Archives

Lafaz mulia terima kasih

Bismillahirrahmanirrahim

Minggu ini saya rasa saya sedikit tegang menguruskan beberapa perkara yang berlaku.

Terima kasih ya Allah, moga sibuk-sibuk saya mendapat redhaMU.

Sedikit perkongsian bersama teman-teman.

Ucapan yang sering kali kita lupa untuk lafazkan.

‘Terima kasih dan terima kasih

‘Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak mensyukuri ALLAH’ (Hadith riwayat Ahmad dan At-Tirmizi)

Pernah teman-teman berterima kasih pada ibu masing-masing? Ini yang saya belajar hari ini.

Buat bonda saya.

‘Terima kasih mak, bersusah payah bergadai nyawa melahirkan hanis, sehingga usia ini, mak masih mendoakan hanis, hanis sayang mak, selama ini hanis seringkali lupa untuk berterima kasih pada mak untuk  segala-galanya, moga-moga diri ini masih belum terlambat, terima kasih mak’

Ucapan terima kasih juga mampu menitiskan air mata bonda yang redha dengan anaknya sehingga terpadam api neraka.

Jika masih punya bonda, jangan lupa untuk bertangguh berterima kasih pada bonda atas kerelaan dan perit jerih melahirkan kita. Kelak jangan menyesal, bimbang tidak sempat untuk melafazkan terima kasih kerana ianya membawa pengertian besar buat insan tersayang.

Saya perlu Facebook?

Bismillahirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

Saya perlu facebook?

Ramai diantara teman-teman saya sudah berusaha untuk meng’invite’ saya untuk menyertai mereka dalam facebook, cuma saya biarkan sahaja jemputan tersebut tidak bersahut. Penuh sahaja akaun email saya dengan jemputan-jemputan mereka.

Maafkan saya.

Saya masih menilai keperluaannya untuk saya.

Seingat saya, saya cuma ada akaun friendster selama 2 tahun sahaja, selepas itu saya menutup sahaja akaun tersebut.

Lebih senang saya cuma focus pada blog, biarpun ramai teman yang memberi pandangan bahawasanya facebook lebih praktikal berbanding blog.

‘teacher,ada facebook tak? Nanti kami invite, senang kami nak contact teacher ’

Sogokan daripada pelajar-pelajar saya juga kadangkala membuatkan saya hampir terpengaruh.

‘teacher hanis buatlah, nanti kami jadi fans, lepastu setiap status teacher kami akan ‘like’ (panggilan teacher hanis cuma digunakan oleh pelajar-pelajar maahad memandangkan mereka lebih suka nama hanis berbanding aqilah)

Aduhai. Sebenarnya saya tiada idea mengenai isu ‘fans’ dan ‘like’ memandangkan saya tidak menggunakan facebook.

Senyum sahaja saya mendengar cadangan-cadangan mereka dan senarai kebaikan yang dicanangkan apabila saya punya akaun kelak.

‘nantilah, teacher dapat hidayah, kalau teacher buat teacher inform kamu semua, tapi buat masa sekarang tiada cadangan lagi untuk buka akaun’

Mereka hampa. Hampir keseluruhan pelajar-pelajar saya punya akaun facebook, di sekolah sungai pelek juga begitu.

Bila sahabat saya dari Rusia berkunjung ke rumah ketika ramadhan lepas, isu facebook juga yang menjadi perkara pokok.

Aqilah, kawan-kawan mrsm kita dulu semua sibuk tanya aku, pasai apa hang tak buat facebook, susah depa nak contact’ adu teman baik saya dengan loghat penangnya. Saya diam sahaja.

Bila semua orang ada facebook, saya rasa saya tiada keperluan lagi menggunakannnya.

Lebih mengejutkan lagi, bila dikhabarkan oleh teman-teman rapat apabila nama saya juga menjadi bualan di facebook. Tiada akaun pun, nama saya masuk juga dalam laman facebook. Jadi tidak perlu bersusah payah lagi saya buka akaun.

Benar, medium facebook terbaik untuk berhubung semula dengan teman-teman saya. Jika dihimpunkan sedari sekolah menengah, matrik, university, tambah lagi bekas-bekas pelajar saya, sayang juga saya terputus hubungan dengan mereka.

Bila melihat figura-figura utama Negara menggunakan facebook untuk medan dakwah dan kelancaran kerja, kadang-kadang saya juga teruja untuk memiliki satu akauan.

Tapi jika hanya bersandarkan beberapa alasan seperti disenaraikan, ianya belum cukup kuat untuk individu seperti saya menggunakan akaun facebook. Cukuplah bagi saya dengan medium telefon, email, sms dan juga blog yang sedia ada. Lebih dekat dihati. (Ramai juga yang tidak setuju)

Saya pasti kalian lebih maklum mengenai facebook. Yang menggunakan lebih tahu kelebihannya daripada yang tiada langsung.

Namun, setakat hari ini, jika ditanya saya ada FACEBOOK atau tidak.

Jawapan saya masih lagi sama.

Saya tiada FACEBOOK. :)

Permata hati, Fatimah Nur Fitrah

Bismillahirrahmanirrahim

‘Nis, balik terus rumah lepas sekolah, mak dan abah dah bertolak ke kl’ , sempat saya tangkap maksud kak ngah ketika menerima panggilan telefon daripadanya.

Mungkin sudah tiba masa.

‘mak, nanti pesan pada abah, drive elok-elok, sampai kl nanti mesej’, itu sahaja pesanan yang sempat saya sampaikan pada bonda tercinta melalui panggilan telefon.

Tidak sanggup saya panjangkan perbualan. Ada sendu di hujungnya, saya tahu bonda yang paling risau.

‘kita sama-sama doa kak yoe selamat, Dr kata perlu operation segera, fetal distress, dah masuk labour room’ penerangan bonda sudah cukup jelas untuk saya cerna.

Sejarah sekali lagi berulang.

Pengalaman, kedua kekanda saya sebelumnya memungkinkan kekanda saya yang ketiga mengalami pengalaman yang sama. Mahu tidak mahu bagi menyelamatkan ‘buah hati’ tercinta, kekanda saya perlu menjalani operation. Caesarean delivery.

Bukan mudah menjadi seorang ibu, itu juga yang saya belajar dari kekanda-kekanda saya. Untungnya punya kekanda-kekanda yang tidak lokek berkongsi suka duka pengalaman sebagai panduan untuk kehidupan saya kelak.

Terasa sedikit kelebihan, mampu melihat sendiri sepanjang proses kehamilan ketiga-tiga kekanda saya. Teruk sekali ‘morning sickness’ yang dialami kadangkala menyebabkan mereka ditahan diwad. Belum lagi menceritakan saat-saat kelahiran, juga ditahan diwad sehingga berhari-hari.

Aduhai, perit jerih seorang ibu, itulah hakikatnya.

Dan sekarang, melihat mereka membesarkan anak-anak juga bukan kerja yang mudah. Cabarannya lagi hebat. Proses ‘memanusia’kan manusia. Membentuk supaya menjadi insan yang soleh dan solehah.

Tepat jam 3.48petang.  24.9.2010.sekali lagi mesej diterima

‘alhamdullilah, kak yoe selamat, baby girl 3.4kg’

Bertambah lagi ahli baru dalam keluarga saya. Syukur, kami semua menerima orang baru dengan kedatangan syawal ini.

Fatimah Nur Fitrah Binti Mohd Anuar


Seindah dan sehebat namanya. Moga membesar menjadi permata ayah bonda.  Ameen, insya-allah.

p/s: mak long, mak ngah, mak teh dan mak su teruja menunggu baby Fatimah pulang dari kuala lumpur. tidak ketinggalan, sofea, adam dan hawa sudah dapat kawan baru

Maaf..

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Beberapa jam lagi Ramadhan akan berakhir. Cuma saya ingin mengambil sedikit kesempatan yang ada biarpun ruang masa saya rasakan sesak. Sesak  memikirkan adakah ramadhan saya pada kali ini lebih baik dari masa lalu dan bisa saya bertemu lagi dengan ramadhan akan datang.

Walaupun malam gelap,kita berusaha untuk bersembunyi di setiap sudut yang dirasakan selamat, semua kerja-kerja sulit akan didedahkan apabila kita berhadapan dengan ALLAH SWT kelak. Baik manusia hebat manapun, semuanya akan didedahkan RAHSIAnya nanti.

Saya mohon maaf.

Mungkin ada RAHSIA antara saya dan sahabat-sahabat juga yang belum diselesaikan. Bimbang tidak berpeluang bertemu mata merungkaikan segala rahsia, saya ingin mohon maaf di atas semua kesilapan yang dilakukan, mungkin ada HAK-HAK sahabat-sahabat yang saya gagal lunaskan. Biarpun kita ke hulu atau ke hilir, kita berakit atau bersampan, tetap ISLAM menjadi tali pengikatnya. Dengan rendah diri, sekali lagi saya mohon maaf.Saya cuma insan biasa.

Moga-moga sinar syawal yang bakal kunjung tiba, mampu meningkatkan ketaqwaan kita kepadaNYA. ameen.

Yang merindui Ramadhan yang bakal berlalu

Jatuh Cinta dengan BUMI CINTA

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Saya berusaha menyiapkan beberapa kerja rumah secepatnya memandangkan ada tujuan lain yang perlu diselesaikan. Syukur, mudah sahaja saya temui ‘parking’ kali ini, biarpun sebenarnya keadaan amat sibuk di sekitarnya.

Akhirnya saya temui BUMI CINTA.

Kira-kira sejam saya berada di kedai buku, mencari dan meniliti bahan bacaan baru yang ada. Hasilnya, saya ambil beberapa buah buku dan salah satunya BUMI CINTA karya terbaru Habiburrahman El Shizary. Tujuan saya sememangnya ingin membawa beberapa ‘ole-ole’ untuk menemani sepanjang pemusafiran saya kelak.

Hasrat hati ingin menangguhkan dahulu pembacaan seperti hari yang ditetapkan namun saya batalkan sahaja akibat tidak dapat memendam rasa ingin tahu tatkala meneladani helaian demi helaian Bumi Cinta. Saya tidak sabar untuk meneliti dan menghayatinya.

Alhamdullilah, dalam tempoh tiga hari ini, saya berjaya cermati novel setebal 722 muka surat.

Ternyata saya jatuh cinta dengan BUMI CINTA. Sememangnya, novel ini amat sarat dengan pengajaran dan benar-benar tidak mengecewakan.

Ada apa dengan BUMI CINTA?

Kelainan novel ini pertamanya adalah setting yang digunakan oleh Habiburrahmana ternyata berbeda dengan novel sebelumnya, iaitu Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih. Tidak seperti novel-novel sebelumnya yang berlatarbelakangkan bumi Mesir, pada kali ini penulis mengajak pembaca menikmati dan mengeksplorasi keindahan bumi Rusia khususnya kota Moscow.

Hakikatnya novel ini adalah novel cinta. Aroma cintanya begitu sarat di sana sini. Hanya yang menjadikan ia novel cinta Islami, apabila penulis berjaya menambah warna-warni Islam di sepanjang pengkisahannya. Saya cuba bersabar untuk mengikuti novel ini untuk melihat cerita demi cerita demi mengetahui kesudahan kisah cinta para wataknya, khususnya Ayyas dan tiga lagi gadis lain di dalam novel ini.

Bumi Cinta berbumikan tanah asing yang pernah menempatkan Lenin dan Stalin, suatu negara yang menurut Habiburrahman adalah negara yang amat bebas dan paling menjunjung tinggi seks bebas. Negara bekas penganut fahaman komunis yang menafikan Tuhan dan itulah yang perlu kita selami melalui watak Ayyas sendiri penat menghadapi ujian demi ujian di sana.

Namun, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian di dalam novel ini. Jika dalam ayat-ayat cinta kita punya Fahri, ketika cinta bertasbih kita punya Khairul Azzam dan dalam novel ini juga kita punya Muhammad Ayyas. Watak yang digambarkan terlalu ideal dan mempunyai pakej lengkap sebagai seorang lelaki idaman gadis-gadis. Ayyas mahasiswa university madinah yang dikisahkan tidak tampan dan sedap mata memandangkan, namun dia sangat bijak, romantic, tawadhu dan cukup peka dengan keadaan sekelilingnya. Bahkan berkali-kali Ayyas digambarkan menangis akan hal-hal yang ia anggap merupakan dosa atau mendekati dosa.

Saya mengambil masa yang lama untuk memahami ayat-ayat yang digunakan penulis. Berbeda dengan ayat-ayat cinta dan ketika cinta bertasbih, BUMI CINTA mempunyai dialog-dialog yang sarat dengan muatan dakwah namun cukup panjang dan saya sendiri perlu cermat untuk memahaminya.

Pencarian mencari TUHAN, isu Palestin dan Yahudi, cinta malah nilai-nilai sejarah yang dititipkan di dalam novel ini perlu pada penghayatan yang tinggi. Inilah cabarannya.

Saya mengharapkan ada kesinambungan bagi novel BUMI CINTA. Perjuangan Ayyas di bumi Russia perlu diperincikan lagi oleh Habiburrahman.

Bagi pencinta novel-novel ‘berisi’, novel ini tidak gagal untuk memberi pengisian, insya-allah. Yang pasti, saya cukup senang dengan bahasa-bahasa puitis yang digunakan dalam karya ini. Tidak rugi memilikinya, kalian pasti JATUH CINTA dengan BUMI CINTA.

Sedutan novel BUMI CINTA.

Hanya manusia tidak mengerti bahasa tasbih mereka.Dan ketika alam bertasbih hanya sedikit manusia yang ikut dalam irama tasbih alam semesta. Hanya sedikit manusia yang mengingat Tuhannya,sebahagian besar manusia hanya ingat pada dirinya dan kepentingan nafsunya sendiri.

Saya dan maahad

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Tirai persekolahan untuk penggal ke dua telah melabuhkan tirai. Maknanya, ada dua minggu cuti yang harus dimanfaatkan sepenuhnya. Seminggu sempena cuti persekolahan, seminggu lagi sempena cuti hari raya.

Pelajar-pelajar saya yang paling gembira, bila bertemu sempat bertegur sapa.

‘teacher, selamat hari raya, nanti jumpa lagi lepas cuti’ jelas tergambar keceriaan di hati masing-masing. Apatah lagi, ‘meraikan’ peperiksaan percubaan yang telahpun berlalu.

Sempat juga bertemu dengan bekas-bekas pelajar maahad yang pulang bercuti untuk memberikan perkongsian dengan adik-adik mereka. Kebanyakannya dari timur tengah dan hanya adik Fatimah sahaja dari Negara Europe. Jujurnya saya benar-benar kepingin untuk bertemu dengan adik Madihah, cuma terlalu padat jadualnya, belum sempat lagi berkunjung ke bumi maahad.

Satu perkara yang paling menarik antara yang saya tidak dapat lupa, apabila menjaga peperiksaan percubaan PMRU untuk tingkatan 2 ialah bagi subjek KHAT.

Kalian tahu apa itu KHAT?

Menariknya, pertama seingat saya tidak pernah belajar KHAT dan menduduki peperiksaan secara formal.

Yang kedua, berbeda dengan subjek-subjek lain, mengikut pemerhatian saya subjek KHAT yang paling lama walaupun sebenarnya soalannya pendek-pendek sahaja.

Yang ketiga, subjek inilah paling ramai pelajar meminta kertas tambahan sehingga tidak menang tangan.

Dan yang paling penting, saya KAGUM dengan pelajar-pelajar saya yang pandai menulis KHAT dengan cukup cantik dan kemas. Menggunakan kertas A4, pen dan pensil KHAT serta segala kemahiran yang dipelajari saya kira mereka berjaya menterjemahkan jawapan dengan cukup baik. Saya CEMBURU dengan mereka sebenarnya biarpun usia baru sahaja 14 tahun dapat menulis khat, mereka menguasai seni tulisan yang jarang sekali digunakan di zaman sekarang.

Saya dan maahad

Hampir genap 3 bulan saya mengajar di sekolah maahad. Dan saya semakin faham bagaimana sekolah ini mampu melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang daripada aspek akademik dan sakhsiyahnya. Merekalah generasi ibu-ibu muslim pada masa akan datang yang dididik sedari sekolah lagi. Bukan calang-calang ilmu yang dipelajari, dan ilmu-ilmu mereka itulah yang tidak dapat dipelajari di sekolah-sekolah biasa.

Pelajar-pelajar di hadapan saya bukan hanya mendapat keputusan 10A,12A namun sebenarnya kebanyakan mereka mendapat keputusan 23A bagi semua subjek yang diambil.

Kenangan lalu masih segar, pabila tawaran daripada tiga buah sekolah yang berbeza sampai sebaik sahaja keputusan UPSR diumumkan, menyebabkan saya berada dalam dilema. Antara sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah bestari (sekolah agama) dan juga tidak ketinggalan sekolah maahad. Keputusan harus dibuat, akhirnya saya menolak untuk belajar di tempat yang saya mengajar sekarang.

Namun alhamdullilah, ‘jodoh’ dengan sekolah maahad ini masih kuat. Terima kasih buat sahabat saya mawar mas yang bertindak sebagai ‘orang tengah’. Biarpun saya tidak berpeluang belajar lagi di sekolah ini, namun kesempatan untuk mengajar di sini sememangnya satu pengalaman yang cukup berharga.

Benarlah, maahad bukan sahaja tempat saya mengajar tetapi juga belajar. Moga-moga dengan sedikit lagi masa berbaki, mampu dimanfaatkan dengan sepenuhnya di bumi maahad ini.

Selamat datang Ramadhan!

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Sekali lagi diberi peluang berada di bulan ramadhan, tiada lain yang dapat diucapkan melainkan rasa syukur kepadaNYA. Bukan semua diberi peluang untuk ketemu penghulu segala bulan yakni bulan ramadhan yang penuh barakah.

Teringat pula waktu dizaman belajar, kali pertama menjadi panel untuk ceramah ramadhan apatah lagi bercorak keagamaan sememangnya cukup-cukup mendebarkan saya. Tambah risau  lagi tiada status ustazah dihadapan nama. Alhamdullilah, syukur, semuanya berjalan lancar, rakamannya masih dalam simpanan. Tajuknya kemas, sentiasa saya ingat, ‘Ramadhan yang sama, natijahnya berbeza’. Itu dahulu.

Sekarang bulan ramadhan hadir lagi.

Penting untuk kita tanamkan azam, agar segala ‘promosi-promosi’ hebat sepanjang bulan ramadhan ini direbut dengan sepenuhnya. Sedikit sebanyak saya rasakan kelainannnya pada tahun ini, berbanding tahun sebelumnya, ini kali pertama setelah hampir 7 tahun saya tidak pernah menyambut ramadhan pertama dirumah, namun kali ini bukan sahaja dirumah malah yang paling penting bersama keluarga tercinta. Selalunya saya hanya akan berpuasa 5-4 hari terakhir sahaja di rumah.

Bila sudah menjengah ke alam pekerjaan, sememangnya peluang bekerja seharusnya kita maksimumkan sebagai peluang untuk dijadikan pahala-pahala yang berganda di bulan ramadhan.

Sebut sahaja tugas guru, seawalnya kita sudah mula mulakan rutin seharian. Jika sebelum ini lambat datang ke sekolah disebabkan perlu bersarapan dan sebagainya, inilah peluangnya untuk datang awal. Datang awal bukan hanya untuk membuka laman-laman social seperti facebook, blog dan sebagainya, ruang masa inilah mampu untuk kita manfaatkan untuk mengaji, membaca dahulu buku-buku terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam kelas.

Tambahan lagi, jika sebelumnya mungkin lebih senang untuk kita ‘naik marah’ dengan pelajar, namun didiklah diri untuk sedikit bersabar pabila melihat pelajar-pelajar yang sudah ‘monyok’ mukanya dan kadang-kadang tidur dalam kelas lantaran letih berpuasa. Aduhai, banyak sungguh pahala kesabaran itu! Yang paling penting, saya sendiri merasakan bulan ramadhan inilah peluang terbaik untuk kita sama-sama tingkatkan prestasi kerja. Jika kaedah ‘syarahan’ sentiasa digunakan dalam kelas, guru perlu kreatif bagi mewujudkan suasana ‘meriah’ agar pelajar-pelajar yang tidur tadi tidak terus tidur dan mendapat sedikit ilmu daripada kita.  Kadang-kadang penat dahaga dek kerana bersungguh-sungguh menerangkan sesuatu kepada pelajar terubat biarpun masih ada sisa penat menggunakan suara sepanjang hari. Saya yakin, guru-guru berpeluang menikmati saat-saat ‘dahaga’ ini hanya pada bulan ramadhan sahaja.

Jujurnya,  lebih banyak ruang yang boleh diperbaiki sepanjang kita di bulan ramadhan ini.

Cuba lihat sahaja kisah-kisah orang hebat berpuasa. Kisah imam syafie yang khatam al-quran di bulan ramdhan, 30 kali diwaktu siang, 30 kali diwaktu malam menjadikan jumlah keseluruhannya 60 kali dibulan ramadhan sememangnya cukup-cukup memberi inspirasi. Benar, mungkin kita tidak sehebat beliau, setidak-tidaknya sudah kita pasakkan dalam diri pada ramadhan kali ini, at least 1 kali kita perlu khatam. Bagaimana caranya? Kita usahakan jika benar-benar kita inginkan.

Lihat pula kisah Rasullah yang hanya bersahur dan berbuka dengan buah tamar dan air sahaja. Suhu di mekah bukan calang-calang panasnya, kepanasan melampau sehingga mampu mencecah suhu 60 celcius ketika itu. Subhanallah! Cukup hebat. Malamnya, Rasullah sibuk menunaikan solat terawih sehingga diceritakan sahabat-sahabat yang berada dibelakang Rasullah terpaksa keluar dari imam dek kerana kusyuknya Rasullah membaca surah al-baqarah, disambung lagi sehingga surah al-maidah pada rakaat pertama dalam solat tarawih baginda. Dan kita pula bagaimana? Jika sudah cukup 3 jenis air sekurang-kurangnya diwaktu berbuka, dan sepinggan nasi diwaktu sahur, seharusnya ibadah kita harus lebih berganda, tidakkah kalian rasa begitu?

Piala taqwa?

Saya inginkan, dan saya pasti kalian juga inginkan ganjaran piala taqwa. Inilah masanya. Madrasah ramadhan telah pun bermula. Moga-moga mewarisi jannah. Selamat menyambut ramadhan al-mubarak untuk semua pembaca guruohguru. Semoga ramadhan kali ini memberi sinar kebahagiaan baru dalam hidup kita. Ameen.

p/s : pengalaman baru lagi, saya sebagai guru di bulan ramadhan, apatah lagi melihat pelajar-pelajar saya bertungkus-lumus ‘mengangkat senjata’ di medan peperiksaan trial PMRU, PMR, SMU, SPM, dan STAM, cikgu doakan semoga berjaya!

Denai Panjang Meniti Usia

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Kebiasaannya pada bulan 7, paling ramai individu dalam keluarga saya menyambut ulangtahun kelahiran. Bermula dengan adinda tersayang, adik, kekanda kak ngah dan juga anakanda saudara tercinta Hawa.

Biarlah sedikit ruang ini saya titipkan sesuatu buat mereka.

Dan masih belum terlambat untuk saya ucapkan selamat hari lahir untuk adik, angah dan hawa. Doa saya mengiringi kalian, sentiasa bersyukur kepadaNYA atas nikmat usia yang diberikan. Benar, setiap hari usia kita bakal bertambah, dan ianya ibarat mutiara yang tiada galang ganti lagi.

Pesan buat insan-insan yang teristimewa, sentiasa hiasi usiamu dengan iman bersulam taqwa, agar kemudiannya kita sempat mengucup haruman syurgawi.

Denai panjang masih perlu dilalui dalam meniti usia yang mendatang. Semoga panasnya ujian dan cabaran tidak menggugah iman, malah menjadi batu loncatan membentuk peribadi unggul sebagai hambaNYA yang menjadi bidadari dunia dan juga ratu disyurga.

Untuk adik, semoga menjadi anak yang solehah, permata hati bonda dan ayahanda tercinta dan kejayaan sentiasa mengiringimu.

Angah, semoga terus sabar menjadi ummi, isteri dan anak yang baik buat mak dan abah. Terima kasih atas sokongan yang tanpa syarat.

Hawa, anak comel ummi dan abah, moga terus mekar menjadi puteri yang membahagiakan kami semua.

Ameen, doaku sentiasa mengiringi kalian. Insya-allah. Selamat Hari Lahir!

Harapan kasih buatmu anak

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Terasa sekian lama saya membiarkan blog guruohguru ini terbiar tanpa pengisian. Silap diri. Sering juga saya ditegur tidak istiqamah dalam penulisan.

Lebih senang masa saya dimanfaatkan dengan membaca beberapa buah buku sempena menyambut kedatangan ramadhan yang bakal kunjung tiba, insya-allah,peluang untuk kita merebut hikmah disamping mencari redhaNYA. Bila difikirkan saya punya seribu alasan untuk tidak menulis, namun saya gagahkan jua untuk mencari secebis waktu.

Dan apabila mengajar di sekolah, terasa lebih banyak hak-hak yang saya perlu saya lunaskan untuk pelajar-pelajar tercinta.

Hari ini saya ingin berbicara berkenaan dengan harapan ibu ayah.

Melihat wajah ayah ibu yang menghantar anak-anak ke sekolah setiap hari, dapat saya rasakan sebuah debaran seorang ayah ibu. Semuanya terkandung sebuah harapan.

Seorang ayah atau ibu melihat anak-anaknya membesar dengan penuh debaran. Berdebar kerana dua kemungkinan, adakah anak itu membersar menjadi anak soleh dan solehah atau anak itu membesar menjadi anak derhaka.

Disaat tatkala si anak melangkah keluar, ibu dan ayah memberi sebuah ciuman, di dahi dan kedua belah pipi.  Keberkatan menitip ilmu serta doa ayah ibu sentiasa diharapkan.  Adakah anak-anak mengerti perasaan ini?

Ayah dan ibu ingin menasihati anak agar menjadi apa yang diinginkan. Tetapi kekadang mulut ibu dan ayah membisu seribu bahasa. Perkataan tidak terluah, mungkin kerana gugup, gementar, menjaga hati, kasihan, geram atau seribu satu macam perasaan. Semuanya ingin dijaga, demi kasih sayang terhadap anak tercinta.

Ketika berjalan ke sekolah, seringkali ayah ibu pasakkan niat dan ingatkan anak supaya tujuanmu hanya satu, buat menuntut ilmu bekalan masa depanmu.

Aduhai anak, jangan sekali dileburkan harapan ini.

Hari ini kita masih mampu untuk menikmati kasih sayang ibu dan ayah.

Bagaimana esok, lusa dan hari-hari yang mendatang?

Di kedua telinga ini mungkin kita tidak akan mendengar lagi harapan doa ayah ibu.

Tatkala sakaratulmaut menjenguk tiba.

Moga dirimu anak menjadi intan buat masyarakatmu.

Dicampak ke gurun menjadi oasis, menjadi singgahan si musafir menakung air, daripada mentari dan ribut pasir. Ameen.

Sabah : Kembara penuh hikmah

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah

Akhirnya, kaki saya selamat menjejaki bumi sabah, bumi hijau, bumi subur dakwah. Saya rasakan jaulah ataupun percutian kali ini antara yang bermakna apatah lagi ditemani teman-teman lama. Seakan reunion semula pabila masing-masing sudah sekian lama tidak berjumpa sedari mula praktikum. Berjumpa sahabat-sahabat juga menguatkan kembali ukhwah  sesama kita disamping kali ini kami punya misi menjalankan kembara penuh makna.

Pada mulanya tempoh seminggu yang dirancangkan sedikit sebanyak menganggu perjalanan jadual yang diatur di rumah. Hati bertambah gundah dan saya mula tidak senang duduk menaiki pesawat selama 2 jam 45 minit ke Tawau. Bagaimana keadaannnya jika benar-benar saya dipostingkan ke Sabah? Sanggup berulang dengan jarak yang agak jauh?

Buangkanlah resah. Sekali kaki dilangkah, perjalanan akan diteruskan hingga sampai ke destinasi.

Sepanjang seminggu juga saya berpeluang menjelajah tiga daerah utama di Sabah, bermula di Tawau, Kunak dan Sandakan. Berpeluang juga menyaksikan walimah sahabat terdekat di tawau. Lain tradisinya di tempat sendiri. Adat resam masyarakat sabah masih lagi utuh biarpun zaman mula berubah. Berada di rumah ‘atas air’ sekali lagi memberi pengalaman yang berbeda. Situasi kanak-kanak kecil berenang di lautan indah tidak menjadi perkara luar biasa, itulah didikan yang diberikan. Mereka pandai berenang.

Berpeluang juga menemui anak semenanjung yang merantau di bumi Sabah. Perkongsian penuh makna,membuktikan bahawasanya benih yang baik dicampak ke lautan menjadi pulau juga. Semangat yang ditunjukkan demi mendidik anak bangsa dan menyampaikan risalah dakwah tanpa syarat membuktikan tanggungjawab yang ada sentiasa lebih dari masa yang ada.

Itu cebisan kisah di tawau.

Berbeda di kunak. Menyaksikan panorama indah menaiki bot sememangnya benar-benar bermakna. Keaslian alam ciptaan tuhan masih lagi terpelihara. Alhamdulillah, tadabbur alam mendekatkan diri  dengan bukti kebesaran ALLAH.

” Sesungguhnya, dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal “surah al-imran ayat 190.

Saya masih lagi belajar untuk tadabbur alam dalam usaha meningkatkan diri ke jalan yang diberkati. Melihat sesuatu secara zahiri atau gambaran luaran seadanya sebenarnya mampu untuk membimbing manusia bertanya di sebalik adanya sesuatu tentu adanya proses penciptaan. Dan sesuatu itu tidak dicipta atau dijadikan atau wujud dengan begitu saja tetapi tentu bersebab. Walau pun keupayaan berfikir tidak mungkin mampu menjawab semua perkara tetapi ada pedoman asas yang membolehkan seseorang menghubungkan faktor kewujudan dengan faktor penciptaan dan faktor penciptaan sebagai sumber hikmah. Bumi ini bumi ALLAH.  Subhanallah, cukup terkesan dengan panorama indah di kunak.

Sandakan destinasi akhir.

Perjalanan menaiki bas lebih kurang 4 jam ke Sandakan. Sandakan juga bandaraya yang dikelilingi lautan. Setiap kilometer perjalanan pasti akan menemui sebuah gereja. Jarang sekali keadaan ini berlaku di semenanjung. Sempat juga saya berkunjung ke Sepilok, tempat orang utan dan taman buaya Sandakan.

Resolusi perjalanan

Sedikit sebanyak mengubah persepsi saya mengenai keadaan di Sabah. Namun saya masih khuatir, adakah saya bersedia untuk dipostingkan ke sabah? Berjalan,bermusafir, melihat kebesaran tuhan yang diciptakan untuk mereka yang berfikir dan bersyukur di atas nikmat dan kurnianya. Menambah nilaian harganya,iman dan taqwa bagi hamba yang setia.  Moga-moga kembara penuh makna ke sabah ini memberi seribu satu hikmah dan teladan buat diri ini.

P/s : lepas ini mahu kembara ke luar Negara pula.