ALHAMDULLILAH
‘Mak teh, adam nak tengok papadom’
‘Jom tengok sama-sama, nanti mak teh pasang’
Jarang sekali saya menonton filem melayu keluaran anak jati Malaysia. Mulanya hanya niat untuk menemani adam sahaja menonton filem, namun sekejap sahaja seisi keluarga saya turut sama melihat filem tempatan ini. Ternyata, tema kekeluargaan kasih sayang seorang ayah terhadap anak perempuannya sememangnya tidak mengecewakan. Filem yang sarat dengan elemen-elemen kasih sayang, kekeluargaan sesuai sekali ditonton bersama. Sekadar hiburan santai. Tiada keraguaan apabila filem arahan Afdlin Shauki ini berjaya memenangi filem terbaik festival filem malaysia.
Papadom
Watak yang dimainkan oleh afdlin seorang papa yang bernama Saadom dan membuka perusahaan nasi kandar dan antara menu yang istimewa ialah ‘pepedam’ (saya tidak pasti ejaannya). Kegigihan seorang ayah yang ingin sekali memberi yang terbaik untuk satu-satunya anak perempuannya Maisara setelah kematian isterinya sehingga memberikan impak yang besar pada kehidupan anaknya. Itulah kasih sayang tanpa syarat seorang ayah. Biarpun menuntut seribu satu pengorbanan. Gelagat afdlin yang pelbagai mengheret kami turut sama ketawa, sedih dan gembira sepanjang menonton filem ini.
Kehidupan remaja kota yang mengalami ‘culture shock’ apabila berada berjauhan dengan ibu bapa dipaparkan dengan sebaiknya melalui watak ‘Miasara’. Di saat-saat diri ditimpa masalah, barulah dia sedar bahawa hanya ayahnya sahaja yang mampu memberi perlindungan dan kasih sayang padanya.
‘Mia sayangkan papa, cuma mia juga mahu rasa bebas daripada konkongan papa’.
Filem ini mengkritik skil ‘parenting’ yang silap. Saadom percaya, wang mampu melengkapkan kebahagiaan rumah tangganya. Hakikatnya wang bukanlah segalanya, sebaliknya wang hanya sebahagian dari segalanya. Tidak sedikit ibu bapa percaya, dengan menyediakan material yang banyak itu sudah memadai untuk anak-anak tumbuh dan membesar dengan baik. Manakala dari kelompok yang lain pula, ramai juga ibu bapa yang tidak berusaha dengan sungguh-sungguh dan terbaik untuk menyediakan material dan prasarana yang cukup untuk keluarga.
Papadom sememangnya berjaya membawa tema erti kasih seorang ayah. Sesuai ditonton semua. Filem ini membuat kita pulang ke rumah menyelak semula album gambar kenangan famili masing-masing. Cuba ambil masa, berilah penilaian, bahawasanya AYAH anda yang terbaik, insyaALLAH.
ps : teringat kasih ayahanda yang sentiasa memberi yang terbaik untuk kami adik beradik.
