Archive | March 13, 2009

Akademi Intelektual Mahasiswa 09

untitled-1

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Program Akademi Intelektual Mahasiswa 09 anjuran Exco Akademik & Kerjaya MPP UPSI 08/09 akan menampilkan beberapa program penting untuk mahasiswa/i UPSI.

1) Hari Akademik

Dijalankan sepanjang semester

2) Forum PPSMI : Antara Konfrontasi dan Inovasi Dalam Pendidikan(27 Mac 2009)

Panel :

1) Prof Emiritus Isahak Haron (UPSI)

2) Prof Emiritus Abdullah Hassan (UPSI)

3) Saudara Khairul Anwar (PKPIM)

3) Taklimat IPS  (Institut Pengajian Siswazah)  (1 April 2009)

Membicarakan peluang untuk menyambung Master dan PHD di UPSI

4) Motivasi ‘Magnet Diri Bakal Guru’

Menyediakan mahasiswa/i sebagai bakal guru. Dikendalikan oleh Amin Idris dan RK Consultant(www.aminidris.com)Segala gerak kerja sedang dijalankan, dan mahasiswa/i dialu-alukan untuk memberi cadangan serta pandangan.

“Transform with knowledge’

NUR AQILAH HANIS BT MOHD YUSOFF
Exco Akademik & Kerjaya
MPP UPSI 08/09

Advertisements

Gelombang parah akhlak pelajar

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Masih belum terlambat saya merespon mengenai isu keruntuhan akhlak dikalangan pelajar yang kian meruncing. Sungguh, saya merasakan tugas seorang bakal guru kian berat dan perlu bersedia untuk mendepani keruntuhan akhlak pelajar.

 258523278_bfd23698e31

Umum kita menyaksikan di dada akhbar melaporkan mengenai permasalahan disiplin dalam kalangan pelajar malah ianya menjadi perbahasan hangat di kalangan pelbagai pihak. Pelbagai bentuk masalah disiplin dan akhlak pelajar seperti vandalisme, gejala buli, pergaduhan, kegiatan samseng, kes memukul guru, kes membakar sekolah dan sebagainya.

Hasil kajian Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2005 mengenai kes gengsterisme yang dipaparkan menerusi media Utusan Malaysia bertarikh 6 Mac 2009, mendapati bahawa 459 daripada 1560 sekolah menengah harian terdedah kepada budaya samseng ini. Kes guru pernah ditampar pelajar malah yang terkini menerusi laporan Berita Harian bertarikh 5 Mac 2009, seorang guru Bahasa Inggeris telah disimbah asid merupakan antara tragedi yang amat menakutkan. Lebih mengejutkan lagi, pihak Kementerian Pelajaran mendedahkan kira-kira 76,300 atau 1.09 peratus daripada keseluruhan tujuh juta pelajar di negara ini terbabit dalam pelbagai masalah disiplin. Perlu diinsafi rentetan peristiwa demi peristiwa yang berlaku di kalangan pelajar kini mendukacitakan, sekali gus ia menjadi isyarat jelas bahawa indeks keruntuhan akhlak di kalangan pelajar negara berada di paras berbahaya.

pelajar

Adakah kita selaku bakal guru pada masa depan bersedia untuk mendepani karenah pelajar yang lebih mencabar? Dengan berbekalkan pengatahuan psikologi, pedagogi disulami dengan pengetahuan mengenai subjek, adakah ianya benar-benar dapat membantu kita kelak di sekolah? Selaku bakal guru, tanggungjawab kita pada masa depan adalah melahirkan insan-insan yang cemerlang bukan sahaja dari segi intelektual malah akhlak juga perlu dititikberatkan. Falsafah Pendidikan Negara yang diasaskan kepada hasrat serta aspirasi negara dan dinyatakan secara bertulis baru- baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ramai guru yang mampu untuk melahirkan pelajar yang bijak namun belum tentu soleh dan baik akhlaknya.

Menyedari hakikat guru pada masa depan yang terdedah dengan pelbagai kemungkinan yang ada, kita perlu menginsafi apakah corak pendidikan dan asuhan yang sudah dan sedang dicurahkan kepada anak muda masih tidak mencukupi, lantaran itu mereka begitu mudah terjerumus ke kancah yang akhirnya bukan saja memudaratkan diri mereka sendiri, malah mengancam kesejahteraan masyarakat dan kestabilan negara.

Gelombang keparahan akhlak pelajar-pelajar ini sebenarnya bukan sahaja membahayakan golongan pelajar malah guru-guru juga diambang bahaya. Oleh itu, adalah tidak wajar kita memandang remeh terhadap apa yang berlaku dan seterusnya menganggap ia masih belum serius dan dalam keadaan terkawal. Kita mesti berwaspada dan berhati-hati serta sentiasa beringat sepanjang masa. Jangan pula apabila masalah menjadi serius dan parah, barulah kita mahu mengambil tindakan susulan pada hal ia sudah terlambat bak kata orang tua, “Sudah terantuk baru terngandah”. Hakikatnya, tugas kita selaku bakal guru akan datang semakin mencabar,namun bersediakah kita?

“Transform with knowledge”

NUR AQILAH HANIS BT MOHD YUSOFF
Exco Akademik & Kerjaya
Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2008/2009
UPSI