Archive | September 13, 2009

Jejak Gemilang SAR 09

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

“Saya harap kita sama-sama dapat membantu pelajar-pelajar dan mahupun guru-guru sekolah agama rakyat di perak ni. Perlu ada kesungguhan dari semua pihak”, kata-kata semangat yang dititipkan oleh penasihat bagi program Jejak Gemilang SAR 09 sememangnya menjadi pencetus kepada kelangsungannya program khidmat bakti biro akademik & kerjaya majlis perwakilan pelajar sesi 08/09 kepada adik-adik di sekolah agama rakyat. Program ini sedang berlangsung dalam masa 7 minggu. Kali ini, Maahad Al-Islah dan Maahad Abbasiah merupakan sekolah yang terpilih dalam fasa pertama program ini dijalankan.

maahad abbasiah

Bercerita mengenai sekolah agama rakyat, sememangnya saya baru sahaja mengenali system dan pelaksanaanya. Jujurnya saya tidak pernah mendapat pendidikan langsung dari sekolah agama rakyat. Saya kagum melihat komitmen para pendidik di SAR dengan bayaran imbuhan yang sangat minimal tetapi tetap terus berkhidmat demi kesedaran terhadap kepentingan pendidikan Islam kepada anak-anak bangsa.

adik-adik maahad abbasiah

Menyedari betapa peranan Sekolah Agama Rakyat adalah amat penting dalam mengembangkan sistem pendidikan Islam tanah air disamping sekolah kebangsaan sendiri, maka tindakan UPSI untuk menjadikan sekolah agama rakyat sebagai sekolah angkat merupakan langkah bijak dan memberi kesan kepada pengukuhan pendidikan Islam yang telah dibina sekian lama secara mandiri oleh masyarakat.

adik-adik SAR

Tidak ada siapapun yang boleh menidakkan catatan sejarah bahawa sistem SAR inilah yang telah menyelamatkan umat Islam dari penguasaan penjajah dalam bidang pendidikan dan politik. Biarpun dengan keadaan prasarana yang kurang lengkap, saya yakin dan percaya masih ramai yang dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

fasilitator maahad al-islah

Moga-moga dengan usaha yang sedikit ini untuk sama-sama membantu dalam meningkatkan pencapaian adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan SPM ini diberkati dan diredhai ALLAH. Terima kasih kepada barisan fasilitator yang sememangnya menunjukkan komitmen yang tidak berbelah serta sanggup memberi masa di hujung minggu demi memastikan kelangsungan program ini. InsyaALLAH kita teruskan sehingga adik-adik menduduki peperiksaan SPM kelak.

‘Transform with knowledge’

NUR AQILAH HANIS BT MOHD YUSOFF

Exco Akademik & Kerjaya

Majlis Perwakilan Pelajar sesi 08/09

p/s : bagi mahasiswa/i yang berminat untuk menjadi fasilitator boleh terus menghubungi saya dan koordinator program saudari normala dari biro akademik dan kerjaya mpp 08/09.

Advertisements