bakal graduan harus mendapatkan PNGK semester akhir melalui keputusan praktikum yang diperolehi melalui laman web mysis.

2)      Tarikh-tarikh penting yang harus diketahui :

i)                    Tarikh pengesahan senat : 24 Jun 2010

ii)                   Tarikh tamat belajar          : 24 Jun  2010

iii)                 Tarikh konvo                        : 12-16 Oktober 2010

3)      Pastikan tempat pilihan temuduga diisi dengan tepat bagi memudahkan anda menghadiri temuduga kelak

4)      Bakal graduan diminta untuk mengisi dua negeri pilihan penempatan dan letakkan priority pada pilihan pertama

5)      Isi maklumat dalam online sebaiknya dan berhati-hati

6)      Cetak borang untuk simpanan.

7)      Bagi yang sudah mengisi borang posting, anda boleh update dari masa ke semasa sebelum tarikh tutup 30 JUN 2010.

Moga-moga dengan sedikit maklumat yang diberi mampu untuk membantu teman-teman sekalian. Tahniah untuk anda semua kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan. Moga-moga kita menjadi pendidik yang berjaya di masa hadapan.

Nur Aqilah Hanis Mohd Yusoff

Mantan Exco Akademik dan Kerjaya

Majlis Perwakilan Pelajar sesi 08/09

Advertisements

Wajah-wajah cemerlang UPSR

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Gembira saya membaca perihal adik-adik yang telah berjaya dengan cemerlang dalam UPSR bagi tahun ini. Mereka datang dari pelbagai lapisan dengan semangat yang tinggi untuk berjaya. Tahniah untuk kalian!

Melihat kegembiraan adik-adik yang mengisi dada-dada akhbar seolah-olah mengenang kepada detik kegembiraan saya dahulu. Yang nyata, ketika keputusan diumumkan,  saya bukannya menangis kegembiraan kerana mendapat 5A, tetapi saya menangis disebabkan keletihan dek kerana demam teruk dan terpaksa pulang berjalan kaki ke rumah sebaik sahaja mengambil keputusan. Namun, saya masih ingat bonda adalah orang yang berusaha memujuk saya dengan memberi ubat dan membuat air milo panas. Dan akhirnya baru saya cermati bersama-sama bonda keputusan UPSR yang diperolehi. ALHAMDULLILAH, tiada kegembiraan lain melainkan melihat kedua-dua ayahanda dan bonda paling gembira.Itu 10 tahun yang dahulu.

Namun, bagi adik-adik yang tidak mendapat keputusan penuh dalam UPSR kali ini, ini bukannya satu penamat bagi perjalanan kalian yang masih panjang. Ramai orang apabila melihat perkataan gagal, mereka akan menjadi takut. Hakiktanya, apabila gagal, kita telah menambah satu ilmu baru yang boleh kita jadikan tangga untuk peningkatan.

Siapa yang tidak tahu sejarah penciptaan mentol? Thomas Edison mencipta mentol itu selepas 2000kali percubaannya tidak berjaya. Apabila ditanya, bagaimana dia boleh berusaha sebegitu rupa walaupun menghadapi 2000 kali kegagalan, namun jawapannya :

‘Saya tidak gagal, saya hanya berjaya selepas 2000 kali mencuba..’

Lihat semangat yang ditunjukkan. Semuanya terletak pada tangan kita. Jika kita menggangap sesuatu perkara itu penting, maka kita tidak akan senang-senang mengalah atas segala cabaran dan dugaan yang kita hadapi sepanjang mencapai matlamat itu. Yang pasti, kita adalah manusia yang dijadikan seribu satu kelebihan oleh Pencipta. Seharusnya, tiada limit untuk kita terus berusaha!

Muhammad Nabil Mohd. Nasir, SK Othman Talib (1) Pasir Mas, Kelantan

UMMU Aiman Abd. Latif dari SK Gunung membawa slip keputusan UPSR 5A kepada bapanya, Abdul Latif Hamid, 46, yang mengambil upah menyulam anak padi di Kampung Alor Gunung, Alor Setar, semalam.


Teruskan berjuang

kad

Bismillahirrahmanirrahim

Buat mahasiswa/i Upsi, semoga kejayaan mengiringi kita semua dalam peperiksaan kali ini. Teruskan berusaha dan berdoa. Buatlah yang terbaik. Selamat berjuang di medan peperiksaan.

Isu Penempatan Ke Sekolah 2010

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Pertama-tamanya saya mohon maaf untuk semua mahasiswa/i UPSI yang menunggu-nunggu hasil respon perbincangan saya dengan beberapa pihak. Besar sebenarnya isu yang kita hadapi. Bukan isu yang melibatkan seorang dua, tetapi melibatkan kita semua. Apabila berita daripada upsikini telah menyiarkan kenyataan TNCA sebenarnya pada pukul 8.45 pagi 5hb oktober 2009,pihak saya biro akademik dan kerjaya mpp 08/09 telah membuat temu janji dengan Prof Zakaria dalam mendapatkan respon beliau berkenaan dengan isu tersebut dan juga saya telah menghubungi bahagian pengurusan sumber di Kementerian Pelajaran Malaysia.

1)  Respon dari TNCA

Sebenarnya, Profesor Dr. Zakaria Kasa, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengeluarkan kenyataan semua penempatan lepasan UPSI ke sekolah-sekolah kemungkinan besar akan mengalami kelewatan untuk dipostingkan dan bukannya mengalami pembekuan. Kelewatan tersebut tidak dapat dinyatakan jangkamasanya mungkin juga mengambil masa yang agak lama  dari kebiasaanya dan mahasiswa/i diminta bersedia dengan kelewatan yang berlaku juga mungkin mengambil masa berbulan.
Kenyataan tersebut dipetik dalam ucapan perasmian yang disampaikan beliau dalam ‘Simposium Halatuju Pendidikan Fizik Di Malaysia’ anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI yang berlangsung di Bilik Seminar Bitarasiswa pada 3hb Oktober 2009.

Sebenarnya saya juga hadir dalam simposium tersebut namun tidak mengikuti ucapan perasmian tetapi hanya ketika perbentangan satu kertas kerja sahaja yang berjaya diikuti disebabkan saya punya midterm sebelumnya.

Mengulas lagi isu ini, Prof mengulas, keadaan ini berlaku disebabkan keadaan ekonomi negara yang kurang stabil dan kerajaan tidak dapat memberi jaminan untuk memastikan semua graduan lepasan pendidikan akan dipostingkan tepat pada masanya dan perkara ini tidak hanya berlaku di UPSI namun juga IPG-IPG, DPLI dan semua fakulti-fakulti pendidikan di seluruh IPTA dan IPTS.

Tambah beliau lagi, keadaan lewat posting ini perlu semua mahasiswa/i UPSI ketahui dan bersiap sedia biarpun ada dikalangan mahasiswa/i adalah penerima biasiswa dan  juga sebahagiannya merupakan peminjam PTPTN.  Beliau juga menasihatkan mahasiswa/i mengambil langkah berjimat cermat melalui sekarang kerana kemungkinan besar bajet universiti akan dikurangkan disetiap bahagian 10-20%.

Menyentuh inisiatif yang dilakukan di peringkat UPSI, universiti akan membuka kos yang bukan hanya melibatkan pendidikan bagi memberi peluang yang lebih luas kepada pelajar untuk bukan hanya mendapatkan pekerjaan bukan sahaja sebagai guru namun mampu untuk ditempatkan dalam prospek lain. Sebagai contoh kita dapat lihat, ijazah sarjana muda bahasa arab dengan pendidikan, ijazah sarjana muda pengajian malaysia. Mahasiswa/i juga dinasihatkan supaya merancang lebih awal dan bijak mencari peluang pekerjaan yang lain bagi menghadapi isu kelewatan posting ini.

2) Respon dari pegawai KPM, En Saufi Ketua Penolong Setiausaha Unit Perkhidmatan Guru (1),  Bahagian Sumber Manusia

Saya mengambil inisiatif untuk berhubung terus dengan pegawai KPM yang terlibat dengan urusan posting ini.

Isu lewat posting sememangnya akan berlaku pada tahun hadapan. Kerajaan setakat ini akan mengambil guru mengikut unjuran-unjuran sebenar kekosongan guru di seluruh sekolah di malaysia. Berikutan dengan itu, mahasiswa/i dalam bidang pendidikan tidak akan dijamin dipostingkan dalam masa terdekat sebaik sahaja mereka graduat. Kelewatan untuk posting juga dikatakan berikutan perubahan sistem 2 kali penempatan ke sekolah berbanding 4 kali penempatan sebelumnya. Kemungkinan masa yang diambil untuk mahasiswa/i dipostingkan adalah lebih lama dari kebiasaan kesan daripada perubahan sistem ini.

Mengulas mengenai isu posting, mengenai interview yang dilakukan kepada lepasan UPSI yang baru sahaja bergraduat bulan lapan yang lepas,  ramai dikalangan mereka gagal dalam ujian INSAK . Seramai lebih kurang 400 orang gagal ujian insak dan 20%-30% dari UPSI. Hal ini kemungkinan dilihat kurang bersedia apabila menghadapi interview samaada dari segi mental dan fizikalnya dan juga masih lagi kurang dalam kemahiran berkomunikasi terutamanya. Keadaan ini sememangnya serius dan perlu diambil kira oleh kita semua yang bakal bergraduat kelak.

Bagi pelajar DPLI, mereka tidak perlu lagi untuk interview apabila tamat pengajian kelak berikutan telah diinterview sebelum pengambilannya. Beliau juga bersedia untuk bertemu dengan mahasiswa/i tahun akhir terutamanya dalam memberi penerangan terus berkenaan dengan isu penempatan dan kretiria dalam interview.

Saya menyeru kepada mahasiswa/i UPSI supaya bertenang dan bersabar, kerana sememangnya isu ini bukannya isu kita tidak dapat posting cuma isu kita lambat posting. Apa-apapun saya akan maklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa.

‘Transform with knowledge’

Mahasiswa Kebajikan

NUR AQILAH HANIS BT MOHD YUSOFF

Exco Akademik & Kerjaya MPP UPSI 08/09

Jejak Gemilang SAR 09

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

“Saya harap kita sama-sama dapat membantu pelajar-pelajar dan mahupun guru-guru sekolah agama rakyat di perak ni. Perlu ada kesungguhan dari semua pihak”, kata-kata semangat yang dititipkan oleh penasihat bagi program Jejak Gemilang SAR 09 sememangnya menjadi pencetus kepada kelangsungannya program khidmat bakti biro akademik & kerjaya majlis perwakilan pelajar sesi 08/09 kepada adik-adik di sekolah agama rakyat. Program ini sedang berlangsung dalam masa 7 minggu. Kali ini, Maahad Al-Islah dan Maahad Abbasiah merupakan sekolah yang terpilih dalam fasa pertama program ini dijalankan.

maahad abbasiah

Bercerita mengenai sekolah agama rakyat, sememangnya saya baru sahaja mengenali system dan pelaksanaanya. Jujurnya saya tidak pernah mendapat pendidikan langsung dari sekolah agama rakyat. Saya kagum melihat komitmen para pendidik di SAR dengan bayaran imbuhan yang sangat minimal tetapi tetap terus berkhidmat demi kesedaran terhadap kepentingan pendidikan Islam kepada anak-anak bangsa.

adik-adik maahad abbasiah

Menyedari betapa peranan Sekolah Agama Rakyat adalah amat penting dalam mengembangkan sistem pendidikan Islam tanah air disamping sekolah kebangsaan sendiri, maka tindakan UPSI untuk menjadikan sekolah agama rakyat sebagai sekolah angkat merupakan langkah bijak dan memberi kesan kepada pengukuhan pendidikan Islam yang telah dibina sekian lama secara mandiri oleh masyarakat.

adik-adik SAR

Tidak ada siapapun yang boleh menidakkan catatan sejarah bahawa sistem SAR inilah yang telah menyelamatkan umat Islam dari penguasaan penjajah dalam bidang pendidikan dan politik. Biarpun dengan keadaan prasarana yang kurang lengkap, saya yakin dan percaya masih ramai yang dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

fasilitator maahad al-islah

Moga-moga dengan usaha yang sedikit ini untuk sama-sama membantu dalam meningkatkan pencapaian adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan SPM ini diberkati dan diredhai ALLAH. Terima kasih kepada barisan fasilitator yang sememangnya menunjukkan komitmen yang tidak berbelah serta sanggup memberi masa di hujung minggu demi memastikan kelangsungan program ini. InsyaALLAH kita teruskan sehingga adik-adik menduduki peperiksaan SPM kelak.

‘Transform with knowledge’

NUR AQILAH HANIS BT MOHD YUSOFF

Exco Akademik & Kerjaya

Majlis Perwakilan Pelajar sesi 08/09

p/s : bagi mahasiswa/i yang berminat untuk menjadi fasilitator boleh terus menghubungi saya dan koordinator program saudari normala dari biro akademik dan kerjaya mpp 08/09.

Berita dari bahagian akademik x

Bismillahirrahmanirrahim

Salam ramadhan untuk semua,

1) Pengambilan slip pengesahan pendaftaran kursus

PERHATIAN KEPADA SEMUA PELAJAR IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN(ISMP)

  1. ANDA DIWAJIBKAN UNTUK MENGAMBIL SLIP PENGESAHAN PENDAFTARAN KURSUS BAGI SEMESTER 1 SESI 2009/2010 DI FAKULTI MASING-MASING MULAI 01 SEPTEMBER 2009.

  2. ANDA DIWAJIBKAN MENYEMAK PENGESAHAN PENDAFTARAN KURSUS TERSEBUT DAN SEBARANG PEMBETULAN PERLU DIMAKLUMKAN KE BAHAGIAN AKADEMIK / FAKULTI SEBELUM 11 SEPTEMBER 2009.
  3. KEGAGALAN ANDA BERBUAT DEMIKIAN AKAN MENYEBABKAN ANDA DIDENDA DENGAN KADAR RM5.00 SEHARI MULAI 14 SEPTEMBER 2009.
  4. SEKIRANYA TIADA SEBARANG PERUBAHAN DIBUAT OLEH PELAJAR SELEPAS TEMPOH YANG TELAH DITETAPKAN, PENDAFTARAN KURSUS TERSEBUT DIANGGAP BETUL DAN SAHIH UNTUK TUJUAN PEPERIKSAAN DAN PENGIJAZAHAN

2) Peluang untuk menyambung master

Bagi mahasiswa/i lepasan ijazah, pengambilan master yang seterusnya akan dibuat pada bulan 12 akan datang dan diminta yang berminat untuk menyambung pengajian boleh melihat syarat-syarat kelayakan dalam portal IPS.

Sumber : Bahagian akademik UPSI

‘Transform with knowledge’

Mahasiswa kebajikan

NUR AQILAH HANIS BT MOHD YUSOFF

Exco Akademik & Kerjaya

Majlis Perwakilan Pelajar UPSI 08/09