PERUTUSAN HARI RAYA EIDUL FITRI 2009/14230H

PERUTUSAN HARI RAYA EIDUL FITRI 2009/14230H

MPP PRO KEBAJIKAN

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

Assalamualaikum wbrkth dan Salam Kebajikan,

Segala puji dan syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam di atas segala nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada kita selaku para hambaNya yang diberi kemudahan untuk berada dibumi Universiti Pendidikan ini. Tasbih, tahmid dan istighfar kita ucapkan bagi menyucikan segala dosa,noda dan kekurangan diri kita yang tidak pernah lekang dari kecuaian serta kemaksiatan kepada-Nya.

Selawat dan salam kita lafazkan khusus untuk junjungan besar Rasulullah sallallhu alaihi wasallam, Nabiyyul Rahmah, petunjuk kepada mereka yang rindukan hidayah, inginkan salamah,juga berkat di dunia dan akhirat.

Sahabat-sahabat dan seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dikasihi,

Selamat menyambut Aidulfitri dari kami barisan MPP Pro-Kebajikan UPSI. Hari kemenangan bagi ahli-ahli ibadah yang telah berjaya kembali kepada fitrah setelah tiga puluh hari melatih nafsu buas untuk menjadi muthmainnah (tenang/tunduk) dan juga menjadi orang-orang yang bertakwa.

Dalam detik masa yang penuh berharga dan barakah ini marilah kita sama-sama merenung sejenak hari-hari yang telah berlalu dalam bulan yang penuh mulia yang telah kita lalui bersama-sama di Universiti Pendidikan tercinta ini.

Bersama kita bersyukur sekiranya kita berjaya mendidik jiwa kita ke arah yang lebih baik dari sebelumnya. Sudah pastinya, latihan tadarrus al-Quran, tarawih berjamaah, majlis ilmu dan qiam ditengah malam menjadi kenangan manis bulan ramadhan dibumi UPSI yang tercinta ini, yang tidak akan dapat dilupakan oleh kita semua dan sayugia jangan dilupakan pada hari-hari yang mendatang.

Bersama kita ishtighfar, jikalau ruang masa di bulan Ramadhan ini hanya diulit tidur panjang yang lena, kata-kata yang tidak bermakna atau sekadar mengisi perut yang lapar di waktu berbuka. Apatah lagi membuat dosa. Kami memohon ampun dari-Mu ya Allah.

Rakan-rakan mahasiswa dan seluruh warga UPSI sekalian,

Perjuangan menuntut ilmu di bumi Universiti Pendidikan Sultan Idris ini penuh dengan duka lara. Sentiasa teringatkan suasana permai desa dan senyum tawa ibunda dan ayahanda. Manis riang juga timbul sekali sekala ketika bersama-sama sahabat tercinta yang menjadi anggota keluarga di mana-mana jua. Sudah menjadi lumrah dunia mahasiswa. Al-Imam al-Syafei berkata ilmu tidak akan dapat dicapai melainkan dalam keadaan susah dan derita. Maka marilah kita sama-sama menggunakan peluang keberadaan di kampung halaman untuk memohon maaf kepada kedua ibu-bapa, kaum kerabat, sahabat-sahabat dan seluruh umat Islam amnya.

Bagi yang tidak pulang, bersabarlah. Di hari raya ini usahlah banyak kita melayan perasaan sedih teringatkan ayah bonda dan sanak saudara dikampung atau yang telah pergi. Banyakkan bertakbir dan hayatilah roh hari raya yang diajarkan oleh agama kita. Hari raya ialah hari kemenangan bagi seluruh umat Islam. Keperitan dan mehnah yang dilalui di Universiti Pendidikan ini kadang-kadang diperlukan oleh kita untuk menjadi matang juga mengenal kehidupan. Islam dalam sejarahnya yang agung juga tidak terlepas dari dikunjung ujian dan dugaan.

Jagalah Keselamatan Diri dan Berhati-hati Bagi yang Memandu

Menyedari dan menginsafi tanggungjawab kami selaku kepimpinan pelajar UPSI, kami dengan rendah hati memohon sahabat-sahabat mahasiswa berhati-hati dan senantiasa menjaga keselamatan diri tatkala pulang dan datang dari kampung. Bagi yang menaiki bas terutamanya yang terpaksa menaikinya di KL, berwaspadalah dan bawalah teman seiring semasa perjalanan ke Kuala Lumpur. Senantiasa prihatin terhadap barang-barang penting seperti komputer riba, dompet dan sebagainya agar tidak tercicir.

Bagi yang memandu kenderaan sama ada kereta atau motorsikal, berhati-hatilah ketika memandu dan pastikan kenderaan sahabat selamat dan berada dalam keadaan baik sebelum meneruskan perjalanan pulang. Jangan memandu dengan tergesa-gesa, bersabarlah di jalan raya. Moga-moga kita dilindungi Allah dari musibah.

Kirimkan Ucapan Salam Aidilfitri Dari Kami

Kami barisan MPP Pro-Kebajikan ingin memohon sahabat-sahabat mahasiswa sekalian untuk menyampaikan ucapan salam eidulfitri buat ayahanda dan ibunda tercinta dan tidak lupa juga buat sanak saudara dikampung. Sampaikanlah ucapan selamat sejahtera dan salam kemenangan dari kami teman seakidah dan se-Islam sahabat sekalian.

Mohon Kemaafan dari Segala Kesilapan,

Akhir kalam, cukuplah sekadar itu dari kami barisan MPP Pro-Kebajikan. Kami dengan rendah hati memohon kemaafaan dari seluruh sahabat-sahabat mahasiswa dan seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dicintai ini atas segala kesilapan dan kekurangan kami disepanjang tahun sebelum ini. Moga-moga dengan kemaafan diberikan kita dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan atas nama Islam.

Marilah kita doakan semoga Ramadhan yang telah kita lalui benar-benar diterima oleh Allah s.w.t sebagai bekalan kita di hari akhirat kelak. Sambutlah Hari Raya pada kali ini dengan penuh rasa keinsafan dan syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan. Sesungguhnya nikmat Allah yang dianugerahkan tidak bertepian. Gunakanlah hari raya ini untuk kita mengukuhkan lagi ukhuwwah dan persaudaraan antara kita semua dan berusahalah untuk kita menjadi Ummatan Wahidah Fil Amal al-Islami (umat yang bersatu dalam amal Islam.

Salam Aidulfitri,

Akmal b. Madzir
Norhafizawati bt. Mahmad Rozali
(Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPPUPSI 08/09)

Arif b. Mohamad
Nur Aqilah Hanis bt. Mohd Yusoff
(Exco Akademik dan Kerjaya MPPUPSI 08/09)

Mohd Zulhilmi b. Mohamad
Adriyani bt. Yamin
(Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan MPPUPSI 08/09)

Norhisyam b. Che Hamid
Mohd Hanif Hazwan b. Ab. Rahman
( Exco Kesenian dan Kebudayaan MPPUPSI 08/09)

Advertisements

2 thoughts on “PERUTUSAN HARI RAYA EIDUL FITRI 2009/14230H

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s