Archive | September 2010

Permata hati, Fatimah Nur Fitrah

Bismillahirrahmanirrahim

‘Nis, balik terus rumah lepas sekolah, mak dan abah dah bertolak ke kl’ , sempat saya tangkap maksud kak ngah ketika menerima panggilan telefon daripadanya.

Mungkin sudah tiba masa.

‘mak, nanti pesan pada abah, drive elok-elok, sampai kl nanti mesej’, itu sahaja pesanan yang sempat saya sampaikan pada bonda tercinta melalui panggilan telefon.

Tidak sanggup saya panjangkan perbualan. Ada sendu di hujungnya, saya tahu bonda yang paling risau.

‘kita sama-sama doa kak yoe selamat, Dr kata perlu operation segera, fetal distress, dah masuk labour room’ penerangan bonda sudah cukup jelas untuk saya cerna.

Sejarah sekali lagi berulang.

Pengalaman, kedua kekanda saya sebelumnya memungkinkan kekanda saya yang ketiga mengalami pengalaman yang sama. Mahu tidak mahu bagi menyelamatkan ‘buah hati’ tercinta, kekanda saya perlu menjalani operation. Caesarean delivery.

Bukan mudah menjadi seorang ibu, itu juga yang saya belajar dari kekanda-kekanda saya. Untungnya punya kekanda-kekanda yang tidak lokek berkongsi suka duka pengalaman sebagai panduan untuk kehidupan saya kelak.

Terasa sedikit kelebihan, mampu melihat sendiri sepanjang proses kehamilan ketiga-tiga kekanda saya. Teruk sekali ‘morning sickness’ yang dialami kadangkala menyebabkan mereka ditahan diwad. Belum lagi menceritakan saat-saat kelahiran, juga ditahan diwad sehingga berhari-hari.

Aduhai, perit jerih seorang ibu, itulah hakikatnya.

Dan sekarang, melihat mereka membesarkan anak-anak juga bukan kerja yang mudah. Cabarannya lagi hebat. Proses ‘memanusia’kan manusia. Membentuk supaya menjadi insan yang soleh dan solehah.

Tepat jam 3.48petang.  24.9.2010.sekali lagi mesej diterima

‘alhamdullilah, kak yoe selamat, baby girl 3.4kg’

Bertambah lagi ahli baru dalam keluarga saya. Syukur, kami semua menerima orang baru dengan kedatangan syawal ini.

Fatimah Nur Fitrah Binti Mohd Anuar


Seindah dan sehebat namanya. Moga membesar menjadi permata ayah bonda.  Ameen, insya-allah.

p/s: mak long, mak ngah, mak teh dan mak su teruja menunggu baby Fatimah pulang dari kuala lumpur. tidak ketinggalan, sofea, adam dan hawa sudah dapat kawan baru

Fikiran jangan biar ‘bertakung’

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Masih lagi dalam mood hari raya, disajikan dengan hidangan berita kes berprofil tinggi pembunuhan jutawan kosmetik sebagai juadah hari raya, saya kira kalian lebih maklum perkembangannya melalui media massa dan elektronik.

Sedikit perkongsian hari ini. Saya sedaya upaya cuba istiqamah untuk terus menulis, biarpun pendek-pendek.

Fikiran kita ini perlulah sentiasa kita bersihkan agar jangan nanti bertakungnya hasutan syaitan. Umpama longkang yang kalau dibersihkan, air akan mengalir laju dan tidak berbau busuk. Tetapi kalau longkang tidak dibersihkan, dibiarkan bertakung lama kelamaan akan menyebabkan ia tersumbat dan datangnya nyamuk. Demikian juga fikiran, apabila ia bersumbat dengan dosa dan maksiat, semakin mudah syaitan di dalamnya.

Fikir-fikirkan.

Ambil wuduk

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Ambil wuduk tidak perlu banyak, tetapi biar sempurna. Ini kerana basuhan dengan air itu hanyalah simbolik. Yang hendak dibasuh bukanlah najis yang ada di wajah dan anggota kita, tetapi kotoran dosa yang dibawa melalui mata, mulut, telinga, tangan dan kaki. Jaga wuduk.

Tujuan hidup

Bismillahirrahmanirrahim

Tujuan manusia hidup perlu dirujuk kepada tukang buat manusia iaitu ALLAH SWT. Itulah TUKANG yang sebenar. Ibu bapa bukan tukang. Ibu bapa hanya perkakas untuk buat manusia. Umpama periuk belanga dan rempah ratus, bukan peralatan untuk memasak, benda-benda ini tidak berguna tanpa adanya tukang masak. Tukang manusia ialah ALLAH SWT. Bila ALLAH SWT kata tujuan hidup manusia ialah mengabdikan diri padaNYA, kita perlu patuh, kerana DIAlah tukang buat manusia.

Maaf..

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Beberapa jam lagi Ramadhan akan berakhir. Cuma saya ingin mengambil sedikit kesempatan yang ada biarpun ruang masa saya rasakan sesak. Sesak  memikirkan adakah ramadhan saya pada kali ini lebih baik dari masa lalu dan bisa saya bertemu lagi dengan ramadhan akan datang.

Walaupun malam gelap,kita berusaha untuk bersembunyi di setiap sudut yang dirasakan selamat, semua kerja-kerja sulit akan didedahkan apabila kita berhadapan dengan ALLAH SWT kelak. Baik manusia hebat manapun, semuanya akan didedahkan RAHSIAnya nanti.

Saya mohon maaf.

Mungkin ada RAHSIA antara saya dan sahabat-sahabat juga yang belum diselesaikan. Bimbang tidak berpeluang bertemu mata merungkaikan segala rahsia, saya ingin mohon maaf di atas semua kesilapan yang dilakukan, mungkin ada HAK-HAK sahabat-sahabat yang saya gagal lunaskan. Biarpun kita ke hulu atau ke hilir, kita berakit atau bersampan, tetap ISLAM menjadi tali pengikatnya. Dengan rendah diri, sekali lagi saya mohon maaf.Saya cuma insan biasa.

Moga-moga sinar syawal yang bakal kunjung tiba, mampu meningkatkan ketaqwaan kita kepadaNYA. ameen.

Yang merindui Ramadhan yang bakal berlalu

Menuai hasil di pengakhiran Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullillah

Esok saya bakal memulakan permusafiran saya. Esok juga mungkin hari terakhir kita berpuasa. Malam ini kemungkinan juga terawih terakhir untuk ramadhan kali ini.  Saya risau, bimbang, ini ramadhan terakhir saya.. Tetamu kita ramadhan ini bakal meninggalkan kita semua. Mahu tidak mahu, rela atau tidak, hakikatnya ramadhan pasti berlalu. Setakat mana madrasah ramadhan ini telah berjaya mentarbiyah kita.

Adakah mampu untuk kita istiqamah dengan apa yang sudah dilakukan sepanjang ramadhan? Ya, keberjayaan kita mendapat dan merasai tarbiyah ramadhan adalah dengan melihat adakah mampu untuk kita istiqamah pada bulan-bulan berikutnya.

Kita tanam lada, 40 hari baru dapat hasil, boleh jual. Tanam terung, dua tiga bulan dapat hasil. Tapi keuntungannya tidak besar kerana itu hanya projek kecil-kecilan. Jika projek yang lebih besar seperti tanam getah, bukan 40 hari tetapi memakan masa bertahun-tahun.

Semakin besar projek tersebut, semakin besar untungnya. Ramadhan 30 hari telah kita lalui, dan hasilnya untuk kita gunakan pada bulan-bulan berikutnya. Demikianlah juga pahala yang merupakan projek paling besar. Untungnya sangat besar, jadi padanlah dengan menunggunya begitu lama iaitu selepas MATI baru mendapat hasilnya.

Moga-moga kita terus dapat menuai hidayah iman di sepanjang kehidupan sampai ke saat ajal datang menjemput kelak. ameen.

Ya ALLAH, kurniakanlah aku benih hidayah dan cahaya keimanan..

muhasabah di penghujung ramadhan.

Jatuh Cinta dengan BUMI CINTA

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Saya berusaha menyiapkan beberapa kerja rumah secepatnya memandangkan ada tujuan lain yang perlu diselesaikan. Syukur, mudah sahaja saya temui ‘parking’ kali ini, biarpun sebenarnya keadaan amat sibuk di sekitarnya.

Akhirnya saya temui BUMI CINTA.

Kira-kira sejam saya berada di kedai buku, mencari dan meniliti bahan bacaan baru yang ada. Hasilnya, saya ambil beberapa buah buku dan salah satunya BUMI CINTA karya terbaru Habiburrahman El Shizary. Tujuan saya sememangnya ingin membawa beberapa ‘ole-ole’ untuk menemani sepanjang pemusafiran saya kelak.

Hasrat hati ingin menangguhkan dahulu pembacaan seperti hari yang ditetapkan namun saya batalkan sahaja akibat tidak dapat memendam rasa ingin tahu tatkala meneladani helaian demi helaian Bumi Cinta. Saya tidak sabar untuk meneliti dan menghayatinya.

Alhamdullilah, dalam tempoh tiga hari ini, saya berjaya cermati novel setebal 722 muka surat.

Ternyata saya jatuh cinta dengan BUMI CINTA. Sememangnya, novel ini amat sarat dengan pengajaran dan benar-benar tidak mengecewakan.

Ada apa dengan BUMI CINTA?

Kelainan novel ini pertamanya adalah setting yang digunakan oleh Habiburrahmana ternyata berbeda dengan novel sebelumnya, iaitu Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih. Tidak seperti novel-novel sebelumnya yang berlatarbelakangkan bumi Mesir, pada kali ini penulis mengajak pembaca menikmati dan mengeksplorasi keindahan bumi Rusia khususnya kota Moscow.

Hakikatnya novel ini adalah novel cinta. Aroma cintanya begitu sarat di sana sini. Hanya yang menjadikan ia novel cinta Islami, apabila penulis berjaya menambah warna-warni Islam di sepanjang pengkisahannya. Saya cuba bersabar untuk mengikuti novel ini untuk melihat cerita demi cerita demi mengetahui kesudahan kisah cinta para wataknya, khususnya Ayyas dan tiga lagi gadis lain di dalam novel ini.

Bumi Cinta berbumikan tanah asing yang pernah menempatkan Lenin dan Stalin, suatu negara yang menurut Habiburrahman adalah negara yang amat bebas dan paling menjunjung tinggi seks bebas. Negara bekas penganut fahaman komunis yang menafikan Tuhan dan itulah yang perlu kita selami melalui watak Ayyas sendiri penat menghadapi ujian demi ujian di sana.

Namun, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian di dalam novel ini. Jika dalam ayat-ayat cinta kita punya Fahri, ketika cinta bertasbih kita punya Khairul Azzam dan dalam novel ini juga kita punya Muhammad Ayyas. Watak yang digambarkan terlalu ideal dan mempunyai pakej lengkap sebagai seorang lelaki idaman gadis-gadis. Ayyas mahasiswa university madinah yang dikisahkan tidak tampan dan sedap mata memandangkan, namun dia sangat bijak, romantic, tawadhu dan cukup peka dengan keadaan sekelilingnya. Bahkan berkali-kali Ayyas digambarkan menangis akan hal-hal yang ia anggap merupakan dosa atau mendekati dosa.

Saya mengambil masa yang lama untuk memahami ayat-ayat yang digunakan penulis. Berbeda dengan ayat-ayat cinta dan ketika cinta bertasbih, BUMI CINTA mempunyai dialog-dialog yang sarat dengan muatan dakwah namun cukup panjang dan saya sendiri perlu cermat untuk memahaminya.

Pencarian mencari TUHAN, isu Palestin dan Yahudi, cinta malah nilai-nilai sejarah yang dititipkan di dalam novel ini perlu pada penghayatan yang tinggi. Inilah cabarannya.

Saya mengharapkan ada kesinambungan bagi novel BUMI CINTA. Perjuangan Ayyas di bumi Russia perlu diperincikan lagi oleh Habiburrahman.

Bagi pencinta novel-novel ‘berisi’, novel ini tidak gagal untuk memberi pengisian, insya-allah. Yang pasti, saya cukup senang dengan bahasa-bahasa puitis yang digunakan dalam karya ini. Tidak rugi memilikinya, kalian pasti JATUH CINTA dengan BUMI CINTA.

Sedutan novel BUMI CINTA.

Hanya manusia tidak mengerti bahasa tasbih mereka.Dan ketika alam bertasbih hanya sedikit manusia yang ikut dalam irama tasbih alam semesta. Hanya sedikit manusia yang mengingat Tuhannya,sebahagian besar manusia hanya ingat pada dirinya dan kepentingan nafsunya sendiri.