Muhasabah


Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Usai peperiksaan saya untuk semester ini, maka usai sudah kertas terakhir yang perlu dijawab di upsi bagi menyiapkan ijazah saya yang pertama. Alhamdullilah, di celah-celah peperiksaan juga, pelbagai perkara berlaku, ada yang lupa untuk menghadiri exam, ada juga yang mengalami kemalangan malah ada juga kes dalam pantang. Allahurrabi, moga-moga semuanya dalam keadaan baik.

redha illahi
Sepanjang berada di upsi, maka banyak sekali perjalanan, kisah suka duka yang boleh dijadikan suri tauladan. Hakikat hidup sebagai mahasiswa yang masanya punya 24 jam seperti orang lain, namun tanggungjawabnya melebihi masa yang ada bukannya sesuatu yang mudah. Masih segar dalam ingatan, tatkala hati berbolak untuk meneruskan pengajian di upsi, namun digagahkan jua kaki bagi bergelar seorang pendidik. Demikian jua diserahkan segala-galanya kepada ALLAH yang Maha Mengetahui dalam setiap perjalanan hidup hambaNYA.

Saya yakin, ramai yang sudah mengenali diri ini, tetapi tidak ramai yang mengetahui kisah serta pengalaman suka duka yang boleh diambil dalam menjadi pengajaran. Yang baik dijadikan teladan dan yang tidak baik jadikan sempadan. Penubuhan blog ini juga sedikit sebanyak memberi peluang kepada saya dalam melakarkan perjalanan seorang mahasiswa. Apatah lagi selepas ini, saya bakal mencipta satu lagi sejarah dalam diri untuk memulakan rentak sebagai bakal pendidik ketika alam praktikal kelak. Semoga ilmu yang ada mampu dimanfaatkan sebaiknya.

Pada hari ini saya tetap bersyukur. Walaupun saya bukan orang yang terkaya, namun saya bukanlah orang termiskin. Walaupun saya bukan orang yang paling berjaya, namun saya bukan orang yang paling gagal. Walaupun saya bukan orang yang termulia, namun saya bukan yang paling hina. Walaupun saya bukan orang yang paling pandai, namun saya bukan orang yang paling jahil. Walaupun saya bukan pemimpin yang paling hebat, namun saya bukan pemimpin yang paling corot. Walaupun saya bukan orang yang paling kuat, namun saya bukanlah yang paling lemah. Walaupun saya bukan hamba ALLAH yang paling terkenal, namun saya bukanlah seorang individu yang dilupakan. Dengan keberkatan dan rahmat-NYA, begitulah saya pada hari ini. Syukur ya ALLAH.

Dalam meneruskan pahit getir dalam berpencak sebagai mahasiswa, diuji dengan pelbagai perkara, bonda sentiasa menjadi penyejuk dihati. Bonda sentiasa menasihatkan saya supaya bersabar dalam menghadapi segala cubaan. Segala doanya menjadi kekuatan untuk saya teruskan. Berdebat, berorganisasi, terlibat dengan pilihanraya, keberjayaan dalam pelajaran, dan segala yang dilakukakan dalam hidup ini berkat doa bonda ayahanda. Ketahuilah, doa seorang ibu untuk anaknya, merupakan doa yang dimakbul oleh ALLAH. Oleh kerana itu, bagi yang masih punya ibu bapa dan juga yang sudah pergi meninggalkan kita, jangan sesekali kita lupa untuk mendoakan mereka. Mereka yang bersusah payah membesarkan kita setiap saat sehingga saat ini. Tidak adil baginya mendapat doa daripada anaknya setahun sekali sahaja.

Moga-moga titik perjalanan saya tidak berhenti disini, dan akan terus mengorak langkah demi mencapai mardhatillah.

‘Kepada ALLAH swt aku mohon keampunan, dengan harapan agar ALLAH swt tidak menentukan hukuman buruk untukku dalam meniti saki baki hidupku dan semoga ALLAH swt dapat terus mengurniakan kepadaku sifat tabah dan sabar dalam menghadapi ujiannya’ amen ya rabb.

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Salam ramadhan buat semua,

Jujur saya masih mencari momentum untuk meneruskan penulisan di dalam blog. Mungkin juga terkesan dengan projek akhir penulisan thesis dan juga beberapa midterm serta quizzes yang mengisi setiap minggu. Namun, di bulan ramadhan ini seharusnya semangat kita perlu lebih dari kebiasaannya.

Bulan kemerdekaan pada tahun ini di sambut di dalam bulan ramadhan. ALHAMDULLILAH. Sebenarnya saya berusaha mencari bahan untuk dijadikan perkongsian bersama dengan junior-junior untuk memenuhi tuntutan menjadi salah seorang panel sempena menyambut kemerdekaan. Tertanya-tanya pada diri sendiri apa ertinya kemerdekaan kepada diri sedangkan kita masih dihimpit dengan penjajahan minda yang tidak berkesudahan. Benar, perjuangan dan erti kemerdekaan pada hari ini tidak sama dengan kemerdekaan pada zaman pejuang-pejuang kemerdekaan suatu ketika dahulu.

Saya teringat sedutan video seketika menonton ‘The Future of Our Religion’ oleh Tariq Swaidan, menceritakan kala mana Islam sudah menguasai Sepanyol, dan bagaimana tentera kristian merampas semula Sepanyol dari tangan orang Islam, bertahun-tahun intipan dibuat. Bermula dengan bagaimana pengintip terjumpa dengan seorang remaja lelaki yang menangis teresak-esak. bertanyalah pengintip tadi, akan gerangan apakah ia menangis. maka dia berkata bahawasanya ibunya tidak membenarkan ia menyertai tentera Islam selagi mana ia tidak khatam al-Quran. pengintip tadi pulang dengan membawa berita bahawa mereka masih belum bersedia untuk menyerang orang Islam. beberapa tahun kemudian, pengintip dihantar lagi. kali ini mereka terjumpa dengan seorang remaja lelaki lagi, sedang menangis. ditanya kepadanya, mengapakah kamu menangis? dijawabnya, bahawa ia putus cinta. ketika itulah saat di mana tentera kristian merebut peluang untuk menyerang orang Islam, sehingga Sepanyol jatuh ke tangan kristian.

Apalah adanya kemerdekaan tanpa diertikan sebenar-benarnya apa itu merdeka? Seakan-akan ia adalah laungan yang dimain-mainkan penjajah, memperbudakkan kita. tatkala kita dengan penuh yakin melaungkan kalimah merdeka, para penjajah balik dengan senyuman puas terlukis di wajah mereka. bahawa mereka tidak pulang dengan tangan kosong, bahkan mereka telah meninggalkan pasak-pasak peninggalan mereka, benih-benih pemahaman dan penjajahan mereka yang akan tumbuh meliar dan melilit setiap jiwa anak ‘merdeka’ kononnya.

budak_merdeka

Cukup sekadaran dengannya, kita tutup sirah pilu merdeka, mari singkap bagaimana dalam bulan ramadhan membawa erti kepada kita dengan tawaran kemerdekaannya.

Sebagaimana maklumnya kita, kita sedar dan waras bahawa bulan ramadhan adalah satu tempoh masa yang menjadi tarbiyyah buat diri kita. ya, ia satu latihan, dan didikan. ia mendidik bagaimana untuk memerdekakan diri. bagi mereka yang sepanjang masa diulit nafsu, serakah mahupun syahwat, dan seumpamanya, tentu sahaja ramadhan yang mendatang dilihat sebagai sesuatu yang menyeksakan, kerana mereka sudah asyik dan tenggelam serta hanyut dengan nafsu dan dunia.

Ramadhan datang dengan membawa kepada kita didikan apa itu erti kemerdekaan. Ia bukan sekadar satu didikan supaya kita merasa bagaimana jerihnya menjadi seorang yang miskin harta dan tidak mampu walaupun untuk sesuap nasi. lebih dari itu, ia mendidik kita bagaimana untuk merdeka daripada cengkaman nafsu. puasa datang dengan membawa kemerdekaan pada jiwa manusia daripada perhambaan nafsu. daripada kita merasakan keinginan-keinginan yang membentuk kehendak kepada sesuatu, ramadhan datang dengan seruan pembebasan daripada cengkaman nafsu. sesungguhnya nafsu adalah sekutu kuat syaitan, tatkala mana ramadhan tiba dan syaitan dan ketuanya iblis dibelenggu, maka nafsulah yang akan bermain peran untuk menjerumuskan kita ke kancah maksiat, daripada mengurangkan pahala berpuasa membawa kepada pembatalannya

Ramadhan datang membawa kerehatan kepada perut yang penat bekerja sebelas bulan dengan diisi makanan, diproses, dikeluarkan, berulang-ulang kali. namun dalam bulan ini, perut diberikan rehat berjam-jam, daripada memproses makanan-makanan yang masuk. tak kurang yang menjadikan ramadhan bulan ‘diet’, harapnya semoga berjaya. cumanya, samada kamu mengakhirkan ramadhan dengan redha Allah dan ganjaran-Nya, atau kamu mengakhiri ramadhan dengan penat dan lapar, serta perut yang ramping, sedang terlepas ganjaran-ganjarannya.

Begitulah juga pada bentuk nafsu yang lain. ia mendidik nafsu kita untuk berbelanja kepada berjimat, mendidik syahwat kita agar fokus kepada ibadat. apalagi yang membazir masa membuat sesuatu yang sia-sia, sedang nabi berkata, salah satu keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah padanya. kalau ada yang tetap kalah, maka dia sesungguhnya akan kalah dalam bulan tarbiyyah ini. dengan memerdekakan diri daripada nafsu ini, barulah kita mengerti dan memahami erti kemerdekaan.

Ramadhan juga datang dengan membebaskan kita daripada belenggu duniawi dengan tawaran ganjaran ibadahnya. bayangkan perkara yang sia-sia itu hanya akan mengurangkan pahala berpuasa, sehingga bisa membawa kepada pembatalannya. puasa mendidik kita agar menjadi seorang yang qana’ah (bersyukur dengan apa yang ada), tidak kikir (kedekut) dengan hartanya, bersifat sabar, lebih-lebih lagi adalah disiplin. disiplin mendidik kita memahami kehendak berpuasa yang benar, mencontohi amalan-amalan sunnah nabi, melaksanakan suruhan Allah melalui kalam wahyu dan hadith, meninggalkan pula apa yang dilarang dan dibenci, juga syubhah (meragukan).

Kita boleh jadi sangat pemurah dalam membeli pakaian dan persiapan untuk ramadhan atau berpuasa, tapi amat kikir apabila sampai kepada bab menderma sedikit daripada harta yang ada. kita mampu untuk bersabar dan mengumpul duit untuk membeli sesuatu yang kita suka, tapi kita tidak mampu bersabar untuk mengumpul pahala sebagai satu perdagangan yang baik dengan Allah. alangkah malangnya kita dan sia-sia pula amalan yang kita buat. seakannya tiada guna kita berlapar dan berdahaga sekiranya hal yang kita ‘anggap’ remeh ini tidak mampu untuk dilakukan.

Bayangkan ganjaran kepada amalan-amalan yang dilakukan sepanjang ramadhan, siapa yang bisa memberi satu tawaran yang lebih hebat daripada Allah? sedang tawaran Dia kekal dan berpanjangan, bukan semata di dunia, malah ke akhirat sana. ramadhan datang dengan mendidik kita erti merdeka daripada perhambaan manusia, dan hanya menjadi hamba kepada Allah semata. maka ia menjadi satu bulan di mana kita bisa bertaqarrub lebih dengan Allah. kerana itu Allah perkayakan tawarannya di bulan ini dengan solat sunat Tarawih, tilawah al-Quran, Qiyamullail, dan juga lailatul qadr. dengan syaitan dibelenggu dan diikat, maka tiada apa yang menghalang kita daripada hendak beribadah kepada Allah. kalau masih lalai dan leka, serta tidak mahu kepada kebaikan, maka kita mungkin sudah berajakan nafsu.

Ramadhan datang membawa erti kemerdekaan, ertilah kemerdekaan ini pada hakikatnya bukan pada takrifnya semata. ayuh, perkasakan tubuh, perkayakan ibadah, mengejar redha Allah, mencapai mardhatillah….

p/s: teringat perbincangan saya dengan sahabat lama di mrsm dahulu apabila ditanya mengenai kemerdekaan, Kemerdekaan yang sebenar ialah apabila berjaya melepasi Titian Siratul Mustaqim pada masa berada di Padang Masyar nanti. Selepas berjaya melepasi titian Siratul Mustaqim, maka berketawalah kita, berlompatlah kita malah bergembira atau menjeritlah semahu-mahunya kita. Ucaplah perkataan merdeka! merdeka! merdeka!Itulah erti kemerdekaaan yang sebenarnya. Kalau masih ada lagi bendera mana-mana negara, maka pacaklah di Padang Masyar nanti.

Bismillahirrahmanirrahim

Saat mata menatap mesej yang diterima daripada sahabat-sahabat, kelu saya seketika.

“Ustaz Asri Rabbani meninggal dunia”

854cc15d253b904c

Saya menghantar semula kepada sahabat-sahabat lain menanyakan perihal kesahihan berita yang diterima. Ternyata ianya benar. Allahurrabi.

Germesik suara alunan arwah masih segar dalam ingatan saya. Saya membesar dengan muzik dan lagu arwah. Sedari di bangku sekolah menengah, lagu arwah menjadi dendangan kumpulan nasyid sekolah yang pada ketika itu dalam kumpulan Qatrunnada. Memori berada dihadapan pentas ketika konsert arwah di dewan utama USM, merupakan kenangan yang masih tidak luput biarpun pada ketika itu masih di sekolah menengah. Benar, lagu-lagunya yang mendidik jiwa dan sering mampu membuat pendengarnya terpegun dan menangis biarpun pertama kali mendengarnya.

mainpix

Peluang berinteraksi dengan arwah sewaktu memegang wasilah jawatankuasa mahasiswa kolej sekaligus menganjurkan konsert rabbani pada hari terbuka kolej memberi penilaian yang sememangnya arwah seorang yang ceria dan mudah mesra biarpun telah popular. Itu di universiti.

Namun pada hari ini, pemergiaannya tak kan kembali.

Bulan syaaban hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. Berita kematian di penghujung Syaaban menginsafkan, biarpun setiap kali Ramadahan datang dan pergi belum pasti kita kembali bertemu dengannya. Betapa bait-bait lagu Pergi Tak Kembali menjadi kenyataan buat arwah. Sudah selesai urusannya di dunia dan kembali bertemu Rabbnya.

“Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya”
AL-MUNAFIQUN:11

Semoga Almarhum ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. ameen. Al-Fatihah.

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Sekian lama saya diminta oleh sahabat-sahabat dan junior-junior untuk menulis mengenai hakikat mahasiswi yang sibuk mencari jodoh di universiti. Baru sekarang saya mampu untuk penuhi. Saya yakin, komposisi yang ramai daripada lelaki menyebabkan kebanyakan mahasiswi-mahasiswi gusar dengan keadaan yang sedikit ‘terdesak’. Walaubagaimanapun, saya tidak menafikan fitrah manusia itu hidupnya berpasangan, magnet diri antara lelaki dan perempuan sungguh luar biasa kuasanya. Biarpun di sana takdir dan jodoh kita telah ditentukan, kita masih lagi hidup dalam kegusaran mengenainya. Sedikit perkongsian diharapkan kesudian pembaca budiman untuk cermati penulisan ini.

Secara peribadi,  persoalan mengenai jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ianya bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya maka  jauhlah perjalanan kita. Ada individu jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum lagi apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan.

Pesan pada diri, nyatakanlah perasaan dan keinginan kalian itu dalam doa dalam lewat sembahyang. Allah itu mendengar.  Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Biar lambat jodoh asalkan mendapat “Mr Right” dan biar seorang diri daripadan menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti. Sememangnya kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu menyangka, diri ini  pasti bahagia kalau mendapat apa yang diingini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah.
Analogi mudah yang saya ingin bawakan, kita selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya orang itu. Hakikatnya  apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah. Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah(walaupun sebenarnya tidak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.

Ketika diri terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Diri pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya  menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di tengah-tengah bandar raya.

PAIRS

Hakikatnya, bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya.

Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat di samping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia juga buruk sebab ramai org yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus.

Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki  ke alam berumahtangga. Bukankah dengan ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut banyak? Bukankah apabila kita gagal melaksanakannya, kita sebenarnya membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?

Aduhai diri,
Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing-masing padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta  kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan  segala impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri tidak usah berkahwin dahulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika merasakan diri belum bersedia untuk bersabar dgn kerenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar untuk berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti tuntutan-tuntutannya.

Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya.

Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang.

“Cukuplah Allah sebagai penolongku dan kepada-Nya aku bertawakal, ya ALLAH,  temukanlah jodoh yang terbaik untuk hambaMU” ameen.

Bismillahirrahmanirrahim

Berita kematian raja Pop, Michael Jackson atau nama islamnya Mikaeel benar-benar memeranjatkan dunia. Penyanyi Raja Pop, Michael Jackson, 50, telah memeluk agama Islam dan menukarkan namanya kepada Mikaeel.

Islam jadi pilihan

Berkat hidayah yang dikurniakan kepada abang Michael Jackson, Jermaine Friday yang telah memeluk agama Islam sejak tahun 1989, telah mencadangkan Jackson memeluk agama Islam. Friday banyak membelikan Jackson buku-buku mengenai Islam dan memberi pendapat kepada Michael Jackson mengenai keindahan dan ketenangan Islam.

Saya dan michael jackson

Saya mengenali lagu-lagu micheal jackson sedari usia persekolahan sekolah rendah. Tarian ala ‘robotik’ seringkali menjadi ikutan para muda-mudi sehingga kini.Biarpun begitu, saya kagum di akhir hayatnya ALLAH kurniakan hidayah kepadanya untuk mengecapi nikmat Islam. Dan akhirnya dia pergi dalam Islam.  Benar, hidayah itu milik ALLAH yang tidak mengenal masa dan siapa dikurniakanNYA.

2278069492_e460690a6f

Hadis Abu Qatadah bin Rib’ie r.a:
Satu usungan jenazah melintasi Rasulullah s.a.w, lalu baginda bersabda: Yang berehat dan yang direhatkan adalah daripadanya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah erti yang berehat dan yang direhatkan adalah daripadanya itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Hamba yang beriman itu berehat dari kepenatan dunia. Sedangkan hamba yang buruk kelakuannya, dapat merehatkan para hamba, negara, pokok-pokok dan haiwan iaitu semua merasa tenteram dari kejahatannya.

Semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh.ameen.

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH.

3473066253_3575f0aba9

Nukilan ini khas untuk bonda yang tercinta yang telah mengasuhku dan mendidikku.

1987.  Syukur diri ini dilahirkan daripada seorang insan yang mulia.

Dan kini peredaran waktu mencapai ke tahun 2009.

Sungguh, sepasang mata lembut dan jernih itu tidak mampu disembunyikan.

Biarpun raut muka yang mulai termakan usia. Gerakannnya tidak selincah 15 tahun dahulu.

Namun cintanya terhadap anak-anaknya tidak pernah pudar.

Mengingat sebuah pepatah lama ‘Kasih ibu Sepanjang Masa, Kasih Anak Sepanjang Galah’

Mak, dari hati anakmu yang tulus kasih dan sayangkan mak kerana ALLAH.

SELAMAT HARI IBU

Terima kasih telah mendidikku, membesarkanku, menyayangiku, membimbingku. Namun belum ada yang bisa kubalas dan kuberikan untukmu.

Saya tidak mahu bertangguh lagi.

‘Mak, maafkan hanis, mak ampunkan dosa-dosa hanis, hanis pohon restu dan doa mak, mak doakan hanis berjaya dunia akhirat’
, pipi mak dicium dan saya peluk mak erat.

Dalam pelukan mak, terasa bagai turun sakinah(ketenangan) yang abadi. Itulah mak, yang tidak pernah lengah memberi maaf dan menyayangi saya.

Berputik dari jiwa seorang ibu yang mengasihi anak-anaknya dengan CINTA TANPA SYARAT.

SELAMAT HARI IBU, MAK.

Pesanan untuk semua

Melalui peringatan hari ibu ini, sentiasa kita diingatkan akan semua yang sudah dilakukan ibu kita sampai saat ini. Jangan pernah menyesal memiliki ibu seperti yang kita miliki, kerana kita memang tidak bisa memilih. Tapi bagaimanapun juga seorang ibu tetaplah seorang ibu, yang pasti memiliki kasih dan cinta terhadap anak-anak dan keluarganya. Selamat hari Ibu!

p/s : you may say i have no one,to cover me under the sun. But what have yo remember, you only get it from your mom. I love you mom!

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Saya letakkan mode ‘pause’ untuk meneruskan rutin-rutin saya dalam memberi ruang untuk mencoretkan sedikit tatapan perkongsian buat semua.

Dalam meneruskan rentak rutin lazim kehidupan selaku mahasiswa , jujurnya saya berdepan dengan pelbagai karenah manusia yang kadang kala sukar untuk difahami dan sudah semestinya ianya boleh dijadikan iktibar buat diri.

Kata orang, jika sesuatu kerja hendak disiapkan, berikan kerja itu kepada orang yang sibuk. Adakah benar dakwaan ini? Ya, ada kebenarannya. Rasionalnya orang yang sibuk sahaja mampu menguruskan masa dengan baik. Orang yang sibuk juga dapat meletakkan keutamaan kepada kerja-kerja yang banyak, mana yang penting, mana yang segera. Pandangan ini boleh diterima atau ditolak. Terpulang pada masing-masing.

Tetapi sebelum itu, sebelum menjatuhkan hukum bahawasanya kita seorang yang sibuk, soalan yang paling asas untuk ditanyakan pada diri kita ialah sibuk kita untuk apa? Sibuk atau penyibuk? Sibuk atau menyibuk? Sebagai Muslim, kita mesti sibuk untuk ibadah. Tidak kiralah ibadah asas, ibadah umum atau ibadah sunat. Atur sahaja aktiviti kita berdasarkan keutamaan dan kesegaraan dalam jenis-jenis ibadah itu, nescaya kesibukan kita berbaloi. Sibuk kerana ALLAH.

Kita seharusnya merasa malu dengan para sahabat Rasullah s.a.w. Kuantiti masa yang diberikan kepada mereka dan kita sama sahaja, yakni 24 jam sehari semalam. Tetapi kualiti masa mereka terlalu jauh dibandingkan dengan kita.

Menelusuri sirah Rasullah dan sahabat-sahabat baginda

Para sahabat Rasullah bertebaran ke seluruh muka bumi menyebarkan Islam. ¾ daripada mereka meninggal dunia di luar Semenanjung Arab. Jejak dakwah dan jihad mereka sampai ke Eropah, India, China dan Asia tanpa teknologi canggih seperti yang kita miliki. Masa mereka seolah-olah terlalu ‘banyak’ dan ‘panjang’ berbanding kita. Benarkah begitu?

Berbeda dengan kita selaku mahasiswa. Jika mahu dikatakan sibuk, sememangnya sibuk, Masakan tidak, ada antara kita yang sambil memandu atau menunggang motosikal masih sempat menghantar SMS. Menguyah makanan sambil berbual di handphone. Yang bekerja sehingga tidak sempat menziarahi ayah bonda di kampung. Mahasiswa/i atau pelajar IPTA ‘terlupa’ untuk menelefon ayah bonda. Sibuk sangat dakwanya.

Manusia menjadi hamba apa yang dicintainya. Apa yang kita cintai? Itulah yang akan menyibukkan kita. Pesan pada diri, musuh perkara yang ‘lebih penting’ ialah perkara yang penting. Para sahabat sudah merasa berdosa jika mereka mereka tersilap dalam memilih keutamaan dalam melakukan kebaikan. Kadang-kadang mereka merasakan begitu sukar memilih antara bersedekah dengan solat sunat, antara dakwah dengan berniaga, antara berjihad dengan menuntut ilmu, antara yang baik itu, mana yang lebih baik, mengikut masa, situasi dan kondisi.

Benar, mereka cintakan Allah, mereka disibukkan kerana Allah. Cuba kita dengar apa yang dirintihkan oleh Saidina Umar Al-Khattab, ‘Aku tidak tidur pada malam hari, bimbang urusanku dengan Allah tidak selesai. Aku juga tidak tidur siang hari, gusar urusanku dengan manusia tidak selesai. Ya, Umar ialah individu yang paling sibuk sewaktu memimpin urusan umat Islam.

samp4b5e01de729752111

Renungan buat diri

Di tengah-tengah kekalutan dan keserabutan kita, kononnya terlalu sibuk, cuba ‘pause’ sebentar. Renungi sedalam-dalamnya, sepanjang-panjangnya, apa yang sebenarnya kita sibukkan? Bimbang juga, kesibukan kita ialah suatu ‘deraan’ yang kita cipta sendiri akibat membelakangkan kecintaan ALLAH.

Stress, tension, boring…. Ialah toksik baru untuk jiwa manusia moden yang meremehkan kekuasaan Allah. Carilah semula pangkal jalan dan tujuan hidup. Tanyakan semua apa yang aku cari dengan hidup yang singkat ini. Ingat kata Imam Syafie ‘Peredaran masa ialah suatu yang aneh, tetapi aneh lagi manusia yang melengahkannya’

Syaitan, musuh yang tidak pernah tidur. Malaikat, pencatat setiap masa. Siapa temanmu dalam kesibukan waktu? Suara siapa yang sering berbisik di hatimu? Ilham daripada para malaika atau bisikan syaitan yang tidak pernah puas menggoda anak adam. Yakinlah, kasih sayang ALLAH sesungguhnya masih sudi singgah dihatimu yang berdosa.

Kekadang ‘jemputan ke daerah kebaikan’ singgah secara tiba-tiba. Kutiplah titipan kasih daripada Allah apabila suara hatimu tiba-tiba berbisik, ‘Sampai bila aku harus begini’… Kata hukamak “Apabila seseorang didatangi rasa hati yang begitu, ertinya dia telah menerima jemputan Tuhan untuk datang ke daerah kebaikan”

Ya Rabb, ampunkanlah dosa hambaMU ini. Ameen.

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Usai mengikuti sesi amali dan kuliah, saya menerima pesanan ringkas daripada sahabat saya mengajak untuk sama serta dalam menziarahi arwah Nurlina, pelajar semester 6, pendidikan matematik yang baru sahaja menyahut seruan Illahi.  Syukur, saya sememangnya telah lama bercadang untuk menziarahi keluarga arwah memandangkan saya tidak berkesempatan untuk mengenali arwah sepanjang meneruskan pengajian di UPSI.

Catatan perjalanan ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang diteruskan dengan dua lagi sahabat saya, Cikgu Adriyani dan Cikgu Zulhilmi (kedua-duanya exco Kebajikan & Kemasyarakatan MPP UPSI). Kami teruskan perjalanan dengan membawa amanah yang diberikan oleh sahabat-sahabat arwah dan pelajar-pelajar UPSI . Sungguh, saya terkesan apabila melihat barang-barang arwah yang kami bawa bersama dalam usaha memudahkan keluarga dengan menguruskan penghantaran pulang barang-barang beliau.  Kematian amat dekat menghampiri kita. Usia muda tidak menjanjikan kita bebas daripada sentiasa diintai dengan kematian.

 

Arwah Nurlina dalam kenanganarwah-nurlina

 

Perjalanan mengambil masa lebih 4 jam daripada kampus ke rumah arwah, dan tatkala kami tiba, sememangnya keluarga arwah menyambut dengan senyuman yang masih tersisa kesedihan. Saya pasti mereka sedih tatkala kami mengeluarkan barang-barang milik arwah. Melihat kepada barang-barangnya bisa meruntun hati seorang ibu dan ayah yang kehilangan anak tercinta, namun kedua-duanya cukup tabah menerima ketentuan Illahi. Itulah cinta tanpa syarat ibu bapa kepada anaknya biarpun sudah tiada di dunia.

Sempat saya berbual dengan ibu dan nenek arwah yang menceritakan detik-detik kematian arwah. Sungguh, mereka tidak menyangkakan arwah sudah meninggalkan mereka. Baru semalam seorang nenek tidur bersama cucunya, namun hari ini cucunya telah tiada. Baru semalam seorang ibu meletakkan kain di kepala anaknya dek kerana demam, hari ini anaknya itu juga telah tiada.  Saya gusar, arwah juga seusia dengan saya dan dia telahpun pergi dahulu.

Kami menyampaikan wang yang dikutip untuk keluarga arwah hasil sumbangan pelajar-pelajar UPSI, moga sedikit sebanyak membantu meringankan keluarga arwah.

Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah untuk adik Norazlina pelajar sains semester 2, yang kehilangan ayah dan pakciknya pada hari yang sama. Menerima dua berita kematian serentak, saya daoakan Azlina redha dan bersabar dengan ketentuannya.

Moga kita sama-sama sedekahkan al-fatihah untuk arwah Nurlina dan juga ayah serta pakcik Norazlina. Semoga roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah

Catatan sebuah perjalanan,

Nur Aqilah Hanis Bt Mohd Yusoff

Exco Akademik & Kerjaya MPP UPSI 08/09

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

KERIS 09, (Kem Jati Diri Muslim 09) ,telah selamat melabuhkan tirainya pada 26 Januari 2009. Kem yang dijadualkan 24-26 Januari merupakan anjuran Kelab Rakan Surau Ar-Rashidin bersama dengan Biro Latihan & Pembangunan Sahsiah Kolej Harun Aminurrashid meninggalkan kesan yang bermakna kepada saya terutamanya. Ini merupakan anjuran julung-julung kalinya, dan  saya selaku ahli rakan surau telah  mendapat taklifan sebagai unit pengisian dan modul berusaha memberikan yang terbaik kepada para peserta biarpun masih banyak ruang yang menuntut untuk diperbaiki.

Andai ada lafaz yang lebih mulia daripada ucapan terima kasih, itulah lafaz yang ingin saya ucapkan kepada para peserta KERIS 09 kerana komitmen yang cukup baik dan sahabat-sahabat urusetia, biarpun ada beberapa perkara yang menjadi halangan kita. Semoga kefahaman yang diperolehi dapat dimanfaatkan dan disampaikan kepada rakan-rakan yang lain.

Apa yang paling bermakna, adalah semasa slot muhasabah yang berlangsung pada pukul 1pg-3 pg, menemukan kami dengan kebesaran ALLAH. Slot ini diadakan khas untuk para peserta bermuhasabah dan bermunajat. Kalimah ALLAH ditemui dalam gambar yang kami ambil.

SLOT MUHASABAHdsc05266

Ini pertama kali saya menyaksikannya, dan ianya bukan dibuat-buat. Malah, kami selaku urusetia melihat gambar ini berkali-kali. Subhanallah. Kami menemui kebesaranMU ya ALLAH.  Pancaran api lilin yang kami susun dan letakkan pada setiap peserta untuk bermunajat  membentuk kalimah ALLAH. 

Walaubagaimanapun, setiap perkara yang berlaku harus diambil iktibar dan pengajaran. Dan sememangnya, saya sentiasa berharap agar program seumpama ini dijadikan program wajib tahunan untuk Rakan Surau Ar-rashidin, InsyaALLAH.

NUR AQILAH HANIS MOHD YUSOFF

Unit Pengisian dan Modul

KERIS 09

Bismilahhirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Seminggu sudah saya meninggalkan blog. Banyak sebenarnya yang ingin dicurahkan, namun saya punya sebab lain yang harus didahulukan. Minggu ini terjadinya pelbagai pertandingan yang menemukan kumpulan-kumpulan tertentu dalam memilih siapa yang terbaik di kalangan mereka. PRK Kuala Terengganu dimenangi oleh YB Wahid, manakala anugerah juara lagu menyaksikan faizal tahir tetap unggul biarpun tidak memenangi juara keseluruhan. Tahniah!

Sekalung tahniah & takziah daripada saya untuk sahabat-sahabat baru, kenalan-kenalan lama yang telah memenangi kerusi Pilihanraya Kampus 2008/2009 baru-baru ini. Sudah pasti kemenangan itu merupakan sesuatu yang manis dan sukar digambarkan kerana PRK merupakan medan tarbiyah yang utama di kampus. Saya yakin sahabat-sahabat telah melalui tarbiyah yang berkesan apabila terpaksa berdepan dengan fitnah yang bertebaran. Sesungguhnya ALLAH telah menjanjikan kemenangan itu di pihak mereka yang benar.

Pesan pada diri

Seseorang yang menjadi pemimpin mahasiswa jika diteliti dengan mendalam, sebenarnya berada dalam proses melaksanakan amanah perhambaan dan kekhalifahan. Islam dan ajarannya mengiktiraf peranan dan tujuan manusia diturunkan ke muka bumi sebagai hamba dan khalifah. Manusia sebagai hamba perlu melaksanakan segala arahan dan meninggalkan larangan yang termaktub dalam syariah. Ibadah perlu dilaksanakan tanpa sebarang bantahan dan hanya keredhaan Allah yang diharapkan.

Allah swt telah menyatakan dalam Al-Quran bahawa tujuan penciptaan makhluk khususnya manusia dan jin itu tidak lain kecuali untuk menyembah-Nya (Az-Zariat : 56).

Pemimpin mahasiswa juga mempunyai peranan yang sama cuma yang berbeza adalah suasana dan skopnya sahaja. Pemimpin mahasiswa perlu melaksanakan amanah sebagai ‘khalifah di kampus’ dengan berusaha supaya semua pelajar akan terbela kebajikannya, suasana yang sejahtera dan kondusif di kampus diwujudkan, dan penghayatan budaya ilmu harus disemarakkan. Tambahan lagi, bagi memastikan usaha memimpin suasana kampus ini akan lebih berkesan, pemimpin mahasiswa perlu memastikan penggantungharapannya hanya kepada yang Maha Esa. Tidak kira agama apa yang dianuti, keyakinan kepada ketentuan tuhan itu perlu diperteguh sebagai bekalan menjalankan tugas kepimpinan. Doa dan harapan, perlu sentiasa dipohon ke hadrat Ilahi. Bantuan dan pertolongan perlu diminta daripadaNya supaya ditunjukkan jalan penyelesaian.

16739d4cbd07f5e7568c80126ae726f1

Hakikat kemenangan itu merupakan sesuatu yang harus dikekalkan, dan perjalanan masih jauh!

Next Page »