Catatan Rindu : Ziarah di sekitar Madinah Al-Munawwarah

Berkali-kali saya mendengar semula alunan ayat-ayat suci al-quran surah ar-rahman, bacaan sheikh mishari Rashid,menghayati bait-bait qalam Allah, terasa diri ini begitu kerdil. Banyak sekali nikmat yang diberikan pada hambaMU ini.

[17]
(Dia lah) Tuhan yang mentadbirkan dua timur, dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat.
[18]
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

Kerap kali catatan rindu saya tertangguh, dan kali ini moga allah beri kekuatan dan hidayah kepada saya untuk terus istiqamah dalam menceritakan semula catatan di madinah dan seterusnya di bumi makkah.

Saya mulakan dengan ziarah pertama saya di sekitar madinah.

Perkuburan baqi’

Sebaik sahaja usai solat asar di masjid nabawi, saya mengambil peluang untuk melihat kawasan di sekitar masjid. Dari jauh sudah kelihatan tembok panjang yang di dalamnya terdapat kawasan perkuburan yang lapang.

Bacaan dalam bahasa inggeris papan yang diletakkan di bahagian tembok saya amati maksudnya. Di kiri kanan saya sudah ramai para jemaah dari pelbagai Negara yang mengaminkan doa secara beramai-ramai.

Perkuburan baqi’ ini merupakan sebuah kawasan perkuburan bagi penduduk kota madinah semenjak zaman rasullah dan masih digunakan sehingga kini.

Saiditina aisyah r.a meriwayatkan bahawa :

‘rasullah s.a.w setiap kali malam giliran dengannya, baginda akan keluar pada lewat malam untuk menziarahi perkuburan baqi’ lalu memberi salam dan memohon keampunan buat mereka yang dikebumikan di situ’ (Riwayat Muslim)

Di sinilah jua maqam isteri-isteri rasullah dan jua para sahabat rasullah.

Subhanallah, bagaimana keadaannya andai kita merupakan salah seorang penghuni perkuburan baqi’ yang terus mendapat doa dari baginda? Air mata terus mengalir mengenangkan bagaimana keadaan diri sendiri  kelak.

Salam buat penghuni saya lantunkan, bacaan al-fatihah saya sedekahkan.

Ziarah di luar madinah

Masjid quba’

‘ahli jemaah as-solihin, jangan lupa ambil wudu’ siap-siap di hotel kerana kita bakal menunaikan umrah hari ini dan berkumpul di bas dalam masa 20 minit lagi’ ujar mutawif ustaz ahyar bagi mengingatkan kami.

‘aih, bagaimana ustaz, kita masih di madinah, sedangkan jadual kita untuk ke mekah esok’ salah seorang ahli jemaah mengajukan soalan.

Sabda Nabi: Sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya kemudian pergi ke masjid Quba’ lalu mendirikan sembahyang di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat Umrah. (Tirmizi: Sembahyang: 298. Ibnu Majah: Iqamat dan Sunatnya: 1401. Ahmad: Musnad Makkiyyin: 15414.)

Penjelasan selanjutnya yang diberikan mutawwif benar-benar jelas menerangkan kelebihan masjid quba’.  Soal jawab dijalankan sepanjang perjalanan ziarah.

Sampai sahaja di masjid, terus kami tunaikan solat. Moga-moga ziarah kami dikira sebagai satu umrah ameen.

Jabal uhud

Destinasi seterusnya adalah Jabal Uhud. Berlokasi sekitar 5 kilometer sebelah utara kota Madinah.

Uhud adalah gunung batu berwarna kemerahan. Melihatnya mengingatkan kita pada perjuangan dan darah para syuhada.

Di Uhud itulah pertarungan spiritual dan politik dalam erti yang sebenarnya. Ketika itu pasukan diberi pilihan antara kesetiaan pada agama dan kecintaan pada harta. Melihat lokasi dan gunung yang mengelilinya, kita akan terbayangkan bagaimana sulitnya medan perang ketika itu.

Bukit batu, panas terik, dan keberanian pada syuhada. Itulah gambaran sebenar pabila diri ini berada di uhud.

Sejarah perang Uhud diceritakan oleh mutawif kami. Mengimbau sirah di tempat kejadiaan benar-benar menimbulkan rasa insaf di dalam diri.

Nabi Muhammad SAW bersabda,”Mereka yang dimakamkan di Uhud tak memperoleh tempat lain kecuali ruhnya berada did alam burung hijau yang melintasi sungai Surgawi. Burung itu memakan makanan dari taman surga, dan tak pernah kehabisan makanan. Pada syuhada itu berkata siapa yang akan menceritakan kondisi kami kepada saudara kami bahwa kami sudah berada di surga.”

Maka Allah berkata,” Aku yang akan memberi kabar kepada mereka.” Maka dari situ kemudian turun ayat yang berbunyi,” Dan janganlah mengira bahwa orang yang terbunuh di jalan Allah itu meninggal (Qs 3:169)

Ziarah kami di uhud diakhiri dengan pimpinan doa oleh mutawif.

Bersambung…

Catatan Rindu : Madinah Al-Munawwarah (2)

Bismillahirrahmanirrahim.

Sambungan lalu..

Para jemaah sudah dimaklumkan lebih awal supaya berkumpul di lobi hotel selepas isya’ lebih kurang jam 9.30 malam waktu Madinah, memandangkan pada malam ini kami akan dibawa pertama kalinya ke Raudhah.

Usai solat isya’ dan makan malam, saya ambil masa untuk istirehat sebentar di bilik. Sejak tiba tadi di kota madinah petangnya, sudah terasa kesan perubahan waktu dan cuaca. Rakan sebilik juga turut serta. Sepakat kami berempat ingin melelapkan mata terlebih dahulu dengan niat agar dapat di’charge’ semula tenaga.

Jam 10.30malam.

Siapa sangka kami sedikit lewat untuk bangun. Perkarangan lobi hotel juga telah kembali sunyi, dan sudah pasti kami telah tertinggal dari rombongan.

‘bagaimana ni kak? Kita pergi juga masjid, insya-allah ada orang nanti kita tanya di mana Raudhah’, saranan saya disepakati bersama.

Tiba di perkarangan masjid.

‘Ya ummi, aina Raudhah?’salah seorang daripada kami bertanya pada seorang wanita arab. Biarpun tidak begitu memahami bahasanya, namun daripada gerak tangan, kami sedaya upaya mengikut jejak yang diberikan.

Alhamdullilah, akhirnya, kami berjaya bertemu semula dengan ahli rombongan as-solihin yang menunggu giliran untuk masuk ke Raudhah. Ditempatkan mengikut rumpun Melayu, ujian kesabaran menunggu sementara giliran kami rakyat Malaysia benar-benar menguji.

Subhanallah,ramai sekali umatmu ya Rasullah.

Bertepatan dengan sabda Rasulllah, maksudnya : ‘Di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga’ (riwayat al-bukhary dan muslim).

Sudah selesai warga Iran, Lebnon kemudian diikuti India. Akhirnya tiba giliran kami rakyat Malaysia.

Ucapan tahmid dan selawat meniti di bibir. Ya allah, begitu ramai umatmu ya Rasullah.sudah terdengar tangisan dan ratapan daripada umat nabi Muhammad yang berkunjung ke Raudhah. Tidak tergambar perasaan sebak didada.

Hamparan hijau yang berbeza daripada hamparan merah masjid, buat pertama kalinya saya jejaki.

Inilah Raudhah. Dengan keluasan 22 meter panjang diukur daripada timur ke bawah dan 15 meter lebar diukur daripada selatan (mihrab), Raudhah menjadi tempat beribadat utama dalam masjid nabawi.

Disinilah tempatnya. Disinilah tempat  Rasullah dan para sahabat berkumpul dalam majlis ilmu. Disinilah jua tempat turunnya wahyu.

Selawat dan salam untuk junjungan mulia Nabi Muhammad dan sahabat-sahabat baginda. Sarat sekali rindu pada baginda tatkala begitu hampir dengan maqam Rasullah. Disebelahnya kedudukan maqam saidina abu bakar dan juga maqam saidina umar.

Besar sekali pengorbanan baginda dan sahabat-sahabat.

Ya rasulllah, syafaatkan daku.

Solat didirikan, terasa begitu kerdil diri ini.

Andainya Rasullah berada bersama dengan kita sekarang ini, bagaimana perasaannya? Subhanalllah

Ruang tempat dan masa yang sedikit terhad sedaya upaya saya manfaatkan sepenuhnya. Masih segar harumannya saat sujud di Raudhah. Allahurrabi.

Indahnya malam pertama di Raudhah.

Moga-moga ianya bukan terakhir dan masih ada peluang untuk mengunjunginya. Ameen.

Catatan Rindu : Madinah Bumi Anbiya (1)

Bismillahirrahmanirrahim

‘Jemaah-jemaah as-solihin, lagi satu jam kita akan berlepas dari sini (Dubai) ke madinah, insya-allah kita solat zohor dahulu’, pengumuman oleh Akhi Mohsin telah dibuat.

Ziarah bumi tuhan Dubai dan Sri Lanka, bumi tuhan bumi indah. Bermalam, menikmati setiap waktu. Syukur saya punya peluang ini.

Berkali-kali saya melihat jam. Memastikan benar-benar mengikut jadual penerbangan.

Saya sudah punya satu rasa. Ya Rasullah, aku semakin hampir denganmu. Sungguh-sungguh rindu itu menggamit, selaku umat.

Kurang daripada 40 minit sebelum mendarat, kapal terbang sedikit terjejas berikutan angin kuat, daripada atas sudah saya nampak bentuk struktur bumi madinah. Subhanallah. Inilah bumi an-biya’, Selawat dan istighfar meniti di bibir para jemaah, mohon semoga dipermudahkan. Ada jemaah yang sudah muntah-muntah tidak tahan dengan gegaran.

Alhamdulillah, tepat 31 Mei 2011, kembara saya di tanah haram Madinah, bumi an-biya’ bermula. Angin panas mula terasa, suhu sekitar 40-41 celcius. Inilah dia bumi anbiya. Udaranya dapat saya hidu, allahurrabi. Ya Rasullah, aku rindu denganmu.

Pemeriksaan kastam di madinah yang sedikit ketat sememangnya harus dipatuhi. Setiap jemaah diperiksa dengan kehadiran mahram. Ustaz Yusof, jemaah dari kedah menjadi mahram kami. Biarpun saya hanya menumpang mahram, terasa punya ayah baru yang bertindak memastikan kami semua selamat.

Kelana saya kali ini bersama guru pembimbing saya semasa di zaman praktikal (Kak Haida). Siapa sangka, ukhwah kami membawa kami terbang bersama ke tempat paling mulia.

Menitis air mata bila mengenangkan saat-saat ketika susah senang di praktikal. Dengan kak haida juga saya selalu berkongsi rasa dan sebagainya. Indah pertemuan kami, sampai kini kami dipertemukan bagi meneruskan pengajian di tempat yang sama. Dia tetap guru pembimbing saya. Bukan sahaja seorang guru, sahabat, kakak dan teman yang baik. Moga-moga allah pelihara hubungan kami. Ameen ya rabb.

Diperkenalkan dengan mutawif sesama rumpun, Indonesia, Akhi Ahyar, bas dinaiki membawa kami terus ke hotel.

Pemandangannya saya nikmati. Selawat dan salam untuk baginda rasullah.

‘Di sebelah kanan para jemaah, inilah Masjid Nabawi, subhanallah, pahala menunaikan solat di dalamnya bukan senang untuk kita dapat di masjid-masjid malaysia’ setiap bait penerangannya saya hadam dan cerna.

Kedudukan hotel saya hanya lima minit daripada masjid, syukur, pertama kali bersolat asar di masjid Nabawi. Melihat lautan manusia, masjid ini benar-benar hidup dan tidak sunyi, allahurrabi.

Usai solat asar, terasa tidak mahu pulang terus ke hotel.

‘Dik, mari kita bagi salam pada rasullah, akak cuba tunjukkan tempatnya’, seorang jemaah mengajak saya dan kak haida.

‘Inilah tempatnya, adik nampak kubah hijau ini, di sinilah makam rasullah’

Hati saya sayu, hanya dibiar sahaja air mata mengalir laju.  Ya rasullah, aku sudah tiba ya rasullah. Aku ini umatmu. Syafaatkan daku. Bacaan doa dan al-fatihah mengiringi. Sirah-sirah perjuangan baginda mula menggamit rasa rindu. Biarpun tidak pernah berjumpa. Tidak dapat saya gambarkan dalam bait kata ataupun frasa tulisan

Bersambung…

Malam pertama di Raudhah.

Moga-moga allah redha dengan setiap catatan pengalaman saya di bumi madinah dan mekah sebagai perkongsian dengan para pembaca. Marilah sama-sama kita berselawat ke atas  junjungan mulia nabi kita nabi Muhammad S.A.W.

Kembara Mencari Redha Illahi

Bismilahirrahmanirrahim

Alhamdulillah

Telah lama saya titipkan doa dan usaha menanti dengan sabar hingga akhirnya masanya kian tiba. Kurang dari seminggu lagi saya bakal berangkat ke baitullah. Saya tinggalkan kesibukan sementara untuk meraih redha dan cintaNYA. Hanya satu rasa yang saya pasti. Saya benar-benar rindu pada lambaian ka’bah yang kian menggamit hati.

Buat teman-teman yang bakal mendirikan bait da’wah di musim cuti sekolah ini, tahniah saya ucapkan, berbahagialah sesungguhnya kalian telah melengkapkan separuh daripada iman, moga ikatan cinta berkekalan hingga ke syurga. Saya mohon maaf tidak berkesempatan untuk hadir.

Doakan saya mendapat umrah yang mabrur, ameen, insya-allah.

Ya allah,

HambaMU datang menyahut panggilan Engkau, ya ALLAH. Seluruh jiwa dan raga pasrah menyerah diri hanya mengharap redhaMU.

Harapanku untuk memperoleh keberkatan dan kenikmatanMu memenuhi relung kalbu. Kepayahan dan kesukaran tidak mempu menepis kerinduan untuk bernaung di bawah rahmatMu serta menziarahi makam kekasihMu Rasullah.

Terimalah diri ini sebagai tetamuMu, agar hambaMu menjadi kekasih yang sentiasa merinduiMu sepanjang hayat.

Ameen.

Bersujud di  baitullah demi meraih cintaMu…

Panas peringatan

Bismillahirrahmanirrahim

‘the weather is really hot, if i have the thermometer now, i want to measure the temperature’

Keluh rakan sekerja saya yang merupakan guru physic.

‘ me too, if i have the aircond, i’ll make sure it will always on for 24 hours’


Perbualan kami sememangnya terganggu dek kerana terasa ‘ bahang dunia’.

Melihat pelajar-pelajar meneruskan aktiviti ko-kurikulum yang sememangnya wajib setiap minggu tanpa kompromi, tangan kami tidak berhenti ‘bekerja’, ‘mengibas’ menghilangkan sedikit rasa panas.

Risau dengan keadaan semasa cuaca yang kadangkala panas melampau dan hujan kilat yang seringkali menjengah.

Akhirnya, saya sendiri yang tidak sihat. Sakit tekak, panas hujan, batuk, dan pengajaran saya sememangnya terpaksa ditangguhkan kerana saya diberi cuti oleh doktor.

Dunia semakin tua, saya juga semakin ‘terkena’ kesan pemanasan global yang berlaku.

Hangat juga dengan isu-isu polimik politik semasa, senaman poco-poco yang diharamkan dan juga keadaan sosial yang meruncing. Tandanya apa?

Aduhai diri..

Tidak ada enaknya kehidupan dunia ini kerana intinya berisi ingatan akan usia tua dan mati.

Masa masih ada, moga masih bisa mengambil ibrah dan pengajaran setiap yang berlaku.

Saya sedang bercuti, kesan dari panas peringatan.

Sedar dari lena

Bismillahirrahmanirrahim

Perlu paksa diri untuk membuat sesuatu yang lebih baik. Hari ini setelah sekian lama, saya gagahkan jua untuk menulis.

Proses adaptasi setiap individu itu berbeza. Sampai kini, sebulan dua bukan masa yang cukup untuk saya. Semalam, hari ini akan datang, saya sendiri tidak pasti bila saya akan benar-benar menerima keadaan yang tersedia.

Kelu

Lesu

Semuanya bercampur baur. Bukan saya tidak membuka blog, cuma saya lebih senang membiarkannnya kosong begitu sahaja, mungkin sedang mencari masa, sehingga tidak berjumpa-jumpa pengakhirannya.

Mencari-cari rentak untuk menulis, melakarkan sesuatu untuk tatapan buat diri dan teman-teman pembaca.

Ini silap diri, akhirnya saya malu sendiri.

Sudah tiba masanya segalanya berlalu pergi. Yang ada kini masa depan yang sedang bersedia dicorakkan.

Realitinya tugas menjadi pendidik sememangnya mendesak emosi, fizikal saya berjalan tiada henti, seakan masa pinjaman 24jam tidak pernah mencukupi.

Lihat sahaja keputusan SPM yang telah keluar, tahniah, pencapaiannya sememangnya yang terbaik sejak 4 tahun yang terdahulu. Lihat juga imbasan keruntuhan masalah akhlak yang semakin merudum tahap prestasinya. Mana yang kita mahu? Saya yakin jiwa-jiwa pendidik sedar akan realiti ini.

Bagaimana tugas ‘menjadikan’ manusia ini semakin hari semakin sukar.

Masyarakat pincang hasil didikan guru-guru yang mementingkan exam oriented sehingga hilang nilainya keseimbangan sebagai manusia. Saya tidak salahkan guru, kerana saya juga salah seorang anggota guru tersebut. Dimana nilai JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelektual dan Sosial) yang menjadi kiblat dalam falsafah pendidikan kebangsaan? Adakah dilunaskan sebaiknya?

‘saya mengajar matematik kepada abu’ atau ‘saya mengajar abu, matematik’ ?

Mana yang lebih dominan?

Hakikatnya seringkali tersasar. Yang diajar merupakan jiwa-jiwa manusia. Silibus, matapelajaran hanya merupakan ‘medium’.Bila matlamat sudah tersasar maka hasil akhirnya produk yang dihasilkan penuh lompang-lompang yang dituntut untuk diperbaiki.

Gagasan ini gagasan besar.

Pendidik harus faham tugasnya kian lama kian berat. ‘keseimbangan’ yang hilang perlu dikembalikan semula.

Saya sudah sedar dari lena.

Saya masih di sini.

Moga-moga ALLAH redha. Ameen.

p/s : terima kasih teman-teman yang terus ‘mengasak’, ‘mendesak’ saya untuk terus menulis, hasilnya kalian berjaya, biarpun lebih dua bulan, namun saya berjaya juga menulis semula akhirnya. 🙂

Refleksi 2010 ‘kunci’ lembaran 2011

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Bila dihitung kira hari-hari yang berlalu, sekian lama juga saya rasakan saya tidak meninggalkan sebarang coretan di dalam guruohguru. Tirai 2010 bakal berlabuh sedikit masa lagi dan yang pasti 2011 bakal membuka satu lagi lembaran baru dalam kehidupan kita kelak.

Sedikit masa saya perlukan untuk penyesuaian dengan semua keadaan di sekeliling, disamping memberi ruang kepada saya untuk membuat persiapan rohani, emosi dan jasmani sebagai persediaan untuk tahun baru. Tough times never last.


Saya baru menyelesaikan pembacaan buku Robert Schuller, baru terasa rindu untuk menulis.

Sudah tiba masa saya benar-benar serius untuk menukar paradigma sebagai pelajar kepada figura penting yang  bertindak ‘memanusiakan’ pelajar-pelajar saya kelak. Besar istilahnya sebagai GURU biarpun kadangkala dianggap enteng oleh sesetengah pendapat.

Suka saya berkongsi peribahasa cina yang dipelajari, ‘ming shi chu gao tu’ (guru yang baik akan lahirkan pelajar yang baik)- peribahasa cina.

2010 hanya akan berlalu dengan coretan peristiwa yang sudah tersedia berlaku. Dan yang paling penting sebagai hamba, setiap perkara penting untuk kita mengambil iktibar serta mengkoreksi diri samaada setiap waktu pinjaman-NYA sudah dimanfaatkan atau sebaliknya.

Saya kira anjakan perubahan daripada alam mahasiswa kepada alam pekerjaan merupakan satu lagi metamorphosis yang perlu saya lalui dalam peringkat hidup. Pekerjaan yang kita lakukan dalam kehidupan seharian baik sebagai lao shi (guru) mahupun tong xue (pelajar) sudahkah cukup baik untuk mendapat ganjaran pahala ibadah?

Penghijrahan saya dari KB ke KL mungkin makan masa bertahun lamanya, namun saya optimis ini merupakan peluang yang terbaik untuk saya menunaikan beberapa impian dan matlamat yang perlu direalisasikan dalam masa terdekat.

Melihat keseluruhan gaya penulisan saya pada tahun ini juga lebih banyak menyentuh kepada pengalaman semasa sebagai seorang guru, dan dari situ saya berkongsi sedikit kisah masam manis bezanya pengalaman bergelar guru dan pelajar.  Seawal tahun 2010 saya sudah memulakan praktikal di selangor bagi melengkapkan ijazah pertama, dan kemudian diberi peluang sebagai guru ganti di beberapa maahad. Moga-moga dengan sedikit pengalaman sedikit sebanyak mampu untuk membantu saya di dalam profesion perguruan.

Mengintai keadaan politik semasa yang berlaku, dan sedikit kesempatan untuk terjun dalam masyarakat semasa, hakikatnya tugas dan tanggungjawab kita masih lagi banyak yang perlu dilunaskan. Peluang terlibat dengan beberapa program kerajaan inilah platform yang saya gunakan untuk menunaikan tanggungjawab sosial yang sedia ada. Beban masalah-masalah umat yang sedia ada perlu ada yang bersedia untuk menghuraikannya dan bertindak menyelesaikannya.

Tahun ini juga sudah beberapa kali saya bermalam di wad dengan pelbagai masalah kesihatan yang dialami keluarga tercinta dan setiap kali itu juga saya melihat betapa besarnya nikmat kesihatan yang dikurniakanNYA. Andai hari ini kita rasakan sudah cukup perit diuji dengan segala kesakitan dan kepayahan, disaat itu juga masih ramai diluar sana yang menderita dengan keperitan yang dialami. Dan kematiaanlah yang paling hampir dengan kita saban waktu.

Mengapa perlu dilakar semua pengalaman-pengalaman yang sedia sudah berlaku?

Muhasabah buat kita. Moga-moga kita tidak  lupa setiap ujian, kejayaan, kesusahan, kegembiraan, kepahitan itu sebenarnya sentiasa menyedarkan hakikat kita sebagai hambaNYA.  Hidup ini pengakhirannya diakhirat sana.

Tahun 2010 tahun yang pendek.

Sedar tidak sedar kita sudah sampai ke penghujungnya. Jadikan hari ini lebih baik dari hari semalam, dan hari esok lebih baik dari hari ini. Ameen.

Allahurabbi.

Oh ALLAH

Give me the guidance

To know

When to hold on

And

When to let go

And the grace

To make the right decision

With dignity

Ameen.