Bismillahirrahmanirrahim
ALHAMDULLILAH
Antara penulis yang saya minati adalah Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tuntasnya saya hampir memiliki kebanyakan buku tulisan beliau. Membaca karya beliau terasa bait-bait ayatnya sampai ke dalam hati. Bagi sesiapa yang pernah mendengar ceramah yang disampaikan beliau, ayat-ayat bersahaja yang digunakan sarat dengan unsur-unsur nasihat untuk diimplemtasikan dalam kehidupan harian. Itulah dia, ulama’ pewaris para anbiya’.
Dan, pada tulisan ini, saya mengambil peluang untuk berkongsi mengenai karya beliau seterusnya untuk dimiliki oleh mahasiswa/i khususnya.
Buku yang pertama :
Apabila Tuan Guru mula berbicara mengenai cinta dalam tulisan beliau. Buku ini mempunyai 242 muka surat.
“Katakanlah jika kamu menyintai Allah, maka ikutilah aku nescaya Allah akan mengasihimu.” (Surah al-‘Imran Ayat 31)
Cinta diistilahkan sebagai tajuk yang “terbungkus” kerana ia berupa perasaan. Jauh di dasar agama, ia bersifat “malu-malu”, berwajah seni dan menjadi bawaan jiwa. Ia seakan-akan menjadi “taboo” dari dikupas rahsianya biarpun oleh orang yang sepatutnya “ahli” hingga ke dasar pengertian. Hadirnya ghaib tetapi roh kezahirannya wujud memukau dan sering meninggalkan kesan cakaran yang keliru di mana-mana.
Dengan itu menjadikan, cinta itu sendiri memerlukan pentakrifan dan pemerincian. Inilah asas kewajaran tampilnya buku ini. Ia mewah menghidangkan gelora cinta yang melanda, lewat kisah-kisah yang pernah dilalui oleh para nabi dan rasul-rasul pilihan. Ia dihidangkan “live” !
Jika mampu untuk digambarkan cinta itu barang sedikit, ia sesungguhnya sebuah anugerah kudus ciptaan ALLAH SWT.
Buku yang kedua :
Telaga Budi adalah sauh tempat diamnya pautan budi. Dalam tenang takung airnya, ada pusar lautan makna. Bagai riak di tasik madu, ia menghantar sebimbing wahyu terkupas dari asuh kata ulama’. Buku ini pula merupakan himpunan kata-kata hikmah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.